BENARKAH ITU CINTA...??

menurut kalian..???

Bismillahirrahmanirrahim.

Semoga kita semua dalam keadaan sihat dalam lindungan rahmat ALLAH SWT. Alhamdulillah masih dberi nikmat bernafas di atas muka bumi ALLAH SWT ini. Semoga kita menjadi hamba-hambaNya yang bersyukur..

*INGIN BERKONGSI SESUATU DENGAN SAHABAT2 PENGUNJUNG BLOG (BUAT YANG SUDI) - ketemu artikel ni dari laman web ni (http://my.opera.com/azmibhr/blog).. semoga bermanfaat (^^,)

Setiap insan memiliki hati dan setiap hati itu memiliki cinta. Hati adalah tempat bersemayamnya cinta dan bersemayamnya cinta di hati itu menjadikan kita sebagai insan. Begitulah eratnya antara Insan, Hati & Cinta. Tidak dapat dan tidak mungkin dapat dipisahkan.

Saya sering ditanya "Berdosakah apabila jatuh cinta pada seseorang?". "Alhamdulillah kamu adalah manusia normal" Itulah kebiasaannya respon pertama saya. Hati kita memang mudah jatuh cinta dan mudah pula membenci. Bahkan kadang-kadang kita sangat cintakan seseorang kemudian dialah pulalah yang paling kita benci. Kecintaan kadang-kadang menjadikan kita seperti lembu yang dicucuk hidung hingga boleh diseret kemana-mana sahaja walaupun ke lembah kehinaan dan kotor. Tetapi cinta juga boleh mengangkat kita tinggi bahkan lebih tinggi dan mulia dari malaikat. Itulah cinta, penuh dengan keajaiban.

Islam tidak pernah melarang kita untuk jatuh cinta atau dicintai. Bahkan Islam tidak pernah menggambarkan cinta itu hina dan keji sehinggalah cinta itu sendiri dikuasai nafsu dan diukur dengan nilai-nilai cetek dan sementara tanpa dihubungkan dengan nilai Iman dan kehidupan Akhirat yang kekal abadi. Bukankah cinta itu suci, sesuci embun pagi. Bukankah cinta itu mulia dan tinggi. Bukankah cinta itu datang dari kebersihan hati lalu melahirkan kemuliaan budi, kasih dan kepekaan jiwa. Benarkah itu cinta, Kalau kita semakin keji dan hina? Benarkah itu cinta? kalau kita semakin bodoh dan lupa kemuliaan diri? Benarkah itu cinta? kalau kehidupan kita hilang pedoman hingga akhirnya kita terdampar dipantai maksiat? Benarkah itu cinta? kalau kita lupa diri hingga tercampak kelembah yang hina dina? Benarkah cinta yang menjadikan kita bodoh, hina, keji dan lupa diri? Benarkah cinta yang menjadikan hati kita hitam dan kotor hingga diri kita tidak lagi 'suci'? Benarkah cinta yang menjadikan kita sesat dalam kehidupan? Benarkah cinta yang menjadikan kita lupa dari mana kita datang, untuk apa didatangkan dan kemana akhirnya kehidupan?

Benarkah itu cinta Atau nafsu yang menggoda Atau syaithan yang memperdaya Atau Iman yang yang semakin kehilangan Nyala Benarkah itu cinta Atau kejahilan yang menguasai Atau dunia yang memperdaya diri Atau kita yang buta dan lupa Buta terhadap kebenaran dan Iman Buta terhadap kemuliaan dan ketinggian Lupa terhadap syaithan yang penuh kebencian lupa terhadap nafsu yang memperdayakan insan Bukankah semua kita inginkan kemuliaan Bukankah semua kita mencari kebahagiaan Bukankah semua kita mencari 'jalan pulang' Kenapa kehinaan yang datang Kenapa tiada lagi damai dan ketenangan Kenapa kita tersesat di pertengahan jalan Kenapa kita terlupa 'jalan pulang' Benarkah itu cinta? Atau kita yang diperdaya Kehinaan di hias hingga mempersonakan Kesementaraan dinampakkan kekal Segala yang busuk terbau harum Segala yang keji ternampak indah

Benarkah itu cinta? Untuk menjawab persoalan ini memerlukan jiwa yang bersih dan iman yang benar bukan nafsu dan kejahilan. Cuba kita hitung dengan kebenaran, berapa ramai yang tewas dalam pelukan cinta sedangkan semalamnya dia adalah lelaki atau wanita mulia. Cuba kita tanyakan iman kita berapa ramai yang mendirikan rumahtangga atas dasar 'cinta pertama' dan berapa ramai yang mampu mempertahankan mahligai cinta itu hingga keakhir hayat mereka. Cuba kita buka mata hati kita dan kita lihat dunia cinta ini dengan ilmu, iman, kebenaran dan kesedaran.


