SEMERBAK RAMADHAN


السلام عليكم ورحمة الله وبركته

بسم الله الرحمن الرحيم


SEMERBAK RAMADHAN…


Bagaikan berabad merindu

Ambang keberkatan melambai restu

Cahya purnama berjuta sinar

Memancar kasih al-Akbar

Hamba mereguk hikmah di piala iktibar

Ramadhan, padanya ada saksi kegemilangan

Detik dugaan detik kemenangan

Ketika wahyu meyapa Iqra’

Runduk dan tundukkan kebatilan yang di takluk al-Haq

Itulah purnama unggul al-Mubarak

Bagaikan setitis air di paruh camar

Kurniaan-Nya selautan yang tinggal

Demikianlah nikmat yang tidak terjumlah

syukuri langkah, jejaki ibadah

hayatilah ia… semarak Mardhotillah..

marhaban purnama keberkatan..

taman mengelopakkan kembang kasih

qalbu dan indera mengaroma rindu

bersama restu selama-lamanya..

langkah bermula… menuju redha

titik tulus jejak si hamba

hayat digetarkan hanya kerana-Nya

membangun peribadi, membina insan...

bermula di Qalbu

ihsan menakluk gerak hayat

peribadi berkilau dengan akhlaq

pimpinan purnama al-Mubarak..

tika Iman menatap jelas

pada satu kehidupan abadi

menggilap hayat dengan yakinnya diri

jalan yang lurus.. pimpinan meuju ukhrawi

puasa Qalbu dari degup mazmumah

puasa fikir dari mungkar aqliah

puasa indera dari ingkarnya arah

sederap langkah menuju redha Allah

mewangi… teguh kasih insaniah..

siapa yang keluar dari cahya

pasti akan merasa siksa dalam golmatnya

deen menyemarak Qalbu dengan cinta

menghantar sinar di kegelapan duga

kemilaukan hayat dengan redha..

seperti juga pelita

sumbu juga minyak tanah

cahyanya akan tumbuh bersama

demikian juga umara’

akan menyatu pada ummah

mengabdikan sinarnya

agarnya ianya terus bernyala..

sayap taqwa berkepak pada cinta

terbang hinggap di ranting-ranting amal

merimbunkan ihsan

melahirkan iltizam bertunjangkan iman

merbu qalbu berkicauan…

pada pohon hayat

ramadhan… berkilaunya kasih ar-Rahman

nur ukhuwwah menyilaukan keinsanan

qalbu bercahya Iman dan Ihsan

meyinari diri menyinari insan

pada fitrah.. di ukir keimanan

lakaran indah dalam sebuah kehidupan

peribadi teguh di hadapan dugaan

pasrah menjaring hikmah kebaktian

jejak memaknakan hayat

harum mewangi di taman umat…

ayuh.. binalah jema’ah

di bawah naungan kubah ukhuwwah

cinta dan cinta kan terangkat

di menara keredhaan.

Ramadhan… mengimarahkan pertemuan

Hiasilah masjid itu bagai kan naungan Quba

Terus makmur selama-lamanya..

Di hujung lisan mengalirnya mahmudah

Kalam dilafaz bermuarakan Imaniah

Betapa jernihnya sungai citra

Tika kata berlabuh di dermaga makna..

Sinar shaum menerangi fikrah

Qalbu yang tabah berkerdipnya cahya iatiqomah

Betapa luasnya lautan hikmah

Pada setiap percikan ibadah

Jasad di duga dengan dahaga

Menyapa derita si dhu’afa

Seufuk hikmah memancar sejahtera

Segenap matra.. dalam dalam bertemu-Nya

Bagaikan Hira benderang oleh Iqra

Percikan kalam Tuhan yang Maha Esa

Menyinari gua kejahilan

Insan memacu gemilang

Tamadun ilmu tamadun iman..

Nurani disirami.. sejuk Qurani

Diri bergetar mengimarahkan alami

Zaman terbina sejahtera hakiki

Sejahtera dalam menuju ukhrawi..

Pada sehelai fitrah..

Warnakan ia dengan aqidah

Hidup mengalir di muara Kalamullah

Berlayar ke pulau Khaira Ummah

Ditemani nakhoda Istiqomah..

Al-Qodr - malam mewangi kembang rahmah

Kasih terangkat seribu hasanah

Hamba pasrah menenun amali

Rindu paling kudus di hati

Qalbu bersimpuh memohon redha

Memohon maghfirah naunangan rahmah

Gemilang detik dipancar kasih-Nya

Malam utama.. sejahteralah hingga ke fajarnya..

Jangan dipersiakan detik ini menjelang

Tika diri bertemu baktimu wahai cemerlang

Mujahadah di makam yang gemilang..

Doa - senjata yang kadangnya alpa di asah

Sementara tajamnya di hunus sahabah

Kemenangan tertawan ditakluki iltizam

Pinta berterusan berpaut pada kasihnya Tuhan

Tika merafa’ kan pinta

Qalbu mula mengakrabi redha

Pohon merimbun kerundukan dan ketundukan jiwa

Perkenaan-Nya meneduhkan hayat..

Kurnia penghidupan …

Percikkan dengan nur keinsafan

Dari-Nya terpancar sinar kebahagiaan

Pada-Nya juga kilaukan kesyukuran

Bisa kita jaringkan pada kerdipnya dugaan..

Saat Dia mendugamu dengan kurnia

Juga terkadang oleh nafsu haloba

Diri faqir dari cinta

Usah terus kekal di sana

Kerna kesalmu tidak kan selamanya..

Bening langit kemenangan

Kudus qalbu ke hadrat as-Salam

Syahdu takbir menyapa keagungan

Salam kema’afan menjabat silaturrahim

Tasbih mewangi pada lisan

Di qalbu ini berkebunnya keinsafan

Semerbak taqwa di pohon kehidupan

Maha Suci ar-Rahman..

Tinggalkanlah gurun pasir dendam

Kita berkafilah ke wadi ihsan

Sejuk dan jernih lembah ukhuwwah

Kembara tiba di wilayah insaniah..

Ramadhan…

Kehadiran mu senantiasa di nantikan..

Pemergian mu pasti di tangiskan..

Moga ada kesempatan..

Untuk bertemu dengan mu Ramadhan..

Agar kita bisa hangatkan jalinan persahabatan..

Kita sulamkan kasih persaudaraan..

Dan kita jernihkan ikatan silaturrahim..

