SEMERBAK RAMADHAN


السلام عليكم ورحمة الله وبركته

بسم الله الرحمن الرحيم


SEMERBAK RAMADHAN…


Bagaikan berabad merindu

Ambang keberkatan melambai restu

Cahya purnama berjuta sinar

Memancar kasih al-Akbar

Hamba mereguk hikmah di piala iktibar

Ramadhan, padanya ada saksi kegemilangan

Detik dugaan detik kemenangan

Ketika wahyu meyapa Iqra’

Runduk dan tundukkan kebatilan yang di takluk al-Haq

Itulah purnama unggul al-Mubarak

Bagaikan setitis air di paruh camar

Kurniaan-Nya selautan yang tinggal

Demikianlah nikmat yang tidak terjumlah

syukuri langkah, jejaki ibadah

hayatilah ia… semarak Mardhotillah..

marhaban purnama keberkatan..

taman mengelopakkan kembang kasih

qalbu dan indera mengaroma rindu

bersama restu selama-lamanya..

langkah bermula… menuju redha

titik tulus jejak si hamba

hayat digetarkan hanya kerana-Nya

membangun peribadi, membina insan...

bermula di Qalbu

ihsan menakluk gerak hayat

peribadi berkilau dengan akhlaq

pimpinan purnama al-Mubarak..

tika Iman menatap jelas

pada satu kehidupan abadi

menggilap hayat dengan yakinnya diri

jalan yang lurus.. pimpinan meuju ukhrawi

puasa Qalbu dari degup mazmumah

puasa fikir dari mungkar aqliah

puasa indera dari ingkarnya arah

sederap langkah menuju redha Allah

mewangi… teguh kasih insaniah..

siapa yang keluar dari cahya

pasti akan merasa siksa dalam golmatnya

deen menyemarak Qalbu dengan cinta

menghantar sinar di kegelapan duga

kemilaukan hayat dengan redha..

seperti juga pelita

sumbu juga minyak tanah

cahyanya akan tumbuh bersama

demikian juga umara’

akan menyatu pada ummah

mengabdikan sinarnya

agarnya ianya terus bernyala..

sayap taqwa berkepak pada cinta

terbang hinggap di ranting-ranting amal

merimbunkan ihsan

melahirkan iltizam bertunjangkan iman

merbu qalbu berkicauan…

pada pohon hayat

ramadhan… berkilaunya kasih ar-Rahman

nur ukhuwwah menyilaukan keinsanan

qalbu bercahya Iman dan Ihsan

meyinari diri menyinari insan

pada fitrah.. di ukir keimanan

lakaran indah dalam sebuah kehidupan

peribadi teguh di hadapan dugaan

pasrah menjaring hikmah kebaktian

jejak memaknakan hayat

harum mewangi di taman umat…

ayuh.. binalah jema’ah

di bawah naungan kubah ukhuwwah

cinta dan cinta kan terangkat

di menara keredhaan.

Ramadhan… mengimarahkan pertemuan

Hiasilah masjid itu bagai kan naungan Quba

Terus makmur selama-lamanya..

Di hujung lisan mengalirnya mahmudah

Kalam dilafaz bermuarakan Imaniah

Betapa jernihnya sungai citra

Tika kata berlabuh di dermaga makna..

Sinar shaum menerangi fikrah

Qalbu yang tabah berkerdipnya cahya iatiqomah

Betapa luasnya lautan hikmah

Pada setiap percikan ibadah

Jasad di duga dengan dahaga

Menyapa derita si dhu’afa

Seufuk hikmah memancar sejahtera

Segenap matra.. dalam dalam bertemu-Nya

Bagaikan Hira benderang oleh Iqra

Percikan kalam Tuhan yang Maha Esa

Menyinari gua kejahilan

Insan memacu gemilang

Tamadun ilmu tamadun iman..

