TINTA RINDU BUAT RASULULLAH S.A.W.

Bismillahirrahmanirrahim…

Sollu ‘alan nabi… sollu ‘alan nabi…

… di kala Aminah melahirkan bayinya, dunia terang bermandikan cahaya, Cahaya yang amat diperlukan, Petunjuk jalan menuju kebahagiaan … ( syair al-Abbas bin Abdul Mutalib )

subhanAllah… Alhamdulillah.. Allahu Akbar…

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat yang paling besar nilaiannya, nikmat Iman dan Islam, juga nikmat-nikmat lain yang kita gunakan tanpa diminta bayaran melainkan mengikuti segala titah perintah-Nya, menjadi hamba sejati yang sebenarnya. Alangkah indahnya jika manusia itu melaksanakan segala perintah-Nya selama hidup tanpa adanya bangkangan, alhasil.. pasti berjaya di dunia, dan lebih-lebih lagi di akhirat sana!

firman Allah swt (mafhumnya) : “dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” [surah al-Anbiya’ : ayat 107 ]

Kelahirannya disambut dengan meriahnya, dirai seluruh makhluk di langit dan di bumi, menandakan permulaan rahmat Allah ke atas hamba-hambaNya dan seluruh makhluk alam semesta. Kesedihan dan kemurungan turut melanda seluruh alam saat kewafatannya.. sungguh, dia sentiasa dirindui.

… Rabi’ul Awwal menjelang lagi, terkenang pada Rasul pilihan, Nabi Muhammad pemimpin ummat, pembawa rahmat pembawa berkat.. Nabi al-Hadi Rasul al-Musthofa …

Dalam menyelusuri kedamaian bulan Rabi’ul Awwal, bulan yang sentiasa menjadi sebutan seluruh umat Islam, bulan di mana lahirnya seorang Pemimpin agung dunia, dan bulan di mana Dia yang selamanya di kasihi meninggalkan kita, ummatnya yang sentiasa di cintai. Sehingga kini, tiada siapa yang mampu menandingi keperibadiannya. Agungnya penciptaan-Mu ya Rabbul Jalil, Muhammad nama diberi. Hadirnya merubah dunia, dan memberikan cahaya ke seluruh alam, menjadi Qudwah Hasanah, kepada seluruh umat Islam, dahulu, kini… dan selamanya. Seruan dan ajarannya, serta sunnahnya, mampu meruntuhkan keegoan manusia yang awalnya membencinya, apatah lagi melembutkan jiwa umat yang sentiasa mengikuti dan bersamanya.

Mustahil bagi kita melupakan satu susuk yang sangat memikat hati, mana mungkin kita mampu mengenepikan peribadi yang boleh menyentuh jiwa. Malunya untuk mengatakan bahawa kita adalah salah seorang dari ummatnya kerana ketidaklayakan kita. Namun berbanggalah, kerana Allah memilih KITA menjadi salah seorang dari yang berpeluang untuk berada di bawah panji perjuangan Baginda SAW. Di mana kita boleh menemukan satu susuk peribadi yang berjaya mengimbangi kehidupannya dengan sempurna selain dari Nabi Muhammad SAW, munculkanlah sesiapa pun di atas muka bumi yang mampu menyaingi sistematik kehidupan Baginda SAW. Ternyata, baik dahulu, kini dan selamanya, tidak ada satu pun yang boleh menandinginya.

Siangnya menjadi kepala negara, pendakwah menyampaikan dan menyebarkan amanah Allah, ketua kepada keluarga, sahabat kepada sahabat, hakim kepada rakyat. kehebatannya dalam melakar strategi perang, mengetuai 27 peperangan, meluangkan masanya untuk para fakir dan miskin, sempat bergurau dengan anak-anak kecil serta cucunya, masih memberikan hak kepada perempuan-perempuan di sekelilingnya, malah mampu untuk bermesra bersama para sahabat. Tidak cukup dengan siang hari yang padat, tika malamnya, saat manusia lain sedang beristirehat, Baginda bangun berdiri berjam-jam lamanya untuk Qiyamullail hinggakan bengkak-bengkak kaki Baginda SAW.

Kerendahan hati seorang Kekasih Allah, pemurah, penyayang, lembut hatinya, tenang malah sentiasa menyenangkan. Bahkan tiada siapa yang boleh mengatasi sifat malunya, apatah lagi untuk menyaingi ketegasan prinsipnya, dan selamanya tiada yang mampu menewaskan kebergantungannya kepada Allah SWT. Kemuliaan akkhlaknya yang sentiasa memancarkan cahaya, hanya memalukan bagi sesiapa sahaja yang cuba menentangnya. Allah SWT menegaskan lagi di dalam firman-Nya, mafhum :

“dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia” [surah al-Qalam : ayat 4].

