DOAKAN... SEMOGA SAYA ISTIQOMAH



Dulu Saya suka ‘free hair’, tapi sekarang saya selesa bertudung labuh. Saya bertudung labuh bukan kerana ingin memaparkan imej alim, tetapi sekadar memenuhi tuntutan agama. Andai diri tercacat cela di mana-mana, nasihatilah saya sebagaimana kamu menasihati orang yang kamu sayang.

Bukan mahu membuka aib sendiri. Entri ini, kisah hidup saya, seorang hamba yang masih mencari “jalan pulang”. Kisah untuk anda yang bertanya. Kisah yang tidak pernah saya kongsikan pada sesiapa. Bukan mahu menunjukkan sayalah yang terbaik. Cuma mahu berkongsi rasa, dari seorang muslimah yang masih belajar untuk istiqomah, teristimewa untuk sahabat-sahabat muslimah yang masih mencari hidayah untuk berhijab dan berubah.



Family background yang biasa-biasa saja …

Ya. Itulah jawapan yang saya berikan setiap kali ada yang bertanya : “mak ayah macam mana?” . Mak Abah saya baik-baik saja, Alhamdulillah. “Bukan, maksud saya, family background. Penghayatan Islamnya, bagaimana?”.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Dia hadirkan saya bersama sebuah keluarga Muslim., sehingga saat ini. Walaupun, penghayatan hidup sebagai seorang muslim masih belum ‘hadir’ sepenuhnya dalam keluarga saya. Abang dan kakak yang masih belum ‘lulus’ dalam ujian menutup aurat dan selain darinya. Membesar dalam sebuah keluarga yang sederhana saja. Mak bukanlah seorang ustazah, tapi seorang suri rumah sepenuh masa, berbakti untuk suami dan anak-anak. Abah juga bukanlah seorang Ustaz yang sentiasa memberi kuliah-kuliah agama di surau ataupun masjid. Tapi seorang muslim yang sentiasa menjadi Bilal dan memenuhi saf pertama di surau berdekatan. Namun mereka tetap mak dan abah yang terbaik untuk saya. Mereka jugalah abang dan kakak yang memahami dan membantu saya, dikala saya senang dan susah. (saya anak bongsu ya) =)



Sekolah Menengah Agama… perangai tak serupa pelajar Agama?

Ops.. yang Agama, sekolahnya. Bukan pelajarnya (tak semuanya yang berperangai tak elok ok). Ya, saya pernah bersekolah di Sekolah Menengah Agama …….. Saya bukanlah seorang pelajar Muslimah yang berdisiplin. Bercita-cita untuk future study (lepas UPSR) ke sekolah Menengah Bukan aliran agama, nak ikut kawanlah katakan. Tapi kerana menghormati keputusan mak dan abah, saya terima tawaran untuk ke sekolah menengah Agama. Walaupun hati terasa berat. Namanya pun sekolah menengah Agama, terpaksalah duduk di asrama. Masuk sekolah Agama, banyak peraturan yang kena dipatuhi, tudung kena labuh, baju kena labuh, stoking kena pakai, …… kesimpulannya, kena berpakaian seperti seorang muslimah sejati.

Saya bukanlah pelajar yang skema menuruti semua peraturan. Tapi, para asatizahnya sangat-sangat baik. Tudung labuh hanya ketika waktu persekolahan. Kelas malam cukup hanya memakai tudung biasa, stoking kadang pakai, kadang tidak. Anak tudung pun tidak pernah melekat di kepala saya selama mengikuti kelas pada waktu malam. Saya juga diantara pelajar yang kerap escape kelas malam. Hehe.. Solat..? boleh dikira dengan jari berapa kali saya solat di awal waktu, paling banyak, solat di akhir-akhir waktu. Kadang, tak solat langsung. Baca al-Quran pun kadang-kadang juga. Balik saja ke rumah, tudung, pakaian dan solat pun akan jadi ON OFF. Kadang bila keluar ke Bandar, saya lebih selesa untuk “free hair”. Pakaian, tidak serupa pelajar sekolah Agama. Walaupun, mak sentiasa pesan : “bila nak keluar rumah, pakai tudung ya”. Saya hanya senyum. “ya mak, tapi sekarang masih belum sedia lagilah mak”. Alasan yang tidak munasabah, kan? Bila dah seronok sangat bersuka ria di shopping complex dengan kawan-kawan, solat Zuhur dan Asar dibiarkan berlalu begitu saja. Tidak cukup dengan ‘kejahilan’ tersebut, saya juga terlibat dengan aktiviti “bercouple : bersayang-sayang” (tapi tak pernah berdua-duaan ok =) ). Keadaan tersebut berlanjutan sehinggalah tamat sekolah menengah.

