DI AKHIR SISA HAYAT INI ...


Bismillah wa Alhamdulillah..

Alhamdulillah.. sampai saat ini, masih mampu bernafas. Selama 2 tahun hidup, Allah berikan nikmat-Nya setiap saat, nikmat di kala susah dan senang.

Alhamdulillah, tamat fatrah imtihan, walau terpaksa menghadapi peperangan”pen dan kertas” dengan jasad yang semakin lemah. Semakin hari, semakin lemah. Demam dan batuk2 yang hampir tiga minggu usianya, ditambah dengan bibir yang semakin merekah, seperti berada dalam musim sejuk di Mesir dahulu, terkadang membuatkan diri hilang fokus dan semangat untuk terus menelaah dan muraja’ah. Kasihan pada alang, yang terpaksa ulang alik dari tempat tinggalnya ke rumah sewa, semata-mata mahu memastikan kesihatan semakin membaik. Terima kasih alang. Moga Allah membalasnya dengan sesuatu yang lebih baik.

Alhamdulillah juga.. mampu melepasi fatrah dunia, namun fatrah akhirat? Allah selama hidup, apa yang sudah aku lakukan? Antara timbangan pahala dan dosa.. mana yang lebih berat? Imtihan dunia itu alat.. tapi Syurga-Mu itu satu matlamat!

Hidup di dunia.. umpama satu “dewan peperiksaan”. Seluruh agenda hidup ini hakikatnya “jawapan” yang kita berikan kepada soalan-soalan di alam kubur dan di Mahsyar nanti. Keputusannya juga akan kita ketahui di sana. Ya, kubur kita boleh jadi mukaddimah Raudhatul Jannah , atau pun pintu gerbang untuk jurang-jurang Neraka. Wal ‘iyadzubillah. Rancanglah kehidupan dengan kesedaran bahawa kita adalah “pemakai” keranda. Maka, rancanglah mati untuk hidup!

“Manusia semuanya tidur, bila mati baru mereka akan terjaga” itulah pesan Saidina ‘Ali pada kita.

Sungguh, kata-kata itu sangat menusuk ke lubuk hati, merobek baki-baki kegembiraan yang masih tersisa. Masih tidurkah aku ya Allah..? bahkan Imam Ghazali juga pernah berkata : “ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekkan..”.

"... Kematian itu, tidak lebih seperti kamu tidur & akan dibangkitkan semula sama seperti kamu dijagakan dari tidur. Sesungguhnya kamu akan dihitung di atas sgla amalan yg kamu lakukan, sama ada ke Syurga selama-lamanya ataupun sebaliknya.." -  Pesan dari insan yang sering dirindui, Rasulallah S.A.W. sewaktu mengumpulkan anggota keluarganya dari Bani Hasyim dan Abdul Mutallib bin Abdul Manaf, setelah turunnya wahyu Allah dari surah Asy-Syu’ara, ayat 214.

Oh Allah.. sudah hampir sepuluh hari berlalu, dari bertambahnya usia. Semakin bertambahnya usia, semakin mendekatnya dengan mati hampir separuh abad aku bernaung di bawah langit milik yang Maha Kuasa, tapi masih tetap belum merasa hamba yang sebenar! Berdosanya aku ya Allah. Apa sisa umur masih panjang? Atau hanya seketika lagi? Jujur.. aku tiada jawapannya ya Ilahi..

Saat ramainya teman-teman yang mengirim ucapan selamat “panjang umur”, hakikatnya umur semakin “pendek”. Hari ini, esok, atau pun lusa.. semakin dekat dengan tarikh kematian yang sudah termeterai dalam surat perjanjian. Aduhai, tertipunya pada ucapan selamat hari lahir.. lalu, selamatkah hari mati ku?

Pada saat ini.. aku mengemis keampunan-Mu, dengan hati yang penuh tercela. Sekiranya tidak mengenangkan bahawa Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan meminta. Malu.. rasa terhina untuk meminta. Apa, aku diterima..? leraikanlah kekusutuan di fikiran, jinakkanlah nafsu liar ku, tenangkanlah gejolak hati ini. Wahai yang Maha Pengasih, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmat-Mu, walau sering aku lupa, tetapi tetap mendambakan Syurga nan Indah!