Bahkan Sayyadatina ‘Aisyah ketika ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, lalu di jawab : “bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran”.[Hadith Riwayat Abu Dawwud dan Muslim]

Sedarkah kita…??? Dia sentiasa merindui kita, ummatnya…

Walaupun belum bertemu empat mata… kitalah ikhwah yang senantiasa dirindui Baginda SAW…

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata : “sejahteralah ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman, sesungguhnya kami, insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat pun bertanya : “apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” lalu Baginda menjawab : “kamu semua adalah sahabat-sahabatku, sedangkan saudara-saudara kita adalah orang-orang mukmin yang belum muncul (mukmin di masa hadapan)” [Riwayat Muslim]

Baginda SAW juga pernah bersabda : “sungguh aku merindui ikhwahku”, lalu para sahabat bertanya : “siapakah ikhwahmu ya Rasulullah?”, jawab Baginda : “mereka yang tidak pernah melihatku, tetapi berpegang teguh pada ajaranku”. Rasulullah di saat nazaknya, bertanya kepada malaikat Jibril A.S. : “wahai Jibril, apakah yang telah Allah sediakan untuk ummatku?”, tidak Baginda bertanyakan apa yang Allah sediakan untuknya, apa balasan Allah untuk segala pengorbanannya, nikmat apakah yang akan dikecapinya di Syurga sana… tetapi di akhir hayatnya, Baginda bertanyakan keadaan kita, ummatnya.

Ayuh ikhwah akhawat.. buktikan kecintaan kita kepada dia… Muhammad ibn Abdullah

“sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” [surah al-Ahzaab : ayat 56]

Kita ma’ruf akan fadhilat berselawat ke atas Nabi SAW yang memberikan keuntungan kita di hari muka kelak, yang mana di saat kita di kumpulkan di padang Mahsyar kelak, segala harta mahupun mereka yang sentiasa berada di sisi kita tidak akan dapat membantu… di saat amalan di timbang al-Mizan, di sanalah kita membutuhkan syafa’at dari Rasulullah SAW kepada kita.

Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda : “barangsiapa berselawat sekali ke atasku, Allah berselawat sepuluh kali selawat ke atasnya dan di hapuskan darinya sepuluh kesalahan dan diangkat baginya sepuluh darjat” [hadith Riwayat Bukhari]

Namun… bagaimana mungkin kita akan mudah meraih syafa’at dari Baginda sekiranya kita tidak memperbanyakkan selawat ke atas Baginda tika hidup di pentas dunia yang fana ini..?? sejauh dan sedalam mana luluhnya hati kita saat kita menyebut namanya..?? sentiasa terpahat di hati kita atau tidak nama Kekasih Ilahi yang sentiasa cintakan kita…??? Ya Rasulullah… ya Habibi al-Musthofa…

Hayatilah kisah Baginda di hari-hari terakhir…

Masruq meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha:

Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.

Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah.

Anakanda itu menangis.

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya.

Fatimah ketawa.

Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya, “apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”

Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam!”

Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?”

Kata Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya!

“Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata: sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!

Aku menangis…

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku dengan berkata: apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!

Aku ketawa”

Sesungguhnya…

Fatimah radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam!

detiknya semakin hampir...

Dhuha itu tepu dengan kegelisahan.

Senyuman yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada Abu Bakr dan sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.

Badan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.

“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.

Aisyah radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya:

Aku melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani kematian Baginda.

Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!

Dan tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menyempurnakan pilihannya itu.

Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi!”

Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana.

Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un…

“ummati … ummati … ummati …” itulah kalimah yang terlafaz dari bibir Baginda saat-aat hendak berpisah dengan dunia yang fana. Sakitnya kematian itu ibarat ditusuk 3000 pedang, bahkan Rasulullah SAW sendiri menyatakannya kepada ‘Aisyah : “wahai ‘Aisyah, sesungguhnya sakaratul maut itu sangat menyakitkan”. UMMATI.. kitalah yang disebutkan ketika itu.

Rasulullah menghulurkan sepenuh cintanya bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Baginda SAW akan membawa bahagia hingga ke Syurga. Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta, melambai pergi ummah yang dirindui, pencinta yang agung telah lama pergi, tetapi cintanya tetap harum dan mekar hingga ke detik ini.


Ku cuba..senantiasa ku cuba mengikuti sunnahmu

Ku lakukan yang terbaik untuk kehidupanku

Seperti yang telah engkau ajarkan pada umatmu

Akan sentiasa ku berdoa agar dapatku mendekatimu

Di hari perhitungan kelak, aku melihat senyumanmu

Dan engkau juga melihat semula kepadaku…

wahai ikhwah akhawat sekelian.. tidak rindukah kita padanya…???



hamba yang sentiasa merindui maghfirah-Nya :

~ waznah_alhamraa' ~

12 rabi'ul Awwal 1432H, 15 Feb 2011

18:10 pm

SAAT ALLAH "PINJAM"KAN UJIAN


Ku mulakan bicara dengan ta’awwuz dan basmalah, untaian tasbih memuji Pencipta yang Maha Esa..

Kalam-Nya di dalam al-Furqan :

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”

“Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Kadang-kadang muslim yang beriman kepada Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai nabi dan rasul-Nya, berhadapan dengan kelemahan sebagai seorang manusia biasa. Dia cenderung kepada hawanya, mengikut nafsu ammarah dan melayari bahtera kehidupan dengan melalui jalan kefasikan dan penyelewengan. Oleh itu adakah di sana penyelesaian positif yang boleh mengeluarkan pemuda tersebut daripada kelemahan kepada kekuatan, membebaskannya daripada tuntutan hawa nafsu, dorongan melakukan dosa dan kongkongan nafsu ammarah?

Islam telah menggariskan penyelesaian kepada setiap muslim yang ditimpa kelemahan, digoda oleh hawa nafsu atau dikuasai oleh syahwat. Apabila dia mengambil penyelesaian tersebut, dia akan menjadi seorang insan yang suci bersih, bertaqwa dan soleh. Apabila dia berjalan di khalayak ramai, dia akan manjadi contoh teladan yang baik dan menjadi perhatian mereka.

