ALHAMDULILLAH ...

bismillahirrahmanirrahim...

uhayyikum jami'an bit tahiyyatil Islam, Assalamu'alaikum wbt... wa ba'du..

*alhamdulillah, setelah dua tahun, akhirnya, teratak alhamraa' berubah wajah.. maaf buat yang sudi ziarah ke mari, belum ada kesempatan waktu untuk mem'post'kan entri terbaru.. insyaAllah, dalam jangka masa beberapa hari lagi, akan meng'aktif'kan diri untuk menulis lagi.. moga sama-sama beroleh manfaat, jika ada kesilapan dan kesalahan tutur bahasa, harap2lah di maafi..

*selamat beramal... (^_^)


_ waznah alhamraa' _

... MUHASABAH KEMBALI RAMADHANMU ..

Bismillah wal hamdulillah…

_ yang di nanti jua di rindui - ramadhan alkareem almubarak ... Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan oleh-NYA. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu ibadah, amal-amalmu diterima dan doa-doamu di ijabah ( di maqbulkan ). Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan shiyam dan membaca Kitab-Nya... _ salam ramadhan kareem _

Rasanya masih belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan “salam ramadhan kareem” ini walaupun masih berbaki beberapa hari saja lagi sebelum Syawal menjadi “tetamu” umat Islam yang seterusnya, usaha untuk mengecap ni’mat lail Qodr juga sudah semakin “sempit”…

Bersendirian di kamar, terkadang membuatkan saya gusar.. entah apa yang mengganggu fikiran, tidak di ketahui. Sampainya di bilik, laptop yang sudah tersedia di atas meja, saya “on”kan.. bacaan al-Quran alunan Sheikh Mishary Rashed Alafasy mula kedengaran.. satu persatu laman web saya kunjungi, mencari maklumat untuk assignment yang bertimbun2, entah mampu di siapkan sepanjang cuti atau tidak, sehinggakan saya merasakan balik kampung bukannya untuk raya, namun jauh sekali saya menafikan kerinduan kepada keluarga nun jauh di sana, apatah lagi si kecil ámmar naqiuddeen…

Kepenatan melanda diri sendiri.. penat? Berpuasakah? Beramal jariah kah? Tepuk dada, tanya Iman mu.. banyak manakah sudah pahala yang dapat di kumpul selama “Pengembaraan Iman” selama 30 hari untuk meng”cover” semula dosa-dosa yang lalu?? … biarlah Allah yang menjawabnya di hari Kemudian… penat apakah yang saya maksudkan?? – penat mencari handphone baru =) , dari satu shopping complex ke satu shopping complex di ziarahi, sambil2 melihat ragam manusia yang pelbagai jenis dan rasa [ seperti kuih raya =) ], mujur ada kakak menemani, kiranya seorang diri, pasti sesat di tengah-tengah kesibukan manusiawi, masing-masing ingin memenuhi keperluan untuk menyambut kehadiran lebaran dalam masa beberapa hari lagi, insyaAllah, moga kita sempat bertemu dengannya.. Allahumma ballighna fi syawal..

_ jika seorang hamba benar2 sedar bahwa dirinya adalah milik Allah SWT & akan kembali kepadaNya maka dia akan terhibur tatkala tertimpa musibah. Bahwa kesudahan & tempat kembali seorang hamba adalah kepada Allah Pemilik yang Haq. Berbahagialah saat Allah menimpakan pelbagai ujian ke atasmu, Allah tidak membebani hambaNya melainkan DIA tahu kemampuan & kesanggupan hambaNya itu, kerna DIA Maha Tahu segala yang tersurat & yang tersirat _


Sungguh tersentuh dengan kata2 di atas, apabila saya membacanya berulang kali setelah saya mem”post”kannya di dalam wall facebook saya sendiri beberapa minggu yang lalu.. musibah tidak pernah jemu berkunjung dalam hidup setiap manusia, namun tarbiyah dalam bulan ramadhan terasa lebih bererti.. “ramadhan madrasah tarbiyah”- setiap individu pasti punya persepsi berbeda untuk kata2 tersebut. Dalam bulan ramadhan kali ini saja, saya di uji Allah dengan demam 2 kali sebulan, batuk2 yang saya alami selama dalam tempoh demam juga masih belum pulih2 sehinggalah kini, bahkan semakin teruk. Kaki di gagahi untuk memenuhi kehadiran ke kuliah2. Walau hakikatnya terasa perit dan sakit.. “jangan manjakan sakit” – inspirasi untuk diri sendiri =)


Lain pula ceritanya [ tarikh nuzul Quran ] bila handphone yang usianya tak sampai setahun lagi pun, hilang di dalam masjid ketika menunaikan solat maghrib. “Alhamdulillah” – hanya itu yang termampu saya lafazkan bila 2 orang sahabat yang bersama saya, khabarkan bahwa handphone saya hilang di curi insan yang bernama manusia. Saya sendiri terkejut, ada juga manusia yang berani buat kemungkaran di rumah Allah, dalam bulan ramadhan pula, tidak takutkah pada ázab Allah?? Wal íya zubillah.. awalnya terasa geram juga, namun akhirnya saya ikhlaskan hati, “moga kemaafanku pada si fulan itu, mendapat redha di sisi Allah”- bisikku dalam hati… siapa yang dapat menduga ujian Allah.. suka atau tidak, semuanya rencana yang sudah di atur oleh Allah..


“insyaAllah, ada hikmahnya”- kata seorang sahabat sambil menepuk lembut bahu saya..


“insyaAllah”- balas saya ringkas sambil melakar senyum.. [ senyumlah pada mehnah ]..


_ teguhlah berdiri, walau sakit datang menguji, perit juga turut datang merai, namun yakinlah, derita itu bukannya sengaja di cipta, tetapi Hikmah Allah takkan siapa dapat mengerti, berjalanlah... lihatlah dengan pandangan mata hati, telusurilah dengan hikmah Al-quran dan as-Sunnah, nescaya kau tidak akan hilang tenggelam dalam gelita atau terang. Hasbiyallahu wani' mal wakil _


Baiklah, masuk kepada pengisian utama [ catatan di atas sekadar muqaddimah =) ] ….

sedar ataupun tidak, mahu ataupun sebaliknya, yakinlah yang datang pasti akan pergi. Begitulah halnya dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan, penuh rahmat dan kasih sayang Allah juga penuh dengan tawaran untuk hari akhirat yang tidak terdapat pada umat rasul-rasul sebelum ini. Ramadhan yang datang sebagai tetamu manusia yang beriman ini kini tinggal berbaki beberapa saja lagi. Saya yakin, ramai yang bersedih hati saat kita kehilangan insan yang sangat di kasihi.. begitulah dengan ramadhan kareem. Bagaimana hebatnya kesedihan kerana ditinggalkan Ramadhan, sehingga menangis mengeluarkan airmata darah sekalipun, ia akan tetap pergi meninggalkan orang yang menyesal dan orang yang tidak ambil kisah dengan kelebihan Ramadhan.

