OH ALLAH ... WALAU AKU MALU


Bismillah wa Alhamdulillah..

Kerana takutkan neraka, menyebabkan kita tidak malu meminta Syurga. Tapi mengapa masih tidak malu berbuat dosa

إِذاَ وَقَعَ مِنْكَ ذَنْبٌ فَلاَ يَكُنْ سَبَباً لِيَأْسِكَ مِنْ حُصُوْلِ اْلاِسْتِقاَمه مَعَ رَبِّكَ ، فَقَدُ يَكُوْنُ ذَلِكَ آخِرَ ذَنْبٍ قُدِّرَ عَلَيْكَ

Jika engkau terjatuh pada dosa, janganlah hal itu membuatmu berputus asa untuk terus istiqamah bersama Tuhanmu. Sebab, bisa jadi itulah dosa terakhir yang ditetapkan atasmu”  - [Ibnu Atha’illah : Kitab al-Hikam, Hikmah 18]

Mengenangkan dosa hari ini.. semalam.. dan hari-hari yang telah berlalu, di tambah tolakkan, alangkah banyaknya. Tetapi dengan dosa yang semakin menimbun, Allah ar-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang sudah banyak melakukan dosa. Bahkan, Allah yang bersifat ar-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui manusia lainnya.

Ya, harus di insafi. Manusia itu bukanlah Malaikat yang tidak pernah melakukan kesalahan melainkan sentiasa beribadah kepada Allah. Manusia itu juga bukan Nabi mahupun Rasul yang dipelihara (Ma’sum) dari melakukan segala dosa. Tanyalah kepada sahabat anda ; apakah ada manusia di atas muka bumi ini yang tidak melakukan dosa? Pasti jawapannya : “tidak ada yang terlepas darinya.. bagaimana tinggi sekalipun kedudukannya”


# Ibroh dari Kisah Nabi Adam A.S.

Sifat mulia yang boleh dipelajari dari sirah Nabi Adam A.S. ini ialah mengakui kesalahan dan sedia menerima implikasi dari kesalahan yang telah dilakukan. Perlu diingatkan, bahawa kesalahan yang terjadi adalah tidak disengajakan. Nabi Adam A.S. - manusia pertama yang bertaubat. Sebagai manusia (sebelum diangkat menjadi Nabi) yang telah melakukan dosa dengan memakan buah dari pohon yang dilarang Allah untuk mendekati (memakan) buahnya (al-Baqarah : 35). Namun, dengan segera Nabi Adam bertaubat dan Allah SWT pun menerima taubatnya.

Secara dasarnya, segala perbuatan yang dilakukan di dalam keadaan terlupa tidak dianggap sebagai dosa dan maksiat. Menurut Hamka di dalam Tafsir al-Azhar ; “Dia (Adam) lupa, dan Allah membuktikan tidak terdapat padanya kesengajaan bagi melanggar perintah. Dia jujur tetapi terbujuk, dia tertipu dan dirayu oleh mulut manis dan waswas yang dimasukkan iblis, musuhnya. Walaupun Allah peringatkannya mengenai bahaya iblis, sebagai seorang yang beriman, Nabi Adam terlalu jujur. Kejujurannya itu yang menyebabkan dia tertipu.”

Nabi Adam A.S. telah melakukan dosa, anak keturunannya pun juga akan mengikutinya. Rasulullah S.A.W. pernah bercerita tentang kisah Nabi Adam ;

فَجَحَدَ آدَمُ فَجَحَدَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَنَسِىَ آدَمُ فَنَسِيَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَخَطِئَ آدَمُ فَخَطِئَتْ ذُرِّيَّتُهُ

Adam telah melanggar larangan Allah, maka anak keturunannya pun juga akan melanggar larangan Allah. Adam telah lupa, maka anak keturunannya pun juga akan lupa. Adam telah berbuat dosa, maka anak keturunannya pun juga berbuat dosa” (HR. Tirmidzi, hasan shahih)

Bisikan syaitan senantiasa dihembus-hembuskan di telinga anak Adam. Jeratan syubhat dan rayuan syahwat senantiasa membayangi setiap langkah kehidupan manusia. Hingga tidak akan ada susuk manusia yang suci dari dosa dan kesalahan. Bahkan dosa sudah menjadi watak dan tabiat manusia.

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya kalian tidak pernah berbuat dosa, nescaya Allah akan mengganti kalian dengan mendatangkan suatu kaum yang kemudian kaum tersebut berbuat dosa, kemudian mereka meminta ampun kepada Allah, dan Allah akan mengampuni mereka” (HR. Muslim)

Tabiat manusia itu pasti tidak akan terlepas dari berbuat dosa. Bahkan, manusia itu.. jika tidak selalu di ingati, pasti akan lebih mendekat kepada dosa daripada istiqomah. Rasulullah bersabda,

كل بنى ءادم الخطاءين وخير الخطاءين التوبين

“Setiap anak Adam adalah bersalah dan sebaik-baiknya orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang mau bertaubat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Di dalam Riwayat yang lain, Rasulullah bersabda, mafhumnya : “Sesungguhnya apabila seorang mukmin melakukan dosa, maka akan terjadi bintik hitam didalam hatinya. Jika ia bertaubat dan melepaskan dosa tersebut serta beristighfar, maka hatinya akan dibersihkan. Namun, jika ia menambah dosanya, maka bintik hitam tersebutpun akan bertambah hingga menutupi hatinya” (H.R.Bukhari)

Tidak terbayangkan bagaimana keadaan bumi ini, seandainya Allah SWT membalas setiap dosa yang diperbuat oleh manusia saat ini dengan hukuman secara langsung dari-Nya. Sebagaimana Allah telah menenggelamkan kaumnya Nabi Nuh A.S. Demikian pula Allah telah kirimkan angin kepada kaum ‘Aad, begitu juga apabila Allah telah balikkan bumi ini dan Allah kirimkan bebatuan kepada kaum Nabi Luth A.S. Sungguh, betapa besar kasih sayang Allah Ta’ala kepada umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam.