Dalam masa dua minggu meneruskan kembara menuntut ‘ilmu di tempat saya menuntut kini, hati meronta-ronta meminta untuk kembali ke bumi barakah, ad-Dunya, Mesr.. paling tidak pun, kembali ke tanah kelahiran, membawa hati yang sepi, semakin remuk dengan perbuatan manusia yang tidak waras, menurut saya. Astaghfirullahil’azim. Ya Ilahi.. umi.. abi.. ‘ammar… rungutan dan coletehan dari teman-teman membingitkan ruang alat pendengaran saya. Entah, di mana salah dan silapnya saya sendiri tidak ketahui.

Ya Allah.. apa benar aku yang bersalah..???


Ya Ilahi …

Sepertinya, kudrat ku ini sudah tidak mampu

Ketika dunia semakin menipu

Di iringi nafsu yang meruntun malu

Sehinggalah aku… terjerumus lesu …

Ya Allah …

Ku sedari hakikat.. bahawa aku akan lemah tanpa cinta-Mu

Ku sedari hakikat.. bahawa aku akan rebah tanpa ihsan-Mu

Dan aku juga sedar.. bahawa aku pasti kecundang tanpa kudrat-Mu

Ya Rabbi …

Teruskanlah izinkan aku untuk menyentuh kembali

Rasa cinta yang suatu ketika dulu pernah ku sulami

Membuahkan rasa yang sangat manis di hati

Biarpun rintangan mendatangi diri berkali-kali

Ya Ghaffar…

Sehingga kini aku terus berharap lagi

Ingin aku meneruskan sisa ini

Untuk kembali… dan terus kembali …

Demi meraih redha dan cinta-MU ya Ilahi

Walau dosa semakin melilit diri

Yang semakin hari semakin menghijab hati …

Allahu Rabbi …


Kuatlah duhai Hati … ayuh, ubatilah ia …

Buat kalian yang sentiasa rasa berdosa, yang sering berputus asa, yang sering merasa harapan hanya sia-sia, yang sering merasa kehidupan tiada bermakna, yang merasa diri tidak pernah sempurna, yang merasa tiada arah hidup didunia. Untuk SEKETIKA.. bukalah mata, terjunlah ke lubuk hatimu yang suci. pandanglah langit tegak tinggi tanpa tiang, lihatlah bumi jauh terhampar luas. Mengapa harus kecewa dan menanggung derita? merasa harus merasa gelisah dan susah? mengapa harus bersedih dan takut? Kita tetap ada Allah, Dia begitu hampir dengan kita. Lebih dekat dari urat leher sendiri. Tadahlah tangan, mohonlah dengan penuh kehinaan, tangisilah dengan penuh kehambaan. DIA TETAP SETIA DENGAN CINTA KEPADA HAMBANYA SELAGI KITA IKHLAS UNTUK KEMBALI KEPADANYA…

Ketika kita merasa dunia ini gelap gelita, ketika kita merasa resah gelisah didada, ketika kita merasa harapan hanya sia-sia, ketika kita merasa sangat-sangat berputus asa maka sedarilah ketika itu Allah sedang berbicara dengan kita, sedang memanggil kita, sedang menanti kita untuk kembali bertaubat kepadaNya. Masakan Allah Ya Rahim sanggup membiarkan hambaNya terkapai keseorangan. Sedangkan seorang ibu akan menegur anak-anak kecil ketika leka bermain diterik mentari kerana kasih terhadap anaknya. Inikan pula Allah Yang Maha Penyayang. Allah tidak pernah meninggalkan kita sekalipun kita sering meninggalkan Allah. Pernahkah kita merasa sesak nafas secara tiba-tiba kerana melakukan dosa??

Biarkanlah Cinta kita bertasbih dalam alunan sayu dzikrullah, mengingati dosa-dosa semalam yang tetap menjadi sejarah, tanpa sedar air mata mula tumpah, Mengingati peluang yang sentiasa Engkau curahkan…

Kita sering mengeluh kerana diuji oleh Allah swt. Sebenarnya kita terlupa ujian yang Allah berikan kerana Allah rindu untuk mendengar rintihan hambaNya dan apabila hambaNya bertaubat padaNya dengan ikhlas, Allah memaafkan hambaNya dan Allah bertambah sayang pada hambaNya. Baiknya Allah swt cuma kita tidak sedar…

Yakinlah… insyaAllah, ada penawarnya …

Setiap penyakit itu pasti ada penawarnya, kecuali bila ajal mula mendekati – tiada penawar lagi. Indahnya Islam kerana di sana letaknya tegahan tetapi adanya suruhan (bimbingan), adanya penyakit turut bersamanya penawar.

Kerna itu sahabat Baginda apabila merasa runsing dan bersedih hati, mereka secara langsung mendapatkan motivasi dari Rasulullah SAW agar pencerahan kembara Ilahi jelas tanpa was-was. Mereka segera kembali kepada jalan al-Quran dan Sunnah bukan mengikut telunjuk hati yang rawan ataupun syaitan yang sentiasa membisikkan kenistaan.

Ayuh! Usahlah terus bersedih, duhai hati.. bangkitlah.. jangan jadi orang ‘kalah’ lagi. Hamparkan sejadah, lalu bertawajuh dan menadahkan tangan memohon bantuan dari-Nya. Engkau tidak keseorangan.

Fahamilah maksud di sebalik takdir ujian Allah..

Mana mungkin kita mengelakkan diri daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah s.w.t.. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: "Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita."