Selesai peperiksaan SPM, seorang ustaz Bahasa Arab di sekolah lama, contact saya dan kawan-kawan yang lain, maklumkan agar kami mengikuti ujian untuk mengikuti kursus Bahasa Arab di Nilampuri, Kelantan selama setahun, sekali gus menyambung pelajaran ke Universiti Malaya. Kelantan..? jauhnya. “mak dan abah nak bagi ka?”. Perkara tersebut, saya maklumkan pada mak dan abah. Alhamdulillah, tanpa banyak bicara, mereka hanya jawab : “pergilah”. Atas dasar minat yang amat sangat pada Bahasa Arab, saya terima pelawaan ustaz untuk mengikuti ujian tersebut. Alhamdulillah, hampir semua yang mengikuti ujian untuk ke Nilampuri mendapat tempat dihati para penemuduga. (para asatizah Nilampuri yang sangat berjasa =) ), walaupun ada beberapa sahabat yang tidak berjaya.



Ini zon Bertudung labuh, berjubah dan berbaju kurung …?

Beberapa minggu sebelum berlepas ke Kelantan, kami diminta untuk menghadiri taklimat berkenaan tanggungan dan Biasiswa yang ditawarkan kepada yang Berjaya meneruskan pengajian di Nilampuri, Kelantan nanti. Semasa taklimat, sempat bertemu dengan beberapa orang sahabat Muslimah yang masih bertudung labuh. (kalau tak silap, mereka muslimah sejati dari bahagian sebelah Tawau). Saya – cukup berbaju kurung, dan tudung biasa saja. Aduh! Cukup-cukuplah pemandangan ‘bertudung dan berbaju labuh-labuh’. Cukup hanya di sekolah menengah. Bukan di universiti. Sekarang zaman moden, jiwa keremajaan juga membuak-buak. “Apa kelas bertudung labuh?” – itulah, kata-kata yang pernah keluar dari mulut saya.

Tiba hari untuk berlepas ke Kelantan, sebelum bersiap-siap untuk ke Lapangan Terbang KK, Mak siap pesan : “adik, pakai tudung besar sikit dan baju kurung ya..”. Erk.. “biar betul mak nak aku pakai tudung labuh lagi” (cakap dalam Hati). “Pakai tudung biasa ja la mak” – balasku. “pakailah tudung besar sikit tu”. Balas mak ringkas. Hurm, kerana kasihkan Mak, akhirnya, sekali lagi saya bertudung labuh. “sampai kat kelantan nanti, pakailah tudung biasa” – sekadar menyedapkan hati. Selama 2 jam 45 minit duduk didalam kapal terbang, akhirnya kami selamat tiba di nilampuri. Kami disambut beberapa orang senior dan merekalah yang berusaha membantu memenuhi keperluan kami sebagai pelajar junior.

Sampai saja didalam kawasan Nilampuri, saya terkedu seketika. “biar betul ni”. Ini zon bertudung labuh, berjubah dan berbaju kurungkah?. Ya, itulah suasana di Nilampuri. Saya menyangka, Nilampuri hanyalah seperti universiti lain. Tidak perlu bertudung labuh, berjubah dan berbaju kurung. Tapi ternyata, sangkaan saya salah! Masih ada kesempatankah untuk berubah fikiran? Bagaiamana dengan mak dan abah? Apa nak buat ni..? redha..? ya! Terpaksa redha, walaupun hati memberontak.  “kat sini kena pakai tudung labuh dik” – pesan seorang kakak, sambil melihat saiz tudung saya yang tidak selabuh tudungnya. Tidak cukup dengan itu, dipaksa pula mengikuti setiap program agama yang dijalankan di sana. “Ini bukan zaman sekolah menengah ok, nak paksa-paksa orang ikut program itu dan ini” (walaupun geram tapi datang juga =) ). Lebih baik duduk dalam bilik, siapkan homework! (pelajar Intensif Bahasa Arab banyak homework =) ) kuliah-kuliah agama yang ada pun, jarang-jarang nak datang. “saya datang sini, nak belajar, bukan nak ikut program itu dan ini..” – bentak hati saya bila ada yang bermanja-manja nak ajak saya ke program-program agama anjuran MPP/JTK.