# Ayuh! Muhasabahkan DOSA kita

Analoginya : seorang peniaga yang mahu mengira untung rugi syarikatnya. Seorang peniaga sangat digalakkan untuk menghitung jumlah kerugian yang dialami, kerana hanya dengan melihat semula kerugiannya, pasti akan hadir perasaan dalam dirinya untuk meningkatkan lagi perniagaannya pada masa akan datang. Malah segala kesalahan dalam teknik perniagaannya sebelum ini akan segera dibaiki dan dibetulkan supaya tidak berulang pada masa akan datang.

Dan apabila seorang peniaga yang hanya melihat keuntungannya sahaja, bimbang dia akan tenggelam dalam keadaan selesa dan lupa untuk meningkatkan perniagaannya. Begitu jugalah kita yang sedang berurus niaga dengan Allah. Pasti tidak akan terlepas dari situasi tersebut. Antara untung dan rugi. Pahala itulah keuntungan kita. Dosa pula kerugian kita. Bezanya Cuma, kerugian perniagaan syarikat hanya di dunia, tetapi kerugian berniaga dengan Allah, kesannya akan tampak di akhirat.

Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Dan kita sebagai manusia, perlu gali hikmah yang tersembunyi. Ada hikmahnya mengapa Allah mentakdirkan kita melakukan sesuatu kesalahan. Antara lain ialah Dia ingin menguji sejauh manakah teguhnya keimanan kita kepada sifat Kasih dan Sayang-Nya. Juga ditakdirkan-Nya kita melakukan kesalahan adalah untuk memberi keinsafan kepada diri kita akan betapa lemahnya kita untuk melakukan sesuatu kebaikan dan mengelakkan sesuatu kesalahan tanpa rahmat-Nya. Sebab itulah kita tidak perlu merasa angkuh apabila berjaya melaksanakan sesuatu kebaikan. Sebaliknya hendaklah sentiasa bersyukur kepada-Nya dan berdoa agar Dia sentiasa memberikan kekuatan kepada kita untuk terus berada dalam kebaikan dan jauh daripada sebarang perlakuan yang mungkar.


# Mahu berubah.. Biar kerana Allah.

Pasakkan dalam diri bahawa perubahan itu adalah kerana Allah dan semata-mata mahukan keredhaan-Nya. Sama sekali bukan kerana manusia atau material yang lain. Perbaiki dan perhalusi niat. Sekiranya kita berubah dengan niat yang tidak betul, maka tersangatlah mudah untuk Syaitan menghancurkan keazaman kita. Berubah kerana manusia, kerana merajuk, kerana kecil hati, kerana mahu perhatian dan pelbagai bentuk ‘kerana’ yang lain di mana kesemuanya tidak berpaksikan ‘kerana Allah’. Jika mahu berubah meninggalkan maksiat atau mahu berubah menjadi baik dengan niat kerana Allah, maka sekalipun didatangi dengan godaan yang kita tidak sangka, maka kita tetap akan bertahan dengan prinsip perubahan tersebut kerana niat asal kita adalah kerana Allah.

Berhati-hati kerana Syaitan tidak pernah rehat dalam merealisasikan misi dan visi mereka. Godaan Syaitan itu adakalanya tidak datang dalam bentuk yang kita duga. Kadang-kadang, perkara duniawi yang kita sangat mahukan sebelum berubah , itulah yang akan mendatangi kita dengan mudahnya selepas kita berubah. Ketika kita mengejar kenikmatan dunia, ia lari dengan begitu pantas meninggalkan kita. Namun ketika kita berpaling mahu mengejar akhirat, ketika itulah dunia itu pula berlari pantas mengejar kita.

“Apabila kamu berusaha untuk berubah ke arah kebaikan, Allah akan menguji kamu, untuk melihat sejauh mana kamu IKHLAS untuk berubah” Inilah konsep yang harus kita fahami jika kita benar-benar mahu berubah, agar nantinya kita tidak goyah dengan suntikan nikmat daripada Syaitan.

Firman Allah SWT, mafhumnya :

“..dan Syaitan menghiasi amal perbuatan mereka, lalu mereka terpesong dari jalan yang benar dalam keadaan mereka tidak diberi hidayah “


# Lihatlah Orang-orang Soleh Terdahulu

Sombongnya kita seandainya masih enggan bertaubat kepada Allah. Lihatlah kepada penghulu orang soleh ; Rasulullah S.A.W, manusia yang paling bertaqwa kepada Allah, manusia yang telah diampuni dosanya, baik yang telah lalu atau yang akan datang, manusia yang telah dijanjikan kepadanya Syurga dengan berbagai kenikmatannya. Namun bersama dengan itu, Baginda adalah manusia yang senantiasa memohon ampunan kepada-Nya.

وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Demi Allah, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari 70 kali” (HR. Bukhari dari Sahabat Abu Hurairah)

Siapa di antara kita yang tidak mengenali Saidina Abu Bakr As Shiddiq R.A.? Manusia terbaik setelah Rasulullah S.A.W.. Dengan segenap kebesaran yang di milikinya, beliau mengatakan kepada Rasulullah S.A.W. ; “Wahai Rasulullah, ajarkan kepada diriku sebuah doa,  yang doa tersebut akan aku baca dalam setiap solatku”, Rasulullah mengatakan, ”Katakanlah, Allahuma inni dzolamtu nafsi dzulman kabiran laa yaghfiru dzunuba illa anta, faghfirli maghfiratan min ‘indika, innaka anta alghafur ar rahim” (Ya Allah, sungguh aku telah mendzalimi diriku sendiri, dengan kedzaliman yang sangat besar, tidak ada yang boleh mengampuni diriku melainkan Engkau, maka ampunilah diriku dengan ampunan dari sisi-Mu, dan sayangilah diriku, sungguh Engkau adalah Dzat yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang) (HR. Bukhari-Muslim)

Hasan Al-Bashri rhm juga pernah berkata ; “Sungguh sifat seorang mukmin adalah mengumpulkan antara amalan baik (soleh) dan rasa takut (kepada Allah Ta’ala seandainya amalan tersebut tidak diterima), sedangkan sifat orang munafik adalah mengumpulkan antara amalah buruk (kemaksiatan) dan rasa aman (dari siksa dan ancaman Allah)”. (dikutip dari Tsamaratul Ilmi Al Amalu karya Syaikh Abdurrazzaq al-Badr)


# Kesempatan sentiasa  Ada.

Keampunan Allah sentiasa mendahului murka-Nya. Salah satu bukti kasih sayang Allah Ta’ala kepada hamba-Nya, Allah membuka pintu ampunan dan taubat bagi seluruh hamba-Nya, seperti mana yang termaktub dalam al-Furqan :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah, wahai para hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri-diri mereka sendiri, Janganlah kalian putus asa terhadap rahmat dari Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni seluruh dosa, sungguh Dialah Dzat Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (QS. Az Zumar : 53)

Allah SWT mengampuni setiap dosa seorang hamba, jika hamba tersebut bertaubat kepada Allah, dengan taubat yang hakiki. Bahkan, Allah Ta’ala mengampuni dosa yang paling besar sekalipun, yaitu dosa syirik, selama orang tersebut ikhlas bertaubat kepada Allah. Bukankah para Sahabat R.Anhum, dahulunya adalah orang-orang yang tenggelam dalam lumpur kemusyrikan, tenggelam dalam kubangan dosa dan kemaksiatan. Namun, dengan sebab taubat mereka, Allah SWT pun mengangkat kedudukan mereka.

Dicatatkan dalam sebuah hadith Qudsi, Allah berfirman, mafhumnya ; "Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu: Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah. Aku cintakan orang yang rendah hati/diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati. Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat.

Semakin bertumpuk dosa yang dilakukan, seiring dengan itu akan semakin gelap hati si manusia, hingga hatinya menjumpai kebinasaan. Inilah sebesar-besar kecelakaan dan musibah, wal‘iyadzubillah! Apabila hati sudah binasa, apa lagi yang bisa kita harapkan dari kehidupan ini? Sedangkan kehidupan yang hakiki tidak lain adalah kehidupan di sana nanti.  Nas’alullaha al ‘afiyah

Allah SWT berfirman ;

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Bersegeralah menuju ampunan dari Rabb kalian dan menuju Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang dipersiapkan bagi orang-orang yang beriman” (QS. Ali ‘Imran : 133).


# Allah walau aku malu..

Berteleku di malam hari, merasakan diri lebih terasa dekat dengan Ilahi. Allah.. terima kasih. Rasa lapang sekali. Tanpa kesibukan, kurang pergerakan. Melihatkan mereka yang lain juga kaku.. dalam dzikir dan fikir. Terdengar dengusan helaan nafas bersama rintihan esakan tangisan.. perlahan.. bersama-sama dengan alunan al-Quran ibarat melodi yang sangat mengasyikkan.

Sesah akal ku ya Rahman, palu akal ini ya Rahim, dengan belantan indzar dan tazkirah-Mu. Kembalikanlah biduk akal ku ke pelabuhan takdir-Mu. Hati dan jiwa sudah letih belayar tanpa arah yang nyata. Dalam sujud dan rukuk hamba penuh noda, aku hamparkan aib dan dosa. Tanpa aku mengadu, Engkau bahkan lebih Tahu. Hanya itu wadah untuk aku menyerah, kerna aku hanya ‘abdul Allah.. Dalam pasrah.. aku kalah!

Berbekalkan harapan, benteng terakhir hanya rasa tidak berputus asa. Dalam rasa malu, takut dan harap, aku gagahi dan beranikan diri untuk meminta. Dalam deraian tangisan dan rintihan, ku catatkan gugusan permintaan. Melalui puisi hati. pena menari mencari makna, kata-kata hanya berpandukan rasa.