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Pesan Ibn Atoillah, “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

“Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Kata Imam al-Ghazali pula : cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji

Janganlah bersedih wahai jiwa, sekiranya engkau beriman kepada Allah SWT, percaya kepada ketentuan qada’ dan qadarnya – pasti ada hikmah tersembunyi. Jangalah bersedih wahai jiwa yang tenang, kerana bersangatan sedih itu membuatkan dirimu dinodai Syaitan. Janganlah bersedih wahai jiwa yang lara, kerana bersama engkau ialah Tuhan Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya.

Ingatlah, Allah Yang Satu itulah yang mengobarkan kemenangan insan terdahulu, yang mengatur urusan manusia sebelum-sebelumnya. Malah ada urusan mereka lebih sulit dari kita. Selalulah bersyukur dan mengingati Allah SWT…

Tenanglah hati… Allahu Rabbi …




Waznah_alhamraa’

12:28 am

17 safar 1432H

21 Jan 2011

SEJENAK.. BIARKANLAH AKU DI KAKI LANGIT-MU


Ya Allah.. di kaki langit-MU yang kukuh ini…sejenak ku berdiri sendiri
Menjahit segala asa dan mimpi dengan benang-benang do’a untuk-MU yang tiada henti
Biar ku sulam dengan keikhlasan sepenuh hati
Agar bisa ku khabarkan pada saat menghadap-MU nanti...

Ya Allah... biarkanlah di kaki langitMu yang kukuh ini... sejenak kurenungi..
Indahnya ayat-ayatMu yang terbentang, rezekiMu yang sentiasa melimpah..
ku lihat di sebelah sana, padi bergerak manja searah angin
dan di dalam setiap padi itu adanya rezeki-MU...
berdiri kukuhnya diatas tanah yang juga adalah anugerah-MU..
tidak ada seruas jarak pun tanpa Engkau yang mengatur segala-galanya..
Robbi... rezeki-MU begitu indah...

Ya Allah.. di kaki langit-MU yang kukuh ini, sejenak ingin ku tumpahkan segala asa
Betapa sekian waktu yang telah Engkau berikan padaku..
Tapi belum mampu untukku mengukir waktu itu dengan tinta emas-Mu..
Terkadang.. waktu itu hanya ku habiskan untuk memikirkan duniaku..
naifnya aku ya Ilahi... kerna ku tahu akhirat-Mu itu kekal adanya..

Ya Allah… di kaki langitMu yang kukuh ini...vgundah itu semakin mendera gelisah yang telah lama menyapa...
hingga ke relung hati yang teramat dalam..
Betapa ku takut... tika waktuku tidak lama lagi di dunia ini..
Ya Allah..sungguh ku takuti kerna belum mampu untukku menyiapkan bekal yang banyak..
bekalan untuk pulang ke kampung akhirat...
Sedangkan hari terakhir itu bisa setiap saatkan ku temui...

Ya Allah.. di kaki langitMu yang kukuh ini.. izinkanlah aku menguntai pinta..
ku mohon, ampunkanlah segala dosaku ya Allah... berikanlah aku ruang waktu untuk memperbaiki diri..
Agar bisaku berbuat sesuatu untuk-Mu, ayah bundaku, keluarga, ummah serta agamaku...
Walaupun itu tidak memberi warna pekat dalam kehidupan ummah..
Tapi kuharap akan mampu turut mewarnai kehidupan dakwah di bumi ini.. walaupun hanya samar-samar.. namun tak mengapa... itu akan menjadi sangat bererti untukku...
Agar dapat siapkan senyuman terindahku saat Engkau menjemputku...
Allah...terima kasih untuk segala anugerah yang telah Engkau berikan....

Saat dan ketika ini, saat Allah masih berkenan meminjamkan bumi-Nya untuk kita tempati dan duduki, saat awan masih berarak tinggi, dan saat molukel udara pun masih mampu kita sedut untuk memenuhi rongga-rongga pernafasan kita.. ketika ini, saat kita masih berada dalam sebuah lingkaran pelangi yang bernama kehidupan.

Sejenak inginku renungi tentang kehidupan, kehidupan yang selama ini mungkin sering terabaikan kerna betapa seringnya waktu itu hanya di habiskan untuk mengikuti rima hidup yang semakin cepat, yang semuanya melebur dalam sebuah dimensi kehidupan yang semakin lama akan menjadi semakin usang.

Sejenak inginku renungi perjalanan hidup yang sudah pun dilalui. Sejak saat baru menapaki dunia, sampai saat ini dengan usia yang telah berbilang tahun. Semuanya berjalan dengan begitu cepat dan pantas. Rasanya baru semalam memakai seragam putih merah, tapi saat ini, seragam putih abu-abu pun telah lama dilalui, rupa-rupanya waktu telah berputar dengan pantasnya..

