# NOTA HATI

بسم الله الرحمن الرحيم

Kehidupan & Keimanan… Rasai Kehadiran ALLAH Dalam Setiap Detik Kehidupan

Itulah nikmat.. bacalah firman Tuhanmu, mafhumnya : “Allah memberikan nikmat kepada sesiapa yang DIA kehendaki. Dan barangsiapa yang diberi nikmat sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tiada yang mengambil pelajaran, kecuali orang yang berakal..” [al-Baqarah : 269]

Seperti kata Imam Ghazali r.h. : “dengan gemerlap dan bersinarnya hati, maka akan lahirlah kebaikan. Dengan gelapnya hati, maka akan lahirlah kejahatan. Apabila manusia telah mengenali hatinya, maka dia akan kenal siapa dirinya, lantas dia akan kenal, siapa pula Tuhannya”.

Ujian datang, membawa pergi ketenangan hati… namun kasih Ilahi, pada diri yang sentiasa memungkiri, mengubati.. tidak pernah putus walau sedetik. Allahu Robbi, thabatkanlah hati yang sentiasa berbolak-balik ini di jalan-Mu, fi sabilillah~.

Sukarnya, hanya Engkau yang Mengetahuinya.. masih ku simpan, utuh! Semangat jihad seorang wanita yang lemah di sisi seorang insane bernama lelaki. Masih ku impikan wajah ketenangan isteri kesayangan Baginda , Khadijah yang penyayang, juga watak ummul mu’minin yang bijak, ‘Aisyah Humaira’…

Terkadang, terkoyak ketenangan yang puas di sisip rapi dek panahan ujian si lelaki, hilang sukma rindu bertemu nikmat hirasah di sepertiga malam dek panahan madzmumah yang bersarang di hati, namun resah dan tangis itu tetap tidak juga pergi. Hanya Engkau yang Tahu, betapa aku menginginkan ketenangan untuk meneruskan langkah2 perjuangan di akhir sisa hidup ini.

Dugaan yang silih berganti, menghentam kedangkalan ‘akal yang satu. Lalu apa lagi yang bisa ku lakukan selain meminta dan berharap pada-Mu ya Allah?. Yakinku senantiasa, bahawa ujian yang datang menimpa, tetap ada hikmah di sebaliknya. Dan aku….. tidak gusar, kerna aku masih Allah yang Maha Esa, menjadi teman setia. Sungguh, Engkau Maha Bijaksan merencanakan sebuah kehidupan, siapalah aku yang hina dina ini ya Ilahi, melainkan aku hanya mampu untuk merintih… mengadu kasih, hanya pada-Mu~

Ingatlah~ .. dalam ketenangan ada keresahan, dalam keresahan ada kekalutan, dan dalam kekalutan ada DIA, untuk kita mengadu dan mengharap..


Allah… Tuntunlah hati ku selalu..





- alFaQirah ila Robbiha –

Waznah alhamraa’

15 Dzulhijjah 1432H

11 November 2011

09:00 AM



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://e.exps.me

CUKUPLAH BAHAGIA DENGAN SATU!

بسم الله الرحمن الرحيم

“ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu & cinta orang2 yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku dari apa2 yang aku cintai maka jadikanlah ia sebagai kekuatan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai…” Amien~

“Jagalah isteri, jangan kau sakiti. Sayangi isteri, amanah Ilahi. Bila diri kian bersih, satu isteri terasa lebih. Bila bisa jaga diri, tidak perlu menikah lagi. Bila suami berpoligami, dakwah pastikan terbebani. Demarketing (pengurangan pemasaran) menjadi-jadi, dakwah bisakan di benci” [Bahagia dengan satu isteri – Ustaz Cahyadi Takariawan]


Membaca bait2 indah di atas, agaknya – kalian menganggap saya akan membicarakan perkara berkaitan poligami bukan? (mungkin =) )


Jawapannya adalah tidak. Ilmu tentang persoalan poligami itu masih terlalu cetek lagi. Perlu membuka dan menyelak beberapa kitab fiqh, mengkaji dan hadamkannya. Untuk masa sekarang pun, saya masih meneruskan pembacaan novel “SEBARKAN CINTA-MU by Ustazah Fatimah Syarha”. Banyak input ilmiah yang boleh di dapati dalam buku tersebut. Saran saya pada pembaca, ikhwah mahupun akhawat, jika berkelapangan, “tinjau2”lah buku tersebut di mana2 kedai buku yang ada di sekitar anda, jika tidak pun, pinjamlah pada mereka yang telah pun memilikinya. Untuk ustazah Fatimah Syarha, syukran kathir atas perkongsian ilmu, walaupun ianya adalah berkaitan dengan tesis ustazah, tapi ianya benar2 bermanfaat.