Ya, benar cinta itu membahagiakan bukan memperdayakan. Kita tidak inginkan kebahagiaan yang bersifat sementara dan kebahagiaan sementara ini tak lebih dari 'kosmetik' sahaja. kita perlukan cinta bukan 'kosmetik cinta'. Kita perlukan cinta kerana kita perlukan kebahagiaan bukan kerana cinta itu sendiri. Jadi kalau ada orang yang sedang bercinta saya mohon 'teruskan percintaan anda'. Cinta itu tenang dan membahagiakan. Cinta itu menjadikan kita mulia dan tinggi. Mulia dan tinggi disisi Ar Rahman dan Ar Rahim sumber dan simbol cinta hakiki. Kalau ada yang masih belum jatuh cinta. Ayuh, carilah cinta anda kerana ianya menghidupkan hati, membuka mata dan memimpin jiwa.


Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan cinta, mendokong dakwahnya berbekalkan cinta dan meninggalkan dunia ini dengan mewariskan cinta. Cinta baginda kepada Allah Ar Rahman sehingga seluruh kehidupan ini hanya untukNya. Cinta itulah yang telah memuliakan generasi pertama yang selama ini hidup dalam kebencian, teraba-raba dalam kegelapan lalu jatuh ke lembah nista dan hina. Cinta lalu hadir bersama cahaya hingga hati-hati mereka kembali hidup dan segar, keimanan berputik dan membuahkan bunga-bunga cinta lalu bunga-bunga cinta itulah yang kita perlukan kini.

Untuk kita hidup dengan rasa persaudaraan, untuk kita bina rumahtangga di atas dasar iman dan untuk kita membangunkan masyarakat yang menghayati keimanan. Bunga-bunga cinta itulah yang telah menyelamatkan generasi pertama dari kebinasaan jiwa, menyelamatkan wanitanya dari diperdagangkan lalu menjadikan mereka isteri-isteri yang mulia dan ibu-ibu yang dicintai. Lalu lahirlah generasi yang mewarisi haruman bunga cinta itu. Kalau anda sedang asyik dalam percintaan, teruskan itulah kenikmatan hidup tetapi tanyakan pada diri anda...benarkah itu cinta? (^_^)




... alfaQirah ila Allah ...
~ waznah alhamraa' ~
06 mac 2011
16.48 pm





CUKUPKAH BILA HATI SAJA BERBICARA...???

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahu akbar…

Andai rindu ini bertatih lagi, ku harap biarlah ianya hanya untuk-Mu Al-Qayyum
jika rindu ini bisa menarik resah, tiada lain hanya padaMu aku pasrah
kira pencarian ini masih belum jua kutemui,
hanya satu ku pinta ya Allah damaikanlah hati ini
Kembara cinta ini tidak kuharap bersemi dengan serakah
Cinta untuk-Mu ya Rahman destinasi kasih yang masih belum terlaksana
Kasih yang diberi, cinta dicari tak sama dengan gerak geri…
Hasil diperolehi, kesan melakar diri, rupanya cuma bayangan duniawi
Kuntuman bunga pada kalam yang belum menjadi hakikat
Seri kelopak zahrah pada bibir yang bijak bertongkah sifat
kerutan kening.. bertaut minta bertanyakan ia..
tika resah sudah mulai menarik sepi
apa harus ku biarkan kecewa meratap pergi
moga kasih ini bisa mengikat diri
aduan bicara hati hanyalah pada-Mu
Serikanlah kebun hati ini, bukan hanya di fikirku tapi juga pada redhaMu..

Malam yang hening.. sayu.. di temani lagu “insyaAllah” versi melayu, nyanyian Maher Zain, sedikit banyak mendamaikan hati yang runsing.. resah.. namun masih bisa menghuraikan keagungan ciptaan Tuhan yang Maha Esa.. menggamitkan segala rindu yang terpendam jauh di lubuk hati. saat hati sering berbicara sendirian, ada bias mutiara mengalir perlahan di pipi. Entah, apa yang menggusarkan hati, terasa kesabaran sudah semakin hilang untuk menahan air mata dari terus menitis. kiranya masih punya kekuatan dalam diri, cukuplah bagi ku pendam segalanya sendiri. biarlah hanya DIA Yang Maha Mengetahui. Mahu saja ku biarkan hati ini diketuk bertalu-talu dengan sesuatu agar mudah ianya bicara sendiri.