Sedih? Apakah perginya Ramadhan diiringi dengan perasaan sedih? Atau apakah kita rasa lebih gembira ditinggalkan oleh Ramadhan? Atau kita rasa serupa sahaja samada Ramadhan itu hadir atau tidak?

Sekadar analogi….

Bagaimanakah agaknya sekiranya sebuah pasaraya yang selalu kita kunjungi kerana segala keperluan rumahtangga kita terdapat di dalamnya tiba-tiba menawarkan satu tawaran yang luar biasa. Kita bayar sebagaimana biasa tetapi pasaraya tersebut memberikan barangan keperluan kita itu sehingga 10 kali ganda? Dan tawaran seumpama itu akan berlanjutan selama sebulan... Kini tibalah saatnya pasaraya itu mahu menghentikan tawarannya. Hanya tinggal 2 hari lagi. Apakah agaknya yang kita lakukan? Agaknya kita tidak akan merasa penat untuk berusaha mendapatkan semaksima mungkin keuntungan daripada tawaran tersebut kerana kita tidak tahu bilakah lagi akan mendapat tawaran luar biasa seperti itu.

Begitulah halnya dengan Ramadhan. Allah telah menyediakan tawaran yang lebih dari luar biasa, di mana segala amalan kita akan digandakan. Bukan sepuluh, bukan seratus, bukan tujuh ratus... tetapi lebih dari itu, sebagaimana hadith Qudsi dari sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihiwasallam yang bermaksud: "“Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah daripada bau minyak kasturi, dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana Aku (Allah SWT). Puasanya adalah untuk-Ku dan Aku memberi balasan setiap kebaikkan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa, kerana ia (puasa tersebut) adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasannya.” (HR Malik no: 603).

Teringat kata2 seorang ustaz ketika saya menghadiri satu usrah di luar kampus : “manusia ni, sebelum ramadhan datang sudah bersemangat, menanam azam, aku nak perbaiki diri, didik diri dalam bulan ramadhan ni, nak terawih dari awal sampailah akhir ramadhan, nak itu dan nak ini.. subhAllah, bagusnya niat sedemikian. Di awal fasa pertama ramadhan, Masjid2 penuh dengan jiwa2 yang ingin di tarbiyah, tadarusnya pun berjalan dengan lancar, tazkirah subuhnya, solat sunatnya tidak pernah tinggal, tapi apabila masuk fasa kedua.. impian hanya tinggal menjadi impian. Masjid2 kian menjadi sepi, tadarusnya entah ke mana, jiwa2 muda yang sebelumnya ramai hanya tinggal jiwa2 tua. Sepatutnya semakin kita menghampiri fasa kedua dan ketiga, semakin bersemangat, bukannya semakin kendur. Kenapa?? Kerna dalam dua fasa inilah Allah janjikan keampunan dan terlepasnya dari ázab api neraka. Dalam fasa ketiga pula, Allah “upgrade”kan lagi dengan “hadiah” lail Qodr..”

Saya tidak mengatakan saya bersetuju 100% terhadap apa yang di katakan ustaz tersebut. Mungkin ada betulnya. Pernah satu ketika dalam bulan ramadhan, saya keluar bersama seorang sahabat, cadangnya untuk berbuka puasa di luar, hakikatnya ingin melihat karenah manusiawi dalam bulan tarbiyah. Ramai anak2 muda berpeleseran di sana sini, food corner yang ada dalam shopping complex yang kami kunjungi juga penuh dengan jiwa2 muda. “Aduhai, jiwa2 inilah yang di nantikan untuk menyebarluaskan ajaran Islam”- saya bermonolog sendirian, tidak tahu apa yang bermain di fikiran sahabat saya. Kiranya kita memandang dari sudut positif, ada di antara jiwa2 muda itu terpaksa meneruskan kerja mereka sehingga ke malam, terutamanya yang bekerja di shopping complex, tapi tidak bagi yang menjawat jawatan sebagai office boy.. namun kembali kepada diri sendiri, apa yang kita inginkan dalam bulan ramadhan kali ini? Bertambah baik dari ramadhan sebelumnya kah?? Atau sebaliknya. Tepuk hati, Tanya diri..

... Allah Maha Tahu, apa yang ada dalam HATI kita.. siapalah KITA??? hanya Hamba penuh noda dosa yang sentiasa merintih sepi memohon maghfirahNya.. berserah segalanya padaNya. mencari ketenangan untuk kembali menuju redha Allah.. ya Allah...

Sungguh.. Allah itu Maha Pemurah!!

Betapa pemurahnya Allah. Kita tidak perlu membuat sesuatu yang selain dari apa yang biasa kita lakukan. Tetapi apabila tiba bulan Ramadhan, segala amalan itu menjadi berganda ganjarannya. Kita hanya diwajibkan berpuasa yang tidak sampai menyusahkan kita. Kita hanya dituntut untuk bersolat Terawih tanpa diwajibkan pula. Malah bukan itu saja tawarannya, pada 10 malam terakhir pula terdapat Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan! Kita mampu mendapatkan ganjaran tersebut hanya dengan sekurang-kurangnya solat Isya' dan Subuh secara berjemaah, apatah lagi kita bersolat Terawih. Subhanallah!

Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut tentang syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya:
"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, solat Subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail." [ kiranya salah.. silalah untuk tegur ya =) ]

namun kini, tawaran itu hampir berakhir. Apakah kita masih tidak merasai apa-apa? Jika kita masih mahu mendapatkan tawaran akan datang, ia hanya akan berlaku setahun lagi yang belum tentu kita masih berpeluang untuk memperolehinya. Oleh itu, biar ditahap mana kita berada, biar selalai mana kita, biar sesibuk mana kita, janganlah lepaskan memohon keampunan Allah pada saat-saat terakhir Ramadhan kali ini. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan Allah kerana itulah prasyarat bagi mendapatkan Jannah-Nya.

Pemergian Ramadhan akan diganti dengan 1 Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri yang pastinya akan disambut gembira, namun sedarkah kita bahawa kegembiraan Aidilfitri adalah kerna kejayaan kita menempuh Ramadhan? Mudah-mudahan saja kita di antara kalangan yang berjaya menempuh Ramadhan dan layak untuk menyambut Aidilfitri... 1 Syawal merupakan hari ibadat kepada umat Islam yang sama pentingnya dengan bulan Ramadhan.