BAHAGIA : SESIAPA PUN MENGINGINKANNYA

Benar, siapa yang di dunia ini tidak menginginkan perasaan tersebut? Tanyalah pada sesiapa pun, insyaAllah, pada tekaan saya semuanya akan menjawab “YA”. Saya, anda dan kalian pasti menginginkan bahagia, bukan hanya di sini, tapi di “sana” juga.

Menurut ayahanda, Ustaz Pahrol Joui : Bahagia itu fitrah tabi’ie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

• Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.


Beberapa hari yang lalu, seorang sahabat bertanya kepada saya, melalui chat facebook :

“salam.. apa khabar”

“wa’alaykumussalam wbt” – balas saya

“sihat?”

“Alhamdulillah, masih rasa nikmat sihat sblm sakit”

“nak minta tolong ni… boleh”

“boleh, sekiranya saya mampu” – sejujurnya, saya agak tekejut, bila dia menyapa pada hari tersebut. Ya lah, jarang benar dia menyapa saya, walaupun kami sama2 meng’online”kan diri.

“saya dah bertunang..insyaAllah, akan melangsungkan walimah tak lama lagi” – dia meneruskan ‘perbualan’.

“owh iya? Mabruk.. maaf, saya tak tahu pula” – balas saya, dalam keadaan serba salah. Dia teman saya, tapi langsung tidak “update” tentangnya.

“tapi…” – ayat berhenti setakat itu..

Saya menunggu penuh sabar… agak lama, lalu saya pun mereply kembali.

“tapi…????”

“saya nak putuskannya”

Sedikit terkejut. ‘ada orang ketiga’ – agak saya. Kebiasaannya, begitulah…

“kenapa? “ – Tanya saya, ringkas.

Dia, sahabat saya itu, baik orangnya, terjaga ibadahnya, namun tetap ada kelemahannya.. dan saya pasti, sebelum membuat keputusan untuk menerima si “dia” itu, dia sudah pun melakukan istikharah dan solat hajat, meminta awapan pasti dari DIA.

“saya tak boleh hidup dan bahagia dengan lelaki yang tidak setia seperti dia” – lebih kurang sepuluh minit kemudian, dia me’reply’ pertanyaan saya.

“maksudnya? Ada masalah apa sebenarnya ukhti? Bicaralah. Jangan buat keputusan terburu2, sekiranya dia benar2 jawapan dari istikharahmu”

“saya dapat tahu.. dia berbalas2 mesej dengan muslimah yang lain. bukankah tidak terjaga namanya tu? Sekiranya sekarang pun dia boleh ber’sms’ dengan muslimah ajnabi yang lain, tidak mustahil, setelah saya sah menjadi surinya, pun akan begitu” – terasa ada perasaan kecewa yang bersarang di hatinya.

Astaghfirullahal’adzim… masalah yang di lontarkan, meminta jawapan, seolah2 saya sudah terlalu matang, dewasa terhadap perkara2 sedemikian. Jujurnya, saya sendiri tidak punya jawapan yang tepat untuk di kongsikan pada sahabat. Melangkah ke alam “pertunangan” juga belum.

“mungkin… mereka berbincang tentang perkara2 ilmiah, atau pun ada aktiviti yang melibatkan komitmen mereka..” – saya cuba berbaik sangka.

“tidak… saya… baca mesej tersebut. Bukan muslim sedemikian yang saya inginkan sebagai suami saya!”

“banyak2 beristighfar ukhti.. sabarlah, tagih simpati dari Allah, moga2 dia beri jalan keluar” – balas saya, cuba memujuk, meredakan hati yang tengah “sakit” barangkali.

“astaghfirullahal’adzim….”

“ukhti, berbincanglah dengan akal yang waras, jangan terlalu emotional. Hurm~ siapa tahu, ini ujian dari Allah, sebelum antum maju setapak lagi ke alam pernikahan. Banyak2kan solat taubat dan hajat, agar masalah yang di hadapi dapat di rungkai dengan tenang. Pesan juga perkara yang sama pada si “dia”. Mungkin, kamu perlu berterus-terang, kamu tidak senang terhadap apa yang dilakukannya, untuk mengelakkan konflik di kemudian hari. Pernikahan itu, bukan hanya sehari dua hari ukhti, tapi selama2nya, kita mencipta bahagia bersama lelaki yang kita pilih, melalui jawapan istikharah kita – yang pasti jawapan dari DIA yang Maha Mengetahui. Dan kita mahu bahagia itu, berterusan hingga ke syurga” – kelopak mata mula bergenang.. saya sendiri tersentuh dengan kata2 yang saya sampaikan. Entah dari mana saya dapat jawapan tersebut, saya sendiri tidak tahu.

