PANDANGAN ILAHI



Ada masa memang suka bersendirian
Ada masa memang suka berseorangan
Ada masa memang suka duduk berjauhan..

Tanpa teman
Tanpa bualan
Tanda gurauan
Tanpa senyuman..
Bukan sebab sombong, tapi mencari kembali diri, muhasabah diri.
Sejauh mana arah tujuan hidup yang telah dicapai dlm mencari Redha Allah.

Memang saya begini..
Suka menyediri
Sambil memerhati..
Tapi saya tak pernah lupa
Ada yang sentiasa menemani
Ada ‘mata’ yang selalu memerhati

Iaitu pandangan Ilahi







Al-FaQirah Ila Robbiha :
Waznah Alhamraa'
02 Sya'ban 1434H

BILA KITA SUDAH DIBIUS CINTA


Nikah, Kahwin …

Topik paling hangat di perbualkan di usia muda seperti saya.  Wajar, fitrah hidup manusia, ingin disayangi dan menyayangi. Allah bahkan menyebut dalam Al-Furqan, manusia diciptakan adalah untuk hidup saling berpasangan. Sememangnya perkataan cinta adalah sesuatu yang selalu meniti di bibir, selalu terdengar di telinga, selalu terlihat di mata dan selalu terlintas di hati, bukan? Perasaan yang fitrah, namun perlulah disalurkan ke jalan yang betul.

Kita hidup di bumi Allah. Bahkan, hati kita, fikiran kita, serta perasaan kita, semuanya adalah milik Allah. Tidak ada suatupun yang ada pada kita ini adalah hak mutlak kita. Semuanya adalah hak Allah. Jadi tugas kita, adalah menjaga kesemua ‘barang’ pemberian Allah ini berdasarkan apa yang telah digariskanNya.

Sekiranya kita adalah orang yang sentiasa ingat, cinta dan takutkan Allah, pastilah kita akan berhati-hati di dalam setiap perbuatan kita. Walaupun ia hanyalah sekadar kesalahan kecil, namun kita tetap merasakan ianya sebagai sesuatu kesalahan yang amat besar sampai boleh menyebabkan kita masuk ke neraka! Wal’iyadzubillah.

Kadang-kadang, sesuatu yang kita lakukan itu nampak seperti perbuatan ‘pahala’. Mungkin kita lupa, dosa itu apa sebenarnya? Sesuatu yang kita lakukan secara senyap-senyap, kita bimbang jika orang tahu yang kita melakukannya, dan jika orang tahu, pastilah kita akan merasa sangat malu dan merasa bersalah. Betullah ! Itulah dia dosa.

Si kekasih mengejutkan si dia dengan sms untuk bangkit Qiam, bertanya khabar walaupun tidak dengan suara, menjeling-jeling dari jauh, ‘bercinta Islamik’, apakah itu pada pandangan seorang Muslim, suatu perbuatan yang berpahala? Apakah kita akan merasa bangga atau merasa malu jika orang mengetahuinya?

Dan jika benar kita melakukannya di atas dasar cinta kerana Allah, kenapa tidak dilakukan hal yang sama kepada ibubapa, adik-beradik serta sahabat-sahabat yang lain? Kenapa tidak dikejutkan mereka semua itu juga untuk bangkit qiam sekali? Apakah kita hanya mahu masuk Syurga berdua dengan si dia saja ?





Nikah, Cinta, dan Lelaki yang baik ?

Pernikahan adalah sesuatu yang amat terpuji di dalam Islam. Namun, apakah benar dengan berkahwin, kita dapat menyelamatkan diri kita dari membuat maksiat, dan kita pun hanyalah duduk diam dan menikmati perkahwinan itu? sekiranya benar perkahwinan adalah semata-mata bertujuan untuk menyelamatkan manusia daripada maksiat, kenapa ada juga orang yang berkahwin namun bermain cinta dengan pihak ketiga?

