BERMUSAFIRLAH ...

Bismillahirrahmanirrahim…

Subhanallah... Alhamdulillah... AllahuAkbar...

Infiniti syukur dirafa’kan kepada Rabbul Jalil atas nikmat iman dan Islam sehingga memungkinkan kita untuk terus bernafas.. mendapat kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Alhamdulillah, kita masih sempat bersua dengan tahun baru hijrah 1432H yang pastinya di sana kita telah menginterpretasikan makna sebenar hijrah ke dalam kehidupan seharian kita, insyaAllah.

Firman Allah SWT:

Bermaksud : “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhjirah kepada Allah dan Rasulnya, kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang dituju, maka telah tetap pahala di sisi Allah., dan adalah Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (an Nisa’:100)

Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar demi melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana makna hijrah itu sendiri ialah satu pengorbanan untuk membawa perubahan…

Hijrah menuntut ilmu

ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah.

Ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain.. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: “Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.

Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi.. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat., seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah di dalam al-Furqan, mafhum: “Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:“Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang syari’at, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi semata.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran, pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (Hadis riwayat Ibn ‘Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Awasi sifat MALAS mu…

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu, bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

NIAT itu PENTING!

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: “Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.”

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

BERMUSAFIRLAH…

Sesungguhnya bermusafir boleh dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa dengan banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatikan ketika berkunjung serta menziarahi sesuatu destinasi.

Firman Allah yang bermaksud:

“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)

Jelas sekali tujuan bermusafir yang dianjurkan Islam ialah digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda si musafir hendaklah dibuka dan berdoa supaya Allah memberi hidayah serta kebaikan daripada aktiviti permusafirannya itu.

Walaupun permusafiran hanya bersifat santai, tetapi tidaklah hingga kita lupa untuk berfikir kerana ketika merehatkan diri, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika bermusafir.

Sesiapa tidak dapat merasai sebarang minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya sudah mati dan minda menjadi tertutup.

Bermusafir bukan sekadar ingin berhibur. Sesiapa yang bermusafir hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan mendapat manfa’at di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti bermusafir sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

Harus di ingati, ketika bermusafir hendaklah menjaga nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti yang membabitkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.” (Surah Ali Imran, ayat 112)

Dalam permusafiran, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama daripada segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan dan kehidupan masyarakatnya.

Allah menyuruh supaya kita melihat setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat daripada sudut keimanan. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?” (Surah al-Mulk, ayat 3)

Si musafir seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan supaya dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan umatnya menimba sebanyak pengalaman untuk dimanfaatkan ke arah memperbaiki diri serta kehidupan.

Falsafah ini dapat difahami daripada maksud hadith Rasulullah SAW yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh sahabat mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain bagi mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ.

Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad SAW pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat. Apa dilakukan Rasulullah SAW membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan pasaran ke seluruh dunia.

Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab dalam perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh nusantara dan benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan.

Bermusafir juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat di tempat masih mundur. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri dan masalah jenayah berleluasa.

Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan berasa bersyukur dapat hidup di negara aman damai ini. Perkara ini dijelaskan Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” (Surah al-Anam, ayat 11)

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

“Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa.” (Surah an-Naml, ayat 69)

Kita perlu insaf mempelajari perkara baru sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan mengenai setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama. Dengan kata lain, bermusafir atau mengembara adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.


tika ini, aku mula belajar untuk memahami erti kehidupan...

.. Hidup ini menjanjikan seribu kemungkinan yang kita tidak mampu untuk mengetahui walaupun sesaat dari sekarang. Akan tetapi kita mampu merancang dan berusaha serta tawakal bagi mendapat yang terbaik ..



* untuk akhi.. jazakallah atas kata-kata dari akhi, insyaAllah, akan sentiasa terpahat di hati.. "bumi Allah ni luas, bila lagi mahu melihat khazanah dan kebesaranNya.. bermusafirlah ..."