Perbualan melalui facebook petang itu, berakhir dengan air mata keinsafan, bagi diri saya.. tapi untuk sahabat saya, saya sendiri kurang pasti. Saya titip doa, moga dia terus tegar dan majlis walimahnya akan berjalan dengan lancar. Air mata yang jatuh berlinangan, di usap lembut. Memikirkan, bagaimanakah dengan aku kemudian hari? Ujian yang bagaimana Allah berikan? – wallahu’alam, hanya DIA yang Tahu, dan mungkin tidak sewajarnya saya bertanya sedemikian.


DARI SEORANG MUSLIMAH, UNTUK PARA SUAMI DAN BAKAL2 SUAMI…

Ingatkah lagi khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu ketika dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.

[boleh rujuk al-Quran beserta tafsirnya ya] :-

1) surah al-'Imran : 102

2) surah an-Nisa : 1

3) surah al-Ahzab: 70-71

Pesan dari Tuhanmu, pesan dari lisan Nabimu, pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu, bukti tidak ada bahagia tanpa taqwa.


Wahai suami,

Membina rumahtangga adalah satu jual beli yang mencabar sekali. Dunia perniagaan ini penuh dengan untung dan rugi. Jatuh dan bangun belum pasti. Apakah kita pandai bersikap diwaktu2 mendapat untung, juga belum pasti. Dan lebih2 lagi kita tidak dapat berjanji bahawa kita mampu menghadapi saat2 yang merugikan. kita takut wahai suami, melihatkan berapa ramai isteri2 yang bermusuhan dengan suami yang dicintai dihari2 mereka diuji oleh Tuhan. Sehari sebelum, diwaktu nikmat, mereka ketawa ria, tapi hanya esoknya mereka dilanda ujian yang membawa perceraian. Na’udzubillahi min dzalik~ Rasulullah kan sudah beritahu, di dalam neraka kelihatan ramai wanita kerana penyakit kufur nikmat.

Allah SWT berfirman, ketika kamu tidak suka kepada sesuatu perkara yang ada pada isteri kamu – kesempurnaan itu hanyalah milik Allah jua - kamu juga tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Dalam konteks ini Allah berfirman maksudnya: “… Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’:19)

Rasulullah SAW pula telah menghuraikan perkara ini dengan terperinci dan praktikal yang kamu boleh laksanakan dengan segera. Kamu yang mesti laksanakan, bukan dia (isteri kamu) kerana kamu adalah pengemudi, kamu yang bertanggungjawab. Baginda bersabda maksudnya: “Janganlah seorang mu’min itu (suami) membenci seorang mu’minah (isterinya) kerana boleh jadi dia tidak suka pada sesuatu perangainya, dia suka perangainya yang lain”. Maksudnya di sini, jika kamu melihat sesuatu yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip iman, maka kamu mesti mengubah mood kamu sendiri, sehingga kamu dapat melihat dan mengiktiraf kelebihannya dari aspek yang lain yang pastinya terlalu banyak yang kamu sukai. Maka dengan itu perasaan benci dengan segera akan bertukar menjadi sayang.

Sampaikanlah wasiat Nabi SAW pada kaum hawa : “Hendaklah kamu berpesan agar berbuat baik kepada wanita…”. Sungguh mengkagumkan, wasiat ini digandingkan dengan wasiat supaya menjaga solat. Tidakkah kamu rasa bahawa ia merupakan suatu perkara yang sangat penting?

Lantas, rayuan padamu wahai suami, tolong doakan, suami, supaya isteri ini adalah seorang yang boleh memaafkan, taat setia dan sabar serta syukur nikmat. Moga2 rumahtanga kita adalah masjid yang menaungi jemaah Islamiyah, tapak kepada ummah. Akhirnya wahai suami, pohon izinmu untuk ikut memperjuangkan agar rumahtangga ini benar2 menjadi masyarakat Islam contoh kepada generasi masa kini.

Justeru, wahai saudaraku para suami, di manapun kamu dan dalam keadaan apapun, maka setia dan setialah kepada isteri kamu! Berbuat baik dan berbuat baiklah kepada isteri kamu! Beri perhatian dan beri perhatianlah kepada perasaan isteri kamu! Berbakti dan berbaktilah kepada keluarga isteri kamu! Bantu dan bantulah isteri kamu untuk berbakti kepada keluarganya. Bawalah isteri kamu memikul bersama kamu beban keluarga dan beban dakwah. Jadikan dia sandaran belakang kamu supaya dia dapat berjalan seiring kamu sambil membawa risalah dakwah yang diwajibkan Allah ke atas kamu.