Nurani disirami.. sejuk Qurani

Diri bergetar mengimarahkan alami

Zaman terbina sejahtera hakiki

Sejahtera dalam menuju ukhrawi..

Pada sehelai fitrah..

Warnakan ia dengan aqidah

Hidup mengalir di muara Kalamullah

Berlayar ke pulau Khaira Ummah

Ditemani nakhoda Istiqomah..

Al-Qodr - malam mewangi kembang rahmah

Kasih terangkat seribu hasanah

Hamba pasrah menenun amali

Rindu paling kudus di hati

Qalbu bersimpuh memohon redha

Memohon maghfirah naunangan rahmah

Gemilang detik dipancar kasih-Nya

Malam utama.. sejahteralah hingga ke fajarnya..

Jangan dipersiakan detik ini menjelang

Tika diri bertemu baktimu wahai cemerlang

Mujahadah di makam yang gemilang..

Doa - senjata yang kadangnya alpa di asah

Sementara tajamnya di hunus sahabah

Kemenangan tertawan ditakluki iltizam

Pinta berterusan berpaut pada kasihnya Tuhan

Tika merafa’ kan pinta

Qalbu mula mengakrabi redha

Pohon merimbun kerundukan dan ketundukan jiwa

Perkenaan-Nya meneduhkan hayat..

Kurnia penghidupan …

Percikkan dengan nur keinsafan

Dari-Nya terpancar sinar kebahagiaan

Pada-Nya juga kilaukan kesyukuran

Bisa kita jaringkan pada kerdipnya dugaan..

Saat Dia mendugamu dengan kurnia

Juga terkadang oleh nafsu haloba

Diri faqir dari cinta

Usah terus kekal di sana

Kerna kesalmu tidak kan selamanya..

Bening langit kemenangan

Kudus qalbu ke hadrat as-Salam

Syahdu takbir menyapa keagungan

Salam kema’afan menjabat silaturrahim

Tasbih mewangi pada lisan

Di qalbu ini berkebunnya keinsafan

Semerbak taqwa di pohon kehidupan

Maha Suci ar-Rahman..

Tinggalkanlah gurun pasir dendam

Kita berkafilah ke wadi ihsan

Sejuk dan jernih lembah ukhuwwah

Kembara tiba di wilayah insaniah..

Ramadhan…

Kehadiran mu senantiasa di nantikan..

Pemergian mu pasti di tangiskan..

Moga ada kesempatan..

Untuk bertemu dengan mu Ramadhan..

Agar kita bisa hangatkan jalinan persahabatan..

Kita sulamkan kasih persaudaraan..

Dan kita jernihkan ikatan silaturrahim..

Aduh Ramadhan yang kian pergi…~



~ waznah alhamraa’ ~

00: 24 am

24 Ramadhan 1432 H

24 ogos 2011

BINGKISAN HARI-HARI TERAKHIR RAMADHAN

بسم الله الرحمن الرحيم

سلام الله عليكم جميعا

Cahya Ramadhan….

Alunan suara indah menawan

Irama khusyuk yang mampu menggetarkan Iman

Baca dan hayatilah al-Quran, wahyu agung dari Tuhan..

Berteleku sendirian.. di malam bulan Ramadhan..

Indah jelita menawan hati

Lidah berkata “Allahu Rabbi”

Insan… pastikan hidup tenteram dan aman

Demi mulianya bulan Ramadhan

Terbayang indah dijiwa raga

Cahya indah purnama raya

Bagaikan di Syurga Malaikat berjaga

Dikawal bidadari.. semuanya sebaya..

Biar bersinar cahya Ilahi

“Allahu Akbar” .. menjadi teman, bisikan hati

Dunia bersinar.. cahya Ilahi

Seluruh makhluk mengucap tasbih

Bumi dan langit pun turut memuji

Mengabdikan diri.. pada yang Maha Pengasih

Umat berbakti.. tunduk meng’abdi…

Rukuk dan sujud.. memuja Ilahi..