* dalam masa beberapa jam lagi, akan berlepas ke ardul kinanah.. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, akhirnya umi dan abi izinkan juga musafir ke sana.. mohon do'a sahabat2 ya.. (^^,)




7 muharram 1432H
13 disember 2010
12:56 am


- alfaQirah ila Allah -
~ waznah alhamraa ~

RAHSIA .... HATI ....


kiranya hati boleh berkata-kata....
maka akan terbongkarlah segala rahsia...
yang tidak bisa terungkap dengan kata-kata....
malah susah untuk dimengertikan oleh sesiapa....

Rahsia hati...
seringkali air mata ini mengalir...
Menahan hati dari terus berkata-kata...
Sakitkah engkau hati...
hanya kerna menyimpan rahsia ini...
akukah yang bersikap dzalim...
mendiamkan diri...
demi menjaga rahsia hati....

susahnya menahan rahsia hati ini....
jika iman tiada, akan binasalah diri...
hanya padaNya aku berserah diri....
mohon agar rahsia hatiku ini tetap bersemadi....
sekiranya dia bukan milikku nanti....

Kadang aku terfikir sendiri....
Ajaibnya hati ini....
Rahsianya tetap tiada berubah.....
Walau masa kian pergi......
Rahsia hati tetap seperti yang dulu.....
Walau ramai yang menunggu.....
namun hanya tetap kepada yang satu....
puas kupujuk hati ini.....
tapi tetap jua enggan berlalu....
Akhirnya aku dengan diri sendiri.....

hatiku....
Maafkan andai aku menyeksa dirimu....
Bukan aku tidak mahu....
Tapi aku akur dengan ketentuan tuhanku....
Dia bukan milik ku....
Ku harap kau tabah selalu....
Menghadapi hari esok yang pasti berlalu....

Bersabarlah duhai hati....
Bukankah telah aku katakan berkali-kali...
Kemahuan itu jangan terlalu di turuti....
Walaupun ia memakan diri....
Kerana ada ganjaran dari ILAHI.....

Ketika hari berganti hari....
Sampai bila harus ku pendam rahsia hati ini....
Ku harap kau mengerti...
Cintaku hanya untuk ILAHI....
dan ternyata aku sedari..
hanya Dialah yang layak untuk dicintai....
Tuhan Rabbul 'Izzati.....



5 MUHARRAM 1432H
11 DISEMBER 2010
4 : 10 PM


... alfaQirah ila Allah ...
~ waznah alhamraa'~

GEMA PANGGILAN JIHAD

Ketika panggilan jihad mula bergema,

Di mana saja pun kamu berada,

Sahutlah panggilan tuhan mu,

Sahutlah panggilan nabi mu,

Sahutlah panggilan agama mu,

Bertemankan lafaz indah.. Allahu Akhbar!!!

Umat Muslim ku…

Jawablah panggilan jihad itu..

al-Quran menjadi pedoman,

sunnah menjadi ikutan,

Tentangilah kedzaliman!

Perangilah kemungkaran!

Banterasilah kemaksiatan!

Robohilah penindasan!

Dengarkanlah panggilan jihad itu…

Tegakkanlah paksi keadilan,

Ma’murkanlah dunia dengan kema’rufan,

Agar bisa kita tingkatkan ketaatan…

Teman seIslam ku…

Hembuskanlah semangat juang,

Tiupkanlah semangat jihad,

Bisikkanlah semangat perang,

Bangkitlah dari lena,

Tembusilah segala ruang yang ada,

Kuasai seluruh bidang yang tersedia,

Bersatu dalam barisan menyahut seruan yang Esa,

Kuatkanlah hati dan salurkan seluruh tenaga,

Menuju cita dan matlamat utama kita,

Syahid demi Islam ku yang tercinta.


Allahu akhbar!!!!



*idea di pagi hari... huhu...


_ waznah alhamraa' _

[ 10 dzulhijjah 1431H, 16 nov 2010 ]

BELAJARLAH UNTUK SALING MEMAAFKAN

‎_ belajarlah untuk memaafkan, berikanlah maaf agar kita juga mudah di maafkan. terkadang hati juga sukar utk memaafkan, sedangkan Allah Maha Pengampun, inikan pula kita manusia yg berlumur noda & dosa.. maafkanlah sesama manusia, agar mudah bicara kita di Mahkamah-Nya kelak. Allah Maha Pemaaf, & sukakan hambaNya yg suka memaafkan... “Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pema’af lagi Maha Pengampun” (al-Hajj:60) _

************************************************************************************

“fuh.. alhamdulillah”, aku melabuhkan punggung di kerusi…

“camna sesi muhasabah tadi??”, tanya sahabat yang sedari tadi sudah duduk terlebih dahulu dari aku…

“entahlah”, jawab ku ringkas…

“kenapa??”

