IMBASAN BUAT ZAUJ

Bismillah~

Memetik Firman Allah sebagai pembuka bicara : "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang maaruf, mencegah yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana." (Al- Taubat : 71)


Menjadi perawan suci

Adalah cita-cita semua wanita

Menjadi isteri solehah

Adalah cita-cita wanita bahagia..


Mukaddimah…

Isteri memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah rumah tangga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Telah Allah jadikan makhluk di atas muka bumi ini berpasangan. Seperti jua lelaki, dikurniakan perempuan sebagai pasangan.

Tiada siapa yang menginginkan wanita yang buruk akhlaknya sebagai pendamping diri dalam melayarkan sebuah bahtera agung. Perempuan yang solehah adalah idaman setiap lelaki yang soleh. Allah SWT telah berfirman, mafhumnya : “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (Surah An-Nur'; 26)

Itulah janji Allah kepada kita, kaum hawa. Jadilah kita ini penyejuk kepada suami yang soleh, sayap kiri kepada sebuah rumah tangga yang bahagia disusuli dengan Iman dan Islam. Lelaki juga akan memilih wanita untuk dikahwininya juga atas dasar agamanya, imannya dan akhlaknya.

Sabda Rasulullah SAW mafhumnya : "Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara ini, kerana kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.. maka pilihlah kerana agamanya kerana akan beruntunglah kedua-dua tanganmu." (HR Bukhari dan Muslim)

Andai pemilihan atas dasar kekayaan, pasti suatu hari itu akan lenyap. Andai pada dasar kedudukan, pasti kedudukan itu akan jua digugurkan. Jika pada kecantikan, kecantikan itu jua akan hilang seiring dengan usia yang meningkat. Isteri bertanggungjawab menjaga kebajikan si suami dengan memberi kebahagiaan kepadanya. Tugas seorang isteri memang juga tidak dinafikan tersangatlah penting kerana isteri juga memikul tanggungjawab seorang ibu.

Dengan kehadiran cahaya mata kurniaan Allah, maka kedua-dua tanggungjawab isteri dan ibu telah digalas olehnya. Isteri adalah teman yang paling hampir dengan suami. Isteri yang solehah adalah penawar racun hati seorang suami. Isteri juga adalah tempat suami berkongsi masalah dan jua tempat berbincang. Patuhilah suami selagi tidak menyalahi syariat Islam. Carilah redha Allah itu dalam redha suami. Jadilah kita golongan hawa ini sebagai penenang buat adam yang halal bagi kita. Janji Allah itu pasti.

Sabda Rasulullah SAW mafhumnya : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintu mana yang dia suka (mengikut pilihannya)" (HR Ahmad.)

Memetik mutiara hikmah yang pernah ditulis oleh Almarhum Syeikh Mustafa Masyhur dalam bukunya Tariqud Da'wah dalam bab Tegakkanlah Rumah Tangga Muslim di mana beliau menyebut :

"Saudara muslim yang sejati, wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini. Menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah. Sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa, sentiasa memberi peransang dan tidak menghalanginya. Memelihara dirinya di waktu ketiadaan suaminya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut bentuk Islam yang sebenar-benarnya. Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam. Saudara muslim juga wajib membentuk rumah tangga muslim yang sejati yang menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap anggota dakwah keluarga yang aqil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik"



Isi utama : IMBASAN BUAT ZAUJ

* saya copy paste dari blog http://cintailahi.com .. moga bermanfaat untuk semua ..

Hari ini, saya hanya ditemani oleh anak-anak yang menjadi sebagai tali pengikat yang mengutuhkan lagi ikatan kasih-sayang antara kita. Mereka semakin hari semakin membesar. Terasa bahagia melihat mereka membesar didepan mata. Ketidakhadiranmu di sisi, sedikit sebanyak mengundang kesayuan kepada mujahid dan mujahidah kecil itu. Tidak mengapa, mereka masih kecil suamiku.. Masih belum mengerti.

Dan jauh juga disudut hatiku, aku juga merinduimu.

Mengimbas kembali zaman perkenalan tanpa bersua muka. Kamu memerhatikan diriku dari jauh dan dalam diam kamu mendekati keluargaku untuk berkenalan dan mengenal hati budi bakal isterimu. Masa itu, dengan kesibukan berdakwah, belajar dan belajar, aku tidak menghiraukan perkhabaran dari Ummi bahawasanya ada seorang lelaki yang merisik akan diriku.

“Kalau betul-betul nak jadi, tunggu Ana habis belajar dulu Ummi,” bicaraku pendek.

Tiada dalam sangkaanku kamu benar-benar menunggu selama 3 tahun lebih untukku menghabiskan pengajianku. Pelik! Itu yang berlegar dalam kepalaku. Sanggupnya kamu suamiku..

Selepas 7 bulan kutamatkan pengajianku, akhirnya rombongan bertandang ke rumah. MashaAllah. Bermula segalanya…

Pada tarikh sekian sekian.. Kita bersatu.

Setelah kita bersatu dan hubungan yang disandarkan pada keimanan menjadi halal pada hari pernikahan, terasa syukur tidak terlafaz dan kerdil di sisi Sang Kekasih nombor 1. Dan kasih-sayang antara kita semakin mekar apabila lahirnya mujahid dan mujahidah kecil pada pada hari yang sama dan beza jarak umur yang hanya 15 minit cuma.

Aku menyedari perubahanmu wahai suamiku..

Jika dulu kamu sangat istiqamah memberikan tarbiyah kepadaku, mengambil berat dan seorang yang sangat penyayang kepada isterimu, kini dirimu seakan-akan menjadi seseorang yang diperbaharui perasaan kasihnya. Tingkah laku, tanggungjawab serta perwatakanmu diperhalusi. Kamu membuatkan saya bahagia berada dalam keluarga sakinah. Kamu menjadi seorang yang begitu lebih lembut bicara dan pengasih sifatnya. Benarlah! Anak penyeri rumahtangga.

Tanggungjawabmu kepada Islam dan Ummah tidak pernah kamu abaikan. Ada waktunya kamu meninggalkan rumah berhari-hari untuk menyebarkan keindahan Islam, tidak pernah membuatmu lelah. Apabila berada di rumah, kamu menjadi seorang suami dan ayah yang sangat penyayang. Dan apabila tugas sebagai khalifah memanggilmu meninggalkan rumah untuk sebuah janji yang pasti, kamu sungguh tegas dengan amanah yang tergalas meskipun si mujahidah kecil itu seringkali menangis apabila tiba waktu keberangkatanmu.

Saya mencuri pandang pada wajahmu. Ada redup sayu dimatamu apabila menoleh si mujahid dan si mujahidah yang tertangis. Saya tahu dan faham. Jauh di sudut hatimu, kamu yakin dan percaya bahawa Allah akan menjaga sesuatu milik-Nya. Dan kamu juga tekad melangkah dengan meninggalkan kami dalam jagaan Allah.

Pergilah suamiku.. Pergilah berjuang! Jangan beratkan hatimu dengan kewujudan kami.

Saya tidak lupa dengan pesanmu wahai suamiku. Hidup di dunia untuk berjuang. Berjuang dan memperjuangkan. Sabar dalam perjuangan. Kerana di dalam sabar itu terdapat kebahagian. Dan saya pasti…

Pergilah wahai tentera Allah! Akanku melambai dari kejauhan..