Segala puji hanya bagi-MU ya Allah, Engkaulah yang mengatur hidup dan kehidupan. Engkaulah yang menguasai seluruh kekuasaan, Engkau anugerahkan kekuasaan bagi yang Engkau kehendaki. Engkau cabut hak berkuasa dari siapa yang Engkau kehendaki, Engkau muliakan siapa saja yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapapun yang Engkau kehendaki, di tangan-MU segala kebaikan, membalas kebaikan dengan kebaikan yang jauh lebih banyak lagi, dan membalas keburukan dengan keburukan yang setimpal. Engkaulah yang berkuasa atas segala sesuatu.

Ayuh.. tebak iman seketika.. =)

Cuba cermati diri dengan adil dan saksama, bandingkan perbuatan baik dan buruk yang kita lakukan sehari-harian. Mana yang lebih dominan? kebaikan ataukah keburukan? Mana yang terlebih dahulu kita lakukan, kebaikan, atau keburukan? Mana yang terasa berat kita pikul? Kebaikan, atau keburukan? Allahu wa Rasuluhu ‘alam ( Allah dan Rasul-Nya juga yang lebih mengetahui ). Asal kita sedari hakikat, bahwa semuanya juga pasti ada balasannya. Dan kita sebagai “Hamba” tidak akan pernah bisa menghindar, semuanya itu akan ada perhitungannya di hari muka kelak.

Sedar tak sedar.. umat Islam kini sedang berada di dalam fasa terakhir di dalam bulan Ramadhan iaitu fasa pelepasan daripada azab api neraka. Rupa-rupanya kita telah pun meninggalkan dua fasa yang tidak kurang pentingnya kepada kita. Kita terus melangkah ke hadapan dan bukannya ke belakang, dan masa yang berlalu pergi tidak mungkin bisa di putar kembali. Muhasabah diri – apa sudah cukup amalan selama berada dalam fasa pertama dan kedua? Bagaimana dengan tadarrus kita? Qiyam kita? Sedekah kita? Muhasabah, munajat dan doa kita??? Apakah kita layak untuk mendapat rahmat di fasa pertama dan keampunan Allah di dalam fasa kedua??? Subhanallah, semoga Allah sentiasa terima amalan kita.

Begitu banyak kelebihan dalam bulan penuh barakah ini yang tidak terhitung banyaknya. Moga-moga saat kehadiran Ramadhan beberapa hari yang telah berlalu, kita tatapi dengan pandangan yang redha dan kita melihat Ramadhan sebagai satu kesempatan setahun yang hanya akan hadir dalam tempoh sebulan. Namun, sekiranya kita hayati dan kita dalami fadhilat dan hikmah bulan Ramadhan Kareem itu, pasti kita akan menginginkannya berlangsung selama setahun. Sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya yang bermaksud : “sekiranya seseorang itu tahu kelebihan Ramadhan, nescaya dia menginginkan setahun ini menjadi Ramadhan keseluruhannya” [ HR at-Thabarani ]. Itulah tanda-tanda kerinduan seorang mukmin, dengan ketaqwaan, qalbunya mengerdip pada kecintaan amal dan hikmah yang sentiasa disukai Allah SWT.

MADRASAH TARBIYAH RAMADHAN

Tiada kata yang dapat diungkapkan untuk menyatakan betapa syukurnya kita kerana masih lagi dipilih sebagai 'pekerja' untuk menyiapkan 'PROJEK MEGA TAHUNAN' untuk tempoh 11 bulan yang akan datang. Ya!!! Ramadhan satu projek mega dari Allah. Bersyukurlah kita masih diberi peluang selama sebulan untuk sama-sama perbaiki diri serta terpilih memasuki madrasah tarbiyah Ramadhan untuk memastikan diri kita menjadi insan yang bertaqwa bukan setakat bekalan pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi sebagai bekalan berterusan untuk 11 bulan yang mendatang.