“jangan habiskan air matamu dalam masa sehari.. simpanlah untuk hari esok, kerna esok masih ada untuk menangisi segala kekesalan pada-Nya. Percayalah, air mata yang mengalir kerna-Nya akan terasa sungguh indah. Jangan bersedih, siapa tahu, mungkin esok kita bisa bertemu dengan baginda saw. Dan saat itu, menangislah sepuas-puasnya dan biarkan hatimu berbicara. Adukan segala kerinduan pada-Nya. Ingat, ujian itu “hadiah” dari Allah, agar kita lebih tegar meneruskan perjuangan untuk hari-hari yang mendatang...”

Sentiasa ku berusaha untuk mengumpul kekuatan, namun akhirnya tewas dan rebah kembali ke pangkuan yang Maha Esa. Sungguh, ingatan-Nya pada hamba yang masih penuh noda dan dosa ini hebat sekali. Lalainya qolbi, mengapa sentiasa lupa pada nikmat yang sudah di beri. Semakin berusaha ku mendaki gunung cinta-Nya, semakin aku rebah sendiri. Lidah kelu dalam kelam. Aduh.. hadirlah kekuatan, demi mengemis cinta Ilahi.. sabar, senang menyebutnya, namun sukar praktikalnya. Kekuatan yang Esa jualah yang banyak membantu dalam musafir menuju cinta-Nya. Aku hanya mampu tunduk seribu makna, menyembamkan muka di tikar sejadah, menjahit segala asa yang kian tercarik, menyembah DIA yang sentiasa menemani.. di mana pun si lemah ini berada.

Maaf sahabat-sahabatku.. hanya itu yang termampu ku lafazkan saat ini. Dari hujung rambut hingga hujung kaki , buat ahli bait, mu’allim mu’allimah, teman-teman, juga untuk dia yang sentiasa di nanti.. sayunya hati ini cukuplah Dia yang tahu, cukuplah Dia juga yang me”rasai”nya.. Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.. ujian yang datang bersilih ganti, tidak kira, datangnya dengan “jemputan” atau pun tidak. Ku akui, hampir semua mengatakan perkara yang sama.. percayalah teman-temanku, aku juga tidak menginginkan yang demikian,, jauh sekali meletakkan kesalahan ini di pundak kalian. Nilailah dengan nilaian apa sekali pun, tetapi, nilaian di sisi-Nya jauh terasa lebih berharga.

"enti dah banyak berubah."

“enti dah tak macam dulu…”

“enti ke yang ana kenal dua tahun yang lalu”

“enti ni… dah semakin jauh…”

masyaAllah.. Tabarakallah.. aku hanya milik-Mu ya Ilahi..

ku akui.. waznah alhamraa’ yang sekarang jauh berbeda dengan yang dulu, lebih banyak berdiam dan hanya tersenyum tanpa sepatah bicara, lebih banyak melihat dan mendengar tanpa memberikan respon, semakin berubah watak dan identiti…

sentiasa di asak dengan ujian dari pelbagai sudut tanpa teman yang di harapkan untuk memberi bantuan pada hati yang rawan menjadikan diri semakin berusaha untuk memencilkan diri. Bukan tidak mahu berbicara, bukan juga tidak mahu berkongsi, cukuplah hati seorang yang lemah ini yang menderita, jauh sekali merasakan kesepian seperti yang di jangka.. kerna apa?? Rasa kehambaan yang masih punya Allah yang Maha Mendengar, masih punya air mata untuk di alirkan. Asykuru Lillah …

bohonglah kiranya diri yang kerdil ini tidak memerlukan teman di sisi, barangkali masih demotivate dalam pencarian yang panjang.. ya lah, sahabat itu, bisa datang.. bisa juga pergi, persis angin yang datang menyapa lalu pergi, hilang entah ke mana. Hati yang menanggung siksanya rindu hanya hati kepada insan dho’if ini, memujuk hati sendiri, walau kalian hanya tinggal sebagai kenangan dalam hati ini.

aku yang kini semakin berubah watak sejak beberapa minggu lalu. semakin mendiam, diam dan terus mendiam. Tidak seceria sebelum ini, mungkin di wajah, tapi tidak di hati. malah sudah tidak mengharapkan sesiapa lagi untuk membantu merawat hati yang merintih. Dulu dan kini, hanya aku…yang sentiasa memujuk hati akan ada juga seseorang yang dapat memberi suntikan seperti yang pernah di rasakan suatu ketika dulu. Tapi hari ini, biarlah arus saja yang membawanya..