Aduh Ramadhan yang kian pergi…~



~ waznah alhamraa’ ~

00: 24 am

24 Ramadhan 1432 H

24 ogos 2011

BINGKISAN HARI-HARI TERAKHIR RAMADHAN

بسم الله الرحمن الرحيم

سلام الله عليكم جميعا

Cahya Ramadhan….

Alunan suara indah menawan

Irama khusyuk yang mampu menggetarkan Iman

Baca dan hayatilah al-Quran, wahyu agung dari Tuhan..

Berteleku sendirian.. di malam bulan Ramadhan..

Indah jelita menawan hati

Lidah berkata “Allahu Rabbi”

Insan… pastikan hidup tenteram dan aman

Demi mulianya bulan Ramadhan

Terbayang indah dijiwa raga

Cahya indah purnama raya

Bagaikan di Syurga Malaikat berjaga

Dikawal bidadari.. semuanya sebaya..

Biar bersinar cahya Ilahi

“Allahu Akbar” .. menjadi teman, bisikan hati

Dunia bersinar.. cahya Ilahi

Seluruh makhluk mengucap tasbih

Bumi dan langit pun turut memuji

Mengabdikan diri.. pada yang Maha Pengasih

Umat berbakti.. tunduk meng’abdi…

Rukuk dan sujud.. memuja Ilahi..

Segala puji hanya bagi-MU ya Allah, Engkaulah yang mengatur hidup dan kehidupan. Engkaulah yang menguasai seluruh kekuasaan, Engkau anugerahkan kekuasaan bagi yang Engkau kehendaki. Engkau cabut hak berkuasa dari siapa yang Engkau kehendaki, Engkau muliakan siapa saja yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapapun yang Engkau kehendaki, di tangan-MU segala kebaikan, membalas kebaikan dengan kebaikan yang jauh lebih banyak lagi, dan membalas keburukan dengan keburukan yang setimpal. Engkaulah yang berkuasa atas segala sesuatu.

Ayuh.. tebak iman seketika.. =)

Cuba cermati diri dengan adil dan saksama, bandingkan perbuatan baik dan buruk yang kita lakukan sehari-harian. Mana yang lebih dominan? kebaikan ataukah keburukan? Mana yang terlebih dahulu kita lakukan, kebaikan, atau keburukan? Mana yang terasa berat kita pikul? Kebaikan, atau keburukan? Allahu wa Rasuluhu ‘alam ( Allah dan Rasul-Nya juga yang lebih mengetahui ). Asal kita sedari hakikat, bahwa semuanya juga pasti ada balasannya. Dan kita sebagai “Hamba” tidak akan pernah bisa menghindar, semuanya itu akan ada perhitungannya di hari muka kelak.

Sedar tak sedar.. umat Islam kini sedang berada di dalam fasa terakhir di dalam bulan Ramadhan iaitu fasa pelepasan daripada azab api neraka. Rupa-rupanya kita telah pun meninggalkan dua fasa yang tidak kurang pentingnya kepada kita. Kita terus melangkah ke hadapan dan bukannya ke belakang, dan masa yang berlalu pergi tidak mungkin bisa di putar kembali. Muhasabah diri – apa sudah cukup amalan selama berada dalam fasa pertama dan kedua? Bagaimana dengan tadarrus kita? Qiyam kita? Sedekah kita? Muhasabah, munajat dan doa kita??? Apakah kita layak untuk mendapat rahmat di fasa pertama dan keampunan Allah di dalam fasa kedua??? Subhanallah, semoga Allah sentiasa terima amalan kita.

Begitu banyak kelebihan dalam bulan penuh barakah ini yang tidak terhitung banyaknya. Moga-moga saat kehadiran Ramadhan beberapa hari yang telah berlalu, kita tatapi dengan pandangan yang redha dan kita melihat Ramadhan sebagai satu kesempatan setahun yang hanya akan hadir dalam tempoh sebulan. Namun, sekiranya kita hayati dan kita dalami fadhilat dan hikmah bulan Ramadhan Kareem itu, pasti kita akan menginginkannya berlangsung selama setahun. Sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya yang bermaksud : “sekiranya seseorang itu tahu kelebihan Ramadhan, nescaya dia menginginkan setahun ini menjadi Ramadhan keseluruhannya” [ HR at-Thabarani ]. Itulah tanda-tanda kerinduan seorang mukmin, dengan ketaqwaan, qalbunya mengerdip pada kecintaan amal dan hikmah yang sentiasa disukai Allah SWT.

MADRASAH TARBIYAH RAMADHAN

Tiada kata yang dapat diungkapkan untuk menyatakan betapa syukurnya kita kerana masih lagi dipilih sebagai 'pekerja' untuk menyiapkan 'PROJEK MEGA TAHUNAN' untuk tempoh 11 bulan yang akan datang. Ya!!! Ramadhan satu projek mega dari Allah. Bersyukurlah kita masih diberi peluang selama sebulan untuk sama-sama perbaiki diri serta terpilih memasuki madrasah tarbiyah Ramadhan untuk memastikan diri kita menjadi insan yang bertaqwa bukan setakat bekalan pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi sebagai bekalan berterusan untuk 11 bulan yang mendatang.

Para ulama' menyifatkan bahawa Ramadhan adalah sebagai satu madrasah (sekolah), madrasah mutamayizah (sekolah elit/bestari) serta sebagai kedatangan rabi'ul abrar (musim bunga) untuk menggambarkan betapa indahnya Ramadhan dan betapa bersyukurnya sekiranya terpilih berada di dalam Ramadhan. Semua orang tahu setiap sekolah mempunyai matlamat, sistem serta kurikulumnya tersendiri. Demikianlah dengan madrasah Ramadhan.

Kurikulum yang dicipta adalah khusus bagi melahirkan para graduan muttaqin kepada Allah SWT. Sekolah rendahnya ialah ISLAM manakala menengahnya pula ialah IMAN. Kemudian, barulah melangkah ke menara gading TAQWA. Sekiranya berjaya, maka lahirlah golongan 'muttaqin'.

Ketika Sekolah Ramadhan telah mula memasuki fasa yang kedua, barangkali kita boleh lihat keghairahan segelintir umat Islam yang berlumba-lumba dan bersesak-sesak memenuhi masjid dan surau-surau di awal Ramadhan, kian mula berkurangan. Di satu sudut yang lain kelihatan umat Islam berpusu-pusu ke tapak Bazar Ramadhan bagi mencari juadah berbuka sekaligus memberi laba yang lumayan kepada komuniti peniaga.