Sekali lagi ya Rahman, ya Rahim.. walau malu, aku tetap meminta Syurga.

Teruskan langkah menuju pengampunan dan redha-Nya. Tinggalkan segala bisikan Syaitan yang sentiasa berusaha memalingkan hati, fikiran dan harapan untuk memburu kasih-sayang dan pengampunan-Nya. Percayalah kasih dan sayang Allah tidak akan pernah bernoktah sampai bila-bila. Tadahkan tangan di hadapan-Nya, mohonlah keampunan-Nya, pasti Dia tersenyum melihat kita yang sedang menagih simpati-Nya




_ semoga Syurga.. adalah sebaik-baik pengakhiran buat kita semua _






Al-FaQiroh Ila Robbiha :
~ waznah alHamraa’ ~
06 Rejab 1433H
27 Mei 2012 

MUSIM MENYEMAI USAHA BELUM BERAKHIR


Nota Hati : dalam kembara mencari makna


Bismillah wa Alhamdulillah..

“Pelajarilah Ilmu, mempelajarinya kerana Allah adalah khasyah, Menuntutnya adalah ibadah, mempelajarinya adalah Tasbih, mencarinya adalah Jihad, Mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahui adalah Sedekah, menyerahkan kepada ahlinya adalah Taqarrub. Ilmu adalah teman dekat dalam kesendirian dan sahabat dalam kesunyian” - (Mu’adz ibn Jabal R.A.)

Alhamdulillah, berakhirnya sesi kuliah semester Dua 11/12. Banyak kenangan manis & pahit. Berkelana di Bumi Allah, lelah dalam mencari Redha-Nya di perantauan. Sahabat, berakhirnya sesi kuliah bukan bermakna berakhirnya musim menyemai usaha & tawakkal. Ya, kita mungkin rasa berjaya kerna sudah menghabiskan hari-hari yang "menyesakkan" minda & jiwa.

Tapi sahabat, kita harus terus berusaha & istiqomah dalam muraja'ah untuk imtihan dunia yang bakal tiba. Moga ilmu yang diperolehi tidak hanya dipraktikkan di dewan imtihan semata, tapi di amalkan dalam kehidupan seharian kita. Dalam usaha meraih Kejayaan Dunia, jangan lupa berusaha meraih Kejayaan Akhirat, kerna kita pasti kesana & akan Kekal disana.

Mengembara di negeri duniawi..
Mengumpul bekal dan hikmah untuk ukhrawi
Melangkah sendiri
Di celah jutaan manusia bersesak ke sana sini
Mengikut rentak hati
Menuntun diri yang kian sepi
Allah.. apa yang sebenar ku alami..?

“Dan ingatlah peristiwa ketika Nabi Musa A.S. berkata kepada temannya ; Aku akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut atau aku akan berjalan terus bertahun-tahun (al-Kahfi ; 60)

Hebatnya Nabi Musa.. ketika Allah memerintahkan untuk mengembara, Nabi Musa yakin dengan apa diketahui. Mengembara menyusuri perjalanan misteri, mencari hikmah yang belum diketahui seperti apa yang sudah diperolehi. Belajar mencari makna hidup!

Kadang, terasa tidak ada yang menemani
Melainkan Engkau yang sentiasa mendengar suara hati
Hujung perjalanan yang mana harus ku selami?
Satu persatu kejadian menimpa diri
Bila diri mula untuk bersedih
Berita gembira pula memujuk hati
Apa Engkau mahu menguji
Bersabar dengan kesedihan..
Atau bersyukur dengan kegembiraan..??
Oh Allah..
Andai kembara ini menuntut aku untuk terus istiqamah
Tunjukkanlah arah mana yang harus ku melangkah
Agar saja kembara ini sesuatu yang bermakna!


Sahabat Fillah..

Hakikatnya.. saya, anda dan kita semua masih akan terus mencari. Mencari ketenangan di tengah amukan resah dan gelisah. Usaha dan tekad kita untuk merealisasikannya dalam hidup adalah sangat utama. Ilmu itu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Allah. Belajarlah untuk mempergunakan ilmu pengetahuan itu agar ianya dapat menghiasi diri menjadi manusia yang berkualiti. Orang yang berilmu umpama gula yang bakal dikerumuni semut. Berkatnya sesuatu ilmu itu apabila ia dapat di manfaatkan kepada dirinya serta orang lain.  Nafi'an li ghairihi . . .


:: Sahabat Fillah, mohon maaf atas segala khilaf sepanjang bersama-sama menuntut ilmu di "Rumah" yang sama  ::





Al-FaQiroh Ila Robbiha :
~ waznah alHamraa’ ~
05 Rejab 1433H
26 Mei 2012 

SURAT HATI UNTUK YANG DI NANTI


Bismillah wa Alhamdulillah..

07:45 petang.

“nak tanya something, boleh..?” dia yang duduk di sebelah saya, akhirnya bersuara.. memecahkan kesunyian yang menemani saya dan dia.

Hafalan al-Quran saya berhentikan.

“nak tanya apa..?” saya balas dengan pertanyaan.

