EPILOG : SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD


Bismillah wa Alhamdulillah…

Demi nyawaku yang berada di genggamanNya.. Moga Allah merahmati tiap detik nafas yang terhela.. Ya Allah..sudah suratan-Mu kami ditaklifkan.. bantulah kami agar terus thabat di atas jalanMu..

“Seorang Suami Bernama Muhammad S.A.W.”

Ini diantara tajuk yang menjadi pilihan dalam usaha menyiapkan “tesis” berkenaan kajian terhadap Sirah Nabawiyyah (subjek kuliah sem ni). Alhamdulillah.. keputusan akhirnya, penulisan “tesis” lebih memihak kepada tajuk lain. Syukur Lillah, setelah berusaha sehabis baik untuk menyiapkannya, “tesis” tersebut telah pun selamat untuk diperiksa oleh Tuan Pensyarah bagi subjek tersebut.  (Berdebar menanti keputusannya. Moga semuanya baik-baik sahaja  =)  )

Tidak mahu berceloteh panjang, saya kongsikan kepada teman-teman. Walau pun, ianya bukan hasil dari penulisan saya. Dari seorang ayahanda, kepada anakandanya yang di sayangi..

****************************************************************************************

:: Minta Izin Tuan ya.. (dapat dari Pakcik Google) ::  =)
Bismillah…

Anakku..

Sekiranya kita bertanya, siapakah orang yang paling baik? dengarlah jawapan daripada Rasulullah SAW ini : “orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku ialah orang yang paling baik antara kamu terhadap keluargaku”.

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah baitul muslim Baginda SAW. Kita saksikan bagaimana Insan Mulia ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimanakah sikap, pertuturan, dan diamnya Baginda sebagai seorang suami? Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayah dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Anakku..

Adakalanya Baginda pulang ke rumah lewat malam malah menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpin masyarakat acap kali menyebabkan Baginda berenggang dengan isterinya. Sejarah juga menceritakan bagaimana Rasulullah tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isterinya yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya saja kain rida’nya untuk dijadikan lapik bagi Baginda tidur di muka pintu.

Mulianya Rasulullah itu, apabila Baginda bertanyakan kepada isterinya adakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak atau pun tidak, ketika isterinya menjawab “tidak ada”, Rasulullah akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu Baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk di nikmati, Baginda sungguh bersyukur. Ketika tidak ada, Baginda hadapi penuh sabar. Syukur dan sabar… kekayaan hati yang hakiki.

Anakku…

Ingatkah lagi pada kisah betapa Rasulullah sangat mencintai ummatnya..? ya! Bayangkan Baginda yang sering menangis, bimbang, dan takut akan nasib umatnya di Akhirat kelak tetap mempunyai masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Romantiknya Baginda yang berlumba lari dengan isterinya, Aisyah Humaira’ hinggakan Aisyah berkata : “adakalanya Baginda menang, dan adakalanya aku menang”.

Betapa gentlemen dan romantiknya Baginda, bukan hanya pada Aisyah yang jelita, tetapi juga kepada Saudah. Seorang janda yang dinikahi oleh Baginda ketika telah berusia. Di riwayatkan Saudah sudah tua dan kurang berdaya ditambah dengan badannya yang besar, Baginda akan melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sekiranya pada hari ini, berapa ramai daripada para suami yang akan membukakan pintu kereta untuk isterinya?.

Betapa besarnya juga jiwa Rasulullah itu yang masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika banar, Baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Jika salah, Baginda tidak akan mengalah mahupun berundur walau pun selangkah. Di rumah pula, Rasulullah sentiasa tersenyum, ceria malah ringan tulang membantu kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema, Baginda akan berhenti dan serta-merta menuju ke masjid seolah-olah tidak mengenali isterinya lagi.  

Rasulullah sentiasa mengingatkan agar para suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan si isteri. Baginda bersabda, maksudnya : “bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu..”.

Anakku…

Tahu tak, betapa Rasulullah itu juga seorang suami yang sporting. Pernah suatu hari di hari raya, Saidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah, yang mana ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihatnya), maka Abu Bakar yang melihatnya lalu membentak kedua-dua wanita tersebut, lalu Rasulullah SAW menampakkan wajahnya, lalu berkata : “Hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah hari raya”.

Anakku..

Bagaimana Rasulullah pada bulan Ramadhan..? baginda pada bulan yang mulia itu sentiasa akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi cinta dan kasihnya pada si isteri, Baginda  akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu cinta Allah. Tidak di bangunkan si isteri dengan gerakan yang kasar atau pun suara yang tinggi, tetapi Cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.