Apapun ganjaran pengampunan dosa yang disediakan oleh Allah SWT di bahagian kedua daripada Ramadhan tidak sewajarnya dipersiakan. Ironinya sebagai manusia biasa kita sering terdedah kepada melakukan gejala dosa dan maksiat yang terlarang. Maka peluang diampunkan dosa terbuka luas bagi sesiapa yang menyedari hakikat tersebut disamping terus melakukan pelbagai bentuk ketaatan yang dapat menghapuskan dosa.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Bertakwalah kepada Allah SWT walau di mana sahaja, ikutilah kejahatan dengan melakukan kebaikan nescaya ia (kebaikan) dapat menghapuskannya dan berinteraksilah sesama manusia dengan akhlak yang mulia” ( HR. Imam Ahmad)

Apalagi jika segala amalan kebajikan itu dilakukan secara berjama’ah. Malah secara praktikalnya itulah antara intipati yang tersirat disebalik daripada pensyariatan berpuasa di mulia ini. Lihat sahaja ketika berbuka puasa ramai yang berusaha sedaya upaya untuk dapat bersama keluarga walau dalam kesibukan menjalankan aktiviti harian. Keseronokan itu semakin bertambah jika dapat bersama kedua ibubapa dan adik-beradik berkumpul dan berbuka dikampung halaman masing-masing.

Dalam konteks pelaksanaan ibadat pula suruhan supaya salat Isyak secara berjama’ah sebelum melakukan solat tarawih juga menggambarkan betapa Islam sangat menitikberatkan amal jamai’e dalam kehidupan seharian bagi memperkasa kekuatan ummah sejagat. Perkara ini dapat direnungkan dalam firman-Nya yang bermaksud “Kekuasaan Allah SWT berada di tangan mereka” (Surah al-Fath:10), dengan pengawasan Allah SWT kepada mereka. Malah terdapat dikalangan ahli tafsir yang mentakwilkan ayat tersebut kepada maksud pahala yang diberikan oleh Allah SWT melampaui kebaikan yang dilakukan oleh manusia.

Justeru, nilai kebersamaan dan kesatuan itu sewajarnya direalisasikan dalam mengatur dan memelihara hubungan sesama umat Islam. Jika tidak seluruh umat pasti menanggung derita yang tidak berkesudahan. Perkembangan terbaharu di tanahair misalnya menunjukkan ada pihak yang sanggup mengenepikan parti dalam usaha memperjuangkan nasib bangsa sendiri, malangnya umat Islam agak ketinggalan sehingga kini masih meraba-raba mencari formula terbaik untuk menyatupadukan umat Islam Melayu ditanah airnya sendiri.

Ambillah iktibar daripada persengketaan berpanjangan antara Pergerakan al-Fatah dan Hamas di Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan negara daripada kependudukan haram Yahudi. Ternyata sehingga kini belum nampak tanda-tanda perdamaian dan kesatuan antara mereka sehingga rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa malah penempatan haram Yahudi terus dibina yang akhirnya mungkin menyebabkan negara Islam Palestin hilang daripada lakaran peta dunia.

Bersatulah wahai umat Islam!! Gesaan kepada seluruh umat Islam dan masyarakat yang lainnya untuk bersatu dan bersama-sama menangani jenayah masa kini yang semakin menjadi musuh nombor satu negara yang perlu diperangi habis-habisan, berbagai kempen kesedaran belum tentu cukup menyedarkan mereka. Berbakul-bakul kata nista dihamburkan kepada manusia keji ini juga tak ubah seperti puisi indah yang didendangkan kepada mereka. Justeru langkah kerajaan memperketatkan undang-undang sehingga ketahap hukuman gantung mandatori diharap berjaya menginsafkan mana-mana makhluk Tuhan yang bercadang untuk melakukan apa jenis jenayah sekali pun.

WAHAI SEKALIAN ORANG MUKMIN, KETAHUILAH BAHWA TAMU AGUNG TELAH DATANG, IA DATANG UNTUK MENAUNGI KALIAN DENGAN MEMBAWA KEBERKAHAN YANG TAK TERHINGGA.

Renungilah bagaimana Rasulullah saw - seorang Nabi yang ma 'shum (terjaga dari melakukan kesalahan), yang perbuatan dan kata-katanya menjadi ukuran kebenaran - menyambut tamu agung ini. Kebenaran yang wajib kita akui, bagindalah suri tauladan terbaik bagi kita. Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya telah ada pada [diri] Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu [iaitu] bagi orang yang mengharap [rahmat] Allah dan [kedatangan] hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah." (Al-Ahzab [33]: 21). Alangkah beruntungnya siapa pun yang setia mengikuti petunjuk Nabi Muhammad dan menauladani baginda dalam semua segi dari ke-hidupan ini. Dan alangkah besar kerugian orang yang selalu melafazkan sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya. Wal’iyadzubillah~

Baginda saw menyambut kedatangan Ramadhan dengan sambutan yang sangat luar biasa. Apabila Rasulullah saw melihat hilal (bulan) petanda Ramadhan telah datang, baginda lalu berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jadikanlah bulan ini bulan keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keislaman bagi kami. Sebab, dia adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah."

Alangkah indahnya detak-detak tauhid dan belaian-belaian aqidah dalam menyambut bulan dengan memperbaharui pernyataan, "Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah." Padahal pada saat itu orang-orang musyrik menyembah selain Allah SWT. Seolah-olah nabi berkata kepada hilal itu, "Wahai hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sungguh kesalahan yang amat besar kalau ada orang yang menyembahmu."

Ramadhan adalah kesempatan sangat berharga yang tidak dapat diganti. Ramadhan - peluang emas dalam kehidupan umat Islam, kerana setiap malamnya Allah SWT membebaskan seratus ribu orang dari mereka yang sudah tercatat masuk neraka, dan pada malam terakhirnya Allah membebaskan mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya. Adakah rahmat yang lebih besar dari itu semua?