Tetapi kebanyakan kita terlalai dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri itu sehingga melakukan perkara yang ditegah oleh Allah. Perkara yang nampak ringan, tetapi mengundang kemurkaan Allah SWT seperti pembaziran, pergaulan bebas, menonton TV yang melalaikan, melengah-lengahkan mengerjakan solat dan sebagainya. Berjaya jugalah syaitan memperdaya kita di hari mulia 1 Syawal itu meskipun dia dan seluruh tenteranya telah dibelenggu selama sebulan pada bulan Ramadhan dari menggoda kita.

Dari Wahab bin Munabbih, bahawa dia berkata: Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Iblis yang dilaknat Allah itu berteriak pada setiap hari raya, maka para bala tenteranya berkumpul di sekitarnya sambil berkata: "Wahai sri baginda kami, siapakah yang menjadikan baginda murka, maka sesungguhnya dia akan kami hancurkan."

Iblis berkata: "Tidak ada sesuatu pun. Akan tetapi Allah Taala pada hari ini telah mengampuni umat ini. Maka kamu semua harus membuat mereka sibuk dengan segala macam yang lazat-lazat, dengan syahwat dan dengan minum khamar, sehingga Allah murka kepadanya." [ wal íya zubillah ]

justeru, madrasah Ramadhan yang berjaya kita lalui seharusnya kita sambung sehingga ke 1 Syawal, disambung pula dengan puasa sunat Syawal malah terus sehingga Ramadhan dan Syawal tahun depan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan apa yang diucapkan oleh baginda SAW di bulan mulia ini iaitu "taqobbalallahu minna wa minkum" (semoga Allah menerima amalan ibadat di bulan Ramadhan, kami dan kamu). Segala kekurangan, kelemahan dan kesalahan sepanjang kita bersama membina ukhwah ini, dengan penuh kasih sayang saya hulurkan sepuluh jari memohon kemaafan zahir dan batin, seawal taárufan hingga kita di temukan dan di kumpulkan kembali di padang mahsyar kelak. Mudah-mudahan dengan terhapusnya dosa sesama kita, maka akan bertambahlah ukhwah dan kasih sayang dalam mengharungi perjuangan yang panjang dan mencabar pada masa-masa akan dating. insyaAllah….

[ sekadar catatan hati... muhasabah ramadhanku, entah bererti atau tidak, sesuai isinya atau tidak, moga bermanfaat bagi yang membaca.. hari2 terakhir ramadhanku di kampus, sebelum berangkat pulang esok hari, mohon doá kalian agar di permudahkan perjalanan menuju destinasi ]

Sekian….

_ waznah alhamraa’ _

... CINTAMU UNTUK SIAPA?? ...

* setelah lama menyepi, punya kelapangan waktu untuk beberapa hari, pena mengambil peluang untuk melakar di teratak alhamraa'...

* selamat membaca.. harap bermanfaat buat semua yang sudi mengunjungi teratak ini.. =)

Sejahteralah ke atasmu wahai saudaraku.... Seringkali kita mendengar manusia mencari cinta, menagih kasih, mendamba sayang...... Renungilah..... selamilah...... Hakikat Cinta, Kasih dan Sayang yang sebenar..Masa yang berlalu jangan di tangisi. Biarlah ia menjadi lipatan sejarah. Masa yang akan datang jangan terasa kita yang punya. Bukankah ketetapan itu ketentuan ALLAH? Dia yang menjadikan kita. Dia jugalah yang berhak mengatur hidup kita. Usahlah meminta sesuatu yang belum dirancang untuk kita. Ketetapan itu pasti berlaku, tidak ke depan dan tidak ke belakang. Walau satu detik sekalipun, mengapa perlu meminta sesuatu yang belum terjadi.....

Apakah sudah lupa pada janji? - "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk ALLAH, Tuhan sekalian alam." -Al-An'am : 162... Sesuatu yang terlintas di akal fikiran, gerak itu ilham Tuhan. Ia mungkin berlaku dan mungkin juga tidak. Bukan semestinya setiap lintasan itu perlu di layan. Timbanglah dengan rasional kita. kita akan diuji. Ujian itu bermacam-macam; ada yang zahir dan ada yang batin. Dalam menghadapi ujian zahir, ramai yang bertahan; pun begitu bila berdepan dengan ujian batin, ramai yang tergelincir dan kecundang. Ingatlah....mencari cinta, kasih dan sayang bukanlah mudah.

Dengarkah kita? sedarkah kita? nama dipanggil berulang-ulang kali dan suara itu menusuk kalbu menikam jantung hati, bertubi-tubi berulang kali. Itulah suara kekasih yang memanggil:

"Ayuh ke mari wahai hamba-Ku, ke marilah dalam pangkuan-Ku. Ke marilah dalam ribaan kasih-Ku. Aku rindu padamu. Sudah lama kau Ku tunggu. Kasihan hamba-Ku. Sudah hampir terbakar hangus jantungmu, remuk berkecai hatimu. Siang dan malam bagai tak kau hirau lagi. Badai cintamu yang menggila kapan akan reda?"

"Ah! Kasihannya engkau, gila dalam siuman. Kerana cintakah kau jadi begini? Ini Aku datang. Bukankah Aku yang kau cari? Terpadam sudahkah api rindumu? Cair sudahkah lilin cintamu? Aku juga kasih padamu. Aku juga rindu padamu. Aku juga cinta padamu."

"Sehasta engkau hampiri diri-Ku, sedepa Ku rapat padamu. Engkau berjalan kepada-Ku, Aku berlari kepadamu. Sambutlah wahai kekasih cinta-Ku. Jangan kau putuskan ikatan kasih ini. Jangan kau lerailakn tali cinta ini, nescaya kau akan binasa!"

"Kalau antara kita terpisah, terasing, terlerai tidak ada ikatan....Aku adalah Aku, engkau adalah engkau - maka Aku tetap Aku yang Esa, yang berkuasa, yang gagah, tidak rosak dan tidak binasa; manakal engkau tetap engkau yang lemah, yang jahil, yang hina, yang hancur, yang rosak dan yang binasa. Maka....sekali ikatan ini tersimpul, jangan berani kau buka dan leraikan...."

"Aku tidak pernah khianat dalam cinta. Cinta-Ku agung, suci dan mulia. Jangan sia-siakan cinta-Ku. Cinta-Ku kekal abadi dan sejati."

" Tidak akan kau jumpa cinta seagung cinta-Ku. Jangan kau khianat, jangan kau curang. Kelak kau Ku hukum. Dan ingat, murka-Ku setara dengan cinta-Ku. Tidak ada bumi yang sanggup menanggung. Kelak kau Ku campak ke kerak api Neraka dan tidak Ku pandang engkau buat selamanya."

"Maka itu awaslah! Jika inginkan cinta-Ku, bersiap sedialah : engkau akan Ku uji. Benarkah cinta-Ku yang kau cari atau kau hanya memburu syurga-Ku dan lari dari Neraka-Ku."