Anakku..

Pesan ayah pada mereka yang akan menjadi suami pada suatu hari nanti.. contohilah seorang suami yang bergelar Rasul Allah SAW itu. Utusan Allah itu sudah membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan bukan hanya soal hidup bersama, tetapi “cinta bersama” untuk selama-lamanya.

“marriage is loving-together, not just living together”- Nabi Muhammad SAW telah pun membuktikan hakikat tersebut dalam kehidupan rumah tangganya lebih 1400 tahun yang lalu.

Anakku..

Akan tiba masanya..
Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Peda, harum, manis, dan pahit bergaul mesra
Dalam resipi warisan sejak dahulu kala
Begitulah kiasan cinta dalam rumahtangga
Cinta mempertemukan semua yang berbeza
Segala yang pahit mahupun yang manis
Suka dan juga duka
Akan menjalinkan kesatuan rasa
Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai itu bukan untuk dipertikaikan
Di alam perkahwinan kalian akan dipertemukan
Bagaikan ramuan dalam satu masakan.
Itulah menu hakiki
Itulah kasih sayang sejati
Perisa di hati suami dan isteri!

“ya Allah.. berikanlah cinta-Mu kepadaku, jadikanlah orang yang mencintai-Mu mencintaiku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu..” Amien…






Al-FaQiroh ila Robbiha :
~ waznah alhamraa’ ~
27 Jamadil Akhir 1433H
18 Mei 2012 

KATA JIWA YANG TIDAK TERLUAH

Bismillah…~ sejuta Hamdallah kita tinggikan ke hadrat Ilahi. Dengan rahmat kasih sayang DIA, masih mampu bernafas sampai detik ini, walau pun.. Allah “postpone” kan nikmat sihat untuk seketika. Sampai bila…? Saya serahkan pada-Nya. Bergembiralah.. saat Allah memberikan musibah! Kadang-kadang, berada dalam kesakitan itu lebih baik, kerna kita akan terus dekat dengan Ilahi. Percayalah! Ada sejuta hikmah dari satu  kesakitan yang dirasai.  

Nabi S.A.W. malah memberikan berita gembira dengan sabdanya, : “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan ALLAH akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”. (HR. Bukhari dan Muslim).

Imam Ibnu Qayyim bahkan pernah berkata : “Andaikata kita bisa menggali hikmah ALLAH yang terkandung dalam ciptaan dan urusan-NYA, maka tidak kurang dari ribuan hikmah. Namun akal kita sangat terbatas, pengetahuan kita terlalu sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia jika dibandingkan dengan ilmu ALLAH, sebagaimana sinar lampu yang sia-sia dibawah sinar matahari. Dan ini pun hanya kira-kira, yang sebenarnya tentu lebih dari sekadar gambaran ini”. (Syifa-ul Alil fi Masail Qadha wal Qadar wa Hikmah wa Ta’lil hal 452).

Hakikatnya… tidak punya idea untuk mencoret tinta. Cuma, “terjentik” seketika dengan kisah seorang sahabiyah. Mungkin.. saya bukanlah orang yang tepat untuk memberikan kata-kata tausiyah, tidak mampu dengan bicara, saya kirimkan doa dan luahkan rasa yang terpendam dalam hati dan jiwa, kerna saya juga sedang merasakannya. Inilah kata jiwa saya.. yang tidak mampu terluah. Sahabat..

Kadang-kadang.. Perpisahan itu ternyata lebih baik dan bermakna. Daripada kita terus membohongi diri kita dengan sejuta kepalsuan pada sebuah erti perhubungan. Bahkan Kita mungkin membuatkan seseorang itu terus-menerus meletakkan harapan pada suatu yang hakikatnya tidak mungkin akan terjadi. Tapi…Semuanya itu akan berlaku dengan idzin yang Maha Kuasa. Jangan…Jangan putus asa.. Allah tidak suka. jalan kita masih panjang. Terus pujuk hati, seolah-olah tiada badai yang melanda. Sudah sampai saatnya.. Sayu dan pilu, perit dan pedih itu ditolak tepi, dibuang jauh pergi dari diri..


Kadang-kadang juga, Perpisahan itu bukan mengajar kita untuk terus-menerus lemah. Tapi sebenarnya memberikan kekuatan pada diri sendiri. Supaya kita mampu untuk menilai sebuah perhubungan sama ada bahagia atau tidak dengan hanya memiliki. Dan ketika sudah “diketuk”.. bahawa perhubungan itu hanya menyusahkan..Yang terbaik adalah kita lepaskan ianya dari terus menyiksa diri dan menyakitkan hati.