PESAN UNTUK HATI : DARI SEORANG MUSLIMAH, UNTUK PARA ISTERI DAN BAKAL2 ISTERI…

Pernikahan menyingkap tabir rahsia. Suami yang menikahimu tidak semulia Muhammad SAW, tidak setaqwa Ibrahim, pun tidak setabah Ayub. Apalagi setampan Yusuf. Justeru suamimu hanyalah lelaki akhir zaman yang punya cita-cita membangun keturunan yang soleh …

Pernikahan menyedarkan akan kewajiban bersama. Ketika Suami menjadi pelindung, kamu penghuninya.Suami adalah nahkoda kapal, dan kamu pengemudinya. Saat suami seorang raja, kamu dapat merasakan anggur singgasananya. Dan ketika suami menjadi racun, kamulah penawar bisanya.

Sungguh, tatkala suami sebagai inti jantung keluarga, maka kamulah rusuk pelindungnya. Seandainya suami marah lagi lancang, maka berhati-hatilah meluruskannya. Pernikahan menginsyafkan kita perlunya keImanan dan ketaqwaan. Untuk belajar meniti redha Allah SWT. Kerna memiliki suami yang tak sehebat mana, justeru kamu akan tersentak dari alpa.

Sedarlah, Kamu bukanlah Khadijah yang sempurna dalam menjaga, pun bukan Hajar yang setia dalam sengsara. Cuma wanita akhir zaman yang mencuba untuk menjadi isteri solehah.

Muslimah itu ANUGERAH terindah dunia..dia lembut tapi TIDAK LEMAH, mempesona tetapi tetap bersahaja..dia tahu bagaimana menjaga IZZAH dirinya, dia mengerti bagaimana menjaga AKHLAK & KEMULIAANNYA..itulah yang membuatnya ISTIMEWA dibandingkan wanita lain.. Dihiasi hati dengan rasa cinta dan takut pada ALLAH, nescaya SEMPURNALAH segalanya..insyaAllah, Semoga muslimah itu adalah aku, kamu dan kita semua. =)

Akhirnya, meminjam kata2 ustaz Pahrol : “Jagalah rumah tangga dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya. Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau” atau “jika”. Hayati sabda Rasulullah SAW ini: “Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,’ kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

Do’a ku kepada Allah semoga DIA, melimpahkan anugerah mawadah wa rahmah kepada seluruh rumah-tangga kaum muslimin. Amien…


Wallahu’alam…




~ alFaQirah ila Robbiha ~

Waznah alhamraa’

13 dzulhijjah 1432H

9 November 2011

1:00 AM




SERUAN ILAHI : NABI IBRAHIM TOKOH HAJI SEPANJANG ZAMAN


"AKU MENYAHUTMU WAHAI TUHANKU! AKU MENYAHUTMU! TIADA SEKUTU BAGIMU, AKU MENYAHUTMU! SESUNGGUHNYA KEPUJIAN DAN KENIKMATAN ITU BAGIMU, JUGA KERAJAAN TIADA SEKUTU BAGIMU! AKU MENYAHUTMU DENGAN HAJI YANG BENAR-BENAR PENUH DENGAN IBADAT DAN PERHAMBAAN!"

Laungan syahdu 'talbiah' bergema di seluruh pelusuk kota Makkah setiap kali kedatangan Zulhijjah. Jemaah memenuhi kota Makkah bersama niat tulus ingin melengkapkan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji.

Hati mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji di kota suci-Nya.

Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan zakat.

Rindu kepada Kaabah memang tidak pernah hilang kepada sesiapa jua yang sudah menyaksikan sendiri kehebatan Kaabah. Kali pertama menjejaki kaki di Masjidil Haram pasti mata akan mencari2 dimanakah objek hebat Kaabah. Apabila melihat sahaja Kaabah pasti akan terus jatuh cinta, rasa sayu dan syahdu menyusup jiwa. Terasa sangat kebesaran ALLAH SWT dan teringat betapa mujahadahnya Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s membina Kaabah. Teringat juga bagaimana Rasulullah SAW berjuang untuk menghapuskan Jahiliyah Arab dengan memusnahkan 360 berhala yang terdapat disekeliling Kaabah.

Sejujurnya… saya juga merinduinya, rindu menjadi “tetamu”-Nya, seperti ummi dan abah saya. Sehinggakan terbawa2 ke dalam mimpi. Allahu Akbar!! Kebesaran Allah yang Maha Agung. Dan saya yakin anda juga merinduinya. Ya kan?? =) hati semakin cemburu, bila melihat gambar2 sahabat2 yang sudah pun menjejakkan kaki di tanah suci, Makkah itu. “ya Allah, bila giliran ku pula ya Allah? Berilah kesihatan berpanjangan, agar aku juga bisa merasa nikmat itu” – doa, menjadi amalan sepanjang masa. Senjata utama umat Islam.