Para ulama' menyifatkan bahawa Ramadhan adalah sebagai satu madrasah (sekolah), madrasah mutamayizah (sekolah elit/bestari) serta sebagai kedatangan rabi'ul abrar (musim bunga) untuk menggambarkan betapa indahnya Ramadhan dan betapa bersyukurnya sekiranya terpilih berada di dalam Ramadhan. Semua orang tahu setiap sekolah mempunyai matlamat, sistem serta kurikulumnya tersendiri. Demikianlah dengan madrasah Ramadhan.

Kurikulum yang dicipta adalah khusus bagi melahirkan para graduan muttaqin kepada Allah SWT. Sekolah rendahnya ialah ISLAM manakala menengahnya pula ialah IMAN. Kemudian, barulah melangkah ke menara gading TAQWA. Sekiranya berjaya, maka lahirlah golongan 'muttaqin'.

Ketika Sekolah Ramadhan telah mula memasuki fasa yang kedua, barangkali kita boleh lihat keghairahan segelintir umat Islam yang berlumba-lumba dan bersesak-sesak memenuhi masjid dan surau-surau di awal Ramadhan, kian mula berkurangan. Di satu sudut yang lain kelihatan umat Islam berpusu-pusu ke tapak Bazar Ramadhan bagi mencari juadah berbuka sekaligus memberi laba yang lumayan kepada komuniti peniaga.

Apapun ganjaran pengampunan dosa yang disediakan oleh Allah SWT di bahagian kedua daripada Ramadhan tidak sewajarnya dipersiakan. Ironinya sebagai manusia biasa kita sering terdedah kepada melakukan gejala dosa dan maksiat yang terlarang. Maka peluang diampunkan dosa terbuka luas bagi sesiapa yang menyedari hakikat tersebut disamping terus melakukan pelbagai bentuk ketaatan yang dapat menghapuskan dosa.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Bertakwalah kepada Allah SWT walau di mana sahaja, ikutilah kejahatan dengan melakukan kebaikan nescaya ia (kebaikan) dapat menghapuskannya dan berinteraksilah sesama manusia dengan akhlak yang mulia” ( HR. Imam Ahmad)

Apalagi jika segala amalan kebajikan itu dilakukan secara berjama’ah. Malah secara praktikalnya itulah antara intipati yang tersirat disebalik daripada pensyariatan berpuasa di mulia ini. Lihat sahaja ketika berbuka puasa ramai yang berusaha sedaya upaya untuk dapat bersama keluarga walau dalam kesibukan menjalankan aktiviti harian. Keseronokan itu semakin bertambah jika dapat bersama kedua ibubapa dan adik-beradik berkumpul dan berbuka dikampung halaman masing-masing.

Dalam konteks pelaksanaan ibadat pula suruhan supaya salat Isyak secara berjama’ah sebelum melakukan solat tarawih juga menggambarkan betapa Islam sangat menitikberatkan amal jamai’e dalam kehidupan seharian bagi memperkasa kekuatan ummah sejagat. Perkara ini dapat direnungkan dalam firman-Nya yang bermaksud “Kekuasaan Allah SWT berada di tangan mereka” (Surah al-Fath:10), dengan pengawasan Allah SWT kepada mereka. Malah terdapat dikalangan ahli tafsir yang mentakwilkan ayat tersebut kepada maksud pahala yang diberikan oleh Allah SWT melampaui kebaikan yang dilakukan oleh manusia.

Justeru, nilai kebersamaan dan kesatuan itu sewajarnya direalisasikan dalam mengatur dan memelihara hubungan sesama umat Islam. Jika tidak seluruh umat pasti menanggung derita yang tidak berkesudahan. Perkembangan terbaharu di tanahair misalnya menunjukkan ada pihak yang sanggup mengenepikan parti dalam usaha memperjuangkan nasib bangsa sendiri, malangnya umat Islam agak ketinggalan sehingga kini masih meraba-raba mencari formula terbaik untuk menyatupadukan umat Islam Melayu ditanah airnya sendiri.