Ya.. Kita mungkin hilang satu arah dalam usaha mengejar sesuatu yang kita sangkakan cinta. Tapi…
Sedar atau pun tidak, bila kita kehilangannya, kita malah akan mula menyalahkan takdir. Jangan lupa.. dalam meneruskan kehidupan menuju akhirat, kita masih ada pilihan. Sama ada kita mahu terus kecewa atau pun bangkit untuk terus mencari erti sebuah kehidupan. Ingat, kita memang punya akal yang sihat dan waras untuk menangisi kekecewaan. Tapi.. Kita juga punya akal yang sama untuk membina kekuatan dalam mencari identity diri kita. Sahabat.. Tiada siapa yang boleh mengubah kehidupan kita, melainkan diri kita sendiri. Sifirnya… Terus berusaha, berdoa, dan bertawakal.. ila Robbina (kepada Tuhan kita).

Lebih baik.. Kita meninggalkan kenyataan yang takkan kunjung tiba. Daripada kita meninggalkan sesuatu yang pasti dan memulakan sesuatu yang lebih baik. Sebab pasti ada yang lebih baik menanti walau pun sakit yang dirasai itu ada pedihnya. Memanglah, sesuatu yang hilang, digantikan dengan lain tiada samanya. Namun, yakin dan pastilah, Allah mahu mempertemukan kita kepada yang salah dahulu. Sebelum ianya akan menjadi hak kita untuk selama-lamanya. Berdoalah.. Teruskan.. tanpa henti.. biar akhirnya adalah terbaik!




Sahabat… sama-sama mengambil hikmah! 

Sewaktu belum mempunyai calon, sejadah memang menjadi hamparan, tazkirah setia menjadi teman, doa kepada Allah siang dan malam. Bila sudah mempunyai calon, semua itu sedikit demi sedikit jadi lakonan. Fokus beralih kepada si dia yang menjadi idaman, yang dinasihat supaya berbincang tentang pernikahan, tapi yang dibuat adalah berhubungan siang dan malam. Hujung pangkal pernikahan belum nampak jalannya teman. Boleh jadi calon yang diberikan itu hanya sebagai ujian, bukan jodoh yang ditetapkan. kerna Allah mahu melihat sejauh mana engkau punya keimanan. Adakah engkau akan jatuh dalam kealpaan, atau masih setia dengan niatmu di permulaan. Ingat teman…. :: Syaitan dan nafsu itu licik dan melicikkan. Hati-hati ::



Nah! Kata-kata terakhir sebelum tinta saya akhiri.. saya pinjam dari sahabat fillah..

Bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami dan menghargai. Terus memuhasabah diri  =)





Al-FaQiroh ila Robbiha :
~ waznah al-Hamraa’ ~
19  Jamadil Akhir 1433H
11 Mei 2012 

SIFIR MENJADI HEBAT


Bismillah~



(sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan Sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar Dengan memberikan pahala Yang lebih baik dari apa Yang mereka telah kerjakan. [surah al-Nahl : 96]


Pesan Nabi S.A.W., mafhumnya : "Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya, maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka bersabar, lalu jadilah pula musibah itu sebagai kebaikan baginya" [Hadis Riwayat Muslim]

***********************************************************************************

Sujudku menguatkan aku.
Kerna kutahu setiap kali dahiku menyentuh sejadah
Allah mendengar setiap rintihan hatiku..

Allah mengerti pedih di kalbu..
Allah juga tahu bahawa aku masih punya kekuatan
untuk bangkit dan meneruskan langkah.

Ya Rabb..
Inginku berteleku panjang dalam sujud ini..
Inginku luahkan segala rasa yang berlagu di pelusuk hati,
hanya kepada-Mu Tuhan pemilik segala sanubari.

Syukuri kehidupan dunia untuk kebahagiaan akhirat.

Dugaan dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Ibarat irama dan lagu, juga tidak dipisahkan. Aur dan tebing juga sama. Isi dan kuku… bayang, bila kuku tercabut dari isinya. Allah! Sakit, bukan..? Ada manusia yang diari hidupnya lancar dan terlalu rutin. Ada juga yang berdepan dengan pelbagai yang tidak putus-putus.

Bangun tidur sahaja sudah ada masalah yang menunggu. Sebaik masuk ke pejabat untuk memulakan tugas, sudah ada masalah yang perlu ditangani. Malah, apabila balik ke rumah, pelbagai masalah lagi yang memerlukan perhatian.