Teringat saya pada perbualan yang berlaku antara saya dan sahabat2 serumah beberapa hari yang lepas, tentang keputusan imtihan lugha ‘arabiyyah untuk mengikuti kursus intensif bahasa arab di Timur Tengah ( Qatar & yaman – maybe ) beberapa minggu yang lepas, dapat atau pun tidak. Wallahu’alam, semuanya dalam pengetahuan yang Maha Mengetahui.. cukup DIA yang menentukan, sekiranya berjaya, Alhamdulillah, perbaiki niat untuk kesana, sekiranya tidak, mungkin belum masanya ke sana, dan jangan berputus asa untuk mencuba lagi =) (seperti saya : setiap mencubanya)

“apa perasaan pertama kali jejak kaki ke mesir” – Tanya sahabat saya.

“erm.. Alhamdulillah.. hiba.. gembira.. air mata menjadi saksi” – balas saya, sambil mengukir senyum.

“terasa macam mimpi kah”

“ya.. siapa sangka, Allah “tunda” masa saya dua tahun yang lepas, sewaktu dapat tawaran ke sana, tapi tak dapat pi, DIA gantikan dengan semester lepas, walaupun dari tempoh setahun, menjadi sebulan..”

Hakikatnya… saya bersyukur, walau masih belum merasa puas, hati saya meronta2 untuk ke sana lagi. Hanya DIA yang TAHU kenapa, tapi tidak yang lain..

“ummu ad-Dunya – banyak kisah sejarah nabi di sana..”

“jelesnya. Harap2 lulus imtihan tu, dan dapat pi timur tengah” sampuk sahabat yang sedari tadi diam membisu, hanya memasang telinga mendengar perbualan saya dan teman saya.

“tapi kali ni, saya rindu nak jumpa “kaabah””- kata saya.. perlahan..

Dua orang sahabat saya yang tadi, terdiam.. merenung dalam2 kepada saya. Dan saya membalasnya dengan sebuah senyuman yang terindah. Hihi.. (maaflah sekiranya kata2 saya mengejutkan kalian)

Teringat juga pada seorang sahabat saya, setiap kali dalam munajatnya : “ya Allah, temukanlah aku dengan bakal “imam”ku di sana, di saksikan Kaabah yang sentiasa di hujani dengan umat Islam” – saya meng”amien”kan do’anya. Murninya niatmu sahabat. Tanpa di duga, kita punya niat dan do’a yang sama. Menemui si “dia” yang masih belum di kenali, di sana, di bumi barakah. Paling tidak pun, pergi ke sana bersama si “dia” yang sudah halal untuk saya.. Moga2 ada barakahnya. Amien =)

Pasanglah azam, teguhkan niat, jangan pernah berhenti mengutuskan doa kepada yang sentiasa Mendengar. Jangan lupa “berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan kabulkan” – itu janji Allah. Niat baik, Allah akan permudahkan. Walau belum kesampaian, insyaAllah, sudah di catat sebagai pahala di sisi-Nya. Rabbi Yassir, wa la tu’assir…


KHUTBAH EID ADHA : ISI UTAMA TAJUK =)


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahi alhamdu..

Taqobballahu minna wa minkum.. kullu ‘aam wa antum bikheir

Hari ini.. hari raya eid ‘adha. Alhamdulillah, Allah masih beri kesempatan merasai nikmat bernyawa di hari yang penuh barakah. Menyempatkan diri untuk solat sunat hari raya berjemaah di Masjid Ikhlasiah. Terkejut melihat ramainya bilangan jemaah yang hadir untuk sama2 menunaikan solat sunat hari raya, hinggakan ke luar pagar masjid tersebut. Alhamdulillah.. hanya itu yang terlafaz di bibir saya..

usai menitipkan do’a kepada yang Maha Esa, khatib memulakan khutbah dengan melafazkan kalimah suci, takbir, di susuli tasbih dan tahmid. Mata saya berlegar2, mencari ruang2 kosong di dalam masjid untuk di tempati.. “mahu khusyu’ dengar khutbah” – bisik saya perlahan =) sahabat2 yang lain juga sepertinya memberikan sepenuh perhatian kepada isi khutbah yang di sampaikan.