Setiap saat usia bertambah, amalan tidak juga bertambah-tambah. Entah coretan kisah apa yang sudah menghiasi buku takdir. Masih sangat sedikit tinta warna kebaikan yang mampu ditorehkan, terlalu sedikit. Tidak setimpal dengan usia yang telah Allah berikan, akan sangat tidak seimbang dengan segala nikmat yang telah di anugerahkan.. sungguh malunya diri pada Sang Empunya JIWA, betapa malunya... seperti sudah tidak sanggup lagi walaupun sekadar memperlihatkan wajah ini..

rasailah.. hayatilah.. betapa berharganya kehidupan ini, sangat berharga…bahkan walau hanya seminit, kerna apa..??? kerna di dalam waktu seminit itulah 60 detik pasti mampu kita lalui. Dan dalam waktu 60 detik itu entah berapa banyak helaan nafas yang mampu kita rasakan, dan dalam waktu seminit itu kita masih bisa berbuat kebaikan, walaupun hanya seminit.. seminit…

Dalam seminit, kita dapat perbanyakkan bersyukur pada Allah atas segala kebaikan yang sudah diterima, dan dalam waktu seminit itu kita bisa memberikan kebaikan buat orang lain walau hanya dengan seulas senyuman, asalkan datang dari hati yang ikhlas. Senyuman itu akan menjadi mutiara yang indah di hati insan yang melihatnya. Ya Allah, izinkanlah agar aku bisa terus mampu melewati minit-minit dalam kehidupan ini dengan sesuatu yang lebih bererti. Tidak hanya untuk diri sendiri, orang-orang terdekatku, untuk semuanya, bahkan untuk alam yang senantiasa bertasbis memuji betapa muliaNya Sang Pencipta…

Ku mohon ya Rabbi… dengarilah rintihan ini…

KEMBARAKU.. MENGINGATKAN KEPADA TARBIYAHMU

Ya Rasulullah..

Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah wa syukurillah...

Limpahan puji kehadrat Ilahi, Maha luhur, Maha menguasai kehidupan, Maha menguasai ruh dan menempatkannya di dalam jasad, Maha memilihkan tempat bagi ruh, untuk muncul di dalam jasad hambanya, sehingga ruh itu mempunyai alat untuk berbicara, sehingga ruh mempunyai alat untuk melihat, mendengar dan berbuat dengan pancainderanya, sehingga ruh diberi manqudzah dan darjat yang mulia oleh Allah untuk termuliakan, semakin dekat kehadiratullah jalla wa’ala, sehingga dijadikanlah tubuhnya ini alat untuk mencapai keredhaan Ilahi.. selawat dan salam buat imamul muttaqin, panglima para mujahidin, junjungan kita Muhammad s.a.w, seorang Nabi yang amanah serta buat kaum keluarganya, para sahabatnya dan mereka yang mengikut pimpinan mereka hingga ke hari kiamat.

Ketika selesai izin Robbul’alamin bagi seorang hamba untuk hidup di atas bumi-Nya, selesai izin baginya untuk makam dan minum dari rezki di atas bumi-Nya, selesai izin dari Allah bagi hamba-Nya untuk menggunakan panca inderanya dalam hidupnya, maka Allah memisahkan ruh dengan jasadnya. Jasad dikembalikan kepada asalnya diperut bumi dan berpadu dengan tanah dan ruh mendapatkan pembawa kemuliaan yang dibawanya di masa hidupnya ataupun membawa kehinaan yang ia lakukan dimasa hidupnya. Kembali ruh berpisah dengan jasad sebagaimana sebelum ia masuk ke alam dunia, iapun kembali berpisah dan selesai di alamulbarzakh didalam pertanggungan jawab atas setiap detik masa hidupnya dimuka bumi.

Alhamdulillah.. usai majlis tauzi’ as-Syahadah ( kuliah al-Lugha ‘Arabiyah – Jami’ah Qaherah ) setelah hampir sebulan kembara “hati” menuntut ‘ilmu di bumi barakah, ardul kinanah, ummu ad-Dunya.. subhanallah, permusafiran HATI yang sangat-sangat berharga. Bukan tidak pernah di lamar bumi Mesir ini, namun percaturan Allah siapa yang tahu... semuanya di dalam Pengetahuan Yang Maha Esa. Namun akhirnya, Allah menjawab “permintaan” hamba yang lemah ini.. dan saat Hati mula tertaut, biarlah hanya DIA yang mengetahuinya. Tahniah di ucapkan kepada sahabat-sahabat yang telah berjaya. (Alhamdulillah semuanya Jayyid Jiddan..)

insyaAllah.. kisah permusafiran HATI akan di lanjutkan dalam entri yang akan datang.. ( menunggu masa yang sesuai =) ).. di saat hati mula tertaut pada keindahan bumi barakah, setiap butir pasir dari bumi Allah adalah sejarah para anbiya’.. air jernih mengalir perlahan dari kelopak mata yang sentiasa merindui untuk bertemu empat mata dengan kekasih Allah, Muhammad S.A.W. apa aku berhak untuk bertemumu ya Rasulullah, ketika aku lalai mengingati Penciptaku dan Kekasih-Nya...? Sedangkan kau sentiasa merindui umatnya. Malunya aku padamu ya Rasulullah..

setiap langkahan kaki yang berlalu, mengingatkan kepada anjuran dan ajaran tarbiyah Rasulullah S.A.W. kepada ummatnya. Ya Allah yang Maha membangkitkan ke alam penyeru kejalan keluhuran, yang seruan Nabi ini dilangsungkan dan diteruskan dari zaman ke zaman, dari generasi ke generasi, cahaya hidayah dilangsungkan oleh Allah dari jiwa mulia menuju jiwa mulia, menerangi hati si fulan menularkan cahayanya kepada jiwa lainnya, demikian rahsia kemuliaan kebangkitan sayyidina Muhammad SAW wabarik ‘alaih.