# Jika dakwah menjadi keutamaan, maka kita akan mengerti bagaimana Allah membahagi-bahagikan cinta kita, hingga akhirnya kita akan setiasa segar dalam cinta-Nya.

# untuk kalian : bakal isteri & para isteri - “Jika kebahagiaan berada di dalam harta, maka engkau dapat mencegahnya dariku. Jika kebahagiaan berada dalam perhiasan, maka engkau dapat menahannya dari sampai kepadaku. Kebahagiaan itu bukan apa pun yang engkau miliki, atau dimiliki oleh manusia lainnya. Sesungguhnya aku menemukan kebahagiaanku dalam imanku yang ada di dalam hatiku, dan hatiku tidak dapat dikuasai oleh seorang pun melainkan oleh Tuhanku.”




Al-FaQirah ila Robbiha :

Waznah alhamraa’

09 Rabi’ul Awwal 1433H

01 februari 2012

Istana BalQis

REVOLUSI MESIR : MASA DEPAN UNTUK ISLAM

Andainya kematian kau tangisi

Pusara kau siram dengan air matamu

Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh

Nyalakanlah obor untuk umat ini dan

Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan

Kematianku hanyalah suatu perjalanan

Memenuhi panggilan kekasih yang merindu

Taman-taman indah di syurga Tuhan

Terhampar menanti

Burung-burungnya berpesta menyambutku

Dan berbahagialah hidupku di sana

Puaka kegelapan pastikan lebur

Fajarkan menyingsing

Dan alam ini kan disinari cahaya lagi

Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya

Jangan gentar berkelana ke alam abadi

Di sana cahaya fajar memancar.

[As-Syahid Syed Qutb]


Bismillah.. dengan Nama Allah yang Maha Agung, tinta di mulakan..

Mesir.. sudah setahun berlalu, ingatan pada ummu ad-Dunya itu masih segar di ingatan, tidak pernah padam, setiap saat berdoa, moga2 Allah beri peluang lain lagi untuk ke sana. Jika di tanya, kenapa beriya-iya sangat nak ke sana? Apa istimewanya mesir itu? Apa gahnya negara yang pernah berlaku revolusi itu??

Kehebatan Mesir bukan pada piramidnya. Binaan yang menakjubkan bukan hanya ada di Mesir, tetapi di negara2 lain juga seperti di China dengan tembok besarnya, di Indonesia dengan Candi Borobudurnya. Mesir… kehebatannya terletak pada Universiti al-Azhar yang di asaskan pada tahun 970M lagi. Ya.. itulah kehebatan bumi anbiya’ itu, bumi yang Allah untuk menjadi tuan rumah kepada university tertua di dunia yang telah melahirkan generasi ulama terbilang, bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Di sebabkan kemuliaan inilah, sewajarnya pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen terhadap Islam.

Alhamdulillah.. sempat menjejakkan kaki di bumi nabi Musa AS, bumi yang saya lihat masyarakatnya ramah dan mesra terutama dengan tetamu asing, bumi yang memaparkan sejarah dan teladan dari kekufuran Firaun, bumi yang di sana adanya madrasah Imam Syafie, di sana juga hidupnya para mujahid ilmu dunia dan agama. Dan di bumi ini jugalah, berlakunya sejarah revolusi siasah, di bumi itu jugalah kita menyaksikan kebangkitan kuasa baru di Timur Tengah : kuasa rakyat.

Tanggal 25 Januari 2011, kita merasai kepanasan haba kebangkitan yang berlaku di dua Negara arab, Tunisia dan Mesir. Demokrasi yang menjadi sanjungan Barat hakikatnya sudah lama terkubur di semenanjung tanah Arab. Hanya saja kerana yang berkuasa di negara2 Arab ialah boneka Barat, ia dipendamkan untuk menjaga kepentingan anak didik mereka iaitu Israel.

Selama 18 hari rakyat Mesir turun ke jalan raya untuk mendesak pengunduran Hosni Mubarak yang akhirnya disudahi dengan pengunduran rejim kejam itu. Betapa Maha Kuasanya Allah, DIA memilih tarikh keramat 11 februari 2011 untuk menghina Hosni Mubarak dengan pengunduran yang terpaksa dilakukan. Tarikh yang hampir sama selama 72 tahun yang lampau kita menyaksikan rebahnya pengasas jemaah Ikhwanul Muslimin, as-Syahid Imam Hassan al-Banna pada 12 februari 1949. Rakyat Mesir bangkit dari tidur pada pagi 12 februari 2011 dengan Mesir tidak lagi di pimpin oleh rejim Hosni Mubarak, mereka bangkit dengan menyaksikan suara keramat mereka menggegarkan para dictator seluruh dunia.


REVOLUSI MESIR : BERMULA DARI KEBANGKITAN ANAK MUDA

Wael Ghonim – dialah yang telah memulakan satu rangkaian dalam laman sosial facebook dengan kempen “KULLUNA KHALED SAID” (kita semua adalah Khaled Said), hanya dalam masa yang singkat, ianya mendapat sambutan hangat sehingga mencapai ratusan ribu dalam masa beberapa minggu saja. Kerana ingin membela kezaliman yang dilakukan kepada Khaled Said, anak2 muda di Mesir yang sudah lama terkongkong dengan autoraksi rejim Hosni Mubarak turun ke jalan raya dengan satu semangat ; melihat Hosni Mubarak undur diri atau diundurkan.

Siapa Khaled Said?

Pemuda yang dikatakan telah men’upload’ satu video di laman web youtube, menyiarkan sekumpulan polis Mesir sedang membahagikan wang dengan pengedar2 dadah. Video tersebut menimbulkan kemarahan polis yang sememangnya sudah sebati dengan amalan rasuah hasil asuhan ‘bapak’ Hosni Mubarak. Khaled diburu, sehinggalah suatu hari dia diseret keluar dari sebuah café oleh dua orang polis dan kepalanya dihantuk ke dinding, bermandikan darah, tubuhnya pula dilemparkan ke tepi jalan. Foto Khaled did era polis di siarkan di dalam internat. Insiden ini akhirnya mencetuskan seruan tunjuk perasaan yang mengumpulkan berates ribu anak muda dari seluruh Mesir. Dan yang bertanggungjawab memulakan seruan itu adalah Wael Ghonim.


ASMAA MAHFOUZ : MUSLIMAH PEMBAKAR SEMANGAT ANAK MUDA.

Sekiranya di zaman Rasulullah SAW, adanya isteri2 baginda yang sentiasa bersama-sama baginda menyebarluaskan dakwah Islamiyyah, jika sejarah moden Mesir pernah menyaksikan kehadiran al-Marhumah Zainab Al-Ghazali yang pernah menggegarkan istana Jamal Abdul Naser, dan di abad 21 ini kita menyaksikan kehadiran Asmaa Mahfouz yang bertanggungjawab memobilisasi gerakan anak muda di Mesir sehingga merebahkan Hosni Mubarak. Sekalipun mendapat tentangan dari orang tuanya, Asmaa nekad untuk menjayakan misinya. Menyahut seruan Wael Ghonim juga, Asmaa menyiarkan videonya, menyeru agar anak2 muda turun ke jalanraya, sehinggakan dia mencabar kelakian pemuda2 dengan berkata :

"saya seorang gadis, akan turun ke Dataran Tahrir & saya akan berdiri seorang diri. Saya akan mengangkat sepanduk. saya menulis, sesiapa yang prihatin dengan nasib negara ini (mesir), agar turut bersama2 saya, & siapa yang bimbangkan saya atau memikirkn bahwa saya sakit mental seharusnya datang untuk melindungi saya.."