Orang beriman melihat kehidupan di dunia ini sebagai suatu perjalanan yang jauh menuju ke suatu destinasi iaitu akhirat. Pastinya dalam perjalanan itu ada liku-liku atau cabaran yang perlu ditempuh. Jika mereka berjaya melepasi halangan dan cabaran tersebut, maka itulah yang menjadi kayu ukur tahap keimanan seseorang kepada Allah.

Orang beriman kaya dengan sifat sabar semasa berhadapan dengan ujian yang mendatang. Mereka biasanya mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Kesannya, mereka akan diberi pahala malah nikmat akan digandakan oleh Allah.

Beruntung jadi orang yang beriman.. semakin banyak masalah, semakin mustajab doanya. Bukan bermakna perjuangannya berlalu tanpa kesulitan, tapi disebalik semuanya ada ketenangan. Apa yang pasti.. orang yang beriman itu tidak pernah bersendirian. Allah.. bahkan sentiasa menjadi teman. Kala suka.. kala sengsara. Susah.. mahupun kita tika kita merasakan hidup kita sudah mudah! Allah..

Sahabat..

Usah gusar ya. Berpeganglah pada pesan Nabi yang kita cintai..

“seorang mukmin yang hebat itu.. bila diberi nikmat, dia bersyukur.. bila diberi ujian, dia bahkan bersyukur”..

Mudah bukan? Bersyukur dan bersabar. Itu sifirnya untuk menjadi HEBAT. Jangan mengharapkan kita hebat di mata manusia.. selagi kita belum tampak hebat di pandangan Allah..

Ayuh sahabat! Mari menjadi hamba yang hebat..

:: Allah bagi susah di sini.. semoga urusan kita menjadi senang di sana. Sahabat, percayalah! Kadanga, kadang sakit itu lebih bermakna.. sekiranya itu lebih mendekatkan kita kepada DIA ::

Moga Allah sentiasa Redha..





Al-FaQiroh Ila Robbiha :
~ waznah alHamraa’ ~
15 Jamadil Akhir 1433H
06 Mei 2012



# NOTA HATI 2


Bismillah…~


Allah.. aku ingin menghiburkan diri dari di hibur..
Allah.. aku ingin mengasihi dari di kasihi..
Allah.. aku ingin mencintai dari di cintai..
Kerna…
Dengan memberi aku bisa menerima..
Dengan memaafkan.. aku juga akan di maafkan..
Dengan cinta.. aku bangun kembali
Dengan cinta juga.. aku melakar syurga di hati

Allah… lebih tahu isi hati hamba-Nya kan..?
Lantas.. sujudlah bersama hati pada-Nya
Menangislah sepuas hati
Berdoalah seikhlas hati..
Jangan lupa wahai diri..
Cinta manusia boleh datang dan pergi..
Tapi..
Cinta dari Ilahi..
Bersemi abadi..

Allah…

# pergilah… andai itu kemahuan mu. Usah risau akan diri ku, masih ada Allah yang menunggu. Air mata… berhentilah dari terus mengalir ya… ^^




Al-FaQiroh ila Robbiha :
~ waznah alhamraa’ ~
12 Jamadil akhir 1433H
03 Mei 2012

WAHAI DA'IE : JANGAN BURUK SANGKA

Bismillah…

Dengan Asmaa’-Mu yang terIndah ya Allah..

“Ya tuhan kami, jangan Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi-Mu, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Kurniaan” (Ali Imran : 8)

“tak payahlah nak post sal dakwah tarbiyah segala… kalo diri sendiri tidak melaksanakannya! Kata daie, tapi x pernah “nampak” pun dalam mana2 program”

Astaghfirullahal’adzim….

Mulut terkumat-kamit melantun kalimah istighfar.. Hati turut sama beristighfar. Laptop saya tinggalkan seketika… dalam kamar kecil itu, kedengaran air bercucuran…

Bismillah~ satu per satu anggota wajib wudhu’ di basahi. Usai dilakukan dengan tertib, di susuli dengan do’a yang mengandungi maksud yang sangat2 bererti bagi mereka yang benar2 menghayatinya.

“Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan tidak ada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah utusan Allah. Ya Allah jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang mensucikan diri, dan jadikanlah aku dari golongan hamba-Mu yang saleh,”


Alhamdulillah… hati kembali tenang, walau pun… hampir saja api kemarahan memuncak dengan kata2 manusia yang hanya tahu “mengata” tanpa usul periksa. Mujur ‘aqal masih waras, mengingatkan pesan Rasulullah S.A.W menerusi sebuah hadith yang bermaksud : “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk (mengambil air sembahyang).” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Itulah salah satu dari kelebihan berwudhu’. Wudhu itu juga adalah ibadah dzikir yang merupakan sarana pembersihan jiwa, yang dimulai dari sisi yang paling luar (fizikal) sampai ke dalam rohaninya.