tidak pernah ku salahkan sesiapa, perjuangan dan kembara kalian jauh lebih mencabar. Hanya saja pesanku ukhti, selagi ruh dan jasadnya masih bersatu : "ceritalah apa pun pada saya, saya tak kisah, Cuma saya minta jangan pernah awak rasa tak ada siapa di sisi awak, insyaAllah saya berusaha untuk bersama awak. Saya tahu. awak percaya Allah sentiasa mendengar bicara awak, tapi saya nak awak juga yakin saya ada untuk awak berkongsi apa saja…"

terpujuk juga hati yang lara, walau dengan cara remeh ini. Andai saja dia terus-terusan patah semangat untuk memulakan langkah yang baru. Cukup memahami dan sangat memahami apa yang dialaminya kerana semuanya telah pun ku lalui dalam keadaan yang sangat sukar. Tiada bicara yang selayaknya untuk menggambarkan betapa di saat jatuh tersungkur kala mendengar perkhabaran tersebut. Allah juga yang memberi kekuatan dengan belas ihsan-Nya, dengan rahmat juga sifat Penyayang-Nya..

di saat hati tercari-cari dahan untuk berpaut, akhirnya ku temui seseorang yang sering menggetarkan saraf dengan ayat-ayat cinta Allah, sungguh ku pelajari sesuatu darinya yang memandang sesuatu dengan pandangan yang positif… ku akur dengan kesederhanaannya…

di kala kesepian dan keseorangan di lautan ujian, aku kembali mengintai dan mencari ayat-ayat yang di susun seindah pekerti penulisnya. Meluncur lajunya air mata bukanlah kerana sedih dengan bicaranya, sebaliknya ianya kembali mengingatkan aku pada kenangan lalu. Jauh di sudut hati, aku meluahkan segalanya... Sampai masanya kita akan pergi jua!!!

sakitnya merindui… merindui bagai si pungguk merindukan bulan. Ku teruskan langkah kaki, perjalanan harian seperti tiada apa yang berlaku walau jauh di sudut hati seakan membarah perasaan rindu pada sahabat-sahabat. Aku merindui tarbiyyah itu, usikan dan senyuman kalian. Sungguh aku tidak pernah mengharap akan ada yang memahami gelora yang melanda di jiwa. Tiada siapa yang lebih bijak memujuk hati melainkan kita sendiri yang memujuknya dengan ayat-ayat cinta Ilahi.

pengalaman lalu menjadikan diri takut untuk membiarkan sahabat yang rawan duduk bersendirian. Berusahanya dalam kekalutan menyusun ayat untuk memujuk hatinya kerana ia adalah peluang keemasan untuk memujuk hati sendiri. Hati yang dibiarkan terlalu lama dalam keadaan luka membuatkan aku hilang ayat untuk mengharap, cukuplah… terlalu banyak masa yang sudah berlalu. Biarlah aku bukakan peluang untuk diri sendiri yang merawatnya. Ku biarkan Allah membelai hati ini dengan ayat-ayat Nya…

syukran kathira pada sahabat yang sejak akhir-akhir ini sering merelakan dirinya menjadi mangsa untuk aku melempiaskan bicara dan tangisan, moga Allah memberkatimu, sahabat. Syukran kathira juga pada sahabat yang menerbangkan hadiah dari ummu ad-Dunya di samping sentiasa mendoakan diriku, moga Allah membalas dengan sebaik-baik pembalasan.

syukran kathira juga pada mereka yang meninggalkan diriku terkapai-kapai sendirian di lautan ini, betapa ianya mengajar diri yang hina ini agar bergantung terus pada Allah Yang Maha Kuasa, sungguh Dialah Pelindung yang TERBAIK untuk hamba-hambaNya. untuk semua yang sentiasa mengkritik tanpa memikirkan perasaan ini, menjadikan diri semakin tegar dan lali dengan keadaan ini.

Terima kasih ya Allah kerana sentiasa merencanakan hanya yang TERBAIK pada hamba-hamba Mu yang lalai dengan nikmat yang Kau berikan. Jangan pesongkan hati-hati kami setelah Kau beri hidayah.


ku sedari hakikat.. Allah yang beri ujian, biar Dia memujuk dengan cara dan kehendak-Nya

bila hati ku mula berbicara, maaf.. akan tiada lagi bisa menghalanginya

moga kalian sentiasa dilindungi juga dilimpahi Rahmat Ilahi

sejuta kemaafan andai aku bukan sahabat terbaik

kerna aku hanyalah si hamba yang lemah…

ya Ilahi… bantulah hamba Mu ini yang kian terumbang ambing di dalam arus duniawi, kepada Mu aku memohon limpahkan rahmat Mu, biarkanlah mentari hidup ku kan bersinar kembali...




al-faQirah ila Allah

~ waznah alhamraa’~

29 rabi’ul awwal 1432H

04 Mac 2011