“moga Allah tiupkan hembusan hidayah kasih sayang-Nya untuk adik2 kumpulan aku”, jawab ku seakan2 menyesal…

“teruk sangat ke masalah adik2 ko??”

“boleh tahan teruk, lagipun aku tahu semua adik2 tadi tak amik perhatian sangat”

“aku faham, adik2 kumpulan ko ramai, kalau aku, aku rasa aku pun tak mampu nak handle 20 orang sekali”, jawab sahabatku sambil senyum lebar…

“maybe Allah tahu ko boleh handle seramai tu, tu yang dapat adik2 ramai sangat. Takpa la, ko boleh belajar macam mana nak jadi akak yang baik, ko kan tak ada adik. Hehe..”

“amboi, jadi selama ni aku tak baik la??”, tanya ku, bergurau…

“aku tak kata pun..”, jawabnya sambil menulis sesuatu di atas kertas.

“aku cuma sedih dengan seorang adik kumpulan aku…”, aku sambung bicaraku setelah hampir 5 minit kami saling membisu.

“kenapa? Apa kena dengan dia? Bercouple?”

“tak..”

“habis tu? Les…”

“eh ko ni”, jawabku, memotong bicaranya…

“dah tu.. napa?”

“dia gaduh dengan mak dia.. pasal handphone”..

“handphone???”, jawabnya, seakan-akan terkejut dengan sebab pergaduhan antara adik kumpulanku dengan ibunya.

“yaa.. mak dia marah koz hilangkan handphone yang mak dia belikan, tapi lepas tu, dia curi2 kerja waktu cuti sekolah tanpa pengetahuan mak dia. Dan duit gaji tu dia gunakan untuk belikan handphone baru..”

“then??”, tanya sahabatku, semakin tertarik untuk mengetahui kisah selanjutnya.

“mak dia dapat tahu, dan mak dia marah la”, jawabku sambil membaca mesej yang masuk ke dalam peti inbox handphone ku.

“teruk sangat ke mak dia marah?”

“teruk juga, sampai dia tak bertegur sapa dengan mak dan ayah dia, sehingga sekarang, jauh sekali nak minta maaf kat mak ayah dia sebab curi2 kerja, lau duit tu dia guna untuk tolong mak ayah, aku tak kisah, tapi beli handphone tu koz memudahkan dia nak contact boyfriend dia. Lagi, dia lari dari rumah bila mak dia marah”

“dahsyat juga. So, ko kata apa kat dia??”

“aku tanya dia la, dia tak rasa bersalah ke tipu mak ayah dia, keluar rumah, ingatkan pi rumah member ulangkaji pelajaran koz tak lama lagi dorang nak exam pmr, rupa2nya kerja..”

“dia kata apa??”

“tak pun, dia kata itu salah mak dia… aku terkejut juga bila dia cakap camtu. Aku kata kat dia, tak baik buat camtu kat mak, mak marah koz mak sayang bukan sebab benci. Dia diam, tak kata pa, aku suh dia minta maaf kat mak sebelum terlambat, dia boleh kata, taknak, biar mak yang minta maaf. Aku rasa cam nak nangis bila dengar dia cakap camtu…”, perlahan bicaraku, terasa sebak…

“mungkin jiwa yang semakin nak meningkat remaja, egonya semakin tinggi juga. Terasa hati la tu kot”, jawab sahabatku..

“layakkah kita ni nak terasa hati dengan mak yang dah bersusah payah besarkan kita?”, tanyaku..

Dia, sahabatku, memandang wajahku… seakan terkejut dengan soalan yang aku ajukan..


Perbualan yang terjadi antara saya dan seorang sahabat ketika menyertai program kem solat dan aurat di salah sebuah sekolah di Setapak.