Bismillahirrahmanirrahim…

Setiap kali kehadiran bulan Dzulhijjah, akan tersingkaplah kisah sejarah agung mengenai ibadah korban dan pelaksanaan Rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan ibadah haji di kota suci Makkah. Pada ketika ini juga jutaan umat Islam dari pelbagai pelusuk dunia tidak mengira warna kulit, rupa, bangsa atau keturunan mahupun status ekonomi telah berhimpun semata-mata menyahut seruan ilahi dalam pelaksanaan ibadah haji. Namun bagi umat Islam yang tidak berpeluang untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini, yakin dan percayalah bahawa masa dan ketikanya akan tiba juga. Justeru, seperti di tempat-tempat lain juga ibadah korban tetap dilaksanakan mengikut hari-hari tasyrik yang ditetapkan sebagai simbol pengorbanan umat Islam terhadap agama yang dicintai ini.

menyorot kembali kisah Nabi Ibrahim AS yang selayaknya dinobatkan sebagi “tokoh haji” sepanjang zaman kerana sumbangan baginda yang besar dalam pelaksanan syariat haji dan korban seterusnya membangunkan sebuah negara yang diredhai Allah SWT.

Rentetan perjalanan hidup Nabi Ibrahim AS sangat dramatik, khususnya ketika baginda mempertaruhkan nyawanya untuk dibakar oleh Namrud, raja yang zalim di Iraq. Drama kehidupan Ibrahim AS tidak terhenti di situ sahaja. Setelah dikurniakan anak bernama Ismail AS yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama dalam usia tua, baginda diperintahkan Allah SWT pula untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Bagaimanakah hati dan perasaan seorang ayah taktala menerima perintah untuk berbuat demikian pada anak yang tercinta? Namun semua itu tidak pernah melunturkan keyakinan dan keimanan baginda kepadaAllah SWT, serta rasa cinta baginda terhadap penciptanya.

Segala perintah Allah SWT dijalankannya dengan sempurna, tanpa rasa ragu walau sedikit pun, sekalipun harus mengorbankan dirinya, isterinya atau anaknya. Peristiwa tersebut telah dirakamkan melalui pujian Allah SWT terhadap Ibrahim AS melalui firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 124:

Bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (perintah), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam 4(Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga dari keturunanku (pemimpinpemimpin)". Allah berfirman: "(Doamu Kuterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan meliputi orang-orang yang zalim."

Berbekalkan pengalaman luas dalam menghadapi masyarakat yang terkunci hatinya, Nabi Ibrahim AS telah mampu merancang pembangunan sebuah kota dengan komuniti baru pula. Perkara ini dilakukan kerana Nabi Ibrahim AS memahami bahawa masyarakat yang sudah berlumuran dengan kemusyrikan

dan kekufuran, terbelenggu dengan hidup bertuhankan pemikiran, syahwat dan kesombongan, pasti menjadikan mereka sukar diajak untuk meyakini sebuah fahaman yang menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Keadaan demikian kerana taraf pemikiran dan kehidupan mereka sudah jauh tersasar daripada fitrah suci yang Allah SWT ciptakan, iaitu cenderung kepada kebenaran yang diturunkan Allah SWT melalui para Rasul-Nya.5

Di lembah itulah baginda diperintahkan Allah SWT membina Kaabah. Di sekitar Kaabah itulah baginda memulakan pembangunan kota Makkah, masyarakat baru dan kehidupan baru dengan visi baru, paradigma baru, falsafah baru dan konsep baru berdasarkan sistem wahyu yang diturunkan Allah SWT.

Bayangkanlah bagaimana sukarnya membangunkan sebuah Bandar baru di bumi yang tandus dan dipenuhi gunung-ganang serta lembah-lembah berbatu?,malah, untuk merancang sebuah komuniti dan masyarakat di kawasan baru bukanlah perkara yang mudah diterima akal manusia biasa.

Bukan hanya tiada tumbuh-tumbuhan, sumber air juga tidak kelihatan. Kacamata materialisme yang hampa terhadap Allah SWT dan kekuasaan-Nya tidak akan mampu menerima kenyataan itu. Tetapi itulah kenyataan ketaatan mutlak kepada sistem wahyu yang diuruskan bertentangan dengan akal manusia biasa. Berdasarkan keimanan yang penuh dan keikhlasan beribadah, di tangan Ibrahim dan keluarganya lahir pelbagai mukjizat yang dapat disaksikan umat manusia sepanjang masa.

Kaabah sebagai ‘rumah Allah’ menjadi kiblat umat Islam sepanjang masa. Air zamzam yang menurut penelitian para ilmuan sebagai satusatunya air mineral berkualiti terbaik di dunia sudah ribuan tahun diminum oleh jutaan kaum Muslimin setiap tahunnya, namun tidak pernah kontang sedikit pun sumber airnya.