Seruan seorang wanita yang sering dianggap lemah.. bisa menaikkan semangat anak2 muda khususnya golongan lelaki yang tercabar dengan keberaniannya. Benarlah – kelembutan air mata & tangisan seorang wanita bisa mencairkan hati keras sang lelaki. Sekalipun Asmaa akhirnya ditahan oleh pihak berkuasa atas tuduhan menghasut, seruannya tersebar luas melalui internet & talian telefon mudah alih. Asmaa berada dalam tahanan polis ketiga tiga juta rakyat mesir… ya, tiga juta rakyat Mesir turun memprotes di jalan raya. Tangan gadis inilah antara yang menyumbang kepada kejatuhan Hosni Mubarak.


HARI INI : IKHWANUL MUSLIMIN TERAJUI KERAJAAN BARU MESIR

Bumi Mesir yang terasas di atasnya gerakan Islam yang pertama di tangan Imam Hassan Al-Banna setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah sebenarnya menyimpan tulang2 para ulama haraki yang dizalimi oleh pemerintah Mesir zaman berzaman. Hari ini, Ikhwanul Muslimin tentunya sudah belajar dari sejarah. Mereka bukannya pemberontak & bukan pengganas, mereka membawa mesej Islam yang harmoni & damai untuk semua lapisan rakyat Mesir. Rakyat mesir hakikatnya mengalu-alukan Ikhwan untuk muncul sebagai pemerintah. Buktinya – pilihanraya umum Mesir tahun 2011 menyaksikan Ikhwan memenangi 232 kerusi, Salafi 113 kerusi, wafdu sekular 47kerusi, Kutlah sekular 39 kerusi, Fulul bks penyokong mubarak 17 kerusi, Wasot islami 10 kerusi, & Thaurah mustamirah 8 kerusi. Era baru mesir bermula, sidang pertama parlimen selepas Mubarak. Dr sa'du katatni dipilih secara rasmi speaker parlimen dengan mendapat 399 undi daripada 508 undi.

Dr Katatni bukannya calang-calang orang. Beliau merupakan antara seorang pejuang Ikhwan yang ulung. Di zaman diktator Mubarak, beliau dipenjarakan dan diseksa bersama dengan Dr Mohamed Morsi dan Essam El-Erian. Dr Katatni merupakan sarjana Phd dalam jurusan sains yang pernah bertugas sebagai Profesor, mengajar subjek mikro biologi dalam bidang botani di Universiti Minia. Kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti pada tahun 1994-1998.

Beliau juga memperolehi ijazah dalam bidang Pengajian Islam di bawah Fakulti Sastera pada tahun 2000. Selain itu beliau merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pengajar Universiti berkenaan. Selain pengalaman politik, pengamalan Dr Katatni dalam bidang akademik sangat hebat. Sepanjang kariernya, beliau mengawasi lebih 21 kajian untuk pemegang Master dan Phd dalam hal ehwal botani selain menulis 36 kajian, di mana beliau menjadi Pengerusi Persatuan Saintis di Minia.

Katatni menceburi bidang politik selepas menyertai Ikhwan Muslimin. Beliau bertanding dalam pilihan raya umum Mesir pada tahun 2005 dan menang mewakili daerah Minia. Di dalam Parlimen (pada zaman Mubarak) Dr Katatni merupakan Ketua Whip Parlimen Ikhwan sebelum disumbat ke dalam penjara oleh rejim Mubarak. Justeru pelantikan Dr Katatni sebagai calon Speaker dari FJP berdasarkan pengalaman yang luas serta sumbangan besar beliau dalam bidang akademik dan politik di Mesir.


Dan… tahukah sahabat2 semua…

Keahlian Majlis Rakyat Mesir (parlimen Mesir) sekarang ini memiliki :

- Lebih 140 orang ahli Parlimen yang hafiz Quran.

- Lebih 100 orang ahli Parlimen yang hafal lebih 10,000 hadith

- Lebih 180 orang ahli Parlimen yang hafal lebih daripada setengah al-Quran.

- Lebih 170 orang ahli Parlimen yang memiliki PhD dalam pelbagai bidang kepakaran.

- Lebih 50 orang ahli Parlimen tidak memiliki kereta.

- Lebih 350 orang ahli Parlimen pernah dipenjarakan bagi tempoh antara 6 bulan sehingga 9 atau 10 tahun.

(Syeikh Ahmad Farid)

subhanAllah.. semoga Malaysia satu hari juga begini. Menjadi begini, mengorak langkah mempertahankan Islam, bersatu umat semesta alam, membentuk pemerintahan Khalifah. Semoga kemenangan peringkat pertama ini akan menjadi titik permulaan kepada kemenangan Islam dan kemenangan rakyat di Mesir seterusnya ke seluruh pelusuk dunia, termasuk Malaysia.


# melihatkan revolusi Mesir yang sudah setahun berlalu pergi, hati penuh debar dan mengharap agar yang memimpin kelak adalah dia yang rindukan Islam sebagai masdar terutama. Tanpa ada Israel dan yahudi di bahunya. Menjadi wasilah merdekanya al Aqsa yang lama menderita. ya Allah, bantulah para mujahidin ad Deen Mu..




Al-FaQirah ila Robbiha :

- waznah alhamraa’ –

7 Rabi’ul Awwal 1433H

30 JANUARI 2012

RUMAH BALQIS

RISALAH HATI SEORANG MUSLIMAH

"Cinta ialah iradah Tuhan,di kirimnya ke dunia supaya tumbuh.Kalau ia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus,tumbuhnya akan menyeksa orang lain.Kalau ia datang pada hati yang keruh dan budi yang rendah ,ia akan membawa kerosakan.Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci ia akan mewariskan kemuliaan,keikhlasan dan taat pada Tuhan." [Hamka]

Malam di sinari kerdipan gugusan bintang fenomena misteri sungguh menarik memikat hati walau dalam gelap, menyerlahkan lagi sinaran seolah permata di permukaan bumbung dunia yang terpasak kukuh tanpa tiang. Menjadi sumber mengukuh iman bagi siapa yang berfikir betapa hebat keagungan Tuhan. Keindahan sinar rembulan penuh purnama di satu sudut langit dunia seakan bersatu dengan gugusan bintang menambah seri suasana malam. Muzik alunan dzikir serangga malam beralun memecah kesunyian, Biar bising tapi tenang, menenangkan sang hati-hati yang mungkin dipenuhi kegelisahan.

Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata yang pernah di ucapkan oleh seorang ustaz suatu ketika dulu : “makhluk yang membawa fitnah terbesar di dunia adalah dari kalangan wanita”…

Allah.. wanita.. wanita.. wanita…

Lamaran untuk menjadikan saya permaisuri hati yang di terima beberapa hari yang lalu, mengganggu konsentrasi saya untuk terus muraja’ah. Maaf ku dahulukan akhi, sejujurnya, ini bukanlah kali pertama, tetapi yang ke sekian kalinya, dan tetap saja yang 'kesekian' itu yang membuat diri di amuk perasaan tidak menentu. Astaghfirullahal’adziim. Bukan perasaan melambung kerana merasakan diri begitu mendapat perhatian. Tetapi kerana sikap akhi itu mencampakkan saya ke arah jurang kepedihan dan kehinaan. 'Afwan kalau yang terfikir pertama kali di benak bukannya sikap memeriksa, tapi malah sebuah tuduhan: ke mana ghaddhul bashar-mu?

Alhamdulillah Allah mengurniakan zahir yang cantik untuk seorang wanita muslimah. Dulu, di masa jahiliyah, kurniaan itu sentiasa membawa fitnah. Setelah berlakunya hijrah, saya fikir semua hal itu tidak akan berulang lagi. Namun dugaan saya melesat. Mengapa fitnah ini justeru menimpa orang-orang yang saya hormati sebagai pengembang risalah da'wah? Siapakah yang salah di antara kita?


WAHAI MUSLIM YANG KU HORMATI…

Maaf seandainya saya menimbulkan fitnah dalam hidupmu. Namun semua bukan keinginanku untuk beroleh wajah seperti ini. Seharusnya di antara kita ada tabir yang akan membersihkan hati dari penyakitnya. Telah ku cuba dengan segenap kemampuan untuk menghindarkan mata dari bahaya maksiat. Alhamdulillah hingga kini belum hadir putera impian yang hadir hanya dalam angan-angan. Doa ku panjat, serahkan kepada Allah Ta'ala semata.


BUAT KAMU YANG HAMPIR MELUMPUHKAN HATI KU

Ku kirimkan risalah hati ini, dan ingin ku selipkan dalam satu kehidupanmu, aku hanyalah seorang muslimah yang tidak memiliki keberanian dalam mengungkapkan semua percikan-percikan rasa yang terjadi dalam hatiku. Aku hanya dia yang engkau anggap tidak lebih, aku hanya merasa seperti itu.

Aku berusaha sebaik mungkin dan semampu-mampunya untuk menjauh darimu, mencuba untuk tidak acuh padamu, saat berhadapan dengan muslim lainnya, betapa aku tetap mencuba untuk berkelakuan normal walau perlukan usaha untuk mencapainya.


Akhi fil Islam..

Tentu saja akhi dan yang lainnya pernah mendengar hadith yang tersohor ini. Bahawa wanita di nikahi kerana empat perkara : kecantikannya, hartanya, keturunannya, atau deennya. Maka pilihlah yang terakhir kerana ia akan membawa lelaki kepada kebahagiaan yang hakiki. sekiranya ada yang mendapat keempat-empatnya, ibarat mendapat syurga dunia. Sekarang, apakah yang akhi inginkan? Wanita solehah pembawa kedamaian atau yang cantik tapi membawa kekecewaan? Maaf sekiranya saya terpaksa berburuk sangka bahawa akhi hanya menilai saya cuma fizikal belaka. Bila masanya akhi tahu bahawa deen saya memenuhi kriteria yang baik? Apakah dengan melihat frekuensi kesibukan saya? Tempoh di luar rumah yang tinggi?

Tidak. Akhi tidak akan pernah tahu bila masanya saya berbuat ikhlas lillahi Ta'ala dan bila masanya saya berbuat kerana riya'. Atau adakah akhi ingin mendapatkan isteri wanita cantik yang memiliki segudang prestasi tetapi akhlaknya masih menjadi persoalan? Saya yakin sekiranya akhi diberikan pertanyaan demikian, nescaya tekad akhi akan berubah.

Sekiranya akhi bertanya pada setiap akhawat yang lainnya. Yang tercantik sekalipun, mahukah dia di peristerikan hanya kerana dzahirnya belaka? Jawapannya, insyaAllah tidak. Tahukah akhi bahawa kecantikan dzahir itu adalah mutlak pemberian Allah. Ia satu anugerah yang mutlak yang tidak boleh ditawar-tawar jika diberikan kepada seseorang atau dihindarkan dari seseorang. Jadi, manusia tidak mendapatkannya melalui pengorbanan. Lain halnya dengan kecantikan bathiniyyah. Ia melewati proses yang panjang. Berliku. Melalui pengorbanan dan segala macam pengalaman pahit. Anggota ini hanya pinjaman yang akan kembali pada-Nya bila-bila masa saja, tanpa mengira temapat dan waktu. Tapi ruh, kecantikannya menjadi milik kita yang abadi. Kerananya, manusia diperintahkan untuk merawat ruhiyahnya bukan hanya jasmaninya yang boleh usang dan koyak sampai waktunya.

Takukah akhi yang mampu melumpuhkan hatiku? Aku merasa beruntung untuk tidak pernah berkata bahwa aku mencintaimu, walau aku teramat sakit saat mengetahui bahwa aku bukanlah mereka yang akhi cintai walaupun itu hanya sebagian dari prasangka ku. Jika boleh aku beralasan, mungkin aku cuma takut akhi akan menjadi “illah” bagiku, kerana itu aku mencuba untuk mengurung rasa itu jauh ke dalam, mendorong lagi, dan lagi hingga yang terjadi adalah tolakan-tolakan dan lonjakan yang membuatku semakin tidak mengerti.

Akhi.. sekiranya aku boleh berdoa kepada Allah, ingin aku meminta agar Dia membalikkan sang waktu agar aku mampu mengedit saat-saat pertemuan itu hingga tak ada tatapan pertama itu yang membuat hati mu untuk terus mengingatku. namun hanya kerna satu pandangan itu saja mampu meluluhkan hati mu bahkan hampir-hampir melumpuhkan hati ini. Andai aku buta, tentu itu lebih baik daripada harus kembali lumpuh seperti ini.

Banyak lembaran buku yang telah ku telusuri, sahabat terdekat juga ku meminta pendapat. Sebahagian mendorongku untuk mengakhiri segala prasangku tentangmu kerna sebahagian prasangka adalah suatu kesalahan, mereka meminta ku untuk membuka tabir lisan ini juga untuk menutup semua rasa prasangmu terhadapku. Namun di titik yang lain ada dorongan yang begitu kuat untuk tetap menahan rasa yang terlalu awal yang telah tertancap dihati ini dan membukanya saat waktu yang indah yang telah ditentukan itu. (andai itu bukan suatu mimpi).

Wahai Rijal yang mencintaiku.. moga cinta mu padaku tidak lain hanya kerana Allah. Mungkin aku bukanlah muslimah yang siap untuk segera menikah dengan mu. Masih banyak sisi hidup lain ini yang harus ku kelola dan ku tata kembali. Juga kamu wahai yang telah melumpuhkan hatiku, sungguh, aku tidak mahu berpacaran dengan mu hanya kerana hendak menuruti keinginan hawa nafsu ku.


Akhi yang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW..