“macam mana caranya nak hadapi.. hurm bicaranya terhenti seketika. Keluhan panjang dihempaskan. Berat hati, barangkali.. hendak mengatakannya.

Saya turut diam. Hanya menanti luahan kata seterusnya

kita berharap kepada sesuatu tu tapi tak dapat..” ada nada sebak dalam suaranya. Tersekat-sekat.

“benda atau manusia?” sekali lagi pertanyaan dibalas dengan pertanyaan.

Lama dia mendiamkan diri. Kalaulah saya dapat menebak apa yang tersembunyi jauh di sudut hatinya. Tapi sayangnya itu hanyalah diluar batas kemampuan saya.

manusia

Manusia! Oh Allah bergetar hati saya. Hendak dijawab apa untuk menenangkan hatinya. Berusaha mengawal perasaan yang sedang bergelora. Tangan kanannya, saya genggam erat.

“pasrah, tapi jangan mengalah. Redha dan lupakanlah. Perjalanan di hadapan masih ada untuk kita jangan berhenti berharap, jangan berhenti berdo’a” hanya itu yang terluah.

“sampai bila

sehinggalah Allah menjawab do’amu. Allah itu Maha Adil, Allah Cuma tangguhkan sebentar saja. Kan kamu pernah kata dulu.. Allah tidak Zalim. Bahkan Allah sentiasa Memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya. Mungkin.. Allah tak izinkan buat masa ni, supaya kita tak lupa dengan Allah bila kita dah miliki apa yang kita hendaki. Allah, Ar-Rahman, Ar-Rahim. Allah sentiasa Cinta pada kita. Sentiasa Merindukan suara kita. Cuma kadang-kadang.. kita mudah lupa, bila kita sudah miliki apa yang kita cinta, kita lupa kepada yang melimpahkan rasa cinta..”

Genggaman tangan saya dilepaskan. Dia menundukkan kepala. Diam tanpa bicara.

Wajah.. saya alihkan ke luar jendela. Diam.. bukan mahu melayan luka di jiwa tetapi tidak mampu menahannya. Air mata yang ditahan akhirnya mengalir jua. Tewas! Janji untuk tidak menangis lagi saya mungkiri. Oh Allah.. hipokritkah aku pada dia..? dan pada manusia yang lainnya..?. air mata diseka perlahan-lahan. Pandangan saya beralih semula pada si dia. Tangannya saya genggam semula.

cinta itu fitrah. Wanita dan lelaki yang saling jatuh cinta itu juga adalah fitah. Kejamlah kita sekiranya kita cuba menghapuskan fitrah tersebut. Islam menyediakan jalan yang terbaik supaya cinta itu di salurkan dengan cara yang benar, iaitu dengan jalan pernikahan mencintai tidak semestinya kita akan memiliki. Dan cinta itu jangan sampai berlebih-lebih. Jangan meminta Allah tambahkan cintamu untuk seseorang, boleh jadi dia akan meninggalkanmu suatu hari nanti, tetapkanlah hati mu kepada-Nya, & katakanlah ya Allah, dekatkanlah aku kepada orang yang lebih baik untuk ku.. moga kita sentiasa beroleh Rahmat dari Allah saya mengulangi kata-kata yang dihadiahkan seseorang apabila saya berada dalam situasi sama seperti dia.

boleh tak saya berdoa semoga Allah lembutkan hati orang tuanya untuk menerima saya..?”

Kelu lidah untuk menjawabnya. Akhirnya saya tahu ‘kisah’nya. Tanpa diduga, “rupanya, situasi kita sama, sahabat!” hati mengambil peranan untuk berbicara.

“teruskanlah berdoa.. tanpa rasa jemu. Moga Allah permudahkan bagi kamu..”

. Dan untuk kamu juga ya..” senyum terukir di bibirnya, bersama linangan air mata.. untuk titisan yang terakhir.

Perbualan kami berakhir dengan senyuman. Yakini, masih ada harapan di hadapan sana. Tanpa disedari, pensyarah yang dinanti sudah berdiri di hadapan mata. Bismillah akal dan jiwa mula fokus pada kuliah

************************************************************************
Surat Hati untuk yang di nanti inspirasi dari apa yang telah terjadi. Sekadar renungan hati. Moga sentiasa diberkati. Sahabat, nah! Hadiah untuk kamu. Jangan sedih-sedih lagi  ya.  =)



Assalamualaikum W.B.T .

Kehadapan insan yang di nanti

Puan.. apa khabar? Semoga sentiasa berada dalam jagaan dan taufiq Allah sentiasa. Maaf, sekiranya kehadiran warkah ini meminjam masa puan untuk seketika. Entah, apa yang memaksa saya menulisnya khas untuk puan secara tiba-tiba. Jujur, fikiran saya melayang memikirkan tentang puan, walau pun kita belum pun bertemu. Panggilan hati, barangkali.

Entah bila saatnya Allah akan izinkan untuk kita bersua muka. Tapi, percayalah puan, saya sentiasa kirimkan do’a buat ibu ayah, serta puan dan suami. Ya, bertemu dengan puan pasti terasa lebih susah daripada bertemu dengan jodoh saya sendiri. Hendak bertemu jodoh pun susah, inikan pula hendak bertemu dengan ibunya.. =)  betul tak..??. tapi, puan.. ketahuilah, sekian lamanya memendam rindu agar kita akan bertemu. Ingin kenali dirimu, kasih dan sayangi dirimu.. seperti mana saya mengasihi dan mencintai kedua orang tua saya.. dan seperti mana anak puan menyayangi puan sepenuh jiwa.  