"Aku masih mencari cinta agung sesuci kasih Muhammad kepada-Ku. Tapi Ku tahu, Aku tak akan dapat berjumpa lagi kasih seagung itu. Muhammadlah kekasih-Ku. Tanpa Muhammad, makhluk-Ku yang lain tak bererti apa-apa..."

"Letakkanlah cinta Muhammad sebagai neraca cintamu kepada-Ku. Cinta Muhammad adalah kayu ukur cinta makhluk kepada Tuhannya. Dia mencintai-Ku segenap jiwa dan raganya. Semuanya telah diserahkan. Semuanya telah dikorbankan. Dirinya menjadi tebusan menebus cinta. Muhammad membeli cinta dengan nyawanya. Nah! Kau pula menagih cinta-Ku dengan apa??"

.... Sudah diceritakan secara terperinci kisah kasih, kisah cinta dan kisah rindu. Sudahkah kita merenunginya?? Usahlah lagi biarkan kita dibuai hanyut dalam cinta nafsu yang melulu. Carilah cinta suci, cinta agung, cinta yang kekal abadi tidak luntur dek zaman, tak lekang dek masa. Datanglah ombak badai yang menggila setara mana, namun cinta yang agung itu tetap kukuh tersimpan bagai mutiara di dasar lautan....

... Sekarang engkau pilihlah, cinta mana yang hakiki. Jalan sudah disiapkan, terpulang kepadamu untuk menempuhnya. Tidak ada paksaan... terbuka luas bagimu membuat pilihan. ALLAH tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, namun mereka yang selalu menzalimi diri mereka sendiri.....

Muhasabahlah diri.... sudahkah kita menyusuri jalanan cinta ILLAHI? Jika belum, ayuh sama-samalah kita susuri, moga bertemu CINTA SEJATI...... KASIH SUCI..... SAYANG YANG ABADI.....

Begitulah wahai insan .... Peringatan buat diri kita, peringatan jua buat diriku yang sering alpa. Kasihilah apa yang ada didunia ini hanya kerana kasihnya kita kepada ALLAH. Cintailah apa yang ada di dunia ini hanya kerana cintanya kita kepada ALLAH. Dan, Sayangilah apa yang ada di dunia ini hanya kerana sayangnya kita kepada ALLAH. Semoga SAYANG KITA, KASIH KITA, CINTA KITA, semata-mata kerana ALLAH.

***Cintailah kerana ALLAH, bencilah kerana ALLAH Sesungguhnya hak itulah IKATAN IMAN yang paling kuat***

wallahu'alam

* baru dapat idea untuk tulis entri terbaru, usai membaca buku " pesona cinta " .... (^_~ )

_ waznah alhamraa' _

... TERIMALAH DA'IE INI SEADANYA ...

..... dari coretan seorang hamba yang kerdil lagi hina di sisi Tuhannya ....

memulakan langkah memang memeritkan... bertatih.. jatuh.. lalu bangun semula...
kadang-kadang tanpa bantuan tangan yang menghulur...
terasa diri seperti mengembara... musafir menuju Ilahi sendirian...
namun siapakah yang tidak mengimpikan Syurga Idaman...
sedangkan diri sendiri tidak tahan pada ujian...
terasa diri benar-benar kerdil tika saja menghitungkan keringat yang gugur...
bersama titisan air mata kecewa...
namun aku sedar... rupanya masih ada sedikit cinta dan kasih yang di padu...
mekar dan indah dalam jambangan setia pada sebuah perjuangan Islam...


tika sepi menjadi teman setia setiap hari, ketika rindu sudah menggamit rasa di hati, secara langsungnya lahirnya bait-bait sepi menghiasi jiwa seorang hamba, bukanlah untuk menagih simpati, bukan juga untuk membangga diri, tetapi mungkin untuk melahirkan kekesalan yang sudah terbuku di relung hati sejak sekian lama, hanya DIA yang Maha Mengetahuinya, mana kan tidak, setiap detik nadi dan jantungku berdegup, DIA turut bersamaku...

ya Allah, sakitkah aku?? jika benar, sakit apakah?? rindukah?? Allah.. rindunya.. kuatkanlah aku ya Allah, thabatkanlah aku dalam jalan juangku menuju RedhaMu, sungguh musafir menujuMu masih panjang, sekiranya Kau menginginkan seperti itu. pinjamkanlah aku kekuatanMu untuk meneruskan langkahan, walaupun perlahan, menghadapi mehnah yang membadai, kerna aku hanya hamba juga khalifah taklifanMu....

Rindu pada umi abuya juga adik-beradik yang lain, namun yang paling di rindui si cilik kecil, 'ammar naqiuddeen, entah apa khabarnya 'ammar sekarang? khabar dari umi mengatakan semenjak dari kembalinya mak cu ke tempat belajar, 'ammar seringkali demam.. rindukah 'ammar? sungguh aku juga merinduinya.. Allah lindungilah mereka dan Engkau limpahkanlah Rahmat Mu ke atas mereka..

segala kekusutan ku pendam sarat jauh di ruangan hati yang paling dalam. apa rindu yang semakin memuncak hanya ingin menutupi rasa kecewa juga sesal?? setelah di timbang2, akhirnya keputusan yang ku leraikan sendirian ku muktamadkan. noktah! walau aku sendiri kurang yakin, apakah itu adalah jawapan pada istikhorahku?? apa benar aku sudah memilih untuk tidak bersama mereka?? kesan dari beberapa kali terluka dengan sikap sebahagian mereka?? " sekarang bukannya masa untuk terasa hati" - ya, ini sememangnya bukan masa yang sesuai untuk membahaskannya, kerna ummah menantikan kita!! kepentingan jamaher lebih utama daripada kepentingan terasa hati diri sendiri..sungguh, salah diri aku akui, kerap kali berusaha untuk tidak menyertai mereka, tetapi berusaha menyibukkan diri di luar, namun itu bukanlah bermakna, aku ingin lari jauh dari perjuangan. Sungguh aku punya alasan tersendiri.. kerna berjuang di jalan Allah adalah jalan yang sudah aku pilih sejak sekian lama, kerna dari perjuangan yang Allah tetapkan itulah adalah sebagai wasilah untukku membantu agamaNya..

bukan mencari salah sesiapa, pernah beberapakali terserempak dengan mereka, niat hati memang rindu untuk bertegur sapa, bergurau senda, , muka yang tawar dimaniskan, namun segala-galanya hampa, rindu hanya tinggal rindu, keinginan hanya tinggal keinginan. terlukanya hati bila saja ada yang memalingkan muka, sekuntun senyuman yang di nantikan langsung tidak kelihatan. salahkah aku??? lantas, berdiam diri memendam rasa menjadi pegangan sementara.