Mungkin saja akhi pernah mendengar nama Hasan al-Banna, Sayyid Quthb atau mujahid lain saat nama mereka disebut. Beruntungnya wanita yang dipilihkan Allah untuk mereka Tiap kali nama mereka disebut, saya bertanya dalam hati : Wanita macam mana yang telah Allah pilih untuk melahirkannya? Lalu Aku tertunduk dalam-dalam. Antara sedar atau tidak, ada sebongkah harapan sekiranya kelak lelaki yang mendampingi ku adalah seorang mujahid yang hidupnya ikhlas kerana Allah. Aku tidak menyalahkan mereka yang menginginkan isteri yang cantik. Setakat inikah nilai seorang muslimah di mata seorang lelaki muslim? Tidakkah mereka ingin menilai dari sudut kebagusan ad-Deennya?

Wahai engkau yang hampir melumpuhkan hatiku, mungkin saat ini hatiku milikmu, namun tak akan kuberikan setitik pun saat-saat ini kerana aku telah bertekad dalam diriku bahwa saat-saat indahku hanya akan ku berikan kepada IMAM-ku nanti. Wahai engkau yang telah melumpuhkan hatiku, tolong bantu aku untuk meraih IMAM-ku bila dia bukanlah dirimu.

Wahai engkau yang telah melumpuhkan hatiku, tahukah akhi betapa saat-saat inilah yang paling ku takutkan dalam diriku, jika saja Dia tidak menganugerahi aku dengan setitik rasa malu, tentu aku telah me”minang”mu bukan sebagai suamiku namun sebagai kekasihku. Andai rasa malu itu tidak pernah ada, tentu aku tidak berusaha menjauhi kalian. Kadang aku bingung, apakah penjauhan ini merupakan jalan yang terbaik yang bererti harus mengorbankan ukhuwah diantara kita atau harus mengorbankan iman dan maluku hanya demi hal yang tampak remeh.


Muslimah ini.. yang hampir tidak mengenali dirinya..

Ingin ku meminta kepadamu, sekiranya akhi sanggup sehingga aku siap dengan tegak pinanganmu dan akhi juga siap dengan persetujuanku. Namun wahai yang telah melumpuhkan hatiku, kadang aku berfikir semua pasti berlalu dan aku merasa saat-saat ini pun akan segera berlalu, tetapi ada ketakutan dalam diriku bila aku melupakanmu… aku takut tak akan pernah lagi menemukan diri mu dalam diri mereka-mereka yang lain.

Wahai engkau yang telah melumpuhkan hatiku, mintalah kepada Tuhan-mu, Tuhan-ku, dan Tuhan semua manusia akhir yang terbaik terhadap kisah kita. Memintalah kepada-Nya agar iman yang tipis ini mampu bertahan, memintalah kepada-Nya agar tetap menetapkan malu ini pada tempatnya.

Akhi... Tahukah engkau, saat hati gelisah memikirkan perkara ini, air mata sering tumpah membasahi pipi. Namun, ada suara lirih yang terucap, memberi kekuatan pada hati dan jiwa..

"Kasihan risalah Islam. Ia di emban oleh orang-orang seperti kita. Sedang kita tahu betapa berat perjuangan mereka terdahulu dari kita dalam menegakkannya. Kita di sibukkan oleh hal-hal sampingan yang sebenarnya telah di atur Allah dalam kitab-Nya. Kita tidak menyibukkan diri dalam mencari hidayah. Kasihan kanak-kanak Palestin itu. Kasihan saudara-saudara kita di Gaza, somalia . Adakah kita boleh menolong mereka kalau kualiti diri masih seperti ini? Bahkan cinta yang seharusnya milik Allah masih berpecah- pecah. Maka, kekuatan apa yang kita ada?"

Yakinlah akhi.. di sana masih ada janji, masih ada mimpi, masih ada impian – mendukung Islam walau di mana pun kita berada. Aku.. muslimah yang lemah ini, mengimpikan punya anak seperti Immad Aql walau aku tahu kualiti diri masih jauh sempurna. Meskipun aku lebih malu untuk meminta kepada-Nya, namun aku tetap ingin menjadi pendamping seorang mujahid yang ulung kerana mengharapkan redha Pencipta-nya.

Akhi fillah, maaf sekiranya saya menimbulkan fitnah bagi kalian. InsyaAllah saya akan lebih memperbaiki diri. Mungkin semua ini sebagai teguran dari Allah bahawa masih banyak amalan saya yang riya' mahupun tidak ikhlas. Wallahua'lam. Simpan saja cinta kalian untuk isteri yang telah dipilihkan Allah. Penuhilah impian ratusan akhawat, ribuan ummat yang mendambakan Abdullah Azzam dan Izzuddin al-Qassam yang lain. Penuhilah harapan Islam yang ingin generasi tangguh seperti Imaad Aql. InsyaAllah kalian akan mendapat pasangan yang bakal membawa cinta kalian hingga ke pintu jannah.

Akhirnya dari saya… Malam semakin larut. ayuh kita solat malam dan memandikan wajah serta mata kita dengan air mata. Mari kita sucikan hati dengan taubat nasuha. siapkanlah diri kalian menjadi mujahid. InsyaAllah, akan ada ratusan mujahidah seperti Asma’ dan ‘Aisyah yang akan menyambut huluran tangan kalian untuk berjihad bersama-sama.


Untuk kamu yang mencintaiku….

_ diamku, bukan kerna ku bisu. tak melihatmu, bukan kerna aku sudah bosan padamu. acuhkan kata-katamu bukan ku tak peduli padamu, sungguh kerna aku takut salah niatku padamu!. bila kita yakin saatnya telah tiba, teguh di dalam jiwa, kesabaran sudah menjadi bunga, sementara waktu berlalu, penantian itu takkan berakhir dengan sia-sia. saat perjalanan adalah pencarian diri, ibarat zulaikha jalani hari, sabar menanti yusuf si tambatan hati, lalu di penantian mencari diri, aku mohon keampunan agar kita akan disatukan nanti.._


Cukuplah mencintaiku dalam diam.Biarkan 'cinta dalam diammu' itu menjadi memori tersendiri dan sudut hatimu menjadi rahsia antara kau dengan Sang Pemilik hatimu .. dan biarkan juga aku mencintaimu dalam diam, dengan isyarat yang tak kan pernah tertangkap oleh indera, aku tahu memiliki rasa ini adalah sebuah kesalahan, namun... aku dibuat tak berdaya oleh rasa ini, DIAM.. mennjdi caraku untuk mencintaimu...




Al-FaQirah ila Robbiha :

~waznah alhamraa’~

07 safar 1433H

01;30 AM

ISTANA BALQIS

MEMOIR BUMI KINANAH

BISMILLAH pembuka kalam…

Bacaan terhenti, sudah lama mengembara di lautan kertas berdakwat merah, biru dan hitam. Mengembara di dunia yang tercipta sendiri. Moga Tuhan sentiasa mentadbir hati yang lemah ini. Jam di skrin handphone xperia jelas menunjukkan 3.30 pagi, mata masih segar tanpa ada tanda-tanda mahu di tutupi, walaupun hakikatnya, kepala sudah terasa berat ber’isi’. Akhirnya, laptop di sisi menjadi sasaran untuk ku berbagi, tempat untuk melirikkan rasa yang sudah lama hinggap hati, dan…. Jari jemari mula menari-nari. Misri… itu yang terdetik di ruang pemikiran saya ketika ini.