Malam itu, saya tenggelam dengan tangisan sendiri.. sedih barangkali.. terasa gagal “memujuk” adik kumpulan, apatah untuk melembutkan hatinya, juga memadam api kemarahan yang membara di jiwanya , mesej yang di terima dari seseorang di baca berulang kali, memujuk hati : “nak melembutkan hati manusia bukan urusan manusia, tapi Allah. Allah jua yang berkuasa melembutkannya dan menghitamkannya. Kita hanya wasilah semata. Mungkin Allah masih menangguh hidayah untuk dia. Bersabarlah. Yang penting, dah cuba untuk sedarkan dia”… [ syukran untuk kamu =) ]

Itulah insan yang bernamakan manusia.. bila sudah di kuasai nafsu amarah, tak kisah siapa pun dia.. mak, ayah, abang, kakak, guru, atau sahabat.”aku peduli apa, yang penting bukan salah aku!!!”, jangan ikutkan nafsu amarahmu.. kikislah rasa ego dalam dirimu, wahai manusia!!!

Saya akui, memberi maaf kekadang lebih sukar daripada meminta maaf. Apabila ego sudah terhenyak, rasa marah pun mulalah rasa tertekan. Mampukah diri memaafkan ketika berkuasa membalas. Nak lupakan?? Jauh sekali, barangkali. Nak memaafkan pun, sudah terasa amat sukar.

“orang yang tidak memaafkan akan sentiasa di ikat dengan orang yang tidak dimaafkannya. Maafkanlah, nescaya kamu akan terlepas. Kamu akan bebas daripada terus mengingatkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke atasmu. Itu malah menyakitkan. Belajarlah memaafkan. Kamu akan sihat, kamu tidak akan di ikat”

Mengapa terlalu sukar memaafkan?? Kerana ego??? Rasa besar diri??.. ya, kerana rasa besar diri, tapi tidak merasakan kebesaran Allah. Bedanya dengan orang yang selalu merasakan kebesaran Allah, pasti akan merasakan dirinya kerdil.

Sedangkan Allah Maha Pengampun, inikan lagi kita manusia yang lemah, hidup penuh noda dan dosa. Dosa demi dosa hamba-Nya, di ampunkan segalanya. Bukan sekadar mengampunkan, malah Allah turut menyayangi pendosa yang bertaubat daripada dosanya.

Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

dalam sebuah hadis kudsi,

Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Cuba bayangkan kasih sayang Allah. Kalau seseorang itu berdosa, kemudian dia bertaubat, kemudian berdosa lagi, bertaubat lagi, namun Allah masih sudi dan terus sudi mengampunkannya setiap kali dia bertaubat. Kata Imam Ghazali : “seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sesekali berputus asa untuk bertaubat lagi. Mana tahu, Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat!”

Apa alasan kita untuk tidak memaafkan?? – seperti contoh kejadian dari perbuatan di atas, wajarkah kita marahkan mak?? mak marah untuk kebaikan kita, kerna sayangkan anak2 dia, taknak anak2 mak “rosak” ( alangkah baiknya andai adik kumpulan saya membacanya ketika ini )

“sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di pantai, seluas air di lautan, Allah akan mengampunkannya. Sebesar-besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah keampunan-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya”.

Kesalahan manusia sesama manusia itu masih kecil, jika hendak di bandingkan dengan dosa manusia dengan yang Esa. Lalu apa alasan kita untuk tidak memaafkan?? Sedangkan Allah sudi memaafkan walau sebesar mana dosa kita, hanya insan yang hina kepada-Nya, Dzat yang Maha Mulia.

‎_ belajarlah untuk memaafkan, berikanlah maaf agar kita juga mudah di maafkan. terkadang hati juga sukar utk memaafkan, sedangkan Allah Maha Pengampun, inikan pula kita manusia yg berlumur noda & dosa.. maafkanlah sesama manusia, agar mudah bicara kita di Mahkamah-Nya kelak. Allah Maha Pemaaf, & sukakan hambaNya yg suka memaafkan... “Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pema’af lagi Maha Pengampun” (al-Hajj:60) _

*maafkan andainya kisah yang saya bawa tidak sesuai untuk entri kali ini. Masih teringat2 sehingga sekarang. Sebelum mengakhiri, belajarlah untuk memaafkan.. Maafkanlah, agar mudah kita di maafkan…

Wallahu’alam…

Sekadar catatan hati, dalam musafir mencari erti…. Sebuah kehidupan..