Ibnu 'Abbas ra berkata, "Rasulullah adalah orang yang paling lembut, tapi beliau jauh lebih lembut lagi pada bulan Ramadhan; Pada waktu itu, beliau lebih lembut daripada angin yang bertiup." Itulah Rasulullah saw, yang tidak pernah menolak orang yang meminta suatu pemberian kepadanya. Sehinggakan pakaian yang sedang dipakainya ia berikan jika diminta. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Bukhari (1277,2093 dan 6036), Sahl ibn Sa'ad bercerita Rasulullah saw pernah sedang memakai pakaian yang dibuat oleh salah seorang isterinya, lalu seseorang datang meminta pakaian itu dan baginda pun memberikannya. Kalau begitu, petunjuk Rasulullah saw paling penting di bulan Ramadhan yang seharusnya kita contohi adalah sikap lemah Iembut, kedermawanan dan kegemaran memberi. Inilah ajaran dan petunjuknya yang sangat mudah terlihat dalam sejarah Rasulullah saw.

Rasulullah saw yang lembut itu, apabila masuk bulan Ramadhan lebih giat lagi berbuat kebaikan, bersedekah, tersenyum, bersilaturrahim, membebaskan hamba sahaya, memberi dan berkorban.

SETIAP HEMBUSAN NAFAS RASUL ITU ADALAH KEBAIKAN, BEGITU JUGA KATA-KATANYA, KUNJUNGANNYA, SEDEKAHNYA, YANG DILAKUKAN TERANG-TERANGAN ATAU TERSEMBUNYI. DIALAH YANG PALING LEMBUT DAN TIDAK AKAN TERSAINGI OLEH HATIM, BELIAU JUGA PEMBERANI TANPA TERSAINGI OLEH 'ANTARAH, BELIAU SEORANG ORATOR YANG TIDAK MUNGKIN TERTANDINGI OLEH QISS,(iaitu Qiss ibn Saadah, seorang orator jahiliyah yang sangat terkenal) ,TIADA TUHAN SELAIN ALLAH, ALANGKAH SEMPURNANYA BAGINDA RASUL.

Allah SWT berfirman:

“Dan engkau [Muhammad] sungguh memiliki akhlak yang agung” (al-Qalam [68]: 4)

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling-mu”. (Ali Imran [3]: 159)

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorangRasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan [keimanan dan keselamatan] bagimu, amat belas kasih lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.” (At-Taubah [9]: 128)

Baginda saw pada bulan ini mengkhususkan hari-harinya untuk membaca Al-Quran. Sebahagian ulama memahami tindakan Rasulullah saw ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan pengajian-pengajian di bulan Ramadhan serta menjauhkan dari orang ramai agar dapat mengkhusyu'kan diri dalam beribadah kepada Allah dengan memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini.

Solat dilakukan di tengah-tengah manusia, begitu pula zakat dan haji. Tapi puasa? Engkau dapat saja makan dan minum di balik tembok agar terhindar dari pandangan manusia sehingga mereka mengira bahawa engkau masih berpuasa. Tapi, bagaimanakah dengan Allah? Sungguh! Dia Maha Tahu apa-apa yang engkau perbuat. Sedarlah!! Ada yang sentiasa memerhatikan…

Pada saat seseorang berpuasa, ia mengeluarkan bau mulut yang mungkin mengganggu manusia, tapi di sisi Allah SWT ia seperti aroma Misk.

Setiap amalan baik seorang Muslim—kecuali puasa—akan di-balas dengan kebaikan yang setimpal, atau dengan sepuluh sampai 700 kali lipat, bahkan lebih. Adapun puasa, tiada yang mengetahui ganjarannya kecuali Allah SWT. Allah SWT juga menyiapkan pintu khusus bagi orang yang berpuasa untuk masuk syurga-Nya pada hari kiamat kelak, diucapkan kepada mereka itu; Masuklah dan makanlah, Wahai orang yang tidak makan (kerana berpuasa)..makanlah, Wahai orang yang tidak minum (kerana berpuasa)..minumlah, wahai orang-orang yang meninggalkan bersenang-senang dengan isterinya (ketika berpuasa)..bersenang-senanglah.

Orang yang sedang berpuasa adalah kekasih Allah SWT. Abu Sa'id al-Khudri berkata: Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, Allah akan jauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan." [Riwayat Bukhari (2840) dan Muslim (1153)]. Para ulama salaf memahami pengertian puasa di jalan Allah SWT di sini dengan berperang menghadapi musuh dan menyerahkan seluruh jiwa di jalan Allah SWT. Kerana itulah, 'Abdullah ibn Rawahah ra - sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Katsir, adz-Dzahabi dan ulama-ulama lainnya - ikut dalam perang mu'tah dalam keadaan berpuasa. la tetap gigih di medan perang walaupun sahabat-sahabat-nya telah tumbang (mati syahid) satu persatu, diantaranya Zaid ibn Haritsah dan Jaafar ath-Thayyar. Perut yang kosong dan kerongkong yang kering tidak menghalangi semangatnya untuk meneruskan peperangan. Akhirnya, ia syahid dalam keadaan masih berpuasa. Lihatlah jiwa ini yang bersegera menuju Allah, Tuhan yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri.

Sedangkan kita, apa yang telah kita sumbangkan untuk Islam? Tidak ada apa-apa, tidak salat malam, tidak berjihad, dan tidak juga membelanjakan harta di jalan-Nya. Sedangkan orang-orang terdahulu yang mengetahui bahawa puasa adalah sekolah ruhiyah dan kehidupan yang abadi di sisi Allah SWT, mereka meninggikan kalimat La ilaha illallah dengan pedang mereka. [pesan untuk diri sendiri =) ]

Wahai kaum Muslim! Wahai orang-orang yang lahir dan dibesarkan di lingkungan kalimat LA ILAHA ILLALLAH! Ramadhan akan pergi sebentar lagi. Maka, sekarang gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya. Jadikanlah ia sebagai alat untuk membebaskan diri dari api neraka dengan cara bertaubat, minta ampun, memperbanyak dzikir, tahlil (mengucapkan La ilaha illallah), tasbih, tahmid, harumkan kehidupan Ramadhan dengan aroma tilawah al-Quran, wangikan perjalanan Ramadhan dengan kembang-kembang kebajikan seperti bersedekah, menghulurkan sumbangan dan tidak lupa pada kewajipan zakat. Hidupkanlah rumah dengan ayat-ayat Allah yang terang. Jauhkan nyanyian yang membinasakan dan melalaikan kamu dari mengingati Allah SWT.

Sekali lagi gunakanlah kesempatan mendapat pembebasan dari neraka pada bulan ini, serta kesempatan memutihkan wajah pada hari kiamat nanti saat perhitungan dengan Allah yang Maha Esa dan Perkasa. Beruntunglah perut-perut yang lapar dan tenggorok yang kering kerana Allah SWT, sehingga Allah SWT pun membanggakan kalian di hadapan para malaikat-Nya dari atas langit yang tujuh.