Pernikahan itu bukanlah penamat kepada cinta dan rindu dendam kepada dia yang dikasihi, atau penyelamat kepada maksiat. Tapi pernikahan adalah sebuah perjuangan. Perjuangan untuk hari-hari mengadap muka hodoh baru bangkit tidur si pasangan, perjuangan untuk menahan perangai-perangai buruk si pasangan, perjuangan untuk memecahkan kepala berfikir di mana mahu cari duit buat bayar sewa rumah, ansuran kenderaan, membeli susu anak, dan perjuangan untuk berjaga malam menidurkan anak yang tidak mahu tidur.

Sedangkan ibu dan bapa yang telah kita kenal sejak lahir, yang kita sayang sepenuh hati, yang begitu banyak menabur bakti kepada kita pun, kita ada juga pernah menderhaka atau paling tidakpun bermasam muka dengan mereka, apatah lagi setakat seseorang yang kita baru kenal beberapa tahun cuma atas dasar cinta? Oh …


Pernikahan itu bukanlah penamat. Namun sebuah permulaan. Nikah gantung, bagaimana pula jika termengandung? Percayalah, kita manusia, bukannya malaikat yang tiada nafsu. Setiap nikmat yang Allah beri, pastilah akan disertakan dengan ujian. Sudahkah siapkah diri dan mental kita untuk menghadapi ujian-ujian dariNya?

“Aku kahwin sebab Allah…”

Ini, jawapan yang selalu saya dengar. Berkahwin kerana Allah. Tapi hakikatnya, sebenarnya ramai yang berkahwin kerana perasaan cinta, atau lebih parah lagi jika sebenarnya berkahwin kerana nafsu.

Bagaimana yang dikatakan berkahwin kerana perasaan cinta atau kerana nafsu?

Apabila kita berat hati ataupun tidak mahu berkahwin dengan orang yang selain dari orang yang kita mahukan. Jika ditakdirkan kita kehilangan orang yang kita sayang itu, kita pun menjadi kecewa dan lemah. Kita berubah menjadi baik kerananya, namun bila kita kehilangannya atau tidak dapat bersamanya, kitapun kembali semula kepada diri kita yang dahulu. Lebih parah lagi jika kita berubah pula menjadi orang yang lebih teruk dari yang sebelumnya kerana menyalahkan takdir. Bahkan, ada juga yang sampai meninggalkan Allah gara-gara cinta. Allahu Allah, lindungilah kami dari perlakuan sedemikan..




Sahabat, mari, kita hayati kata-kata ini !

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada ketakutan ke atas mereka, dan mereka tidak berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa” – Mafhum firman Allah dari Surah Yunus: 62-63

Siapa Wali Allah yang dimaksudkan didalam ayat ini? Mereka adalah orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, iaitu orang yang tidak merasa takut ataupun gusar hatinya. Jika dia hilang sesuatu, mungkin dia sedikit bersedih pada hari ini kerana itu memang sunnah manusia. Namun esoknya dia akan bergembira semula kerana dia yakin Allah pasti akan memberi yang lebih baik untuknya.

Sekiranya seseorang lelaki itu benar-benar manusia yang kenal dan takut pada Allah, dia tidak akan memulakan dengan cara yang tidak terpuji. Kerana, dia tahu pernikahan adalah sesuatu yang mulia di sisi Allah. Lalu bagaimana pula dia berani mahu mengotorkan kesucian sebuah pernikahan, sedangkan di awal permulaannya juga sudah dicemari dengan sesuatu yang mungkar?

Paling tidakpun, dia akan memberitahu kita yang dia mahu menyunting serta mahu bersemuka dengan emak dan ayah,,dan tidak pula mengambil kesempatan untuk beramah-tamah dengan kita.




Ya, saya masih muda dan naïf ;)

Mungkin saya atau kita, masih muda dan naif tentang permainan hidup ini. Namun, cubalah kita bayangkan, jika dengan diri yang ‘begitu baik’ itupun dia boleh berbalas-balas sms, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang sepertinya, maka sudah pastilah dia boleh melakukan perkara yang sama dengan perempuan lain juga.

Tanyakanlah kepada diri sendiri, lelaki seperti itukah yang kita mahu jadikan bapa kepada anak-anak kita pada masa akan datang?