Kemuliaan dari satu jiwa yang dipenuhi hikmah Ilahi, dipenuhi cahaya kemuliaan al-Qur’anul karim, lantas disampaikan kepada jiwa-jiwa suci Muhajirin dan Anshor, mereka menerima kemuliaan cahaya risalah dan bimbingan-bimbingan Nabi SA.W., mereka menerima budi pekerti terindah, menyaksikan makhluk yang paling indah, menyaksikan budi pekerti yang paling indah, menyaksikan akhlak yang paling suci, sehingga mereka tenggelam meninggalkan seluruh idolanya, mereka tidak mengenal idola yang lain, selain Nabiyyuna Muhammad SAW, mereka lupa dengan semua yang mereka cintai, mereka asyik kepada manusia yang paling lembut dan berkasih sayang, manusia yang paling banyak tersenyum, manusia yang paling ramah, Nabi SAW wabarik ‘alaih, sehingga Allah memuji Baginda dalam Firman-Nya: “ Waman ahsana qoulan mimman da’aa ila Allah wa ‘amila sholihan wa qoola innanii minal muslimiin”, mafhumnya : “Adakah ucapan yang lebih indah kata Allah selain ucapan orang yang menyeru kejalan Allah dan kepada amal soleh dan berkata sungguh aku adalah orang yang muslim”

Ayat demi ayat turun, sehingga kemuliaan demi kemuliaan disampaikan. Lihatlah pada hadith, dimana semulia-mulia tuntunan sang Nabi, seraya menjaga kita dengan budi pekerti yang indah “Iyyaakum wazzhon fa innazzhonna akdzabul hadith”, berhati-hatilah kalian dengan sangka buruk kerana sangka buruk ucapan itu adalah yang paling dusta”, di sini menunjukkan Nabi membimbing kita untuk terhindar daripada permusuhan dan perpecahan, diteruskan oleh Nabi S.A.W : “walaa tajassasu“ dan jangan mencari-cari ‘aib orang lain, “walaa tahassasu” jangan berusaha mencari-cari khabar tentang buruknya ‘aib orang lain, “ walaa tabaaghoduu”, jangan saling membenci satu sama lain “walaa yakhthub rojulu ‘alaa khithbatii akhiihi hattaa yankiha auyatruk” akhlak Nabi , jangan melamar seorang wanita yang sudah dilamar oleh muslim yang lainnya sampai ia menikahinya atau tidak jadi menikahinya”.

Namun kini, ini adalah antara tuntunan-tuntunan yang sekiranya kita teliti biasa saja tetapi sekiranya dilaksanakan, orang yang melakukan ini akan menjadi pembuka kebahagiaan bagi masyarakatnya, akan dijadikan panutan, akan dijadikan idola, akan dicintai dan akan menjadi sebab terjadinya kebahagiaan dan kesejahteraan di masyarakatnya, apabila muncul dua, tiga, empat atau lebih orang yang sedemikian maka dunia ini akan indah bila kita mengikuti makhluk yang paling indah, Nabiyyuna Muhammad SAW yang diciptakan oleh yang Maha Indah, Allah S.W.T.

Al-Hafizd al-Iman Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitabnya fathul bari bi syarah Sohihul Bukhari, menukilkan (mengutip) makna dari hadith ini, bahawa yang dimaksudkan tidak boleh melamar wanita yang sudah dilamar oleh orang lain ini, ‘ala sabilil ikroh, makruh bukan haram, tapi dari jalan adab dan menjaga perpecahan, bukan tidak sahnya lamaran, lamarannya tetap sah, kalau seandainya hal itu belum menjadi pernikahan, akan tetapi hal seperti ini hal yang menjadi sebab perpecahan sehingga dilarang oleh Nabiyyuna Muhammad SAW. Para Rasul selalu menjaga dan menasihati agar kita selalu di dalam kemuliaan, selalu dalam kedamaian, dan sentiasa dalam persatuan.

Para pembaca yang dimuliakan Allah. Dan (dialah) Rasul SAW yang menyampaikan kepada kita, umatnya cara-cara termudah dalam kehidupan. Rasul SAW dari bentuk keindahan tuntunannya, untuk orang-orang daripada pemuda yang akan melakukan pernikahan ada bimbingannya dari sang Nabi, dalam berumah tangga ada bimbingannya, dalam bermasyarakat ada bimbingannya, dalam bermu’amalah (berbakti) pada ayah dan bonda ada tuntunannya, dalam berbuat kepada anak-anak dan keturunan ada tuntunannya.

Kita lihat bagaimana Nabi S.A.W pernah bersabda, riwayat Sohih Bukhori: “Tazawwajuu walau bikhootim min hadiid” nikahlah kalian walau dengan mahar cincin dari besi”. Kelihatan hadith ini singkat saja, walaupun mengandungi sedemikian banyak hikmah-hikmah mulia, namun ini menunjukkan Nabi S.A.W mengangkat harga terbesar untuk kaum wanita, sekiranya kita membaca sekilas seakan-akan ini menghina kaum wanita, masakan maharnya adalah dari cincin besi? Berapa harga cincin besi? di jalan juga banyak besi yang dilebur membentuk cincin. Hakikatan, Rasul SAW ingin mengajarkan bahwa mahar bukan untuk membeli wanita, sebahagian orang tersalah menafsir, mahar adalah untuk membeli dan menghalalkan wanita.