Jadikanlah Ramadhan sebagai sarana untuk menghapus dosa-dosa pada bulan ini. Marilah sama-sama kita lewati hari-hari terakhir dalam keberkatan Ramadhan dengan segala kesyukuran yang insyaAllah akan memancarkan cahya keIMANan kelak, seiring sabda Baginda saw, maksudnya : “Iman itu terbahagi kepada dua, separuhnya dalam sabar, dan separuhnya lagi dalam syukur” [ HR al-Baihaqi ] Ayuh!! Sama-sama kita perbaharui taubat pada-Nya.

Semoga segala amal bakti kita akan terus gemerlap dengan sumber cahya niat yang suci kerna-Nya. Sumber sinar niat yang ikhlas itulah yang akan menggilap iltizam serta kesungguhan beramal dan hanya bakti seumpama itulah yang bakal berkilau di langit kemuliaan dengan penerimaan daripada Allah SWT.

SALAM RAMADHAN FASA KETIGA, PECUTAN IMAN DAN AMAL DI HARI-HARI TERAKHIR~… =)

SEKIAN..



~waznah alhamraa’~

23:15 PM

23 Ramadhan 1432 H

23 ogos 2011

WARKAH CINTA UNTUK BONDA

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركته

Memetik ayat-ayat cinta dari Allah SWT, yang mafhumnya (peringatan bagi hamba2-Nya) : "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; (al-An'am:151)

Dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Wahai Rasulullah, amal apa yang paling mulia? Beliau bersabda: “Shalat pada waktunya”, aku berkata: “Kemudian apa, wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Berbakti kepada kedua orang tua”, dan aku berkata: “Kemudian, wahai Rasulullah!” Beliau menjawab, “Jihad di jalan Allah”, lalu beliau diam. Sekiranya aku bertanya lagi, niscaya beliau akan menjawabnya. (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Hurairah R.A ‘ Seorang lelaki datang kepada Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam dan berkata, Wahai Rasulullah, siapakah di antara seluruh manusia layak saya hormati dan menjadi sahabatku? Baginda menjawab ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya ‘ Kemudian siapa?’ Baginda berkata ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi ‘ Kemudian?’. Baginda menjawab ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya ‘ Kemudian?’. Baginda menjawab ‘Bapamu. [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kebelakangan ini.. saya.. sering bertemu dengan ibu-ibu bersama bayi-bayi comel, tidak kiralah di jalanan, di mall. Atau di mana-mana saja.. ya.. menurut sangkaan saya baru dalam sekitar tiga atau empat bulan. Melihatkan bayi-bayi yang comel, mengingatkan saya kepada ‘ammar… anak kecil yang lincah, pintar (insyaAllah).. tok.. nek.. yah.. bu.. cik wie.. cue.. baru sekadar itu yang termampu dia lafazkan, namun siapa tahu.. dari merangkak2 ucapannya, bisa menjadi seorang pria (lelaki) yang petah berkata-kata, penuh dengan isinya. Moga omongannya bukan sekadar omongan kosong, tapi bermanfaat!!

Allah.. rindu pada si kecil itu.. lagi-lagi, bakal menerima kehadiran “orang” baru dalam usrah yang di bina oleh walid dan umi.. yang sarat dan penuh dengan rasa cinta. MASALAH??? Allahu akbar.. Tanya saja kepada mana-mana keluarga, siapa yang tidak pernah di duga dengan masalah, baik secara individu mahupun secara berkumpulan.. masalah itu ibaratnya penyakit, yang datangnya dari Allah.. “penyembuhnya” juga dari DIA.. tinggal saja manusia itu sendiri tegar dan utuh atau tidak dalam mendepani masalah yang di hadapinya.

“berapa bulan bayinya kak..??” – Tanya saya sewaktu menunggu seorang sahabat menyempurnakan solatnya di sebuah musolla di salah sebuah mall yang berdekatan dengan tempat saya belajar, dan kebetulan, di sisinya saya ada seorang ibu bersama bayinya.. “comel” – getus hati saya. “ baru empat bulan” – jawab kakak tersebut. “comel baby nya..” – balas saya. “boleh saya dukung tak..?” – Tanya saya meminta izin, dan kakak mengangguk sambil mengukir senyum tanda setuju..

Saat dia.. bayi itu, berada dalam rangkulan manja saya, hampir saja saya menitiskan air mata. Kerna rasa malu.. saya tahan ianya dari tertumpah. “umi” lafaz saya perlahan. Ingatan kembali kepada umi yang jauh di pandangan mata, yang sentiasa di rindui, yang doanya sentiasa menemani perjalanan, dukungan untuk si anak yang di kandung selama Sembilan bulan sepuluh hari meneruskan perjuangan dalam meniti kehidupan seharian. Kata apa saja, pasti dipenuhi, walau diri sendiri merasa pedih. “biar umi susah, asal anak-anak bahagia” – itulah kata-kata umi yang sentiasa terngiang-ngiang di ruang “jendela” telinga saya. Perasaan sedih menghambat diri tika itu. Bayi yang ada dalam rangkulan sempat di kucup sebelum bertukar tangan kepada ibunya. Allah.. apa rasanya bila ada anak nanti..??

Meminjam kata-kata Dr Haji Fadhilah Kamsah - Jika kita diberi kesempatan untuk mengendong ibu kita di belakang bahu, lalu mengelilingi kaabah bersamanya sebanyak tujuh kali, belum tentu kita dapat membalas setitik air susu yang diminum kita sewaktu bayi. subhanAllah…

“Ya Allah, didiklah aku untuk menjadi solehah.. agar aku bisa mendidik zuriat ku kelak yang akhirnya menjadi soleh dan solehah”

IBU…

insan yang dihiasi dengan kelembutan, keindahan, keistimewaan dan ketenangan. Di tangan merekalah lahirnya manusia-manusia yang berjiwa besar, lahirnya para ulama, terbentuklah manusia-manusia yang bersabar dan wujudnya manusia-manusia yang bijak seperti cendiakawan.

insan yang terhias di raut wajahnya penuh dengan rasa kasih dan sayang, dialah teman saat duka dan duka, tempat mengadu segala rasa sakit dan derita.. sumber pancaran kasih sayang yang bisa menyinari seluruh alam.