Pernah beberapa kali terserempak dengan mereka. prasangka buruk ku buang jauh-jauh. mungkin kerna sudah lama tidak bertemu, mengambil kos yang sama pun, namun tetap berlainan kelas, ataukah kerna aku seringkali bersama teman-teman yang sefikrah namun mengalami perkara yang sama sepertiku?? namun percayalah.. yang pastinya, aku tetap memilih wasilah yang sama, walau jarang bersama, namun tidak pernah berubah. Harapan yang semakin menggunung tinggi, ingin saja melihat setiap dari kita yang berlainan fikrah bersatu, berganding bahu, saling bahu-membahu, memperjuangkan agama di sisi Robbuna, ISLAM... tidak akan timbul soal perasaan tidak selesa, semangat ta'sub juga assobiyah pada jama'ah masing-masing. apa kita lupa, darjat dan status kita tetap sama di sisi Allah, hamba dan khalifahNya.

ku sedari hakikat, bahawa perjuangan itu harus ku teruskan, walaupun saat ini, aku sendirian. bukan tidak pernah ku ajukan soalan : " memang susahkah nak bergerak seorang diri " - jawapan negatif lebih banyak ku terima berbanding jawapan yang positif, apakah da'wah sendirian itu benar-benar kurang mendatangkan hasil??? ... buntu.. kelam dangan persoalan yang di ajukan sendiri... matlamat kita tetap sama, namun setiap dari kita punya wasilah tersendiri dalam merealisasikan matlamat perjuangan kita. tetapi aku tidak bersendirian sebenarnya kerna aku ada Allah bersamaku.. aku juga punya agenda ku tersendiri, insyaAllah.

langkahan ini ku teruskan sebagai seorang da'ie, melalui liku-liku kehidupan yang penuh mencabar, walau pun terkadang aku rebah ke dalam lumpuran noda. ku mohon terimalah aku sebagai da'ie seadanya. jangan menjadikan ujian yang datang bertimpa-timpa sebagai alasan untuk melunturkan semangat juang.. andai kita semua rebah, siapakah lagi yang akan meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, yakinlah, kita adalah generasi yang sentiasa di nantikan untuk membantu menyelesaikan masalah ummah! perjuangan ini sentiasa berterusan dan takkan pernah mati!!!

_ terkadang diri tersadung sendiri, walau hakikatnya masih ada insan lain berdiri di sisi.. adakah masih ada rindu untuk meneruskan perjuangan bersama? biarkanlah, tenanglah wahai hati, usah bersedih pada yang tidak peduli. kerna masih ada insan yang memahami dan menanti, dan terus menanti untuk meneruskan perjuangan bersama, kerna pintu perjuangan itu sentiasa terbuka untuk seorang da'ie _

_ sedih apabila terasa diri bersendirian, walau sebenarnya masih ada yang sudi menjadi teman,namunlah siapalah aku di pandangan Tuhan, andai aku bisa melontarkan kata-kataku pada mereka yang ku harapkan, namun semua itu hanyalah angan-angan, biarlah tangisan ku tenggelam di sisi sang Pencipta, kerna hanya DIA lah tempatku meletak segala harapan _

.... senyum itu sedekah, senyum itu penawar duka, oleh itu, senyumlah pada setiap mehnah yang menimpa ....






~ bingkisan hati ;
_waznah alhamraa' _ ~

CITA-CITA DI JALAN DA'WAH

Salam persaudaraan buat semua pengunjung blog.. Alhamdulillah meniti segenap ruang waktu yang berlalu.. sudah hampir beberapa bulan tidak menjenguk laman sesawang milik pena sendiri, apatah lagi untuk mem’post’kan entri terbaru.. broadband yang ada pun tidak mampu membantu, apa masalahnya, juga tidak di ketahui..

Alhamdulillah, berada di kawasan yang terpencil dan jauh dari pemerhatian ibu bapa, tetapi dekat di pandangan Allah SWT tidaklah terlalu membosankan, walaupun jauh di lubuk hati seorang insan yang bergelar “ibu”, berat melepaskan anak bongsunya ini pergi, walhal tidak sampai sebulan pena melepaskan lelah di rumah setelah kembalinya dari tempat pena menuntut ‘ilmu, namun bila di fikirkan ianya adalah untuk kebaikan anakandanya, pena di izinkan pergi.. pergi untuk mengembara.. mengembara???

semuanya adalah untuk menerima rawatan rapi bagi menyembuhkan tangan kiri pena yang kurang dapat berfungsi untuk sementara waktu ... di samping menerima rawatan “hati” dari seorang insan yang pena kira cukup memberi ketenangan buat sesiapa saja yang memandangnya... setiap bait-bait cinta yang terlafaz dari bibirnya memberikan seribu makna yang terkadang sukar untuk di tafsirkan....

cukuplah coretan ini mewakilkan perasaan dan situasi pena sendiri selama berada dalam detik2 menghadapi kesakitan jua dalam tempoh menerima rawatan ....

selamat membaca...

...........................................

setiap detik-detik yang berlalu...

membuatkan Hati ku meronta-ronta...

Terkinja- kinja memprotes kecewanya!

Biarpun mentari duniaku telah mati... namun mentari ukhrawiku tetap hidup!

Hidupnya adalah untuk mengerakkan waktu -waktu esok ...

Agar aku terus berada dijalan da'wah ini,

Dan juga jalan akhirat yang sudah semestinya menjanjikan kemanisan yang berlipat ganda.

Sepi.. menyendiri..

Biarlah aku sendiri... ku lupakan sementara dan ku tutupi jendela itu ….

Man ‘araf??? ... Siapa tahu?

Terkadang.. dalam sendirian, aku masih mampu menemukan kegembiraan..

Walaupun dunia kini sudah semakin “nazak”...

Asalkan mengaku kalah dan berputus asa tidak menjadi “prinsip” sejati dalam diri..

Ni’mat hidup yang di kecapi tidak akan pernah mendahului nasib dan takdir...

Walaupun di setiap detik-detik yang berlalu itu, terkadang menuntut aku untuk merangkak agar langkahan yang perlahan ini tidak akan terhenti...

Merancanglah....

Supaya apa yang menjadi hambatan dan cita cita ku akan tergapai jua... walaupun di saat-saat terakhir!!.. ya, bantuan Allah itu sentiasa ada di hujung usaha hambaNya..

Walaupun jalan-jalan kehidupan yang di lalui tampaknya seperti tidak pernah memberikan aku ruang untuk mencipta kedamaian buat hati yang kering kontang dan sepi dari “bisikan2” rindu...

Namun ianya sedikit pun tidak melunturkan semangatku, malahan ianya tetap meyakinkan agar aku terus kuat dan tegar untuk meneruskan langkahan, mencantas segala dugaan dan cabaran dengan penuh kesabaran untuk perjalanan kehidupan seterusnya..

“... yang penting ikhlas, tak kira di jalan manapun kita berada, kerna hanya ikhlas yang akan mendapat perhatian dari Allah...”