Lewat beberapa bulan yang lalu, saya pernah di tanya oleh seorang sahabat, kenapa sudah tidak aktif dalam aktiviti dakwah seperti dulu.. bukan seorang bahkan sesiapa saja yang pernah bergerak kerja dengan saya sebelum ini. “nak fokus study ke”?.. macam-macam alasan di muntahkan… yang bukan keluar dari mulut saya.

Terima kasih atas muntahan alasan yang diberikan. Kesal… sewajarnya hadir dalam hati manusia yang lemah seperti saya. Jika mereka mengatakan mereka akan mulia dengan dakwah dan tarbiyah itu.. silakan berbuat demikian.. ya, saya bangga punya kenalan seperti kalian, yang hebat dalam perjuangan dakwah dan tarbiyyah, bahkan dapat menjadikan diri sebagai mata rantai yang meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W. Sejauh mana pengetahuan kalian tentang penglibatan saya dalam dunia dakwah dan tarbiyyah? Mungkin kita terlupa seketika… Kemuliaan di sisi Allah itu.. hanyalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Saya cuba mengamati kata-kata seorang naqib saya, “jangan nak kata kita ni orang yang hebat dalam dakwah dan perjuangan, kalau solat pun masih di hujung-hujung waktu..” – benar! Sejak pertama kali saya dengar kata-kata tersebut sehinggalah sekarang, saya mengakui ada kebenarannya. Saya pernah berhadapan dengan mereka yang melaungkan kata-kata hebat dakwah dan tarbiyyah, tetapi memandang sepi pada ibadah, tanpa ada sebarang musyaqqah yang memungkinkan mereka untuk melewatkan waktu solat.

“janganlah bermimpi untuk mengharap Syurga Ilahi, sekiranya ibadah masih dipandang sepi..”

Seorang pensyarah saya pernah bertanya : “apa yang kamu faham tentang taqwa..”. Kedengaran jawapan dari beberapa orang pelajar. Pensyarah itu tidak menafikan sebaliknya mengukir senyum di bibir.

“taqwa itu… ada di awal waktu solat” – cukup ringkas definisi taqwa yang diberikan tapi mendalam maksudnya.

Perlukah saya nyatakan, saya sertai usrah itu dan ini, saya sertai program dakwah itu dan ini..??. ya, mungkin ada segelintir di kalangan para da’ie yang merasa hebat dan mulia kerana sesibuk mana pun, dalam masa menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar, masih punya waktu untuk menyertai usrah, memegang tanggungjawab untuk melaksanakan program dakwah itu dan ini. Saya tidak punya niat untuk su’udzon (berburuk sangka), mungkin tidak semua tetapi pasti ada segelintir yang sedemikian. Apakah dengan kemuliaan yang kita rasakan apabila kita sudah berada di dunia dakwah dan tarbiyyah, ketaqwaan itu turut sama kita tonjolkan?

“mereka itu golongan akademik.. intelektual. Bagi depa tak ada masa untuk dakwah!”

Jujur.. suatu ketika dahulu, saya juga pernah menyimpan prasangka sedemikian terhadap sahabat2 saya, bahkan saya pernah mendengarkan ayat tersebut dari mulut “teman2 seperjuangan” saya yang lain. Jangan salahkan dan jangan paksa mereka. Sememangnya ada segelintir golongan yang hanya ingin belajar sahaja. Bagi saya tidak menjadi masalah pun. Ada pula golongan yang hanya mahu berdakwah, juga tidak mengapa bagi saya, sekiranya itu yang mereka inginkan.


Sahabat.. jangan lupa.. MENUNTUT ILMU itu juga adalah DAKWAH..

Ya, menuntut ilmu itu juga adalah nafar ke MEDAN JUANG. Kalimah Falaulaa Nafara.. (dalam surah at-Taubah : ayat 122), Allah mengungkapkan kalimah tersebut berkaitan dengan keluar berjihad perang fi sabil ila Allah. Teladanilah kalimah tersebut, bahawa Allah juga mahu melihat kita berada dalam proses menuntut ilmu fi sabil ila Allah itu adalah sebagai suatu medan juang. Sebagaimana para tentera menyiapkan kelengkapan untuk keluar berperang, begitu juga halnya bagi si penuntut ilmu, harus membuat persiapan untuk menuntut ilmu fi sabil ila Allah.