Sungguh, gelombang mujahadah tidak pernah kekal dan tegar. Jangankan ketenangan, amarah juga sering bertandang. Sehinggakan aku mula meragui diri sendiri ; akukah ini..? seperti kelahiran berulang dua tiga kali. Astaghfirullahal’adzim.. jauhkan aku dari topeng munafik yang semakin menipu dayakan hidup ini.

Mata.. sudah tidak mampu menangis kerana dosa. Hati juga semakin mengeras. Kalaupun aku menangis ya Allah tapi kenapa tidak membekas di hati? bila hati ini semakin keras, maka Kau lembutkanlah ya Rahman ya Rahim. Atau berikanlah aku “hati” yang baru, kerna seketul daging yang hidup dalam jasad yang semakin lemah ini, seperti sudah “mati”.

Kembara.. semakin saat, detik, minit dan jam yang berlalu.. sudah semakin jauh. Kolam hati semakin hari juga semakin keruh. Beban bertambah berta, diri semakin penat. Segala urusan semakin susah, jiwa semakin gundah dan gelisah. Semoga saja bertambahnya usia sejak sepuluh hari yang lalu, aku akan “lahir” sebagai seorang yang baru. Lahir sebagai manusia yang berjiwa hamba, sentiasa mengingati-Mu. Yang mampu mendidik hati untuk memandu hidup, antara kekangan takut dan lingkungan sebuah harapan. Kalaulah dimurkai, aku mengharapkan ianya akan diampuni.

Memetik kata-kata Ibnu Mas’ud : "Perkara yang paling sedih adalah apabila umurku bertambah tetapi amalanku tidak bertambah” oh Allah, Istighfarku memerlukan satu istighfar lagi. Aku hanya untuk-Mu, kepada Engkau jualah aku akan kembali.

Sungguh.. kita hidup di dunia juga seperti layang-layang yang terbang tinggi di langit takdir. Kita berusaha untuk terbang tinggi, rendah, jauh, dekat.. semuanya dibawah lembayung Rahmat iradah yang Maha Esa. Kita pasti akan dapat terbang, selagi angin dibekalkan, selagi kertas tidak koyak, dan selagi rangkanya juga masih kukuh. Bila tali sudah ditarik, turunlah dengan redha. Sebab apa..? kerna kita tidak berhak untuk terus “terbang”.. apabila maut sudah datang menjemput untuk pulang.

Kepada Sahabat, teman dan kenalan, terima kasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maaf kerna gagal mendekat. Pada yang dekat, maaf kerna tidak pandai membelai. Barakallahu fikum. Moga Syurga adalah sebaik-baik pengakhiran bagi kita.

Wahai hati.. percayalah, orang yang berhak hidup dalam ketenangan, adalah mereka yang sentiasa bersedia menghadapi kematian!


Allah
Aku sedar, bila-bila masa
Engkau akan ambil kembali kurnia & anugerah
Dan aku sentiasa berusaha
Untuk mensia-siakan segalanya
Kerna aku yakin, suatu saat nanti
Semuanya tidak akan ada lagi..
Terkadang Aku lupa..
Mungkin ini adalah helaan nafas yang terakhir
Ampuni aku ya Rahim
Kurangnya rasa syukurku
Maafkan.. bila aku ragukan kasih-Mu
Hari berganti hari.. Aku tahu..
Waktu aku semakin singkat..
Biarlah dunia itu terus ku genggam
Tanpa perlu aku mencintainya..
Di akhir usia ini..
Aku ingin semakin mendekat
Dekat dengan-Mu
Dampingilah langkahku
Di akhir hayat ku nanti
Redhalah pada ku ya Ghaffar
Kerna aku ingin segera pergi..
Tuntunilah aku.. Untuk tiba di Jannah-Mu..


Untuk kamu yang di rindui ; “semakin dekat kamu dengan Allah, akan semakin erat hati kita, dan semakin bertambah cintaku pada mu.. walau diri mu belum ku kenal





al-FaQiroh ila Allah :
Waznah alHamraa’
01 Sya’ban 1433H
21 Jun 2012