Puan.. sekiranya nanti, kita saling bertemu muka, berjanjilah pada saya tentang beberapa hal yang penting bagi saya mengetahuinya. Ajarilah saya untuk lebih mengenali puan, mengenali kebiasaanmu, ajarilah saya untuk berbahagia dengan hidup dua keluarga, ajarilah saya untuk mencintaimu, suami serta anak-anakmu. Sama seperti saya mencintai milik saya sendiri. Tunjukilah saya cara menguruskan baitul muslim yang di bina dengan betul, ajarilah saya memasak makanan kegemaran keluarga mu, ajarilah saya bagaimana membesarkan cucu mu nanti, sepertimana puan mendidik dan membesarkan anak-anak sesuai dengan ajaran Rasulullah, dan.. ajarilah saya cara bagaimana membahagiakan anak mu kelak seperti mana para isterinya berbakti, membahagiakan dan mencintai Rasulullah S.A.W.

Puan hanya Allah Maha Tahu, betapa kamu adalah wanita hebat yang telah melahirkan anak lelaki yang luar biasa. Dan lelaki itulah yang nantinya Allah “kirim”kan untuk saya.. menjadi ayah kepada anak-anak saya. Menjadi generasi penyelamat ummah, demi ad-Deen tercinta. Memetik kata-kata seorang ulama masa kini, Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi seperti yang tercatat di dalam bukunya ; “Wanita Dalam Fiqh” - “Pernikahan yang baik itu ialah pernikahan yang tiada halangan daripada kedua-dua pihak, keluarga, undang-undang dan adat”. Menjadi harapan kepada saya agar cinta yang akan bersemi dalam pernikahan kami nanti penuh barakah dengan adanya restu dari puan dan juga suami. dan moga cinta itu kekal hingga ke syurga Ilahi.

Sebelum saya mengakhiri warkah ini, izinkanlah saya memperkenalkan serba sedikit tentang diri saya yang masih dho’if ini..

Saya hanyalah sekadar wanita biasa, peribadi yang juga biasa-biasa, lahir dari kalangan keluarga yang biasa-biasa. Wanita, yang masih ada banyak khilaf dan dosa.
Saya.. bukan seperti Khadijah, isteri Baginda S.A.W.. Dia, wanita masyhur yang luar biasa dalam catatan sejarah, lahirnya dari keluarga bangsawan yang teramat mulia. Saya ini bukan juga ‘Aisyah kekasih hati Rasulullah S.A.W.. Dia, wanita yang luar biasa ketakwaannya. Bahkan saya ini tidak seperti puteri kandung Nabi, Fatimah Az-Zahrah yang terkenal dengan ketabahannya.

Tetapi, seperti yang telah saya nyatakan, saya ini hanyalah wanita biasa, berbekalkan ketakwaan yang biasa, wanita yang masih rendah tahap ketabahannya, kecantikan yang dimiliki juga bahkan tidak layak untuk diperhitungkan. Saya juga tiada jaminan harta sebagai ganjaran kebahagiaan untuk anak mu yang bakal hidup bersamanya.

Namun kamu yang ku rindui untuk ku gelar sebagai ibu.. Saya ini wanita akhir zaman yang masih punya harapan dan cita-cita, berusaha sedaya upaya walau pun masih merangkak-rangkak merebut title “solehah”,  wanita yang akan berusaha berbakti sepenuh jiwa untuk suami ketetapan Allah, juga kepada ibunya. Saya bukannya musuh yang cuba merampas perhatian dan kasih sayangnya, tapi saya Cuma wanita, yang mahu menjadi teman mu untuk berbagi rasa, untuk dia, kamu dan mujahid dan mujahidah ku kelak.

Ibu saya akan berusaha untuk menjadikan anak mu tidak lupa amanahnya padamu mahupun pada suamimu. Kerna saya tidak akan memungkiri pesan Nabi yang di kasihi, bahawa seorang anak lelaki yang telah berkahwin itu, kewajipan terhadap ibu ayahnya tetap menjadi keutamaan baginya. Seperti yang saya inginkan, ajarilah saya untuk lebih mengenali anak mu dan memahami keinginannya. Pernikahan itu nantinya akan membuka tabir rahsia antara saya dan dia. Saya yakin, saya memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menghadapi segala kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku pada hari-hari yang mendatang.

Untuk akhirnya. Ibu.. jadilah penasihat dan pendengar untukku, agar bisa ku berbagi rasa, saat aku sangat memerlukan, saat aku mula dilanda kealpaan. Kerna aku sedar, aku bukanlah Siti Hajar yang sangat sabar ketika di tinggalkan Nabi Ibrahim A.S. demi melaksanakan perintah Tuhannya. Cukuplah sampai disini buat sementara. Insya Allah, sampai masa, kita pasti bersua. Moga nantinya, dipermudahkan urusan menunaikan sunnah Baginda. Salam sayang dari saya.. buat kamu yang akan ku cinta..

Dari saya……

Sekian.