Di matanya ada rahsia, tetapi dikelopak matanya ada derita. Demi anak-anak, semuannya dipendam dalam ruang yang paling terdalam di jiwanya demi kebahagiaan, kesenangan dan kejayaan anak-anak tercinta.

Umpamanya mentari yang sentiasa menghidupkan keserian seisi bumi. Hilangnya wanita yang bergelar ibu dari kehidupan, ia akan menguburkan sebuah kebahagiaan. Lenyapnya mereka dari pentas dunia.. bermakna tertimbusnya rasa kegembiraan yang mewarnai jiwa.

Lihatlah pada kisah-kisah mereka yang terkenal dengan ketokohan, kepahlwanan, keilmuan, dan kebijaksanaan semuanya di awali dengan didikan tangan seorang ibu. bagaimana kisah seorang imam mazhab iaitu Imam Syafie yang sedari kecilnya sudah menjadi mufti. Bagaimana pula dengan kegigihan Imam Nawawi dalam menuntut ilmu sehingga lupa untuk makan? Tegarnya sultan Muhammad al-Fateh dalam memimpin tenteranya mendepani musuh-musuh yang nyata dzalimnya. As-Syahid Syed Qutb.. yang teguh dalam perjuangannya?? Dan persoalan dari kisah mereka ini : siapakah seorang insan disebalik kehebatan dan keluarbiasaan mereka ini?

Sentuhan luar biasa seorang yang belar ibu.. ingat, tangan yang lembut itu, bisa saja menggoncangkan dunia.


ANTARA SEDAR ATAU PUN TIDAK..

Mungkin.. terkadang kita melukai hatinya tanpa kita sedari. Sejauh mana pengamalan BIRRUL WALIDAIN dalam kehidupan seharian kita, sebagai “jalan” untuk kita menuju Syurga idaman??

Alkisah - ‘Love Is The Wine’ nukilan Sheikh Muzaffer Ozak- Suatu hari Ibrahim Ibn Adam cuba untuk memasuki tempat pemandian awam. Penjaga pintu itu tidak membenarkan Ibrahim Ibn Adam untuk memasukinya tanpa bayaran. Ibrahim Ibn Adam mengaku bahawa beliau sememangnya tiada wang untuk memasukinya.

Penjaga itu menjawab ‘ Kalau kamu tiada wang, kamu tidak boleh memasuki tempat pemandian awam ini’. Ibrahim Ibn Adam lalu menangis semahunya sehingga beliau terduduk di atas tanah,teresak-esak. Seorang pejalan kaki berhenti untuk memujuk Ibrahim Ibn Adam.

Ibrahim Ibn Adam berkata ‘ Saya menangis bukanlah kerana tidak dapat masuk ke tempat pemandian. Ketika penjaga itu meminta wang kepada saya untuk memasuki tempat itu, saya teringatkan sesuatu sehingga menyebabkan saya menangis. Saya tidak dibenarkan masuk ke tempat pemandian kecuali dengan bayaran, bayaran apakah yang akan saya kenakan ketika saya ingin memasuki Syurga? Apakah akan terjadi jika saya dipersoalkan, apakah amalan kebaikan kamu sehingga kamu dibenarkan untuk memasuki syurga? Jika di dunia kita sering diminta membayar untuk memasuki suatu tempat, apatah lagi Syurga akan meminta bayaran kebaikan kita dunia. Kerana itulah saya menangis’.

Tiket memasuki Syurga adalah kepatuhan dan hormat kita kepada ibu. Hanya seorang insan yang padanya mempunyai tiket untuk kita memasuki Syurga. Siapa dia? Ibu. Mahukah kita tiket memasuki syurga? Tentu saja jawapannya “ya” bukan..??? Sementara waktu masih berjalan, hormatilah, berbuat baiklah, berkatalah dengan penuh lemah lembut kepada “pemegang tiket “ Syurga kita ini. Jika kalian masih mempunyai pemegang tiket Syurga akhirat ini, pergilah kepada beliau sekarang..kiranya boleh, sekarang. Ya, Sekarang!!!. Ciumlah tangan mereka dan buatlah mereka gembira. Belailah wajahnya dan katakan bahawa kalian sayang padanya. Pergilah dan tunaikanlah tanggungjawab terhadap mereka dan maka kamu akan memperoleh pelepasan untuk memasuki sebuah tempat yang kekal selama-lamanya kebahagiaannya. Itulah Syurga…

“maaf , ucu sibuk sejak akhir-akhir ni, banyak assignment dan kerja-kerja lain..” – jelas saya kepada umi lewat telefon setelah hampir beberapa hari tidak menghubungi umi lewat telefon, mengirim khabar. “takkan seminit pun tak boleh nak telefon. Umi tak boleh sehari tak dengar suara anak-anak umi yang jauh dari umi” – balas umi, ada rasa yang berbau kecewa dalam suaranya. Aduh.. ya Allah, teganya aku berbicara sedemikian pada umi. Buat sahabat-sahabat yang masih memegang title “anak” – sibuk mana pun kalian, berhubunglah dengan ibu kalian. Usah biarkan air matanya menitis perlahan-lahan membasahi pipi lantaran keterlukaan dan terasa hati dengan sikap kita. Hanya beberapa minit sahaja yang diperlukan untuk bertanya khabar dan mengirim khabar kita kepada mereka melalui corong telefon yang asasnya mudah untuk dilakukan. Siapa sangka, suara lewat telefon itu bisa mengubat kerinduaan yang bersarang di hatinya…


WARKAH CINTA UNTUK BONDA

Dari kejauhan.. ku titip doa, moga Allah sentiasa melindungi mu.. mendamaikan diri mu di saat di rundung duka, malah sentiasa mengasihi mu seperti mana diri mu sentiasa mengisihi ku anak mu..

Kepada yang tercinta Bondaku yang ku sayang

Segala puji bagi Allah ta’ala yang telah memuliakan kedudukan kedua orang tua, dan telah menjadikan mereka berdua sebagai pintu tengah menuju surga. Shalawat serta salam, hamba yang lemah ini panjatkan keharibaan Nabi yang mulia, keluarga serta para sahabatnya hingga hari kiamat. Amin…

Ibu… aku terima suratmu yang engkau tulis dengan titisan air mata dan duka, dan aku telah membacanya, ya aku telah mengejanya kata demi kata… tidak ada satu huruf pun yang aku terlewatkan.