Keadaan ini berlanjutan, sehinggalah masuk ke peringkat asasi, satu malam, saya terjaga dari tidur sebab terdengar suara orang menangis. Saya melihat kelibat dia, kak H, kakak sebilik yang saya rapat, duduk di atas sejadah, seperti baru selesai solat. “lewatnya solat isya’”. Terdengar esakan kecilnya. “ada masalahkah?”. Esoknya, saya tanpa segan silu tanya kat kak H : “lewat solat isya’ semalam kak..”. kak H seperti terkejut dengan soalan saya. “solat Isya’?”. Dia hampir tergelak sambil memandang saya. “akak bukan solat isya’ la dik, tapi solat malam..”. Solat Malam..? Adakah solat malam..? “solat malam ni, kita bangun dari tidur, pada sepertiga malam, untuk solat sunat, solat tahajjud, solat taubat, solat hajat..” – Kak H menjelaskan satu persatu. Mungkin perasan, saya seperti terpinga-pinga. Saya diam tanpa bicara, dan senyum. “habis tu, kenapa kak menangis?”. “adik pernah buat solat sunat taubat”? gelas yang dipegang, hampir-hampir terlepas dari tangan saya. Cuba berlagak ‘cool’. “solat sunat taubat?”.soalan dibalas dengan soalan. “tak pernah kak” – suara saya perlahan, hati terasa bergetar. Mata tiba-tiba berair. Perasan bercampur baur. Suasana menjadi sepi. Saya diam. Kak H juga turut sama mendiamkan diri. Sebelum keluar dari bilik, kak H sempat pegang bahu saya : “takpa dik, insya Allah. Jalan menuju Tuhan sentiasa terbuka luas”.



Jalan Menuju Tuhan terbuka Luas

Hanya dengan kata-kata itu, membuatkan saya tidak tenang. Malam itu tidak seperti malam-malam sebelumnya. Malam saya diam tanpa sepatah perkataan, tanpa senda gurau, tanpa berjalan-jalan ke bilik kawan-kawan. Kata-kata kak H terngiang-ngiang di telinga saya sepanjang masa : “jalan menuju Tuhan sentiasa terbuka luas”. saya menangis hingga tidak sedar bila masanya saya terlelap. Sekali lagi saya terjaga dari tidur, terdengar esakan kecil kak H. saya turun dari katil menuju ke tandas. Sampai di bilik, saya mencapai telekung yang dilipat rapi. “akak, nak ikut solat sekali” – sapa saya sebelum kak H mengangkat takbiratul ihram. Terkejut, saya sudah berdiri disebelahnya. “kak nak solat taubatkah?”. Kak H menganggukkan kepala. Itulah solat taubat yang pertama saya lakukan, selama hidup sebagai manusia di bumi Tuhan, itulah juga malam pertama – saya mula kenal apa itu solat malam a.k.a qiyamulail. Setiap untaian doa-doa yang dilafaz kak H di akhir solat kami, membuatkan saya menangis tak henti-henti. “Allah….” – hati saya terasa berdegup kencang. “Allah… aku malu..”. Esakan saya semakin deras dalam dakapan kak H.

Bermula dari saat itu, saya tekad untuk berubah, untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Lazimi solat berjemaah di musolla, lazimi solat malam, join tazkirah selepas subuh dan asar, mula serius menghafal al-Quran, ringankan diri join program-program agama, dan saya mula join usrah secara serius. Saya bukanlah manusia yang rajin membaca bahan-bahan ilmiah (selain buku-buku pelajaran), namun saya paksakan diri untuk minat membaca. Memahami secara perlahan-lahan, apa istimewanya seorang muslimah itu melabuhkan pakaiannya. Tudung yang tidak berapa labuh, menjadi semakin labuh. Kalau sebelumnya, hanya selesa mengenakan baju kurung ke kuliah, kini terasa lebih selesa berjubah ke mana-mana saja. Kalau sebelum ini, saya ‘redha dalam keterpaksaan’, kini, saya Redha tanpa sebarang paksaan, demi Dia yang Satu.