Kenangan itu sudah hampir setahun.. berlalu pergi, namun sentiasa segar.. seperti baru semalam menjejakkan kaki di bumi kinanah itu. Seringkali doa di panjatkan, moga Allah membuka ruang seluasnya lagi untuk saya merakam memori di sana…


MESIR : SOROTI KISAH NABI MUSA A.S.

Menyelusuri perjalanan hidup Nabi Musa (as) secara ringkas - dilahirkan dalam bangsa bani Israel yang tertindas, dihanyutkan di Sungai Nil ketika masih bayi, dibesarkan di istana Fir’aun oleh isterinya yang ahli syurga, Permaisuri Asiah, kemudian melarikan diri ke Madyan setelah tidak sengaja membunuh seorang pengikut Firaun, tinggal beberapa tahun di Madyan bersama seorang yang alim (Nabi Shuib AS) yang menjadi bapa mertuanya, kembali ke Mesir bersama isterinya, diberikan kerasulan di Lembah Tuwa, Sinai, berdakwah kepada Firaun bersama abangnya Nabi Harun (as), Mesir ditimpa bala Allah, melarikan diri bersama bani Israel dan membelah Laut Merah, bermunajat di Gunung Tursina dan menerima Kitab Taurat, kembali kepada kaumnya tetapi diuji hebat dengan kekufuran mereka, akhirnya wafat di Baitul Muqaddis.


PIRAMID LAMBANG KEANGKUHAN

Pertama kali sampai ke Piramid, diri terasa seperti bermimpi. Akhirnya kaki sampai juga ke kubu Fir’aun yang mendapat murka Allah. Wal’iyadzubillah, moga sentiasa terpelihara dari Murka-Nya. Di kisahkan, zaman pemerintahan Fir’aun adalah sebuah tamadun yang hebat. Tamadun sehebat mana sekalipun, jika ia tidak tunduk patuh pada perintah Allah, ada hasil tamadunnya Allah akan kekalkan sebagai peringatan pada bangsa terkemudian bahawa sehebat mana kamu pun, kamu akan hilang ditelan zaman. Jika mahu bertamadun, seiringkanlah dunia dan akhirat. Itu antara pengajaran yang dapat diambil dari piramid atau tempat-tempat seumpama dengannya. Antara dzikir dan fikir yang menggetarkan jiwa dan membuatkan hati terus berwaspada adalah pada mengingati segala keburukan yang telah berlalu agar ianya tidak diulangi semula, dalam keadaan yang sama terus meningkatkan pengharapan penuh kepada Allah agar hati dan jiwa ini terus berada di atas jalan sepatutnya.


A’SIR (JUS BUAH-BUAHAN)

Itulah antara minuman kegemaran sepanjang di bumi Mesir. Di mana-mana tempat saja, di bumi Mesir yang suburnya dari nikmat sungai Nil , pelbagai buah menjadi sajian untuk di jadikan jus. Antara kegemaran untuk menyejukkan badan adalah jus mango (mango). Setiap kali ke kuliah, saya akan beli 2 hingga 3 kotak sebagai bekal saya sewaktu kuliah =), ianya adalah nikmat yang tak terkata, Alhamdulillah.



TOKMIAH (SEJENIS MAKANAN)

Salah satu makanan yang ada di Mesir. Saya tidak tahu bagaimana mengejanya. Harganya murah, sekitar 1 genih dalam 60 sen. Roti dicampur dengan sayur-sayur , kentang , kentang hancur yang digoreng. Makan satu sahaja, kenyangnya sehingga ke petang (tapi saya makan tiga, empat sudu dah terasa kenyang.. hee~). Boleh di katakan makanan kegemaran masyarakat arab, mungkin, di mana-mana sahaja, di tepi jalan ada saja gerai2 kecil yang menjual tokmiah, mungkin kerana murah, dan bersesuaian dengan taraf hidup mereka.



IMAM SYAFIE DAN MESIR

Mesir memberikan titik pembaharuan kepada pemikiran Imam Syafie. Setelah berada di Mesir, banyak pendapat-pendapat atau fatwa-fatwanya yang terdahulu ditukar, sehingga bergelar Qaul Jadid (pendapat baru) . Di Mesir, Imam Syafie banyak menghabiskan masanya mengajar di Masjid Amru Al-As. Antara nasihat atau kata-kata Imam SYafie : “Jika sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku (peganganku)”. (Sila rujuk Imam An-Nawawi dalam kitabnya “Al-Majmuk”, m/s 63 / 2). ”Setiap Hadith dari Nabi SAW itulah sebenarnya pendapat aku cuma sahaja mungkin kamu tidak mendengarkannya dari aku.” (Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya ” Adabul Syafi’ie” m/s 93


# Inilah serba sedikit dari memoir yang terakam indah di memori saya. Istimewanya juga berada di bumi kinananh ini, jalan ke mana-mana pun kat Mesir ni mesti jumpa orang Malaysia, hakikatnya bukanlah macam tu. Hanya sesetengah tempat sahaja, contohnya, Hayyu Sabi`, Hayyu Asyir, Raba`ah Adawiyah, Abassiyah dan beberapa tempat lagi, sebab disitu terdapat Rumah2 negeri dan rumah-rumah sewa pelajar Malaysia kat Mesir ni.


# InsyaAllah, ada kesempatan waktu (dengan idzin Allah), saya akan menjejakkan kaki lagi ke sana, sekiranya setahun yang lalu bersama rombongan mengikuti kursus pengukuhan Bahasa Arab, peluang seterusnya pergi bersama si dia… (siapakah……??? =) )





wallahu’alam..



al-FaQirah ila Robbiha :

~ waznah alhamraa’ ~

06 SAFAR 1433H

31 DISEMBER 2011

4.00 AM

Istana BalQis

WAHAI LELAKI TANPA HATI


mengukir tinta,

meluah rasa…

aduhai jiwa..

ku intai-intai semangat bermujahadah

buku di selak-selak, bukannya muraja’ah..

apabila nafsu kemalasan menguasai segala-gala

wahai Tuhan.. berikanlah kekuatan pada hamba!

Assalamu’alaikum wbt..

Minggu belajar (study week) – sudah seminggu berlalu, segala isi dalam buku-buku yang di baca entah sampai ke dalam otak atau pun tidak. Minggu yang membuatkan saya semakin tidak tentu arah (kata lainnya : SERABUT).

Dalam keadaan saya agak berserabut, akhirnya saya memutuskan untuk mengemaskini kan semula “document library” yang juga kelihatan agak serabut dengan document2 assigment, tiba-tiba mata saya tertumpu pada satu document yang tajuknya menggoda hati untuk membuka dan membacanya. Seingat saya, saya mendapatkan document tersebut dari seorang ikhwah. Untuk perkongsian bersama, saya repostkan semula di dalam blog, buat tatapan para ikhwah juga akhawat, untuk menghidupkan semula hati-hati kita yang semakin hari semakin gersang. Moga beroleh manfaat~


Bismillahirrahmanirrahim..