Ambillah iktibar daripada persengketaan berpanjangan antara Pergerakan al-Fatah dan Hamas di Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan negara daripada kependudukan haram Yahudi. Ternyata sehingga kini belum nampak tanda-tanda perdamaian dan kesatuan antara mereka sehingga rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa malah penempatan haram Yahudi terus dibina yang akhirnya mungkin menyebabkan negara Islam Palestin hilang daripada lakaran peta dunia.

Bersatulah wahai umat Islam!! Gesaan kepada seluruh umat Islam dan masyarakat yang lainnya untuk bersatu dan bersama-sama menangani jenayah masa kini yang semakin menjadi musuh nombor satu negara yang perlu diperangi habis-habisan, berbagai kempen kesedaran belum tentu cukup menyedarkan mereka. Berbakul-bakul kata nista dihamburkan kepada manusia keji ini juga tak ubah seperti puisi indah yang didendangkan kepada mereka. Justeru langkah kerajaan memperketatkan undang-undang sehingga ketahap hukuman gantung mandatori diharap berjaya menginsafkan mana-mana makhluk Tuhan yang bercadang untuk melakukan apa jenis jenayah sekali pun.

WAHAI SEKALIAN ORANG MUKMIN, KETAHUILAH BAHWA TAMU AGUNG TELAH DATANG, IA DATANG UNTUK MENAUNGI KALIAN DENGAN MEMBAWA KEBERKAHAN YANG TAK TERHINGGA.

Renungilah bagaimana Rasulullah saw - seorang Nabi yang ma 'shum (terjaga dari melakukan kesalahan), yang perbuatan dan kata-katanya menjadi ukuran kebenaran - menyambut tamu agung ini. Kebenaran yang wajib kita akui, bagindalah suri tauladan terbaik bagi kita. Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya telah ada pada [diri] Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu [iaitu] bagi orang yang mengharap [rahmat] Allah dan [kedatangan] hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah." (Al-Ahzab [33]: 21). Alangkah beruntungnya siapa pun yang setia mengikuti petunjuk Nabi Muhammad dan menauladani baginda dalam semua segi dari ke-hidupan ini. Dan alangkah besar kerugian orang yang selalu melafazkan sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya. Wal’iyadzubillah~

Baginda saw menyambut kedatangan Ramadhan dengan sambutan yang sangat luar biasa. Apabila Rasulullah saw melihat hilal (bulan) petanda Ramadhan telah datang, baginda lalu berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jadikanlah bulan ini bulan keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keislaman bagi kami. Sebab, dia adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah."

Alangkah indahnya detak-detak tauhid dan belaian-belaian aqidah dalam menyambut bulan dengan memperbaharui pernyataan, "Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah." Padahal pada saat itu orang-orang musyrik menyembah selain Allah SWT. Seolah-olah nabi berkata kepada hilal itu, "Wahai hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sungguh kesalahan yang amat besar kalau ada orang yang menyembahmu."

Ramadhan adalah kesempatan sangat berharga yang tidak dapat diganti. Ramadhan - peluang emas dalam kehidupan umat Islam, kerana setiap malamnya Allah SWT membebaskan seratus ribu orang dari mereka yang sudah tercatat masuk neraka, dan pada malam terakhirnya Allah membebaskan mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya. Adakah rahmat yang lebih besar dari itu semua?