Al-FaQiroh Ila Robbiha :
~ waznah Alhamraa’
02 Rejab 1433H
23 Mei 2012 

MAAFKANLAH.. JIKA INGIN BAHAGIA


Bismillah

Air mata kadangkala mewakili bahasa
yang tidak mampu diterjemahkan mulut kita.
Terbitnya dari jiwa,
mengetuk minda,
pergi ke mulut tersekat di rengkong,
maka pada mata mengalirlah ia.
Jiwa sedang berduka.
Mulut tidak mampu bersuara.
Maka hujan turun di dalam jiwa,
Mewarnai suasana.

(Hilal Asyraf)

Pernah dengar tak kata-kata ni :

“Manusia akan lahir bersama tangisan, dicelah kehidupannya pun akan ada tangisan, dan sampai saatnya ketika dihantar ke pusaranya, juga di iringi dengan tangisan..”


Hidup di dunia.. umpama musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah.. seperti orang yang sedang menyeberangi jambatan. Tidak mahu berdiri lama di situ, cukup sementara. Langkahan kaki dipercepatkan, biar jiwanya selamat tiba di seberang.

Hidup di dunia ini.. biarlah sederhana. Kerna ianya sementara. Bukan pada wang dan harta, tapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu “happy”.. jangan juga terlalu sedih. Tidak ada kesenangan yang tidak disertai dengan kesukaran. Puas ketawa, airmata pula menyapa. Selepas berdukacita, kegembiraan pun menjelma.

Wahai hati..

Sedarilah, setiap gerak laku manusia itu adalah dengan idzin Yang Maha Kuasa jua. Sekiranya hadir dalam dirimu orang yang “menghadiahkan” air mata, syukurilah. Allah mengajarkan tentang erti sabar. Jangan dilihat kepada manusia yang menjadi ‘asbab’, lihatlah dengan mata hati, bahawa Allah juga menjadikan ‘musabbabil asbab’. Bila kau disakiti oleh dia, Allah mengajarkan engkau tentang erti REDHA!,

Ingatlah.. kita ini bukannya malaikat untuk terus pasrah tanpa terusik oleh calar dan cakar hamba bernama manusia. Ada saatnya, kita perlu bertahan. Boleh jadi manusia yang bermuka-muka akan terus dijulang sebagai ‘wira’. Manusia yang punya ‘hati emas’ pula akan terus dihenyak sebagai tawanan dalam penjara hiba dan cela.

Bahagialah.. sekiranya kau menginginkan dia bahagia. Terima hakikat, kita ini bukannya Tuhan yang berkuasa mencaturkan rezki dan nikmat untuk hamba2-Nya. Jadilah si musafir lara yang temannya mujahadah dan taubat. Berusahalah.. untuk jadi insan yang baik, walau masih digoda nafsu kejahatan dan dosa. Bila jatuh, bangkit kembali, jatuh.. bangun lagi.

Tempuhilah jalan mujahadah sekalipun langkah kian lemah. Jangan mengalah! Luruskanlah jalan menuju Allah dengan hati yang tulus sesam insan. Jauhi hasad, elakkan mengumpat. Kita di dunia tidak lama. Nun jauh di sana.. tempat kita merehatkan segala penat. Jangan bimbang bila rasa diri tidak dihargai, tapi.. bimbanglah bila suatu saat kita benar-benar sudah tidak berharga.. di hadapan Allah!

Musim-musim yang berlalu itu.. pasti akan lebih mendewasakan kita. Segala yang menyakitkan hati hanya bersifat sementara. Biarlah beban rasa itu dilepaskan. Jangan dibawa dalam musafir yang pendek. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh.. ibarat kita bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan.. sama seperti  kita memaafkan diri sendiri. Memaafkan itu pahala. Memaafkan itu menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum hadirnya ‘syurga’ yang baqa.

Oh Allah..
Sungguh, dunia ini tidak lama
Detik berlalu di putaran usia
Sering mengharap pada yang abadi
Berusaha lenyapkan segala ilusi
Bantulah aku wahai Ilahi..
Dalam memahami rahsia hati


* ketika diri sudah lelah untuk menangis.. lupakanlah. Buka lembaran kehidupan yang baru. Kadang2, lebih baik memilih untuk tidak mengenali.. daripada belajar untuk melupai, setelah berusaha untuk menyayangi. Tadahkan tangan pada Ilahi, moga DIA sentiasa pimpin hati. teruslah senyum.. ok..?  ^^,






Al-FaQiroh ila Robbiha :
~ waznah alhamraa’ ~
29 Jamadil Akhir 1433H
21 Mei 2012 

EPILOG : SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD


Bismillah wa Alhamdulillah…

Demi nyawaku yang berada di genggamanNya.. Moga Allah merahmati tiap detik nafas yang terhela.. Ya Allah..sudah suratan-Mu kami ditaklifkan.. bantulah kami agar terus thabat di atas jalanMu..

“Seorang Suami Bernama Muhammad S.A.W.”