Alhamdulillah, hingga saat ini pun, saya tetap bertudung labuh dan berjubah (kadang-kadang berbaju kurung). Bahkan bila balik ke rumah pun, saya tetap bertudung di dalam rumah. Abang-kakak awalnya terkejut, tapi masih meraikan dan menerima dengan baik perubahan saya. Mak dan Abah… saya tahu, merekalah orang yang paling gembira dengan perubahan saya. Pertama kali jumpa mak dan abah dengan ‘wajah’ yang baru, saya peluk erat-erat mak, sambil kata “terima kasih mak” - Bila keluar dari rumah, mak takkan pesan suruh menutup aurat dah, sebab saya sendiri sudah melakukannya. Malu dengan kehidupan yang lalu, membuatkan saya memilih untuk terus bertudung labuh dan berjubah, walaupun ada mata-mata yang tidak senang dengan cara saya berpakaian.

Betapa saya meringan-ringankan aurat saya dulu. Hinggakan bila ada sesi ta’aruf : “ceritakan zaman sekolah menengah dulu”, saya jawab dengan airmata. Malu rasanya bila mengingatinya. Ya, perubahan sebegini bukanlah mengambil masa yang singkat, perlukan kekuatan. Semuanya dilakukan secara perlahan-lahan, walaupun kadang-kadang, rapuh dengan sindirin-sindirin manusia sekeliling. “keluarga sendiri pun masih tak betul lagi..” – saya telan dalam-dalam kata-kata tersebut. Ya, abang-kakak saya masih belum becus menutup aurat, solat yang tidak terjaga. Tapi bukan bermakna, saya tiada usaha mengajak mereka untuk turut sama mencari ‘jalan pulang’. Hidayah Allah tidak mengira masa dan tempat. Hari ini, Allah ketuk hati saya untuk berubah, esok lusa, Dia ‘calling’ abang-kakak saya pula untuk berubah. Siapa tahu..?  =)



Bila Allah sayang.. Dia akan ‘ketuk’ pintu Hati kita ..

Hidayah tidak akan datang bergolek, tanpa kita mencarinya. Tapi, mungkin ada juga kes-kes tertentu yang mana Allah bagi hidayah tanpa kita duga, secara tiba-tiba. Seperti baru tersedar dari tempoh koma yang panjang,  rupanya selama ini, saya hakikatnya sedang duduk di dalam kejahilan dan kegelapan. Yang takjubnya, saya boleh rasa sangat selesa dalam kejahilan saya itu disebabkan ramainya orang yang turut berada dalam kejahilan yang sama. Semoga perubahan ini diredhai Allah dan saya istiqamah selamanya. Walau asbabnya adalah teman sebilik, namun hakikatnya Allah jualah yang mengetuk pintu hati ini.

Menghijrahkan diri memang payah, ada masanya kita akan rebah, ada masanya kita akan kalah, tetapi ada masanya kita akan rasa bertuah. Itulah yang dinamakan mujahadah. Akhirnya pasti akan indah! Berubah itu kaitannya hati dan jika hati itu tidak kuat, punya nawaitu yang tidak tetap dan masih ada walau sekelumit keinginan untuk mengulangi sikap lampau kita, maka susahlah manusia itu untuk menetapkan diri pada perubahan. Hati itu juga berkait dengan anggota. Anggota itulah yang bakal meneguhkan hati. Demikian, apabila bertemu keinginan yang lama, mata tidak boleh memandang, kaki tidak boleh mengekori dan tangan tidak boleh beragak-agak untuk menyentuh atau melakukan.

Sekiranya jalan yang kita lalui itu sukar ketika kita ingin berubah, maka sebenarnya itu lebih baik daripada kita  kembali bergelumang dengan selut dan lumpur di jalan lama. Ingat, ini hanya dunia. Berubahlah ke arah kebaikan untuk Akhirat yang kekal abadi. Bagaimana hidup kita di dunia, begitu jugalah keadaan ki di sana. Kitalah penentu nasib kita di sana!


# Tudung labuh itu bukan kayu ukur tingginya tahap keimanan seorang wanita. Tudung labuh itu juga bukanlah satu jaminan untuk dia masuk ke Syurga. Tapi dengan tudung labuh, itu membuatkan dia sentiasa berusaha untuk berubah menjadi seorang muslimah solehah yang Penciptanya mahukan. Dia mahukan sayang, cinta dan redha Allah itu tersemat dalam hatinya setiap masa.

# Saya tidak memaksa kamu untuk bertudung labuh. Pakailah pakaian apa pun, selama mana ianya menutup aurat kamu, tapi bukannya membalut aurat kamu hinggakan terdedah. Permintaan terbesar dari saya, selamanya.. saya menagih doa dari sahabat-sahabat, doakan, moga saya tetap istiqomah.. =)





Al-FaQirah ila Robbiha :
Waznah alhamraa’
01 DzulHijjah 1433H
17 Oktober 2012

MENIMBANG DIRI DI SISI ALLAH



Bismillah wa Alhamdulillah .