Tahukah engkau, wahai Ibu, bahwa aku membacanya semenjak solat Isya’ dan baru selesai membacanya setelah ayam berkokok, fajar telah terbit dan adzan pertama telah dikumandangkan?! Sebenarnyalah surat yang engkau tulis tersebut jika diletakkkan di atas batu, tentu ia akan pecah, sekiranya diletakkan ke atas daun yang hijau tentu ia akan kering. Sebenarnyalah surat yang ibu tulis tersebut tidak tersudu oleh itik dan tidak tertelan oleh ayam. Sebenarnyalah bahwa suratmu itu bagiku bagaikan petir kemurkaan… bagaikan awan kaum Thamud yang datang berarak yang telah siap dimuntahkan kepadaku…

Ibu…

Aku baca suratmu, sedangkan air mataku tidak pernah berhenti!! Bagaimana tidak, sekiranya surat itu ditulis oleh orang yang bukan ibu dan ditujukan pula bukan kepadaku, layaklah orang mempunyai hati yang keras ketika membaca surat itu menangis sejadi-jadinya. Bagaimana kiranya yang menulis itu adalah ibu dan surat itu ditujukan untuk diriku sendiri!!

Memangnya sering ku membaca kisah dan cerita sedih, tidak terasa bantal yang dijadikan tempat bersandar telah basah kerna air mata, aku juga sering menangis melihat tangisnya anak yatim atau menitikkan air mata melihat sengsaranya hidup si miskin. Acap kali juga aku tersentuh dengan suasana yang haru dan keadaan yang memilukan, bahkan pada binatang sekalipun. Bagaimana pula dengan surat yang ibu tulis itu!? Ratapan yang bukan ibu karang atau sebuah drama yang ibu peranankan?! Akan tetapi ianya adalah sebuah kenyataan…

Ibu yang ku sayangi…

Sungguh berat cubaanmu… sungguh malang penderitaanmu… semua yang ibu telah sebutkan benar adanya. Aku masih ingat ketika kami anak-anakmu menangis untuk dibuatkan makanan, ibu tiba-tiba menggapai atap dapur untuk mengambil kerak nasi yang telah lama ibu jemur dan keringkan, tidak jarang pula ibu simpan untukku sepulang sekolah tumbung kelapa, hanya untuk melihat aku mengambilnya dengan segera. Atau aku masih ingat, ibu sengaja mengambilkan air didih dari nasi yang sedang dimasak, tika ibu temukan aku dalam keadaan sakit demam.

Ibu… maafkanlah anakmu ini, aku tahu bahwa semenjak ibu seorang gadis sebagaimana yang diceritakan oleh nenek sampai ibu telah tua sekarang, ibu belum pernah mengecap kebahagiaan. Duniamu hanya rumah serta halamannya, kehidupanmu hanya dengan anak-anakmu. Belum pernah aku melihat ibu tertawa bahagia kecuali ketika kami anak-anakmu datang ziarah kepadamu. Selain dari itu tidak ada kebahagiaan, hari-harimu adalah perjuangan. Semua hidupmu hanya pengorbanan.

Ibu…

Dengan rendah hati, ku mohon.. Maafkanlah anakmu ini! Semenjak engkau pilihkan untukku seorang lelaki untuk menyapa ku sebagai “isteri”nya.. Ketika seorang laki-laki menikah dengan seorang wanita, maka seolah-olah dia telah mendapatkan permainan baru, seperti anak kecil mendapatkan boneka atau orang-orangan. Sekali lagi maafkan aku! Aku tidaklah membela diriku, kerna dari awal dan akhir pembicaraan ini kesalahan ada padaku.. anakmu ini!! Akan tetapi aku ingin menerangkan keadaan yang ku alami, perubahan suasana setelah ibu dan aku berpisah dan perubahan jiwa ketika aku tidak hanya mengenal dirimu, tapi kini aku telah mengenal satu wanita lagi.

Ibu… suatu saat nanti, pernikahan itu akan membuatku masuk ke dunia baru, dunia yang selama ini tidak pernah ku kenal, dunia yang hanya ada aku, suami dan anakku!! Bagaimana tidak, suami yang baik dan anak-anak yang soleh!! Maafkan aku Ibu… aku merasa dunia hanya milik kami, aku tidak peduli dengan keadaan orang lain, yang penting bagiku adalah keadaan mereka.

Ibu…

Maafkan aku, anakmu!! Aku telah lalai… aku telah lupa… aku telah menyia-nyiakanmu!! Aku pernah mendengar kajian, bahwa orang tua di fitrahkan untuk cinta kepada anaknya, dan anak di fitrahkan untuk menyia-nyiakan orang tuanya. Oleh sebab itu dilarang mencintai anak secara berlebihan dan anak dilarang berbuat derhaka kepada orang tuanya.

Ibu…

Sulit aku merasakan perasaanmu!! Kalaulah bukan kerna bimbingan agama yang telah lama ibu talqinkan kepadaku, tentu aku telah seperti kebanyakan anak-anak yang derhaka kepada orang tuanya!! Kalaulah bukan kerna baktimu pula kepada orang tuamu dan orang tua abah, nescaya aku tidak akan pernah mengenal erti berbakti kepada orang tua.

Setelah suratmu datang, baru aku mengerti!! Kerna selama ini hal itu tidak pernah ibu ungkapkan, semuanya ibu simpan dalam-dalam seperti semua permasalahan berat yang ibu hadapi selama ini.

Sekarang baru aku mengerti, bahwa hari yang sulit bagi seorang ibu, adalah hari di mana anaknya telah menikah dengan seorang lelaki. Di matanya lelaki yang telah mendampingi putrinya itu adalah manusia yang paling beruntung.

Ibuku sayang…

Maafkan aku Ibu!! Ampunkan diriku. Satu titisan air matamu adalah lautan api bagiku. Janganlah ibu menangis lagi, janganlah ibu berduka lagi!! Kerna duka dan tangisnmu menambah dalam jatuh ku ke dalam api neraka!! Aku takut Ibu… aku cemas dengan banyaknya dosaku kepada Allah sekarang bertambah pula dengan dosaku terhadapmu. Dengan apa aku ridha Allah, sekiranya ibu tidak meridhaiku. Apa gunanya semua kebaikan sekiranya di mata mu ibu, aku tidak punya kebaikan!! Bukankah ridha Allah tergantung dengan ridha mu dan sebaliknya bukankah kemurkaan Allah tergantung dengan kemurkaanmu!! Tahukah Ibu, seburuk-buruknya diriku, aku masih merasakan takut kepada murka Allah!! Apalah jadinya hidup jika hidup penuh dengan murka dan laknat serta jauh dari berkah dan nikmat. Wal ‘iyadzubillah…

Kalau murka itu pula yang aku peroleh, izinkan aku membuang semua kebahagiaanku selama ini, demi hanya untuk dapat menyeka air matamu! Kalau ibu pula murka kepadaku, izinkan aku datang kepadamu membawa segala yang aku miliki lalu menyerahkannya kepadamu, lalu terserah pada ibu, mahu ibu perbuat apa..