Sedarilah... Wanita tidak bisa dibeli kehormatannya, oleh sebab itu Rasul SAW memberikan mahar yang demikian kecilnya dalam akad nikah, demi untuk apa? pertama menjaga perzinaan. Banyak lelaki dan wanita yang sudah ingin menikah tertahan gara-gara belum adanya harta yang banyak, terjadi pernikahan dan kehamilan sebelum menikah, ini yang pertama. Yang keduanya adalah untuk menghargai darjat wanita tersebut, menghargainya dengan adab dan akhlak, bukan dengan harta atau emas dan perak, kalau yang menghargainya dengan emas dan perak yang mahar, maharnya sudah sedemikian mahalnya, selesai ia menikah ia berkata; engkau milikku, sudah besar-besar ku keluarkan maharnya, kan kira-kira begitu? tentunya tidak demikian. Islam menghargai kaum wanita. Ini mahar yang demikian tiada ertinya, dalam hadiah dipersilakan mahar semahal apapun.

Lanjutannya, Rasulullah meneruskan lagi ”Aulim walau bi syaah” Riwayat Sohih Bukhori, adakan jamuan pernikahan “jamuan pernikahan itu sunnah, walau dengan seekor kambing yang disembelih saja”. Berfikir puluhan juta, ratusan juta, makin murah makin malu, justeru makin mahal makin jauh dari sunnah Nabi Muhammad SAW, semakin besar boleh-boleh saja, tapi yang sunnah adalah yang sederhana. Para pembaca yang di muliakan Allah, insyaAllah, ini yang mesti difahami oleh muslimin muslimah yang akan menikah atau yang putera-puterinya akan menikah atau yang kelak mempunyai anak yang akan menikah, perhatikan sunnah Nabi Muhammad SAW hal ini membawa keberkahan.



insyaAllah, akan bersambung....

YA ALLAH... KHABARKANLAH PADANYA...


bismillahirrahmanirrahim...

rintihan sekeping HATI.. ya Allah, pemilik abadi HATI setiap hamba2-Nya.. andai si dia bisa mendengar dan membaca apa yang terbuku di HATI ini... khabarkanlah padanya ya Allah.. agar saja aku dan si dia bisa tenang....


khabarkanlah pada si dia, aku ada pesanan untuknya,
Tolong beritahu si dia, cinta yang agung hanyalah cinta-Nya,
Tolong khabarkan padanya, cinta manusia bakal membuatnya alpa,
nasihatkanlah dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa,
Tolong nasihatkan dia, jangan mengingatku melebihi dari dia mengingati Yang Maha Kuasa,
khabarkanlah padanya, jangan mendoakanku melebihi doa dia kepada ibu bapanya....

katakanlah padanya, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga,
katakanlah padanya, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya,
ingatkanlah si dia, aku terpikat kerana imannya bukan rupanya,
ingatkanlah si dia, aku lebih cintakan zuhudnya bukan hartanya,
ingatkanlah dirinya, aku kasihinya kerana santunnya,
tegurilah dirinya, ketika dia mulai mengagungkan cinta manusia....

tegurilah si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya,
ingatkanlah dirinya, andai nafsu mengawal fikirannya,
sedarkanlah si dia, aku milik Yang Maha Esa,
ingatkanlah dirinya, aku masih milik keluarga,
nasihati… dan sedarkanlah si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya

sabarkanlah dirinya ya Allah, andai diri enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta,
sabarkanlah dia, ketika jarak menjadi penyebab bertambah rindunya,
pesankanlah padanya, aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya,
pesankanlah pada dirinya, aku tidak mahu menjadi puncak kegagalannya,
pesankanlah padanya ya Allah, aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya,
khabarkanlah pada si dia, aku tidak mahu membuat dia terlena....

khabarkanlah padanya ya Allah, aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya,
khabarkan juga padanya, jadilah penyokong dalam kejayaanku,
sampaikanlah pada dirinya, aku mendambakan cinta suci yang terjaga,
sampaikanlah pada si dia, cinta kerana Allah tidak ternilai harganya,
khabarkanlah padanya, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa,
ku mohon ya Allah, sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri...

~yang teristimewa untuk kamu… bakal Imam ku …~



Islam tidak melarang manusia daripada rasa cinta, namun arahkanlah rasa cinta itu agar berjalan di atas landasan yang menjaga martabat kehormatan, baik wanita mahupun lelaki. ketika kita jatuh cinta, perlu berhati-hati… ibaratnya minum air laut, semakin diminum semakin haus. Cinta yang sejati adalah cinta yang tumbuh selepas akad nikah…

kendalikanlah rasa cinta dengan menjaga pandangan, tidak berkhalwat atau berdua-duaan dalam bentuk apapun dan tidak saling bersentuhan apatah lagi bercium dan berpelukan, memang jelas haramnya..

sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berkhalwat (berduaan di tempat sepi), sebab syaitan menemaninya, janganlah salah seorang daripada kalian berkhalwat dengan wanita, kecuali disertai dengan mahramnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika bimbang keterlanjuran cinta, alihkan rasa cinta itu kepada Allah dengan membanyakkan selawat, dzikir, istighfar dan solat sehingga kita tidak diperdayakan oleh nafsu. Pabila kita hampir tewas, nafsulah yang telah memperdayakan kita.

CINTA itu sebahagian daripada fitrah manusia. Azalinya memang sudah ada dalam diri kita. Bersyukurlah ketika diberi rasa cinta dan mampu menyingkap rasa cinta itu dengan tepat dan menurut syari’ah.