Ini diantara tajuk yang menjadi pilihan dalam usaha menyiapkan “tesis” berkenaan kajian terhadap Sirah Nabawiyyah (subjek kuliah sem ni). Alhamdulillah.. keputusan akhirnya, penulisan “tesis” lebih memihak kepada tajuk lain. Syukur Lillah, setelah berusaha sehabis baik untuk menyiapkannya, “tesis” tersebut telah pun selamat untuk diperiksa oleh Tuan Pensyarah bagi subjek tersebut.  (Berdebar menanti keputusannya. Moga semuanya baik-baik sahaja  =)  )

Tidak mahu berceloteh panjang, saya kongsikan kepada teman-teman. Walau pun, ianya bukan hasil dari penulisan saya. Dari seorang ayahanda, kepada anakandanya yang di sayangi..

****************************************************************************************

:: Minta Izin Tuan ya.. (dapat dari Pakcik Google) ::  =)
Bismillah…

Anakku..

Sekiranya kita bertanya, siapakah orang yang paling baik? dengarlah jawapan daripada Rasulullah SAW ini : “orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku ialah orang yang paling baik antara kamu terhadap keluargaku”.

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah baitul muslim Baginda SAW. Kita saksikan bagaimana Insan Mulia ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimanakah sikap, pertuturan, dan diamnya Baginda sebagai seorang suami? Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayah dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Anakku..

Adakalanya Baginda pulang ke rumah lewat malam malah menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpin masyarakat acap kali menyebabkan Baginda berenggang dengan isterinya. Sejarah juga menceritakan bagaimana Rasulullah tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isterinya yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya saja kain rida’nya untuk dijadikan lapik bagi Baginda tidur di muka pintu.

Mulianya Rasulullah itu, apabila Baginda bertanyakan kepada isterinya adakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak atau pun tidak, ketika isterinya menjawab “tidak ada”, Rasulullah akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu Baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk di nikmati, Baginda sungguh bersyukur. Ketika tidak ada, Baginda hadapi penuh sabar. Syukur dan sabar… kekayaan hati yang hakiki.

Anakku…

Ingatkah lagi pada kisah betapa Rasulullah sangat mencintai ummatnya..? ya! Bayangkan Baginda yang sering menangis, bimbang, dan takut akan nasib umatnya di Akhirat kelak tetap mempunyai masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Romantiknya Baginda yang berlumba lari dengan isterinya, Aisyah Humaira’ hinggakan Aisyah berkata : “adakalanya Baginda menang, dan adakalanya aku menang”.

Betapa gentlemen dan romantiknya Baginda, bukan hanya pada Aisyah yang jelita, tetapi juga kepada Saudah. Seorang janda yang dinikahi oleh Baginda ketika telah berusia. Di riwayatkan Saudah sudah tua dan kurang berdaya ditambah dengan badannya yang besar, Baginda akan melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sekiranya pada hari ini, berapa ramai daripada para suami yang akan membukakan pintu kereta untuk isterinya?.

Betapa besarnya juga jiwa Rasulullah itu yang masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika banar, Baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Jika salah, Baginda tidak akan mengalah mahupun berundur walau pun selangkah. Di rumah pula, Rasulullah sentiasa tersenyum, ceria malah ringan tulang membantu kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema, Baginda akan berhenti dan serta-merta menuju ke masjid seolah-olah tidak mengenali isterinya lagi.  

Rasulullah sentiasa mengingatkan agar para suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan si isteri. Baginda bersabda, maksudnya : “bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu..”.

Anakku…

Tahu tak, betapa Rasulullah itu juga seorang suami yang sporting. Pernah suatu hari di hari raya, Saidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah, yang mana ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihatnya), maka Abu Bakar yang melihatnya lalu membentak kedua-dua wanita tersebut, lalu Rasulullah SAW menampakkan wajahnya, lalu berkata : “Hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah hari raya”.

Anakku..

Bagaimana Rasulullah pada bulan Ramadhan..? baginda pada bulan yang mulia itu sentiasa akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi cinta dan kasihnya pada si isteri, Baginda  akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu cinta Allah. Tidak di bangunkan si isteri dengan gerakan yang kasar atau pun suara yang tinggi, tetapi Cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.

Anakku..

Pesan ayah pada mereka yang akan menjadi suami pada suatu hari nanti.. contohilah seorang suami yang bergelar Rasul Allah SAW itu. Utusan Allah itu sudah membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan bukan hanya soal hidup bersama, tetapi “cinta bersama” untuk selama-lamanya.

“marriage is loving-together, not just living together”- Nabi Muhammad SAW telah pun membuktikan hakikat tersebut dalam kehidupan rumah tangganya lebih 1400 tahun yang lalu.

Anakku..

Akan tiba masanya..
Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Peda, harum, manis, dan pahit bergaul mesra
Dalam resipi warisan sejak dahulu kala
Begitulah kiasan cinta dalam rumahtangga
Cinta mempertemukan semua yang berbeza
Segala yang pahit mahupun yang manis
Suka dan juga duka
Akan menjalinkan kesatuan rasa
Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai itu bukan untuk dipertikaikan
Di alam perkahwinan kalian akan dipertemukan
Bagaikan ramuan dalam satu masakan.
Itulah menu hakiki
Itulah kasih sayang sejati
Perisa di hati suami dan isteri!

“ya Allah.. berikanlah cinta-Mu kepadaku, jadikanlah orang yang mencintai-Mu mencintaiku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu..” Amien…






Al-FaQiroh ila Robbiha :
~ waznah alhamraa’ ~
27 Jamadil Akhir 1433H
18 Mei 2012