Sungguh aku tidak mahu masuk neraka! Seakalipun aku memiliki kekuasaan seluas kekuasaan Firaun, mempunyai kekayaan sebanyak kekayaan Qarun dan mempunyai keahlian setinggi ilmu Haman. Pastikanlah ibu ku, semoga tidak akan aku tukar dengan kesengsaraan di akhirat sekalipun sesaat. Siapa pula yang tahan dengan azab neraka, wahai ibu!!

Ibu maafkan anakmu!! Adapun sebutanmu tentang keluhan dan pengaduan kepada Allah ta’ala, bahwa engkau belum mahu mengangkatnya ke langit!! Maka, ampunkanlah, wahai Ibu!! Aku angkat seluruh jemariku untuk mohon maaf kepadamu!! Kalaulah itu yang terjadi, do’a itu tersampaikan! Salah ucap pula lisanmu.. Apalah jadinya nanti diriku!! Tentu kebinasaan yang telak. Tentu diriku akan menjadi tunggul yang tumbang disambar petir, apalah gunanya kemegahan sekiranya ibu do’akan atasku kebinasaan, tentu aku akan menjadi pohon yang tidak berakar ke bumi dan dahannya tidak bisa sampai ke langit, di tengahnya dimakan kumbang pula!!

Kalaulah do’amu terucap atasku, wahai Ibu!! maka, tidak ada lagi gunanya hidup, tidak ada lagi gunanya kekayaan, tidak ada lagi gunanya banyak pergaulan.

Ibu dalam sejarah anak manusia yang kubaca, tidak ada yang bahagia setelah diikutuk orang tuanya. Itu di dunia, maka aku tidak dapat bayangkan bagaimana nasib bagi yang terkena kutuk di akhirat, tentu rasanya lebih sengsara.

Ibu… setelah membaca suratmu ku sedari kekhilafan, kealpaan dan kelalaianku. Suratmu akan kujadikan “pedoman sepanjang zaman” dalam hidupku, setiap kali aku lalai dalam berkhidmat kepadamu akan aku baca ulang kembali, tiap kali aku lengah darimu akan kutalqin diriku dengannya. Akan kusimpan dalam lubuk hatiku sebelum aku menyimpannya dalam kotak wasiatku. Akan aku sampaikan kepada anak keturunanku bahwa ibu mereka dahulu pernah lalai dalam berbakti, lalu sedar dan kembali kepada kebenaran, ibu mereka pernah berbuat salah, sehingga dia telah menyakiti hati orang yang seharusnya dia cintai, lalu dia kembali kepada petunjuk.

Tua… siapa yang tidak mengalami ketuaan, wahai ibu!! Badan yang saat ini tegap, rambut hitam, kulit yang kencang, akan datang suatu masa badan yang tegap itu akan ringkih dimakan usia, rambut yang hitam akan dipenuhi uban ditelan oleh masa dan kulit yang kencang itu akan menjadi kerepot ditelan oleh zaman.

Tidak ada kekuasaan yang kekal, tidak ada kekayaan yang abadi, yang tersisa hanya amal baik atau amal buruk yang akan dipertanggungjawabkan.

Ibu, do’akan anakmu ini agar menjadi anak yang berbakti kepadamu di masa banyak anak yang derhaka kepada orang tuanya. Angkatlah ke langit munajatmu untukku agar aku akan memperoleh kebahagiaan abadi di dunia dan di akhirat.

Ibu… sesampainya suratku ini, insyaAllah, tidak akan ada lagi air mata yang jatuh kerna sikap anakmu, setelah ini tidak ada lagi kejauhan antara ku denganmu, bahagiamu adalah bahagiaku, kesedihanmu adalah kesedihanku, tawamu adalah tawaku dan tangismu adalah tangisku. Aku berjanji untuk selalu berbakti kepadamu buat selamanya dan aku berharap aku dapat membahagiakan mu selama mataku masih mampu untuk berkedip.

Bahagiakanlah dirimu… buanglah jauh-jauh segala kesedihan, cubalah untuk tersenyum!! Ini kami, aku, suami, dan anak-anak sedang bersiap-siap untuk bersimpuh di hadapanmu, mencium tanganmu..

Salam kasih penuh maghfirah dari anakmu..



* di saat ramai bayi-bayi yang di tinggalkan di merata-rata tempat, apa semua kesalahan harus diletakkan di pundak si ibu yang melahirkan??.. cubalah kita untuk selami dan fahami hati mereka yang bergelar “ibu”, lagi-lagi tanpa ada dukungan yang kuat dari sesiapa pun. Wal’iya dzubillah.. mohon lindungan-Mu ya Allah..

* anak-anak.. berusahalah untuk jadi yang terbaik untuk walidain kita. Kalian adalah anak-anak, begitu juga saya, salah seorang yang memegang title “anak”. Moga saja do’a yang berpanjangan untuk kedua orang tua, penyambung amal jariah bagi mereka, sebagai bekalan untuk di muka.. amien..

* Hari ibu itu.. adalah selamanya dalam hidup kita sebagai anak-anak.. oleh itu, ucapkan setiap hari, “selamat hari ibu” juga tidak ada salahnya. Moga suatu saat nanti, saya juga akan menerima ucapan sedemikian dari mereka yang akan men”dampingi” dan “menyerikan” hidup saya dengan rasa kasih dan cinta. =) [ hargailah sebelum kita menyesal di kemudian hari – pesan untuk diri sendiri]

* syukran kathir umi… bahibbaki awi awi =)


Sekian dari saya.. warkah cinta seorang anak.. teristimewa untuk umi tercinta..



Al-FaQirah Ila Allah :

~waznah alhamraa’~

11 JAMADIL AKHIR 1432H

14 MEI 2011

23:54 PM