Dengan lelaki seperti itu, lebih baik jangan dibazirkan air mata menangisi kehilangannya. Lelaki sebegitu, ada bersepah di mana-mana di dunia ini. Tugas lelaki adalah untuk menjadi imam yang memimpin. Tapi, jika yang memimpin pun sudah berani ingkar kepada Allah, apalah lagi yang dipimpin di bawahnya. Wal’iyadzubillah..

Seketul hati yang baik dan tulus itu bukanlah terletak pada kopiahnya (lelaki), atau tudung labuhnya (perempuan), ataupun pada berapa banyak program agama yang telah dikendalikannya. Tetapi, seketul hati yang benar-benar taat kepada Allah, maka ianya akan terserlah ketaatannya itu pada perbuatannya, serta pada akhlaknya.

Seorang lelaki yang benar-benar takut kepada Allah, dia tidak akan berani untuk menyentuh seorang perempuan, lebih-lebih lagi menyentuh hatinya yang teramat lembut itu. Dia takut sekali, kalau-kalau dia terberikan harapan yang dia sendiri tidak tahu sama ada dia mampu tunaikan atau tidak kepada seseorang perempuan. Lalu, dia pun memilih untuk menjauh dari perempuan itu, kerana dia tidak mahu menyakitkan hatinya, atau menyentuh perasaannya.

Itulah sebenarnya ukuran seorang lelaki yang baik. Lelaki yang terlebih dahulu menjaga hati Allah, berbanding menjaga hatinya sendiri. Pernah dengar tak, kisah seorang lelaki yang sanggup membakar tangannya kerana membayangkan panasnya api neraka dek tidak sanggup berzina dengan seorang perempuan? Lelaki seperti itulah, kalaupun mahu ditangisi barang setitik dua air mata, mungkin berbaloinya juga.





Bila kita sudah dibius cinta …

Apabila kita sedang dibius cinta, hati kita akan menjadi buta. Buta sampai kita tidak dapat lagi melihat perkara yang benar. Kenapa ya? Sebab cinta itu telah didandan indah dan disuntik racun oleh sang Syaitan, hinggakan bila ada yang menentang cinta kita, kita akan menjadi manusia yang marah dan kasar, berubah seperti bukan lagi menjadi diri kita sendiri. Cinta yang memanjangkan kita kepada melakukan perbuatan-perbuatan dosa yang lain -  adalah semata-mata perasaan, dan berpandukan nafsu yang dipimpin syaitan.


Jangan takut untuk kehilangan cinta ..

Cinta bukanlah datang secara semulajadi. Jika benar ianya semulajadi, kenapa pasangan yang telah bercinta selama bertahun-tahun boleh bercerai setelah berkahwin tidak sampai sebulan? Jika benar ia semulajadi, seorang anak yang dibuang oleh ibu bapa kandungnya sewaktu kecil, kenapa apabila dia dewasa, dia sanggup membenci kedua ibu dan bapanya? Bukankah seorang anak sepatutnya mesti mencintai ibu dan bapanya?

Perasaan cinta adalah sesuatu yang dipupuk oleh hati, setiap hari. Dan jika kita cintakan seseorang, tidak mustahil bagi kita untuk menghilangkan perasaan itu, lagi-lagi jika cinta itu sebenarnya bukan kerana Allah. Cinta seperti itu, adalah lebih senang untuk dihilangkan. Namun silapnya manusia sekarang, kerana terlalu percayakan cinta sampai merosakkan diri sendiri. Mereka fikir ia cinta suci, namun sebenarnya cinta nafsu.

Sebelum kita mengenal seseorang sampai jatuh cinta kepadanya, bukankah hidup kita senang-lenang saja walaupun tanpanya? Apakah cintanya yang membuat kita hidup selama ini? Pastilah tidak. Cinta yang benar, tidak akan merosakkan sekalipun kita kehilangannya. Bahkan ia akan menjadikan kita sebagai manusia yang lebih baik dari yang sebelumnya.