... pesanan ringkas tapi cukup bermakna bagiku.. dari seorang sahabat yang aku kagumi...

Sebagai muslimah mu’minah, insyaAllah.. aku percaya suatu hari nanti, hatiku bisa di bajai dan di sirami jua dengan keikhlasan hati yang akan mendapat “perhatian” dariNya..

Di kala ini, biarlah kuhitung kembali betapa banyak dosaku sehingga terkadang dosa itulah yang menjadi hijab, penyebab dan hukum karma kepada cita cita ku yang tak pernah kesampaian.

Akan ku lewati liku-liku kehidupan ini sekalipun aku terpaksa dan akan terus merasai kegamangannya. Akan ku buang jauh-jauh keputus asaan dari rahmat Allah ini kerana aku tahu hidup dan kebahagiaan ini tidak bergantung kepada penilaianku semata-mata tetapi ianya bergantung kepada penilaian Allah SWT.

Biarlah Allah dengan perancanganNya... kerna itu adalah RahsiaNya yang tiada siapa pun yang mengetahuinya..

Sekalipun tubuh lemah yang di hambat kesakitan ini terus-menerus merasakan kekecewaan namun ku mengharapkan biarlah di sisi Allah, ianya merupakan kebaikan buat aku, buat dakwah dan buat perjalanan seterusnya kealam yang abadi selamanya.

Aku tetap akan terus mengejar akan hak aku didunia ini... sekalipun aku gagal meraihnya kerana dengan kegagalan itulah yang akan menguatkan ‘aqidah dan kepercayaan aku kepada Allah yang Maha Esa.. yang takdirnya pasti akan menembusi langit dan bumi.

Begitulah aku di jalan da'wah ini.
Terus-terusan teruji...
Dengan hal peribadi...
Hati...
Dengan perasaan.
Harta...
Kerja....
Dengan Tarbiyah...
Dengan Adik2 binaanku...
Dengan Jama’ah yangsentiasa inginkan dan menuntut keseluruhan hidupku.
Aku semakin matang!
Semua enigma tentang jalan ini terang bagi ku.
Bagai pelaut yang bijak membaca bintang...

Hakikatnya, sudah termaktub Jalan da'wah ini kiranya kita intima’ dan takluki dengan sebenar-benarnya, memang sukar untuk bertahan, kerana ia akan mengelegakkan jutaan perasaan hati kita...

Yang akan sentiasa mengilu dan menyedut segala-galanya dalam hidup kita.

Menguji sehinggalah suatu saat nanti kita akan runtuh!.. wal ‘iyazubillah..

Namun andainya kita masih mampu dan dapat bertahan sehinggalah ke saat-saat akhirnya, pastinya kita akan menemukan potongan2 mozaik hidup yang akan membuka ruang dalam hati kita untuk memahami zenit dan nadir yang dilalui oleh para nabi dan para du’ah terdahulu!

Optimislah dengan apa yang kita lakukan, sekalipun kita terpaksa mengusap mata-mata yang basah ... agar kita tetap tegar dan sedar bahawa dalam laluan jalan kehidupan ini akan ada satu perasaan yang akan timbul...

‘DUKA’....

yang akan mengiringi kita sepanjang panjang nya ….

Jalan da’wah tidak membenarkan kita memilih.

sekiranya kita mewah dan kaya. Jalan da’wah ini akan memintanya.

Jika kita punya keinginan bersantai. Jalan da’wah meminta masa kita.

Sekiranya kita punya keluarga yang kita sayangi inginkan kita mengikut kehendak mereka, Jalan da’wah menghalanginya supaya mengikut caranya.

Jika kita ingin sekadar berteman dengan seseorang, Jalan da’wah menyuruh kita menarik teman kita kejalannya.

sekiranya kita bekerjaya dan sayang kerjaya kita, Jalan da’wah menarik kita dan menyuruh kita bekerja demi keperluannya.

Begitulah jalan dakwah...

Mempunyai paru-parunya tersendiri yang di pompa oleh kemampuan seseorang untuk menghadapi setiap risiko yang tidak boleh di tawar-menawarkan sedikit pun oleh nafsu manusia yang sentiasa rakus dengan kemewahan ni’mat duniawi.

Jalan da’wah itu membuktikan tidak ada toleransi tetapi ada hikmah kerana Jalan da’wah ingin mengubah mentaliti umat Islam dari mencintai dunia dan bersifat ananiyah kepada mencintai akhirat...

Mengajar kita untuk mengenal janji-janji Allah yang ghaib.

Untuk melihat keyakinan kita....

melihat apakah reaksi kita dan jenis manusia apakah kita ini?

Apakah kita dari golongan yang suka berteori dan bersifat munafiq.. ataukah dari golongan yang sentiasa benar kata-katanya??? Disinilah hikmah komunikasi kita pada jalan da’wah. Menjelaskan segala niat sebenar kita.

Tanpa segan silu, Kita sentiasa berkata dan bercerita kepada jalan dakwah tentang siapa diri kita dan kita sendirilah yang akan membuktikannya.... jangan hanya tahu berkata tapi buktikanlah!!! Ingatlah, sesungguhnya Allah tidak menyukai seorang hamba yang hanya tahu berkata tetapi tidak melaksanakan...

Bacalah firman Pencipta kita yang Maha Melihat dan Mendengar : “ wahai orang-orang yang beriman , kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan , Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” [ surah As-Soff : 2-3 ]

Susahkah menyelusuri jalan da’wah?

Memang tak semudah yang kita sebut atau kita bicarakan dalam halaqah.

Yang banyak mengajar kita erti pengorbanan... Erti keta’atan.

Jika salah satu cara da’wah ini kita ingkar, pastinya kita gugur dari jalan ini atau sekurang kurangnya kita futur. Sebab itu kita lihat dipermulaan jalan ini ramai yang ingin bersama dan dipenghujungnya hanya tinggal beberapa kerat tubuh yang compang-camping dan letih lesu, penat melawan “nafsu” dunia.

Permulaan yang jernih. Itulah kata mutiara dari ‘almuntalaq’ mengingatkan kita.
Mulai sekarang kita jangan merasa selesa dengan keadaan kita. kenapa?? Kerna dunia sudah “nazak” dengan permainan manusia sendiri.. Banggalah menerima segala ujian yang sekelumit yang mampu kita hadapinya...

Apalah sangat ujian mengorbankan sedikit masa untuk usrah dan halaqoh. Sedikit mengantuk dan sedikit letih dengan program-program yang kita anjurkan atau ujian infaq kita yang seadanya untuk mengadakan program-program dakwah atau duit minyak mengisi kereta dibanding dengan ujian pejuang-pejuang yang berjihad dijalan Allah mengorbankan segala galanya untuk Deen ini …

Sehinggalah kita merasai hidayah Islam yang tertuang ke atas kita!

andainya inilah muhasabah kita, sudah tentu kita makin bersemangat untuk meneruskan perjalanan ini sampailah ke titisan keringat dan nafas yang terakhir... sehinggalah kehujung nyawa...