Sebelum memulakan pembangunan sebuah negeri, kota dan masyarakat baru, Nabi Ibrahim AS terlebih dahulu menetapkan visi pembangunannya. Visi baginda tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendirikan sebuah negeri yang aman daripada akidah dan keyakinan, aman daripada memperhambakan diri kepada tuhan-tuhan selain Tuhan Pencipta Allah SWT, aman daripada sistem kehidupan dan peraturan yang merosakkan fitrah serta akal sihat manusia, aman daripada keadaan muamalah dan praktik ekonomi ribawi, rasuah dan industri yang merosakkan lingkungan alam, darat, laut dan udara.

Selain itu, ia harus aman daripada amalan monopoli ekonomi oleh segelintir pengusaha yang berhubung kait dengan penguasa, aman daripada penyimpangan tadbir urus dan hukum serta undang-undang ala mafia. Ia juga aman daripada pengaruh budaya dan tradisi bangsa lain yang merosakkan keperibadian serta jati diri manusia sebagai makhluk Allah yang paling mulia, aman daripada pelbagai perkara yang mengandungi kesengsaraan dalam kehidupan manusia di dunia dan akhirat, aman daripada tindakan kezaliman penguasa yang suka menzalimi umat dan rakyatnya, aman daripada penyimpangan perilaku masyarakat yang tidak sesuai dengan nilai-nilai Rabbani dan lebih daripada itu semua, aman daripada murka dan azab Allah di dunia dan akhirat kelak.

Berdasarkan visi itulah, Ibrahim AS menyusun dan merumuskan konsep pembangunan negeri Makkah dan masyarakatnya di mana hingga hari ini masih boleh kita lihat hasil dan faktanya walaupun telah dibangunkan lebih daripada 4000 tahun yang lalu.


Sekadar itu saja yang mampu di ingati. Moga2 bermanfaat untuk bacaan kalian. Banyak ibrah lain yang boleh kita hayati dari kisah agung yang tercipta antara Nabi Ibrahim AS dan putranya, Nabi Ismail AS. Ibrah cinta dan ketaatan. Cinta dua insan yang cinta mereka teguh kepada Tuhan mereka, dan Tuhan kita.. Allah SWT.

Akhir kalam, salam kema’afan saya titipkan untuk keluarga tersayang yang jauh di mata, namun sentiasa dekat di hati. juga untuk mereka yang sentiasa ku cinta kerna DIA yang meniupkan ruh cinta itu ke dalam hati ku, moga kalian sentiasa di dalam naungan rahmat-Nya, amien…


Pesan dari seorang anak : untuk yang bergelar anak…

Anak yang doanya didengar Tuhan, adalah anak yang soleh, anak yang patuh kepada Tuhan. Biar pun di Aidil Adha mereka dan ibu bapa terpisah berjauhan.

Ibrahim jauh daripada keluarganya. Hajar dan Sarah sering jauh daripada suami mereka. Ismail dan Ishak sering berjauhan daripada ayahanda, namun rumahtangga itu memancarkan sejuta kehebatan. Biar tubuh terpisah di ufuk mentari, semuanya hampir, dekat di hati.

Jauh adalah pada jauhnya semua daripada-Nya.

Dekat adalah pada intimnya kita mendampingi Dia.

Justeru pada satu kekurangan di Aidil Adha,

maafkanlah anakanda yang kejauhan.

Kerana mungkin dalam kekurangan itu, doa si anak lebih didengar Tuhan.

Maafkan kami wahai ayah dan bonda.

Ampunkan kami wahai Tuhan yang Maha Memaafkan


p/s : syukran kathir buat sahabat2 yang sudi bertandang ke teratak kami.. mastinah, syela, izzati, hapizah dan yang lain2nya.. =) [maaf, hidangan ala kadar saja, moga2 ianya mengenyangkan dgn penuh barakahnya]

sekian, wallahu’alam…


al-FaQirah ila Robbiha :

~ waznah alhamraa' ~

11 dzulhijjah 1432H

07 November 2011

12:46 AM



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://e.exps.me

KANVAS CINTA





_ Indahnya bila hati sayu mengenangkan kebesaran & nikmat Allah, indahnya sekiranya kita mampu sebaris dengan Zinnirah juga Rabiatul ‘Adawiyyah.. tapi sayang, mungkin masih terlalu jauh, wahai diri.. jangan khianati diri sendiri hanya kerana duniawi _


“Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya, Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami)” [Al-Anbiya’ : 88]

Begitulah pesan Allah SWT pada hamba2-Nya…


“perbanyakkanlah istighfar, maka Allah akan hilangkan kedukaanmu, Allah akan beri jalan keluar kepada masalahmu, dan rezki akan datang dari arah yang tidak di sangka-sangka”

Begitu juga pesan Rasulullah SAW pada ummah kecintaannya…


Allahu Akbar! tangisan panjang di atas sejadah cinta. Memujuk hati “huszudzon pada Penciptamu”, air mata di biarkan mengalir.. mengalirnya… sederas mahu mu. Tenang dengan bisikan tadzkiyatun nafs – tulang belakang kepada Islam.