Runtuhnya Islam, kerana kita yang Muslim ini …

Ya, Islam kita hari ini sudah terlalu banyak dicemari dengan perkara-perkara yang bukanlah bermula dari Islam itu sendiri. Apa yang lebih menyedihkan, kadang-kadang, tangan-tangan kita yang mengaku sebagai Muslim inilah yang mencemarinya. Tangan-tangan yang kononnya begitu banyak mengira butir-butir tasbih, tangan-tangan yang selalu menyelak helaian al-Quran ke sana ke mari, dan tangan-tangan yang selalu memberi peringatan kepada manusia-manusia yang lain.

Kerana kitalah sebenarnya, yang selalu menyumbang kepada keruntuhan Islam. Kitalah, punca utama kenapa Islam masih belum dapat bangkit hingga ke hari ini. Kitalah, penyebab kenapa Islam begitu lambat untuk bangun menjadi gemilang semula seperti dulu. Kitalah, yang selalu menjunjung Islam di atas kepala, namun pada waktu yang sama, masih bangga menghiasnya dengan warna-warna jahiliyyah kotor dari diri kita sendiri.





Islamnya kita, tidak pada fikiran, hati dan perasaan.

Jangan disalahkan Barat kerana berjaya menyebarkan propagandanya untuk menyesatkan kita kerana itu sememangnya kerja mereka. Dan janganlah disalahkan Syaitan kerana selalu menghasut kita untuk membuat dosa dan maksiat kerana itu sememangnya kerja mereka. Mereka tidak akan berehat untuk menyesatkan manusia hinggalah hari Kiamat kelak.

Salahkanlah diri kita kerana selalu tidak membuat kerja kita. Tahu tak, apa kerja kita? Kerja kita adalah tidak mengikut telunjuk Barat yang menyesatkan dan tidak mengikut kata Syaitan yang selalu mengajak kita ke Neraka. Memang, menegakkan semula Islam itu adalah suatu kerja yang berat dan memakan masa yang lama. Namun, tidakkah kita teringin untuk sama-sama menyumbang kepadanya?

Sedar, dan bermulalah dari sekarang. Kita perlu mulakan dengan membetulkan diri kita sendiri. Hanya dengan membetulkan diri kita sajalah, generasi yang lahir daripada kita, iaitu anak-anak, cucu- cicit kita, akan menjadi lebih betul, dan semakin betul. Semuanya mesti bermula daripada kita sendiri.

Apa salah kita pada hari ini? Kita lebih mengutamakan kepentingan diri kita sendiri berbanding dengan kepentingan Allah. Itulah silap kita yang paling besar sekali. Kita lebih banyak menghabiskan masa kita dengan memikirkan soal cinta, soal hiburan, soal picisan dan sebagainya. Tidaklah salah sepenuhnya, namun biarlah berpada. Generasi yang akan datang bergantung kepada bagaimana kita mendidik diri kita pada hari ini.

Sekiranya benar, kita mahu mencintai seseorang, mohonlah kepada Allah - seseorang yang Allah mahu berikan kepada kita, seseorang yang terbaik untuk kita, iaitu jodoh yang datang dari-Nya, bukanlah jodoh yang kita sendiri mahukan. Kerana, cinta dan pernikahan itu hanyalah alat untuk kita mencapai cinta dan redha Allah.

Bahkan, melalui pernikahan itu jugalah kita berharap kita akan melahirkan zuriat-zuriat yang akan menyambung kepada perjuangan Rasulullah Sollallahu ‘Alayhi wa Sallam di muka bumi ini. Di dunia ini, segala yang kita lakukan adalah untuk-Nya semata-mata. Bahkan, sedikit bahagiannya yang tertinggal untuk diri kita sendiri.

Hasilnya?- insya Allah, akan kita nikmati setelah kita pulang semula ke Syurga kelak. Di sana, tidak ada lagi perjuangan yang pahit-pahit seperti di sini (dunia).Di sana, apa yang ada, hanyalah manis-manis dan baik-baik saja. Bahkan, cinta yang selalu kita dambakan itupun akan menjadi lebih manis dan kekal buat selama-lamanya.