Istiqomah dan daya tahan itulah ulu hati kepada da’wah ini. Namun sejujurnya sada antara kita sememangnya tiada daya tahan.

Ada yang kuat waktu student, futur setelah bekerja setelah menyedut dunia.

Ada yang bertahan setelah bekerjaya tapi futur setelah berumah tangga dan beranak pinak.

Begitulah lazimnya Jalan da’wah mempamirkan penghuni penghuni dijalannya.

Bukan senang untuk mencipta ‘rindu’ pada Ilahi.
Bukan senang untuk mengapai Arasy’
Bukan senang untuk jadi pemberani.
Bukan senang untuk mendapat aura syurga yang redup dan hidup terus menerus mananti kita ….

Hanya mereka-mereka yang punya karisma dan bergelombang jiwa dijalan ini sahaja yang mampu diiringi malaikat bersama sutera putih yang lembut dan lemun bertemu teman bidadarinya …

Waduh …

Penasarannya bila di ulit perasaan sebegini...

Terhanyut dalam untaian do’a, lamunan mimpi jua tenggelam dalam tangisan yang sepi...

Terlalu jauh aku mengelamun terawang-awang menyusuri keindahan jalan ini.

Dan hati ku terlonjak-lonjak rindu mengingati dia dijalan ini ….

Mampukah dia bersamaku menolak badai dan digulung gelombang memeluk rindu-rindu kepada Tuhan?

Memenuhi hidup dalam tangis mengikuti alir nafas da’wah ini dan merasa hangatnya cinta ku dijalan ini?

Mengikuti perjalananku yang tidak membawa apa-apa selain kesedaran da’wah yang mendamba kepenuhan cintaNya dalam damai dan kasih yang abadi?

Inilah sebenarnya rahsia perjalanan ku yang kusimpan begitu rapi untuk melahirkan sejuta rindu ….

Memang aku semakin rindu....

Merindui Raudhah hijau yang penuh nyaman dengan senandung laungan azan dengan makhraj dan lengok tajwid yang mengalir dan membelai hati ku …

Itukah Bilal yang terompahnya terdengar disyurga atau hanya suara hati ku berjalan ingin mengikutinya ….

Benarkah aku dan cita cita ku?

Tak selembar pun daun jatuh tanpa pengetahuanNya …

Berkuasanya Allah.. Dia yang Maha Satu..bergerak dan terus bergerak.. walau terhalang oleh batuan besar dihadapan, jadikanlah diri kita umpama air yang terus mengalir dicelah-celahan batuan itu.. bagi tersuci semua kotoran jahiliyah yang membalut ummah..tercabar diri dalam sedaya mungkin mengharungi hari-hari yang mendatang..

ah! sekelumit sahaja ujian dan dugaan yang kita hadapi sekiranya nak di bandingkan dengan para sahabat yang bergadai nyawa demi meraih syahadah, tetamu syurga nan indah!ya.. muhasabahku..

harus ku semak keikhlasanku.. mukhlisin... hamba-hamba yang ikhlas..ya! Allah bersamaku! semakin teruji .. rindu padaMu dan RasulMu semakin bertamu.. kerna inilah nasihat yang berguna buat diriku ...

sekian, wassalam...


~ waznah _ alhamraa' ~

BIAR KU PENDAM DUKA YANG LARA

Ya Ghaffar...

Ya Qahhar...

Ya Robb..

Benarlah... bila Dia nak uji, Dia akan uji dengan sebenar2 ujian. Namun, qudratku hanyalah sebagai hambaNya yang lemah..di mana harus ku cari kekuatan?? ujian.. ujian.. pelbagai bentuk, segi dan rupa.. aku yakin, ujian itu “tarbiyah”- dan sememangnya aku merindukan “tarbiyah” itu.. ujian itu adalah tanda “sayang”-Nya padaku, namun ku mohon ya Allah, sebagai hamba yang lemah, tunduk sujudku padaMu, jangan uji ku di luar batas mampu dan sanggupku.. ya Allah.. ya Robb.. ku mohon lindungi diriku dari “kezaliman” yang akan ku lakukan sendiri. Sungguh Kau sebaik2 Pelindung dan Penolong bagiku di Dunia dan Akhirat..

Pernah satu ketika.. seorang sahabat menemuiku, mohon penjelasan yang lebih jelas tentang “cinta”. Cinta??? Cinta insani atau cinta Ilahi? – jawapannya : cinta makhlukNya! Akhawatmu?? – jawapannya : ikhwanku!. subhanAllah.. mohon maghfirahMu ya Allah..

“insyaAllah.. ada jodoh, adalah ukhtie. Usah di risaukan tentang jodohmu ya”

“ana tahu, tapi bukankah kita perlu berikhtiar??”

“berikhtiar? Ya.. “ – jawabku ringkas.

“enti dah berikhtiar?? “

“ana??”.....

“si ‘dia’ bagaimana?”

“maksud enti” – tanyaku.. seakan tidak mengerti, walau aku tahu siapa “dia” yang di maksudkan.

“ana dengar dia dah bertunang. Benar?”

Diam.....

Aku menguntum senyum.. ku tinggalkan persoalan itu tanpa menjawabnya...

“kepada wardah yang ku kasihi dan sayangi, telah tercatat nama seseorang di LUH MAHFUZ untukmu sayang....

“telah Allah tentukan untuk wardah yang comey ni akan jadi “sayap kiri” seorang pejuang...

“ namun ukhtieku fillah, siapalah kita untuk menentukan.. melainkan DIA..

“ hanya DIA yang tahu bila kita akan di pertemukan antara satu sama lain.. di mana.. semuanya dalam pengetahuan Allah...

“bersabarlah ukhtieku yang sedang bermujahadah...
“apa ukhtie lupa.. Janji Allah itu kan pasti...

“ketahuilah ukhtieku fillah.. peribadi dirinya terletak pada ketinggian peribadimu...

“bukankah Allah telah berfirman dalam al-Furqan, surah anNur ; ayat 26, mafhumnya : “ ... perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik itu adalah untuk perempuan-perempuan yang baik... “

“muslimah mana yang tidak menginginkan seorang “imam” yang “soleh” ukhtie?? Apa ukhtie tidak menginginkan itu???

“tapi sebelum nak yang soleh.. kena tabur benih-benih solehah dalam diri, sirami dengan akhlak Islamiyah...

“ berusahalah ukhtie.. menjadikan dirimu WANITA yang UNGGUL di pandangan PENCIPTA mu..

“ sedaya upaya mengekang NAFSU mu wardah suci idaman setiap mujahid Islam...