Ibnu 'Abbas ra berkata, "Rasulullah adalah orang yang paling lembut, tapi beliau jauh lebih lembut lagi pada bulan Ramadhan; Pada waktu itu, beliau lebih lembut daripada angin yang bertiup." Itulah Rasulullah saw, yang tidak pernah menolak orang yang meminta suatu pemberian kepadanya. Sehinggakan pakaian yang sedang dipakainya ia berikan jika diminta. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Bukhari (1277,2093 dan 6036), Sahl ibn Sa'ad bercerita Rasulullah saw pernah sedang memakai pakaian yang dibuat oleh salah seorang isterinya, lalu seseorang datang meminta pakaian itu dan baginda pun memberikannya. Kalau begitu, petunjuk Rasulullah saw paling penting di bulan Ramadhan yang seharusnya kita contohi adalah sikap lemah Iembut, kedermawanan dan kegemaran memberi. Inilah ajaran dan petunjuknya yang sangat mudah terlihat dalam sejarah Rasulullah saw.

Rasulullah saw yang lembut itu, apabila masuk bulan Ramadhan lebih giat lagi berbuat kebaikan, bersedekah, tersenyum, bersilaturrahim, membebaskan hamba sahaya, memberi dan berkorban.

SETIAP HEMBUSAN NAFAS RASUL ITU ADALAH KEBAIKAN, BEGITU JUGA KATA-KATANYA, KUNJUNGANNYA, SEDEKAHNYA, YANG DILAKUKAN TERANG-TERANGAN ATAU TERSEMBUNYI. DIALAH YANG PALING LEMBUT DAN TIDAK AKAN TERSAINGI OLEH HATIM, BELIAU JUGA PEMBERANI TANPA TERSAINGI OLEH 'ANTARAH, BELIAU SEORANG ORATOR YANG TIDAK MUNGKIN TERTANDINGI OLEH QISS,(iaitu Qiss ibn Saadah, seorang orator jahiliyah yang sangat terkenal) ,TIADA TUHAN SELAIN ALLAH, ALANGKAH SEMPURNANYA BAGINDA RASUL.

Allah SWT berfirman:

“Dan engkau [Muhammad] sungguh memiliki akhlak yang agung” (al-Qalam [68]: 4)

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling-mu”. (Ali Imran [3]: 159)

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorangRasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan [keimanan dan keselamatan] bagimu, amat belas kasih lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.” (At-Taubah [9]: 128)

Baginda saw pada bulan ini mengkhususkan hari-harinya untuk membaca Al-Quran. Sebahagian ulama memahami tindakan Rasulullah saw ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan pengajian-pengajian di bulan Ramadhan serta menjauhkan dari orang ramai agar dapat mengkhusyu'kan diri dalam beribadah kepada Allah dengan memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini.

Solat dilakukan di tengah-tengah manusia, begitu pula zakat dan haji. Tapi puasa? Engkau dapat saja makan dan minum di balik tembok agar terhindar dari pandangan manusia sehingga mereka mengira bahawa engkau masih berpuasa. Tapi, bagaimanakah dengan Allah? Sungguh! Dia Maha Tahu apa-apa yang engkau perbuat. Sedarlah!! Ada yang sentiasa memerhatikan…

Pada saat seseorang berpuasa, ia mengeluarkan bau mulut yang mungkin mengganggu manusia, tapi di sisi Allah SWT ia seperti aroma Misk.

Setiap amalan baik seorang Muslim—kecuali puasa—akan di-balas dengan kebaikan yang setimpal, atau dengan sepuluh sampai 700 kali lipat, bahkan lebih. Adapun puasa, tiada yang mengetahui ganjarannya kecuali Allah SWT. Allah SWT juga menyiapkan pintu khusus bagi orang yang berpuasa untuk masuk syurga-Nya pada hari kiamat kelak, diucapkan kepada mereka itu; Masuklah dan makanlah, Wahai orang yang tidak makan (kerana berpuasa)..makanlah, Wahai orang yang tidak minum (kerana berpuasa)..minumlah, wahai orang-orang yang meninggalkan bersenang-senang dengan isterinya (ketika berpuasa)..bersenang-senanglah.