Selamanya, Segala puji bagi Allah, dengan nikmat-Nyalah segala kebaikan menjadi sempurna.

Sesungguhnya aku tidak menangisi dunia ini, tetapi aku menangis apabila memikirkan perjalanan yang masih panjang dan bekalan diri yng sedikit ke alam barzakh. Aku berada antara dua jalan. Tinggi dan rendah, antara Syurga dan Neraka. Aku tidak tahu ke arah mana kakiku ini melangkah pada akhirnya…

Hati gelisah, jiwa meronta. Istighfar ku, memerlukan satu istighfar lagi. Satu istighfar lagi, dan seterusnya. Teman sebilik sudah lena di buai mimpi malam. Namun, masih ada mata yang segar, walaupun kepala sudah terasa semakin berat. “Apa yang menjadikan engkau gelisah wahai Hati?” Monolog sendirian. Hati bersuara, “Allah, Allah, dan Allah. Selamanya kau punya Allah”. “ya Rahman ya Rahim, saat Engkau tahu aku lemah, maka pinjamkanlah aku sedikit kekuatan dari kekuatan-Mu” – mulut berbisik perlahan, di iringi air dingin dari bawah mata, membasahi pipi.

 Allah, Anta tarani, bahagianya aku dalam perhatian-Mu, sekian lama nikmat-nikmat-Mu aku gunakan untuk sesuatu yang kurang bermanfaat, bahkan mungkin telah menyakiti, menzalimi, mendustai, terlalu banyak dosa ku namun Engkau masih beri kesempatan untuk bertaubat dan berterima kasih ya Allah, kau perhatikan aku dengan sifat Ar-Rahman Ar-Rahiem-Mu hingga aib-aib ku Engkau tutupi, apa jadinya sekiranya aib-aib ku ini Engkau buka, kemana arah hendak ku melangkah membawa malu ini…

Allah, Anta tasma’uni, Engkau mendengar do’a ku… Anta tanzuru illaya, Engkau mengetahui benar keadaan ku, kekurangan, dan kelemahan ku, aku hanya ingin menjadi hamba-Mu yang solehah, yang ingin selamat, yang sanggup mengendalikan amarah, sakit hati, dendam, iri… bimbinglah aku wahai Illahi, selamatkanlah aku, dekatkanlah aku kepadaMu, masukkanlah aku ke dalam telaga ampunan-Mu, dan jangan tinggalkan aku sendirian.

Ya Allah, di sisa umur yang sesaat ini, berilah aku cinta dan kasih sayang-Mu… berikanlah kekuatan kepada jiwa dan raga yang lemah ini, dan sampaikan maaf ku kepada orang-orang yang dengan kesombongan ku dimasa lalu, mereka rasa telah tersakiti, muliakanlah mereka ya Allah kerana mereka telah mengajarkan kepada ku erti meminta maaf…

Untuk sekeping hati yang pernah saya lukai, jauh disudut hati yang paling dalam, saya menangis untuk luka-luka yang telah saya hadirkan dan kamu hadirkan untuk saya… namun, saya percaya, kita manusia yang tidak sempurna, kita bukan manusia yang ‘suci’ dari segala dosa. Bukan bermaksud, kita boleh mengulanginya untuk kali kedua dan ketiga. Cukup. Cukuplah kita silap hanya untuk kali yang pertama.


Samudera Hati Seorang Manusia

“Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka hendaknya memperhatikan bagaimana kedudukan Allah dalam hatinya. Maka sesungguhnya Allah menepatkan (mendudukan) hamba-Nya, sebagaimana hamba itu mendudukan Allah dalam jiwanya (hatinya)”

Ini yang saya ‘dengar’ dari Hati saya, selepas subuh - “menimbang diri di sisi Allah…” lalu sejuta pertanyaan bergemuruh dilubuk hati saya yang paling dalam, sudahkah saya menempatkan Allah dikedudukan yang terbaik dalam hati saya? Teringat salah satu do’a tahajud saya, agar Allah meninggikan kedudukan saya sepertimana DIA meninggikan kedudukan orang-orang sebelum saya, semoga kelak, bila saya sudah ‘tiada’, Allah tempatkan saya bersama orang-orang yang DIA sayang… kini pertanyaan itu berbalik bak angin, mengetuk pintu hati saya : “sudah tinggikah kedudukan Allah dihati saya…”. Malu. malu dengan do’a yang tiap-tiap hari diratib.