Untuk Yang terhormat ustaz Hassan al-Banna,

Assalamualaikum wbt,

Apakah anda pernah mendengar tentang lelaki tanpa hati? Maaf, jika hati yang dimaksudkan adalah salah satu anggota tubuh dari daging yang berwarna merah, yang menarik dan melepaskan darahnya, tentu saja lelaki itu memilikinya. Yang dengannya dia dapat hidup & menjalani kehidupannya. Akan tetapi hati yang bersemangat, kuat & hidup, sayang sekali dia tidak memilikinya.

Dia mengetahui kebaikan meskipun kecil, dia juga mengetahui keburukan meski pun samar-samar. Seringkali dia benar2 merasai & memahami perilaku seseorang dari wajahnya & dapat memberi respon terhadap hal itu. Akan tetapi, dia tetap tidak memiliki hati.

Ketika bertemu dengan teman lamanya yang sudah lama tidak bersua, dia bersalam lalu menggenggam tangannya kuat, bahkan memeluknya. Namun hatinya tetap beku, sama sekali tidak terpengaruh. Dia memberi nasihat kepada orang lain, "Jadilah kalian begini & jadilah kalian begitu", serta menyebutkan pelbagai dalil & bukti, namun hatinya semakin keras & tidak terpengaruh.

Dia tersenyum kala mendengar berita gembira. Dia juga mengerutkan dahi saat menerima berita duka. Akan tetapi, kegembiraan & kesedihannya hanyalah reaksi semula jadi semata, sedangkan hatinya tetap diam & tidak bergoncang. Dia menyatakan cinta & benci kepada seseorang. Tetapi ketika melihat hatinya, ia tetap diam tanpa memberi penjelasan. Dia berdiri menunaikan solat & berusaha khusyuk, membaca al-Quran & berusaha menumpukan perhatiannya. Ketika menunaikan solat, dia membaca bacaan solat dengan nadanya sehingga orang-orang pun berkata, "Dia itu khusyuk nampaknya." Akan tetapi ketika meraba hatinya, dia mendapatinya tuli & tidak khusyuk, walaupun memahami apa yang dibaca. Ini adalah gambaran sebenar yang terjadi pada hati lelaki itu.

Saya tidak melebih-lebihkan atau menguranginya. Menurut anda, apakah anda dapat mengatakan bahawa hatinya sama seperti kebiasaan hati orang-orang lain? Saya di anugerahi akal tetapi hati saya hilang. Saya merasakan akal fikiran saya cerdas berfikir, bekerja, hidup & menunjukkan kewujudannya. Akan tetapi, ketika saya ingin menghayati semua itu pada hati saya, sama sekali saya tidak menjumpainya. Saat ini, anda telah mendengar tentang seseorang lelaki yang tidak memiliki hati. Dia adalah seorang yang membuat perjanjian(bai’ah) dengan anda & anda telah mengambil janji setia darinya. Apakah anda rela jika seorang tentera anda hidup tanpa hati?

Apakah anda dapat membantu menghidupkan hatinya agar bergerak dan merasai apa yang diucapkan oleh lisannya? Inilah penyakit salah seorang tentera anda yang akan membuat anda sedih jika mengetahuinya. Oleh sebab itu, saya tidak akan menyebutkan namanya, hinggalah saya maklumkan anda bahawa dia telah sembuh.

Al-Fadhil ustaz Hasan al-Banna…

Masih segar dalam ingatan saya kata-kata ustaz : “Andai Islam seperti bangunan using yang hampir roboh, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda, aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka, tetapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk membantu dan bersam-samaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah”

Saya kah jiwa muda yang ingin anda cari itu?? Sayakah RIJAL yang ikhlas hatinya untuk membantu dan bersama-sama anda membina kembali bangunan usang itu..??

Bantulah RIJAL yang telah MATI HATI nya ini…

Wa’alaikumussalam wbt..


#sekiranya KITA lah yang berada dalam keadaan ini, rasanya apa jawapan yang akan kita dengar dari Ustaz Hasan al-Banna??

#aduhai.. LAU KANA BAINANA – sekiranya Rasulullah SAW bersama kita ketika ini, apa perasaannya melihat ummah yang sentiasa di rinduinya???


JAWAPAN IMAM AS-SYAHID HASAN AL-BANNA KEPADA RIJAL TANPA HATI

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

Saya telah membaca suratmu dan sangat terpengaruh dengan kejujuran bahasamu, keindahan keberanianmu, halusnya kesedaranmu dan HIDUPNYA hatimu. Saudaraku, kamu bukan orang yang hatinya mati seperti yang kamu sangka.

Akan tetapi, kamu adalah seorang pemuda yang perasaannya tajam, jiwanya bersih dan nuraninya lembut. Seandainya tidak bersifat demikian, tentulah kamu ingkari perasaanmu. Akan tetapi besarnya semangat & jauhnya tujuan (matlamat hidup) membuatmu menganggap kecil urusanmu yang besar & engkau mengharapkan tambahan untuknya. Tidak ada masalah dalam hal itu & memang itu yang sepatutnya berlaku.

Saya merasakan apa yang kamu rasakan, saya berjalan sebagaimana kamu berjalan & saya akan berusaha untuk memberikan beberapa nasihat. Jika nasihat-nasihat ini bermanfaat bagimu & dengan melaksanakannya kamu lihat dapat menghapuskan dahaga serta mengubati sakitmu, maka alhamdulillah atas taufik-Nya. Namun jika tidak demikian, maka saya senang untuk bertemu denganmu agar kita saling bekerjasama untuk mengenal pasti penyakitmu & menentukan ubatnya.

Berteman dengan orang-orang yang khusyuk yang selalu merenung, bergaul dengan orang yang selalu berfikir & menyendiri, dekat dengan orang yang bertaqwa & soleh yang dari mereka terpancar hikmah & dari wajah mereka terpancar cahaya, & dari hati mereka bertambah makrifat dan jumlah mereka adalah sedikit adalah ubat yang mujarab.

Berusahalah berteman dengan orang-orang seperti mereka, selalu bersama mereka, kembali kepada mereka & kamu sambungkan rohmu dengan roh mereka, jiwamu dengan jiwa mereka serta kamu habiskan kebanyakan waktu kosongmu bersama mereka. Hati-hatilah dengan orang yang mengaku-ngaku. Carilah orang yang keadaannya membuatmu bangkit bersemangat, perbuatannya membawamu berbuat baik & jika kamu melihatnya maka kamu mengingat Allah.

Berteman dengan orang-orang seperti ini adalah salah satu ubat yang mujarab kerana watak manusia sering mencuri, sehinggalah hati terpengaruh dengan hati yang lain dan jiwa pun mengambil contoh dari jiwa yang lain. Oleh kerana itu, berusahalah untuk menemukan jiwa-jiwa yang soleh sebagai teman.

Saudaraku, berfikir, berdzikir di waktu-waktu yang suci, menyendiri, bermunajat serta merenung alam yang indah dan menakjubkan, menggali rahsia keindahan & keagungan alam, meneliti dengan hati & berdzikir dengan lisan tentang tanda keagungan yang menakjubkan serta hikmah yang agung ini, termasuk hal yang memberi kehidupan kepada hati dan menyinari kalbu dengan keimanan & keyakinan.