DAKWAH itu memang satu kewajipan yang mesti dilaksanakan. Namun janganlah kita sempitkan medan dakwah tersebut. Walau pun kita bersendirian, dakwah itu tetap boleh dilaksanakan. Banyak cara yang kita boleh gunakan untuk sampaikan risalah dakwah tersebut, bahkan menyampaikan apa yang kita belajar di dalam atau luar bilik kuliah juga adalah dakwah, masukkan unsur-unsur Islam dalam penyampaiannya. Indah bukan?


WAHAI DA’IE… JANGANLAH BURUK SANGKA!

Sahabat.. ayuh, saya kongsikan nukilan dan pesanan Syeikh Abbas as-Sisy. Pesanan untuk mereka yang ikhlas berjuang fi sabil ila Allah.

“Dia adalah sebaik-baik teman, paling aktif ke masjid dan sangat menyintai teman-temannya. Tiba-tiba, lama sekali tidak nampak batang hidungnya di tengah-tengah mereka. Ketika kemudian dia dapat berkumpul kembali, tiba-tiba seorang teman datang mengasak pelbagai pertanyaan dan sindirin kepadanya. Dengan nada sedih dia katakan kepada temannya, “Kenapa baru sekarang kamu mahu menjengukku? Ke mana saja kamu dan teman-teman selama ini? Mengapa tidak berusaha mencariku selama beberapa bulan terakhir ini. Sebenarnya aku sangat memerlukan kehadiran kalian di sampingku pada saat isteriku meninggal dunia, dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Aku memerlukan orang-orang yang akrab denganku pada saat kritikal seperti itu!”

Sahabat.. sedar atau tidak, hal ini menjadi pelajaran berharga bagi ikhwan yang masih belum memenuhi kewajipan kepada ikhwannya yang lain dalam hal memantau keadaannya. Hal ini merupakan kewajipan paling minimum kerana Rasulullah S.A.W. telah bersabda, “Apabila dia tiada, maka carilah!”

Ini sekadar contoh. Seseorang yang lama tidak muncul dan tidak diketahui sebabnya, tidak akan jelas alasannya kecuali setelah menanyakannya.

Satu contoh lagi, suatu kelompok ikhwan hidup bersama-sama dalam keadaan yang serba kekurangan. Tiba-tiba, (telah menjadi sunnatullah bahawa manusia pasti akan saling berpisah) kerana tuntutan hidup, study atau pekerjaan, kebersamaan itu akhirnya terhenti juga. Ternyata ada yang menganggap temannya ini sudah mulai mengambil jarak (menjauhkan diri), atau pergi kerana takut, atau kerana ukhuwwah telah mulai lemah, dan sebagainya. Sehingga timbullah bermacam-macam dugaan. Padahal kita dilarang melakukan hal tersebut. Sepertimana pesan Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 12, mafhumnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain”

Kemudian dia menghilang dari ingatan teman-temannya kerana mereka tidak memerhatikan haknya. Setelah lama berselang masa, dan banyak peristiwa penting telah terjadi, sebagaimana biasanya dalam perjalanan dakwah, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan munculnya teman lama mereka yang sudah sekian waktu menghilang. Kini dia berada di tengah-tengah mereka.

Dia mengorbankan jiwa dan hartanya dengan penuh ketulusan dan keberanian yang mengagumkan, bahkan membuat malu sebahagian yang belum memahami hakikat dakwah. Seseorang yang sudah merasakan nikmatnya dakwah, dakwah sudah menyatu dalam hati, perasaan dan fikirannya, maka dia akan menganggap murah semua yang ada padanya. Dakwah lebih mahal berbanding semua yang dimiliki.

Itulah hakikatnya! Seorang da’ie harus sentiasa husnudzon (berbaik sangka), tidak merendahkan yang lain, atau merasakan dirinya lebih baik daripada yang lain dalam barisan dakwah. Bahkan seorang da’ie pada saat tertentu ada di hadapan, dan pada saat yang lain ada di barisan belakang.

Setiap orang yang pernah tersentuh roh dakwah nescaya akan tetap hidup bersama-sama dakwah sehingga menemui ALLAH. Kerana itu seorang da’ie harus sentiasa husnudzon (berbaik sangka) kepada sesama saudaranya dan menutup aibnya, sampai dia sedar dan kembali ke jalan yang benar. Sehingga ketika seorang da’ie kembali kepada teman-temannya, dia tetap menemui suasana saling menyintai.


Sahabat..

Mungkin.. dulu pernah kau melihat aku

Menggenggam bara Iman dengan sangat kuat

Saat kau lihat bara api itu tidak lagi ku genggam

Jalanmu masih di titian yang lurus

Sedang aku berpaling arah

Apabila itu yang terjadi antara kita

Janganlah kau mencela

Jangan juga bermasam muka

Atau biarkan aku begitu saja

Lantas.. kau teruskan safar sendiri

Tanpa aku di sisi.. menemani

Hadirilah aku..