Orang yang sedang berpuasa adalah kekasih Allah SWT. Abu Sa'id al-Khudri berkata: Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, Allah akan jauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan." [Riwayat Bukhari (2840) dan Muslim (1153)]. Para ulama salaf memahami pengertian puasa di jalan Allah SWT di sini dengan berperang menghadapi musuh dan menyerahkan seluruh jiwa di jalan Allah SWT. Kerana itulah, 'Abdullah ibn Rawahah ra - sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Katsir, adz-Dzahabi dan ulama-ulama lainnya - ikut dalam perang mu'tah dalam keadaan berpuasa. la tetap gigih di medan perang walaupun sahabat-sahabat-nya telah tumbang (mati syahid) satu persatu, diantaranya Zaid ibn Haritsah dan Jaafar ath-Thayyar. Perut yang kosong dan kerongkong yang kering tidak menghalangi semangatnya untuk meneruskan peperangan. Akhirnya, ia syahid dalam keadaan masih berpuasa. Lihatlah jiwa ini yang bersegera menuju Allah, Tuhan yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri.

Sedangkan kita, apa yang telah kita sumbangkan untuk Islam? Tidak ada apa-apa, tidak salat malam, tidak berjihad, dan tidak juga membelanjakan harta di jalan-Nya. Sedangkan orang-orang terdahulu yang mengetahui bahawa puasa adalah sekolah ruhiyah dan kehidupan yang abadi di sisi Allah SWT, mereka meninggikan kalimat La ilaha illallah dengan pedang mereka. [pesan untuk diri sendiri =) ]

Wahai kaum Muslim! Wahai orang-orang yang lahir dan dibesarkan di lingkungan kalimat LA ILAHA ILLALLAH! Ramadhan akan pergi sebentar lagi. Maka, sekarang gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya. Jadikanlah ia sebagai alat untuk membebaskan diri dari api neraka dengan cara bertaubat, minta ampun, memperbanyak dzikir, tahlil (mengucapkan La ilaha illallah), tasbih, tahmid, harumkan kehidupan Ramadhan dengan aroma tilawah al-Quran, wangikan perjalanan Ramadhan dengan kembang-kembang kebajikan seperti bersedekah, menghulurkan sumbangan dan tidak lupa pada kewajipan zakat. Hidupkanlah rumah dengan ayat-ayat Allah yang terang. Jauhkan nyanyian yang membinasakan dan melalaikan kamu dari mengingati Allah SWT.

Sekali lagi gunakanlah kesempatan mendapat pembebasan dari neraka pada bulan ini, serta kesempatan memutihkan wajah pada hari kiamat nanti saat perhitungan dengan Allah yang Maha Esa dan Perkasa. Beruntunglah perut-perut yang lapar dan tenggorok yang kering kerana Allah SWT, sehingga Allah SWT pun membanggakan kalian di hadapan para malaikat-Nya dari atas langit yang tujuh.

Jadikanlah Ramadhan sebagai sarana untuk menghapus dosa-dosa pada bulan ini. Marilah sama-sama kita lewati hari-hari terakhir dalam keberkatan Ramadhan dengan segala kesyukuran yang insyaAllah akan memancarkan cahya keIMANan kelak, seiring sabda Baginda saw, maksudnya : “Iman itu terbahagi kepada dua, separuhnya dalam sabar, dan separuhnya lagi dalam syukur” [ HR al-Baihaqi ] Ayuh!! Sama-sama kita perbaharui taubat pada-Nya.

Semoga segala amal bakti kita akan terus gemerlap dengan sumber cahya niat yang suci kerna-Nya. Sumber sinar niat yang ikhlas itulah yang akan menggilap iltizam serta kesungguhan beramal dan hanya bakti seumpama itulah yang bakal berkilau di langit kemuliaan dengan penerimaan daripada Allah SWT.

SALAM RAMADHAN FASA KETIGA, PECUTAN IMAN DAN AMAL DI HARI-HARI TERAKHIR~… =)

SEKIAN..



~waznah alhamraa’~

23:15 PM

23 Ramadhan 1432 H

23 ogos 2011