Sekiranya benar, kita mahu Allah menjaga dan memeliharakita, maka kitalah yang terlebih dulu perlu menjaga-Nya dengan mengutamakan segala hak-hakNya. Letakkanlah Allah dan Rasul-Nya di depan sentiasa, dan punggungkanlah kepentingan kita sendiri, biarpun kadang, kita sendiri terpaksa menangis, kerana menanggung sakitnya yang tak terperi.

Allah sentiasa tahu sakit kita. Dan Dia pasti akan membayar kita dengan 'ubat' yang manis nanti. Yakin… dan pastilah ! ^^





# Makluman kpd teman-teman : saya akan ‘berpindah’ ke url yang baru http://assyifa-qalbi.blogspot.com/






||Al-FaQirah Ila Robbiha ||
Waznah Alhamraa

PENDOSA TANPA NOKTAH




Bismillah, selamanya, 
segala sesuatu dimulakan 
dengan Nama Allah, 
yang Maha Esa~ 

Malam yang kelam
penuh bungkam ...
Allah,
pandanglah hamba 
yang penuh dengan dosa silam.

Aku hanyalah pendosa tanpa noktah..
tapi aku punyai azam mahu menjadi
bakal jenazah yang cemerlang..
aku penuh debu..
titik-titik dosa semalam..
Terkadang aku rebah 
dengan dosa hari ini..
dengan apa.. atau bagaimana 
mahu Kau banggakan mengenai diriku...?
sedangkan aku hanya....
pendosa tanpa noktah..setiap saat..

Ya Allah,
garis pemisah antara 
aku dan Engkau
hanyalah DOA
Luruskan Hati ini
aku minta Hidayah-Mu
untuk meneruskan
sisa usia kehidupan...

Allah, walau aku MALU
Tetap meminta Izin
untuk menjadi penghuni Syurga-Mu ..





|| Al-FaQirah Ila Robbiha ||
Waznah Alhamraa' 

WANITA PENYABAR ADALAH WANITA YANG CANTIK

Gambar Hiasan :)



Wanita yang Sabar, adalah wanita yang sangat Cantik :)

Kita (Muslimah) antara sedar atau tidak, Sabar ialah petua kecantikan bagi seorang wanita. Tak percaya? Bukan lahir dari kata-kata manusia, bahkan Allah yang Maha Agung telah pun memuji sifat ini dan mengaitkannya dengan nilai keindahan dan kecantikan.

"Maka sabar itu indah.." (Surah Yusuf, ayat 18 & 83)

"Maka sabarlah dengan sabar yang indah" (Surah al-Ma'arij, ayat 5)

Nabi Sollallahu ‘Alayhi wa Sallam juga pernah menyatakan dalam sebuah hadith Riwayat Imam Muslim, maksudnya : "Sabar itu cahaya yang memancar terang".

Alangkah cantiknya cahaya yang bersinar terang. Dengan cahaya yang terang itulah, kecantikan dapat dilihat dengan lebih jelas. Hari ini, ramai yang ingin cantik dab dilihat cantik. Buktinya, ramai pengusaha Kosmetik yabg sudah jadi jutawan, kan..? :)

Marilah kita imbas semula, ramai jelitawan yang kita temui tapi melihatkan akhlaknya yang (maaf kata), sombong, mudah melenting, detik itu jugalah lunturnya nilai kecantikan fizikal yang dimiliki. Mungkin, ada saja yang akan berkata : "harap muka saja cantik, tapi
dia Allah saja yang tahu betapa hodohnya !"

Berbeza dengan orang yang sederhana saja paras rupanya, walaupun tidak secantik jelitawan yang ada, tapi dia sabar menerima sebarang bentuk ujian dari Allah, malah dia kelihatan lebih tenang, indah dan cantik, bukan setakat untuk ditatap, bahkan Cantiknya dia adalah untuk diteladani, Tenangnya adalah untuk didampingi, dan Indahnya dia adalah untuk dihayati.

So, untuk semua Muslimah, selamat menjadi Muslimah yang Cantik dengan maksimumkan sifat Sabar dalam diri. ^^






Selamanya :
Al-FaQirah ila Robbiha
Waznah Alhamraa’
18 Safar 1434H
01 Januari 2013