Waznah_alhamraa’

[ 10 dzulhijjah 1431H, 16 NOV 2010 ]

MUSAFIR CINTA KU ...


Bismillahirrahmanirrahim…


Tanda cinta itu…

Tanda mencintai Allah … mencintai al-Quran

Tanda mencintai Allah dan al-Quran… mencintai kekasih-Nya, Muhammad S.A.W.

Tanda mencintai kekasih-Nya … mencintai Sunnah

Tanda mencintai Sunnah … mencintai Akhirat

Tanda mencintai Akhirat … memarahi dunia

Dan…

Tanda memarahi dunia itu … tidak mengambil daripadanya selain perbekalan dan apa-apa yang memadai untuk kehidupan di akhirat..

( Sahl R.A. )


Ya Allah..

Bergenang air mata tika ini, aku rindu padaMu ya Allah, rindu untuk bertamu di rumahMu, rindu untuk sujud dalam syahdu dalam masa hanya antara aku dan Engkau, rindukan waktu2 bersamaMu Ya Allah, aku rindu pada ukhwah yang mengajak aku ke jalanMu, aku rindu pada majlis-majlis ilmu yang bisa menggetarkan jiwaku tatkala mengenangkanmu Ya Allah, aku terlalu rindu Ya Allah.

Ya Allah ...

jika suatu ketika dulu hatiku pernah terisi dengan cinta palsu, kini hati ini telah aku kosongkan untuk mengisi cinta yang hanya untukMu, tiada lagi cinta rijal yang mahu aku tadahkan tetapi hanya cintaMu kini yang ingin ku cari, biar sesak nafasku kerana haruman wangian cintaMu, biarlah terasa lelah dalam mengejar kasihMu asal hatiku hanya ada Engkau ya Allah, biar manusia memandang sepi padaku namun jangan Engkau melewati hari-hariku tanpa cintaMu padaku, aku pernah bergelar insan hina yang tertipu dengan cinta duniawi, hari-hari yang dilalui kini hanya mengharapkan rahmat keampunan dan redha di sisiMu, maka ampunilah daku Ya Allah, ampunilah segala dosa yang membelenggu jiwaku agar aku tenang menggapai redhaMu.


Saat dan tika ini, telah ku kunci pintu hati ini untuk terpaut pada cinta sang rijal, aku redha dengan jalan pilihanku Ya Allah, ku pohon Kau tegarkanlah langkah ku pada denai yang ku susuri demi hanya kerana redhaMu, aku bahagia melepaskannya pergi dan aku lebih bahagia untuk menyambut salam cinta dariMu, pintu yang telah dikunci itu telah terkatup kemas dan gugusan kuncinya jua telah aku kembalikan kepadaMu, andai ada yang mahu membukanya biarlah insan itu menuntut dariMu, aku bukan milik sesiapa, bukan milik waliku tetapi aku adalah milikMu, maka biarlah aku berserah kepada siapa yang Engkau menetapkan bakal memiliki kunci itu sebelum dipulangkan kembali kepadaMu, andai aku mati sebelum ku temui pemilik sementara kunci itu izinkan aku mati dalam dakapan cintaMu, izinkan aku mati dalam ribaan kasihMu.

Ya Allah ...

aku mungkin masih belum sempurna untuk syahid sebagai kekasihMu, masih banyak dosa dan kesilapan yang harus aku tebus, masih ada tari langkahku yang songsang dalam mencari redha di sisiMu, maka berikanlah aku kekuatan untuk menelusuri denai buat meneroka taman indah terhias cinta yang tulus ikhlas hanya padaMu, berikanlah aku kekuatan untuk terus ampuh mencari cahaya dalam kegelapan yang bukan ku pinta, tautkanlah hatiku untuk suatu kembara mencari erti cinta hakiki agar mampu aku genggam impian sekeping hati ....

perkenanlah ya Allah... sungguh Kau tempat pergantungan terbaik untuk hamba-hambaMU...

dengarlah munajat cintaku ya Ilahi…



_ waznah alhamraa' _