Hulurkan tangan mu

Bacakanlah pada ku.. hatiku..

Ayat-ayat cinta yang kita lantunkan bersama

Di saat kita berasa lelah..

Memujuk hati.. itu adalah pesan cinta dari yang Maha Mencintai

Dalam kepasrahanmu terhadap diriku

Kirimkan do’a untukku dari jauh

Ingin ku katakan

Di relung hati yang dalam

Aku melukis sebuah harapan

Agar ruh jihad ku kembali mekar..

Menyahut seruan Allah

Menikmati cinta di dunia

Untuk ku semikan di akhirat sana

Biar aku bisa mengukir nama di pintu syurga..


Sahabat.. sekali pun kita tidak berada dalam barisan yang sama, medan dakwah kita berbeza.. in sya’ Allah, dakwah itu tetap menjadi keutamaan kita..



Al-FaQirah ila Robbiha :

~ waznah alhamraa’ ~

17 Jamadil Awwal 1433H

08 April 2012

Dunia….

WAHAI MUSLIMAH : ANTARA MENJADI ATAU MENCARI

Bismillah… wa Alhamdulillah..

Dengan izdin Yang Maha Kuasa, masih bernafas.. masih bisa melakar tinta. Moga terpandu dengan taufik dan hidayah dari-Nya. Amien~

Daripada Abu Amamah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: Seseorang lelaki itu tidak akan mendapat apa-apa kebaikan selepas takwanya kepada Allah s.w.t lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, ia taat, jika suaminya melihat kepadanya, ia menyenangkannya, jika bersumpah, nescaya ia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan pergi oleh suaminya, ia menjaga diri dan menjaga hartanya” (Riwayat Ibn Majah)

Alhamdulillah… hari ini, seorang sahabat selamat di ijab qabulkan dengan pasangannya (lelaki yang di takdirkan Allah untuknya). Saya tumpang gembira walau pun tidak dapat menhadirkan diri ke walimahnya, tapi do’a saya titipkan dari jauh untuk mereka. Barakallahu lahuma wa jama’ah bainahuma fi kheir~

Cerita tentang KAHWIN… segar saja mata kan? ^___^ hihi.. biasalah.. jiwa orang muda barangkali. Daripada terus-terusan bergelumang dengan maksiat, walau sekadar maksiat hati.. pernikahan itu adalah jalan yang terindah sekali. Sejujurnya saya sendiri cemburu bila teman seusia saya, bahkan yang lebih muda dari saya, sudah sah menjadi “isteri” kepada si “suami”. Kenapa pula cemburu? Iya la.. sudah boleh bercinta secara HALAL. Dan saya tahu.. mereka pasti merasakan nikah di usia muda itu pasti sangat2 OSEM~ =)


Bila nak KAHWIN???

Soalan ini agak famous sejak kebelakangan ini. Jumpa sesiapa saja yang di kenali, pasti tidak terlepas untuk bertanyakan : “ukhti bila nak kahwin? Tak sabar dah nak rasa nasik minyak ni”.. Hehe.. hanya satu jawapan saya : “mohon do’anya.. moga Allah permudahkan ianya bagi saya”. Iya.. do’a sahabat2 terasa berharga bagi saya. (T_T). Terasa lucu juga bila ada yang kata saya akan langsungkan pernikahan tanggal 24 Februari 2012. (saya tersenyum lebar bila mendengarkannya), malah ada yang merajuk : kata saya tidak khabarkan tentang perkara tersebut. Amien… amien.. amien.. memang agak lucu mendengarkannya, tapi dalam hati saya tetap meng”amien”kannya.. kerna bagi saya, itu adalah do’a dari sahabat2 saya.


Beberapa jam yang lalu.. seorang sahabat bertanya kepada saya :-

DIA : akak, saya tak tahulah, agaknya saya je kot yang rasa camni. Bila tengok orang kawen, mesti rasa sebak.. sayu.. sebab diorang dapat suami yang soleh. Saya ni.. camna nanti. Masa tu barulah saya terfikir nak koreksi diri. Layak atau tak saya ni nak dapatkan suami yang soleh macam yang mereka dapat.