Deraian air mata, bukan kerna sedih atas apa yang berlaku, tapi … terasa Allah “sentuh” hati yang sentiasa berbolak balik dengan fitnah dunia yang semakin menjadi-jadi. Betapa Allah menyayangi insan yang sentiasa alpa ini. Mujur ada yang sudi menemani, mengharungi liku2 kehidupan yang penuh pancaroba. Menahan air mata yang semakin menderas, bacaan Kalamullah meresap ke dalam corong telinga, mendamaikan hati yang bergelora.. lazatnya kenikmatan yang DIA kirimkan untuk ku.. subhanallah..




Engkau teramat setia kepadaku

biarpun Engkau tidak melafazkannya...

aku tahu betapa luas kasih & cintaMu

walaupun aku amatlah tidak layak untuk cintaMu

aku tahu Engkau amat sayangkan hambaMu

& Engkau juga tahu.. bagaimana perasaanku padaMu

Rabbul ‘Izzati... Ya Allah...

Engkau teramat setia dengan hambaMu ini...

setiaMu tidak dapat diungkap hanya dengan bait2 cinta nan indah

yang tidak tertulis biarpun dengan tujuh lautan tinta...

biarpun lautan itu sedalam tingginya puncak gunung mencakar awana



Ya Ghaffar...

saat di mana aku jatuh ke dalam jurang dunia yang dalam

Engkau hulurkan aku dengan taliMu menyelamatkan aku

mencapai tanganku lantas membangkitkanku semula untuk kembali ke jalanMu

biarpun hambaMu ini teramat berat dengan dosa2 yang menggunung...

Engkau masih setia memancarkan nur kasih dan hidayahMu

agar hambaMu ini tidak terus jatuh dan mati di dalam lembah dosa nan hina...



Ya Muhaimin...

saat aku sesat di kala malam dosa

tatkala aku telah buta dengan nikmat dunia ini

kau tunjukkanku sinar nur hidayahMu padaku...

memimpinku ke jalanMu... biarpun hati ini telah terlalu buta...

terlalu gelap untuk menerima segalanya

Engkau tidak berhenti memberikan hidayahMu...



Ya Allah... saat aku kesunyian tanpa teman...

saat aku sedih & berduka...

saat aku perlukan tempat untuk mengadu...

Engkau hadir menemani dengan kalamMu nan indah

petunjuk & pedomanMu ini bak puitis cintaMu padaku...

menceriakan hatiku yang sedang berduka lara

puitis yang tiada bandingnya...

aku ceria mendengarnya

hilang segala resah di jiwa



Ya Ilahi...

saat aku terlupa akan diriMu

terpesong dari jalanMu

kau hadir dengan peringatanMu

mengingatkanku kembali jalan pulang kembali ke pangkuanMu

sedang aku asyik dengan nikmat dunia

Engkau tidak biarkan aku hanyut didalamnya...

kerna kau tahu dunia itu hanyalah fana'

biarpun aku selalu lupa...

kau tetap setia dengan peringatan2 Mu padaku...


Ya Allah...

aku tahu kau amat setia dengan hambaMu

& aku tahu amat menyayangi hambaMu

tapi aku tidak tahu mengapa...

aku selalu menyakitiMu dengan dosa2ku...

aku selalu memungkiri janjiku padaMu

aku juga sering kali tidak mengendahkan CintaMu itu

namun setelah semua itu...

yang hadir padaku tetap CINTAMU padaku...



Ya ALLAH Rabbul ‘Izzati... kini...

merona cintaku padaMu...

ku ingin membalas lafaz cintaMu...

ku ingin mengungkap bait cintaku padaMu...

tatkala saat aku bertemu denganMu menyahut cintaMu

akan ku tetap setia menunggu saat itu

saat kematian untuk aku bertemu dengan cinta teragungku...

& mengungkap lafaz.... “inni ahibbak awi awi”

Bait2 kata ini aku tulis dengan penuh rasa cinta

berkanvaskan kertas kasih...

menggunakan pena rindu dan sayang...

kutulis bait2 cinta ini hanya untuk-Mu...

hanya untuk-Mu Tuhan yang Maha Mencintai...

dulu... kini... & selamanya...

hanya Engkau Pemilik Cintaku...

Ya Allah... Engkaulah cinta teragungku...

Maka, ya Allah, pimpinlah aku selalu



Amien ya Rabbal ‘Alamien…



Al-faQirah ila Robbiha :

- waznah alhamraa’-

09 dzulhijjah 1432H

05 November 2011

15:40 am