Bukankah yang termahal dalam hidup adalah keyakinan pada Allah?  :)

Lalu apalah ertinya, apalah gunanya sekiranya memiliki kekayaan tetapi hati saya jauh [miskin] dari mengenal Allah. Lalu apalah ertinya saya dikenali ramai orang, memiliki jawatan tinggi, tapi.. kedudukan saya sangat rendah di hadapan Allah. Kedudukan seorang manusia itu akan rendah bila tidak mengenal Allah… irhamni ya Rahman, jangan masukkan aku ke dalam golongan manusia yang rendah, kerana aku yakin aku tidak sanggup. Tetapi, masukkanlah aku ke dalam golongan yang sedikit, golongan sedikit yang sentiasa bersyukur pada-Mu.

Lalu bagaimana mengukur kedudukan saya disisi ALLAH, ukurannya senang, selama 24 jam yang berlalu dalam tempoh satu hari, dalam setiap jam, minit, dan saat itu, berapa kali kita mengingati Allah? Walau kita melaksanakan kewajipan solat, apakah hati kita turut hadir dan tunduk seperti mana tunduknya jasad kita kepada DIA? Ataukah fikiran kita melayang entah ke mana, atau mengingati si dia yang dicintai. Saat di perjalanan, apakah kita sibuk berdzikir serta mengambil ‘ibrah dari ayat-ayat Allah?

Hati, bila sentiasa bersambung taliannya pada Allah dalam situasi apapun juga, maka sesungguhnya Allah telah meninggikan kedudukan si hamba. Biar disetiap helaan nafas kita, kita rasa Allah bersama kita. Moga bila saatnya untuk kembali semula ke tempat ‘asal’, helaan nafas yang dipinjamkan adalah dalam rangka kita meninggikan Allah di hati, dan itulah kepulangan yang paling dan sangat-sangat indah..! :)

Lalu sejauh mana pula usaha saya untuk “menyenangkan” Allah. Tinggi rendahnya kedudukan saya di sisi Allah dapat terlihat dari senang atau tidak saya melakukan amalan yang dicintai Allah dan Rasul-Nya. Jika Allah menyukai solat berjemaah, yang ganjarannya 27 kali lipat ganda daripada solat sendirian, maka ini yang seharusnya saya pilih. Sekiranya Allah membenci hubungan kasih sayang yang terputus, maka akan saya sambung setiap ikatan yang terputus, semoga selalu ada jalan seluas samudera hati saya, maafkan kesalahan saya.

Lalu sejauh mana kegigihan saya menghindarkan diri dari maksiat. Pesan seorang guru ; “kedekatan seorang hamba dengan Allah, akan terlihat dari kesungguhannya dalam menjauhi maksiat”. Orang-orang yang berkedudukan tinggi di sisi Allah, akan segera bertaubat saat dia terjerumus ke dalam maksiat. Menyesal, kemudian berazam untuk tidak mengulangi kesalahan, dan menggantinya dengan kebaikan yang lebih berganda-ganda, Allah, sudah seperti inikah saya …?

Jika hati terasa hampa, saya menilai diri, apa saya jauh dari Allah? Rupa-rupanya, saya BELUM sempurna memperbaiki diri saya, belum seluas samudera hati saya yang berlayar untuk terus kembali kepada ILLAHI.  :)



# Manusia itu dua matanya (ibarat) penunjuk, dua telinganya sebagai pemberi isyarat AWAS, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, HATInya pula sebagai RAJA. Kalau RAJAnya baik maka baiklah bala tenteranya. Pemeliharaan Hati itu terutama. Sekiranya ia mampu bergetar dan teralun dengan Dzikrullah, Ayatullah & berbagai jenis Ibadah, maka berBAHAGIAlah! Hati yang SATU itu masih HIDUP!

Detik-detik kematian, semakin hari semakin menghampiri. Ayuh teman, sama-sama bersihkan HATI yang kotor dan berdaki. Moga buku amalan kita bermula dengan baik, dan khatimahnya juga akan baik. Oh Allah, bantulah aku buru keredhaan-Mu. Aku tahu, aku sentiasa ada-Mu.. :)




Al-FaQirah ila Robbiha :
Waznah Alhamraa’
24 DzulQaedah 1433H
10 Oktober 2012
Kampus Tarbiyah.