SAYA : aduhai adik ku. Alhamdulillah.. kita masih rasa nak koreksi diri. Sebenarnya, resepi nak dapat suami soleh ni.. kena mulakan dari diri kita dulu. Jadilah solehah.. jangan di cari yang soleh dulu. Sabarlah dik, jangan risau, in sya’ Allah, DIA pasti akan beri yang terbaik. Teruskan berdo’a, buatlah persediaan dari sekarang. Lebih utama.. hadamkanlah ilmu rumahtangga, walaupun pada hakikatnya, kita akan sentiasa & akan terus belajar sekali pun kita sudah berada dalam alam rumahtangga nanti.. =)

DIA : saya selalu terfikir cam tu kak. Entahlah. Pastu mula lah nak nangis ja. Rasa diri ni terlalu banyak kekuarangan. Akak doakanlah saya ya..

SAYA : dik.. nak katanya, sesiapa pun tidak ada yang sempurna. Kita sama2 punya kelebihan & kekurangan. Itulah hukum dalam alam rumahtangga nanti : suami isteri kena saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. mana yang kurang, kita tambah, mana yang tak elok, kita perelokkan. In sya’ Allah dik.. ya Allah, kurniakanlah sahabatku ini suami yang soleh serta zuriat yang soleh & solehah, agar cinta mereka terus mekar, sehingga ke taman syurga.

DIA : amien3… do’a orang solehah~ =)

Do’a orang “SOLEHAH”… berat hati saya membacanya. Allah, perkenanlah bagi ku gelaran itu, moga Solehah itu bernilai di pandangan-Mu.


JADILAH bukan CARILAH

Sebelum kita mencari yang soleh, jadilah diri kita dahulu sebagai seorang yang solehah. Ya.. bukan senang menjadi solehah dan bukan sehari dua usahanya, sudah ingin melihat hasil. Tidak. Malah mungkin memakan masa bertahun-tahun. Proses mendidik hati bukan mudah seperti menenun kain yang indah, tapi perlukan kesabaran dan mujahadah. Perlengkapkan diri dengan segala amalan mahmudah, agar diri kita terarah. Namun, ada lagi persoalan timbul, bagaimana pula kalau kita tidak sempat menjadi solehah, tiba-tiba muncul seorang yang soleh datang melamar, adakah harus kita menolak sedangkan diri belum lagi mencapai title solehah?

Terimalah!. Tapi teruskan usaha menjadi isteri yang solehah. Jangan berharap pada yang lain dalam usaha kita menjadi muslimah solehah, tapi bergantunglah pada diri dan berharaplah pada Ilahi dan bukannya pada manusia yang pada dasarnya dia sendiri belum pasti di mana destinasi pengakhirannya walaupun dia seorang yang soleh. Jangan mendamba yang soleh kalau kita sendiri tidak berusaha ke arah menjadikan diri sebagai seorang yang solehah. Seseorang yang soleh yang kita impikan ini bukanlah matlamat utama kita, tapi sebagai alat menuju akhirat yang berkat. Semoga dengannya kita terus bersemangat mencari kebaikan sebagai bekal di sana. In sya’ Allah.


# Sebelum mengakhiri entri ini, saya ingin kongsikan beberapa tips yang saya dapat dari seorang sahabat (Kak Ummu), perkongsian untuk kalian.. sahabat2 muslimah yang di kasihi :


CARA SAYA MENDAPAT SUAMI YANG BAIK.

Tip 1 :~ Saya tidak cari suami. Saya minta dengan Allah suami yang baik. Hanya Allah yang tahu siapa yang baik dan terbaik untuk kita.

Tip 2 :~ Saya berusaha jadi baik sejak akil baligh, kemudian saya berdoa supaya Allah beri suami baik. (Walaupun sampai sekarang, saya bukanlah baik sangat. Yang penting usaha diteruskan)

Tip 3 :~ Saya berkawan dengan orang-orang baik dan memilih ke tempat orang baik-baik suka berada, akhirnya Allah beri saya suami yang baik.

Tip 4:~ Saya berusaha menjaga batas pergaulan dengan ajnabi. Allah beri saya suami yang juga membatasi pergaulannya dengan wanita ajnabi.

Doa saya dahulu,

"Ya Allah, jika pada pandanganMu, aku mampu menanggung amanah sebuah pernikahan, maka berilah suami yang baik padaku. Andainya pada pandanganMu, aku tidak mampu menanggungnya, maka padaMu jua aku serah segala urusan."

Saya berdoa dengan rasa takut dan bimbang. Saya tidak berani memohon, "Ya Allah, kahwinkan daku"... kerana pernikahan adalah tanggungjawab yang berat. Lalu diserahkan kepada Allah yang maha mengetahui tahap kemampuan saya untuk melayari bahtera rumahtangga.



Sekian… wallahu’alam..




Al-FaQirah ila Robbiha :

~ waznah alhamraa’ ~

08 Jamadil Awwal 1433H

01 April 2012

Pentas Dunia~