Bercinta tidak salah jika diniatkan untuk menuju alam perkahwinan yang diredai Allah. Nabi Muhammad SAW berpesan tentang cinta yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud: “Wahai generasi muda, barang siapa di antara kalian mampu serta berkeinginan untuk bernikah. Kerana sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan barang siapa di antara kalian belum mampu, maka hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi penghalang untuk melawan gejolak nafsu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Apabila kita sudah membetulkan niat, maka kita mesti menjadikan diri kita ‘solehah’ agar si dia yang soleh juga akan datang menemui kita atau ditemukan Allah. ingatlah bahawa jodoh adalah ketentuan Allah, manusia hanya boleh merancang dan berusaha tetapi Allah yang menentukan. Kita cuma dapat berusaha mencari jodoh yang baik menurut Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.” (Surah al-Imran, ayat 14)

aku, kamu dan kalian semua….

Cinta paling tinggi martabatnya adalah cinta kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah. “Cinta itu berkembang. Kita tidak jatuh cinta. Cinta pandang pertama adalah satu mitos. Sebenarnya perasaan cinta itu berkembang dari semasa ke semasa. Lebih lama kita memahami, mengenali seseorang itu, akan lebih dalam perasaan cinta. Namun, menurut beberapa kajian dan perkongsian pengalaman, ternyata cinta pertama tidak diperlukan sebagai asas kebahagiaan tetapi boleh membantu untuk mencapai kebahagiaan…”

Wallahu’alam… moga mendapat manfaat bersama…




waznah alhamraa'

4:00 pm

cairo~

BERMUSAFIRLAH ...

Bismillahirrahmanirrahim…

Subhanallah... Alhamdulillah... AllahuAkbar...

Infiniti syukur dirafa’kan kepada Rabbul Jalil atas nikmat iman dan Islam sehingga memungkinkan kita untuk terus bernafas.. mendapat kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Alhamdulillah, kita masih sempat bersua dengan tahun baru hijrah 1432H yang pastinya di sana kita telah menginterpretasikan makna sebenar hijrah ke dalam kehidupan seharian kita, insyaAllah.

Firman Allah SWT:

Bermaksud : “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhjirah kepada Allah dan Rasulnya, kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang dituju, maka telah tetap pahala di sisi Allah., dan adalah Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (an Nisa’:100)

Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar demi melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana makna hijrah itu sendiri ialah satu pengorbanan untuk membawa perubahan…

Hijrah menuntut ilmu

ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah.

Ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain.. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: “Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.

Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi.. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat., seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah di dalam al-Furqan, mafhum: “Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:“Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang syari’at, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi semata.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran, pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (Hadis riwayat Ibn ‘Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Awasi sifat MALAS mu…

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu, bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

NIAT itu PENTING!

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: “Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.”

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

BERMUSAFIRLAH…

Sesungguhnya bermusafir boleh dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa dengan banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatikan ketika berkunjung serta menziarahi sesuatu destinasi.

Firman Allah yang bermaksud:

“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)

Jelas sekali tujuan bermusafir yang dianjurkan Islam ialah digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda si musafir hendaklah dibuka dan berdoa supaya Allah memberi hidayah serta kebaikan daripada aktiviti permusafirannya itu.

Walaupun permusafiran hanya bersifat santai, tetapi tidaklah hingga kita lupa untuk berfikir kerana ketika merehatkan diri, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika bermusafir.

Sesiapa tidak dapat merasai sebarang minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya sudah mati dan minda menjadi tertutup.

Bermusafir bukan sekadar ingin berhibur. Sesiapa yang bermusafir hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan mendapat manfa’at di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti bermusafir sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

Harus di ingati, ketika bermusafir hendaklah menjaga nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti yang membabitkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.” (Surah Ali Imran, ayat 112)

Dalam permusafiran, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama daripada segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan dan kehidupan masyarakatnya.

Allah menyuruh supaya kita melihat setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat daripada sudut keimanan. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?” (Surah al-Mulk, ayat 3)

Si musafir seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan supaya dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan umatnya menimba sebanyak pengalaman untuk dimanfaatkan ke arah memperbaiki diri serta kehidupan.

Falsafah ini dapat difahami daripada maksud hadith Rasulullah SAW yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh sahabat mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain bagi mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ.

Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad SAW pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat. Apa dilakukan Rasulullah SAW membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan pasaran ke seluruh dunia.

Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab dalam perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh nusantara dan benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan.

Bermusafir juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat di tempat masih mundur. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri dan masalah jenayah berleluasa.

Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan berasa bersyukur dapat hidup di negara aman damai ini. Perkara ini dijelaskan Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” (Surah al-Anam, ayat 11)

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

“Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa.” (Surah an-Naml, ayat 69)

Kita perlu insaf mempelajari perkara baru sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan mengenai setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama. Dengan kata lain, bermusafir atau mengembara adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.


tika ini, aku mula belajar untuk memahami erti kehidupan...

.. Hidup ini menjanjikan seribu kemungkinan yang kita tidak mampu untuk mengetahui walaupun sesaat dari sekarang. Akan tetapi kita mampu merancang dan berusaha serta tawakal bagi mendapat yang terbaik ..



* untuk akhi.. jazakallah atas kata-kata dari akhi, insyaAllah, akan sentiasa terpahat di hati.. "bumi Allah ni luas, bila lagi mahu melihat khazanah dan kebesaranNya.. bermusafirlah ..."

* dalam masa beberapa jam lagi, akan berlepas ke ardul kinanah.. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, akhirnya umi dan abi izinkan juga musafir ke sana.. mohon do'a sahabat2 ya.. (^^,)




7 muharram 1432H
13 disember 2010
12:56 am


- alfaQirah ila Allah -
~ waznah alhamraa ~