Allah swt berfirman, mafhumnya; “Sesungguhnya dalampenciptaan langit & buni, dan silih bergantinya malam & siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Ali-Imran : 190)

Saudaraku, seterusnya berfikir tentang masyarakat, melihat pelbagai penderitaan, kebahagiaan, kesulitan serta keamanan, menjenguk orang sakit, menggembirakan orang yang ditimpa bencana & mengetahui sebab kesengsaraan yang berbentuk pembangkangan, kekafiran, kezaliman, pelanggaran, sikap mementingkan diri, egois, terpedaya oleh hal-hal yang semu, semua ini merupakan cantuman bagi rantaian hati yang menyatukan cerai berainya & menghidupkannya dari kematian.

Maka berusahalah agar kewujudanmu menjadi penghibur bagi sengsara & tertimpa bencana. Tidak ada perkara yang pengaruhnya lebih kuat terhadap perasaan daripada berbuat baik kepada orang yang sangat memerlukan, membantu orang yang teraniaya atau berkongsi rasadengan orang yang susah atau sedih.

Saudaraku, hati ada di tangan Allah. Dia mengubahnya sesuai dengan kehendak-Nya. Oleh kerana itu, bersungguh-sungguhlah dalam berdoa, agar Dia memberikan kehidupan kepada hatimu, membuka dadamu dengan iman & melimpahkan keyakinan kepadamu sebagai anugerah serta nikmat dari-Nya. Berdoalah di waktu-waktu mustajab & waktu sahur kerana doa pada watu sahur adalah ibarat anak panah yang meluncur tidak terhenti sehingga sampai ke Arasy. Saya tidak meragui keikhlasanmu dalam mencapai tujuan & kejujuran dalam pengakuanmu.

Allah swt berfirman, mafhumnya; “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Maidah : 27)


Ikhlas dari saudara mu :

Hassan Al-Banna


_ Duhai HATI, bangkitlah! Bersatulah untuk curahkan tenaga, meninggikan kalimah tauhid. Pasang tekad, jangan mudah mengeluh. Pasakkan azam walau tinggi melangit. Kejayaan Islam bukan hanya mainan mimpi, kerna janji Allah itu adalah pasti. Sedarlah… ketika langkah pertama kita kea lam perjuangan, selamanya kita akan berada dalam kepahitan. Biar menangis, luka kecewa di tinggalkan kerna LILLAH, daripada mati tanpa mujahadah. Moga titisan darah & air mata menjadi mahar ke Syurga. Jawapan kepada persoalan : “kenapa berjuang itu pahit”.. kerna Syurga itu manis.. tabahlah wahai RIJAL, sentiasalah kita bersama dalam perjuangan.._





Al-FaQirah ila Robbiha :

~waznah alhamraa’~

05 safar 1433H

30 DISEMBER 2011

Istana BalQis



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://html.expresso.me/smileys

AKU YANG KEHILANGAN


بسم الله الرحمن الرحيم


Saat Kau hadir dalam munajatku,

Air mata mengalir syahdu

Tika itu…

Hati dan Iman pun mula berpadu..


Apa khabar teman2..?? moga iman masih sihat, diri masih cergas ya.

Lama menyepi, mendiamkan diri.. seakan-akan sudah hilang diri. Pernah mengalami keadaan seperti itu? Dalam keriuhan, diri terasa sangat sepi. Lebih-lebih lagi bila berseorangan. tak tahu apa nak buat, tak tahu ke mana nak pergi, tak tahu siapa yang nak dicari, malahan, diri sendiri sudah tidak dikenali.

Mungkin itulah adalah satu simptom awal yang membuktikan diri sudah lama meminggirkan Tuhan. Astaghfirullahal’adzim~ dan disebabkan itulah kita rasa sunyi dan seperti dipinggirkan. Bahkan, tiada satu dari ayat al-Quran yang terngiang-ngiang di telinga. Mungkin sudah terlalu mementingkan dunia, celik mata… pejam mata.. kerja, belajar, main, rehat.. oh dunia~. Rohani dibiarkan kosong tidak terbela, sedangkan jasmani semakin membiak subur. Semua keperluan jasmani yang berjenama mahal mampu di beli, tetapi kualiti hati yang ada di dalam rongga dada tidak pernah di peduli.

Itulah sebabnya.. masih sempat untuk mencegah, sebelum memulakan aktiviti merawat.. berhentilah seketika dari memuaskan nafsu. Ubatlah rohani mu. Ayuh, pulanglah kepada-Nya. Mulakan dengan langkah pertama.. bismillah~ [Dengan Nama Allah]

Ucaplah syahadah yang sudah ditinggalkan, ambil wudhu’, qiyam dengan niat yang tetap, takbir “Allahu Akbar”, maka… rasailah kenikmatan yang ada di dalam solat yang sudah lama terabai. Tidak cukup dengan itu, selaklah mushaf al-Quran yang sudah berhabuk, tersimpan rapi di dalam almari. Solat… al-Quran.. itulah penawar paling mujarab, segala penyakit boleh diubati, termasuklah penyakit “hilang diri”. Pujuklah hati itu.. moga-moga masih belum hitam dank eras. Di sana masih ada jalan untuk kembali kepada fitrah yang asal.

Ambillah masa untuk bermunajat. Luangkan sedikit masa dari kesibukan selama 24 jam sehari untuk duduk menghadap Allah yang Esa, merayu pada-Nya. Selangkah kita mendekati-Nya, 1000 langkah DIA akan menghampiri kita. Apabila sudah merasai kehadiran-Nya, airmata pasti akan tumpah tanpa dipaksa. Seriuh macam mana pun keadaannya, kita masih dapat menumpukan perhatian. Walau keseorangan, kita takkan rasa sunyi. Kenapa??? Kerna Dia ada menemani, kita rasa di dengari, kita rasa di hargai.

Kekuatan spiritual pun terbentuk secara automatic. Langkah sudah terpandu, tidak lagi songsang. Perbuatan berpaksikan Iman dan Akal. Tidak merasa puas melakukan kebaikan sehinga berasa janggal untuk melakukan kejahatan. Malahan, hati terasa rindu apabila tidak melakukan kebaikan dalam sehari [muhasabah tahap tinggi]

Lebih utama – jaga hubungan baik sesama manusia. Hubungan yang baik antara sesama manusia dapat meningkatkan lagi khusyuk dalam munajat. Bila kita amasalah dengan manusia yang lainnya, insyaAllah, aduan dalam munajat itulah menjadi pembuka jalan untuk menjernihkan semula hubungan tersebut. Pengaduan dalam munajat kita tidak akan dipersiakan-Nya, walau sedikit. Dia pasti membuka dan menyediakan jalan untuk kita menyembuhkan luka semalam, segala keresahan, mehnah, dugaan, mahupun kekeruhan hubungan sesama manusia…

Yakinlah…. Kerna saya sudah merasakannya…

“keinsafan yang ku rasakan ini tentulah anugerah terbesar sepanjang hayat. Merasai kehadiran-Mu Ilahi, itulah sumber ketenangan yang abadi. Dunia… aku mohon, berhentilah dari terus menggodaku~…”




Al-FaQirah ila Robbiha :

~ waznah alhamraa’~

01 safar 1433H

26 Disember 2011

12:30 PM

Istana Balqis



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://html.expresso.me/smileys