“ pagarilah dengan sifat MALU.. IMAN.. dan TAQWA..

“ sepertimana Baginda SAW mendidik puteri kandung kesayangannya, Fatimah Az-Zahra.. MALU itu di umpamakannya seperti pohon semalu...

“teruslah bermujahadah ukhtieku...

“ insyaAllah.. mujahadah mu itu tidak akan sia-sia...

“kerna dengan izin Maha Berkuasa, enti akan di pertemukan dengan seorang Mujahid Islam...

“ ana sedari hakikat itu ukhtie.. memang penat untuk bermujahadah...

“ tapi ingatlah ukhtie.. BALASANNYA pasti INDAH.. insyaAllah...

“ Allah tidak pernah mensia-siakan do’a hambanya.... jangan pernah berhenti untuk berdo’a...

“ mohonlah agar “dia” yang kau inginkan sebagai “imam” mu... yang kau yakini bisa memimpinmu sehingga ke Syurga abadi....

“ akan menjadi “kekasih halal” bagi mu....

“ bila dah jumpa yang mampu menerima ukhtie seadanya.. istikharohlah...

“ tapi jangan bila dah jumpa, baru nak istikhorah.. itu dah salah praktikkan ‘ibadah tu..

“ mulakan dengan istikhorah dan solat hajat.. minta Allah tunjukkan pada kita...

“ bila dah dapat jawapan yang “pasti”.. binalah “masjid” – atas kemampuan masing-masing...

“ yakinlah dengan “hidayah” yang Maha Esa ya sayang....
“ muhasabahlah diri selalu.. bertafakkur.. teruslah cari Redha Ilahi dan RahmatNya...

“ teruslah perbaiki diri...

“ laksanakan apa yang perlu kita laksanakan dulu...

“ ummah menantikan kita...

“ jangan risau.. Allah itu Maha ‘Adil......

“berbicaralah denganNya ukhtie.. letakkan harapan mu sepenuhnya pada Penciptamu, bukan pada ciptaanNya....

...... senyap... bicara ku tenggelam ....

“ enti menangis ke ukhtie?? “

“ tak la... “

“ enti kecewa?? Ana dengar ‘dia’ nak berhijrah.. betul??? “

“ moga Allah permudahkan segala urusannya.. mungkin ana bukan yang terbaik untuk ‘dia’. Dan mungkin ‘dia’ juga bukan yang terbaik yang Allah tetapkan untuk ana....”

“ enti....”

“ biarlah ku pendam luka yang lara, ukhtie ku fillah... “

...... ku gagahi langkah ku.. meneruskan perjuangan... walau satu ketika dulu, aku juga pernah di uji dengan cinta Insani.. sehinggalah aku sedar, siapa aku sebenarnya di mata hamba yang bernama “manusia”.. hitungan jiwa jua cinta insani, sehingga hampir membutakan “mata” ku dari “cinta” yang Maha Esa.. sesungguhnya Allah lebih Mengerti.. terima kasih ya Allah.. teruslah uji ku ya Allah, mengikut kemampuanku, agar aku tidak leka dari sentiasa mengingatiMu.. kerna “ujian” itu tanda KAU menyayangiku...

~ yakinlah.. kita akan di uji daripada apa yang kita katakan.. jangan salahkan mereka yang terjebak dengan “cinta” sebelum “nikah” – “IMAN” itu yanqus dan yazid, bisa bertambah dan berkurang.. dan soal Iman itu, hanya Allah yang layak mengujinya..

Hari itu yang berlalu diri berlari mengejar bahagia, mengharap sinar lalu tersungkur rebah derita dan duka. Bangkit kembali dengan harap dan doa, tetapi tiba dipenghujung dengan sesal, hampa dan kecewa.Putus harap pada sinar itu sehingga belajar semula bagaimana untuk bermula, bertatih menerima ukiran taqdir atas sutera kehidupan.

Hari itu yang berlalu juga mengajar diri bagaimana untuk meminta meski tahu mungkin akan kecewa jua, tetapi hari itu juga yang menyedarkan diri bahawa meminta dan kecewa adalah ni'mat yang perlu di ni'mati dengan sabar.

Hari itu yang berlalu juga menjadi bukti betapa diri ini lemah tiada berdaya, tak pernah mampu untuk hadapi apa jua yang tidak dicernakan melalui impian, namun hari itu juga yang mengajar bahawa inilah “sutera kehidupan”.

Hari itu yang berlalu tidak hanya sepi dihias duka tetapi hari itu yang berlalu DIA hadiahkan cinta itu pada penghujung sendu dan bulat kecewa. Hari itu yang berlalu membuatkan takut untuk diri melukis impian pada langit nan indah itu kerana bimbang pelangi yang berpaut pada awanan kan sirna jua. Lalu cinta itu dibiar tanpa impian juga hiasan harapan, yang ada cuma serahan semula kepada DIA pemilik segala cinta.

Hari itu yang berlalu melahirkan seorang insan yang tidak punya impian dan mimpi untuk hidup, segala yang ada cuma perkiraan untuk kembali kepada tuhan, dan menanam harapan untuk bertemu dan bertatap wajah DIA pada esok hari.Hari itu yang berlalu berbicara DIA bahawa cinta ini untuk disini perlu ku ukir sinar kasih padaNYA sebagai bekalan pertemuan kembali aku dan DIA, justeru cinta itu disimpan, lalu tumbuh bebunga harapan untuk ku sulam cinta itu dengan segala ada dengan sebuah ikatan.

Hari ini menyebabkan hari yang berlalu itu dirindui, kerana segalanya masih seperti akhirnya hari yang berlalu cuma cinta itu sudah mula disulam dengan segala perasaan menuju sebuah ikatan sebagai bekalan untuk bertemu tuhan, menatap dan berbicara dengan ar-rahman pada saat yang ditentukan..

Hari ini bebunga harapan mula mekar keindahan, hati mula diresap kebimbangan apakah bebunga yang mekar ini bakal di gubah elok memacu langkah menuju impian, ataukah akan berguguran jua kerana tewas jasad dan ruh tanpa cukup persiapan pada amalan.

Hari ini bersama seribu ketakutan masih tersimpan cinta itu, masih teranyam kasih itu menanti sebuah ikatan, agar terlengkap jua impian itu kelak menjadi bekalan untuk bertemu tuhan seperti mekarnya bebunga harapan...

Hari ini segalanya kuserah dan kusimpulkan dalam sebuah pasrah harap bernama doa, kerna biacaraNYa memintaku untuk terus meminta kelak akan DIA kabulkan jua..

Hari ini berteleku jua dengan segala impian, harapan, dan ketakutan bersama rantaian rintihan...

Hari ini menyebabkan diri tegar menghadapi hari esok...Tuhan segalanya sudahku serahkan...




nukilan...
~ amriena rasyada ~