# CATATAN RAMADHAN 1


BismiLlah wa Alhamdulillah

La ilaha illaLlah Muhammad ar-RasuluLlah

Bersyukur.. selamanya kita rafa’kan kepada Allah, kasih-Nya Dia, masih mahu meminjamkan kita nikmat “nyawa” untuk hidup dalam beriman dan masih sebagai seorang Muslim Mu’min Muslih, insya’ Allah, seterusnya memberi peluang untuk merasai nikmat keberkatan bulan Ramadhan.

Ar-Rahman Ar-Rahiem selamanya, kerana kasih-Nya, Allah kabulkan do’a yang kita ratibkan bermula dari Rejab, diteruskan ratiban itu pada bulan Sya'aban supaya Allah sampaikan kita pada bulan Ramadhan sekarang. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah ..



Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, mafhumnya : "Hai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" (Surah al-Baqarah : 183)

Pendeknya semester Ramadhan. Hanya 4 minggu. Tapi bukan calang² pencapaian yang diinginkan oleh Allah daripada "kursus" pendek ini. Betapa Allah mahu melatih kita semua untuk mendapat Ijazah TaQwa. Namun misi mencari Taqwa hanya terhenti di bulan Ramadhan walaupun nantinya kita akan melewati bulan² yang seterusnya.

~> Dengan Mu'ahadah, maka jadilah kita orang yang teguh atas syariat Allah
~> Dengan Muraqabah, diri tenang dengan kebersamaan Allah, walau sendiri mahupun dikhalayak orang ramai
~> Dengann Muhasabah, kita bebas dari tarikan nafsu dan cepat² kembali memenuhi hak² Allah dan hak² manusia
~> Dengann Mu'aqobah, terhukumlah nafsu, selamatlah diri daripada penyimpangan
~> Dengan Mujahadah, segala kebaikan kita lakukan, pujuk rayu Syaitan dan Iblis kita tundukkan
~> semoga dengan semua ini, hidup kita akan dimuliakan dengan Taqwa. Indah kan?

Yuk! Sama-sama kita Perbaiki diri, perhalusi nawaitu. Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan pahala amalannya digandakan. Selamat memelihara kemuliaan Ramadhan dengan pesta Ibadah di siang dan malam hari, baik di khalayak mahupun saat bersendiri.


# Berusaha, biar tahun ini kita takkan rasa rugi. Ramadhan Kareem, Allahu Akram





alFaQirah ila Robbiha :
Waznah Alhamraa’
04 Ramadhan 1433H
24 Julai 2012
Universiti Ramadhan.


KERANA AR-RAHMAN, RAMADHAN KEMBALI LAGI


Lebih kurang dua jam, Sya’aban akan melabuhkan tirainya. Aroma Ramadhan sudah semakin mewangi.




 ~>> Assalamu’alaikum. Nama saya Syaa'ban. Saya ingin reminder awak bahawa jiran saya iaitu Ramadhan akan datang mengunjungi awak tidak lama lagi bersama isterinya, iaitu rezeki & kedua-dua anaknya iaitu sahur & iftor. Mereka juga akan turut ditemani oleh ketiga-tiga cucu iaitu Rahmat, Barakah & Keampunan. Mereka akan pulang selepas 30 hari dengan menaiki pesawat penerbangan Eidul Airlines. Harap awak hargai mereka sebaiknya & anda akan mendapat pahala yang berlipat kaliganda! [Ramadhan Kareem] <<~

Kerana-Mu ya Rahman, Ramadhan kembali lagi.
Kerana-Mu ya Ramadhan, air mata bergenang tak berhenti.

Menghimpunkan Rahmat & Maghfirah
Hadirnya bagaikan air yang melimpah
Membasuh segala daki-daki dosa

Ucapan yang mulia ketika di bulan puasa : Ramadhan Kareem!
Jawapan istimewa ketika mendengarnya : Allahu Akram!

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Pemilik langit dan bumi serta semua isinya, Yang meninggikan darjat, mengetahui rahsia dan maksud yang tersimpan di dalam hati, mengetahui semua yang disembunyikan hamba-Nya, membalas kebaikan dengan kebaikan yang jauh lebih banyak lagi, dan membalas keburukan dengan keburukan yang setimpal.

Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, seorang insan pilihan yang selalu baik dalam semua keadaan, penegak daulah Islam, dan penghancur daulah berhala. Atasnya dan atas keluarga Baginda sebaik-baik doa dan keselamatan.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. [Iaitu] dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan [lalu ia berbuka], maka [wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya [jika mereka tidak berpuasa] rncmbayar fidyah, [laitu] memberi makan seorang miskin. Barangsiapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itulah yang lebih baik bagi mu. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. [Beberapa hari yang ditentukan itu ialah] bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan [permulaan] Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk-petunjuk itu dan pembeda [antara yang hak dan yang batil]. Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir [di negeri tempat tinggalnya] pada bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. Dan barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan [lalu ia berbuka, maka [wajiblah baginya berpuasa], sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah 2: 183-185]

::: WAHAI SEKALIAN ORANG MUKMIN, KETAHUILAH BAHAWA TAMU AGUNG TELAH DATANG, IA DATANG UNTUK MENAUNGI KALIAN DENGAN MEMBAWA KEBERKAHAN YANG TAK TERHINGGA :::

Renungilah bagaimana Rasulullah صلى الله عليه وسلم seorang Nabi yang ma'sum (terjaga dari melakukan kesalahan), yang perbuatan dan kata-katanya menjadi ukuran kebenaran, menyambut tamu agung ini. Sebab, bagindalah suri tauladan terbaik bagi kita.

Allah SWT berfirman, mafhumnya : "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah." [Al-Ahzab  33:21].

 La Ilaha illa Allah. Sunnguh! Tiada Tuhan melainkan Allah. Alangkah beruntungnya siapa pun yang setia mengikuti petunjuk Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan menauladani Baginda dalam semua segi dari kehidupan ini. Dan alangkah besarnya kerugian orang yang selalu melafazkan sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya.

Baginda صلى الله عليه وسلم menyambut Ramadhan ini dengan sambutan yang sangat luar biasa. Apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم melihat hilal (bulan) petanda Ramadhan telah datang, Baginda berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jadikanlah bulan ini bulan keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keIslaman bagi kami. Sebab, dia adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah."

Alangkah indahnya detak-detak Tauhid dan belaian-belaian ‘akidah dalam menyambut bulan dengan memperbaharui pernyataan, "Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah." Padahal pada saat itu orang-orang musyrik menyembah selain Allah SWT. Seolah-olah nabi berkata kepada hilal itu, "Wahai hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sungguh kesalahan yang amat besar kalau ada orang yang menyembahmu."

Ramadhan adalah kesempatan sangat berharga yang tidak dapat diganti. la adalah peluang emas dalam kehidupan umat Islam, kerana setiap malamnya Allah SWT membebaskan seratus ribu orang dari mereka yang sudah tercatat masuk neraka, dan pada malam terakhirnya Allah membebaskan mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya. Adakah rahmat yang lebih besar dari itu semua?

Ibnu 'Abbas ra berkata, "Rasulullah adalah orang yang paling lembut, tapi beliau jauh lebih lembut lagi pada bulan Ramadhan; Pada waktu itu, beliau lebih lembut daripada angin yang bertiup."

Itulah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, yang tidak pernah menolak orang yang meminta suatu pemberian kepadanya. Sehinggakan pakaian yang sedang dipakainya ia berikan jika diminta. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Bukhari, Sahl ibn Sa'ad bercerita, Rasulullah saw pernah sedang memakai pakaian yang dibuat oleh salah seorang isterinya, lalu seseorang datang meminta pakaian itu dan beliau pun memberikannya (1277,2093 dan 6036). Kalau begitu, petunjuk Rasulullah صلى الله عليه وسلم  paling penting di bulan Ramadhan yang seharusnya kita contohi adalah sikap lemah Iembut, kedermawanan dan kegemaran memberi. Inilah ajaran dan petunjuknya yang sangat mudah terlihat dalam sejarah Rasulullah  صلى الله عليه وسلم .

Rasulullah  صلى الله عليه وسلم yang lembut itu, apabila masuk bulan Ramadhan lebih giat lagi berbuat kebaikan, bersedekah, tersenyum, bersilaturrahim, membebaskan hamba sahaya, memberi dan berkorban.

SETIAP HEMBUSAN NAFAS RASUL ITU ADALAH KEBAIKAN, BEGITU JUGA KATA-KATANYA, KUNJUNGANNYA, SEDEKAHNYA, YANG DILAKUKAN TERANG-TERANGAN ATAU TERSEMBUNYI. DIALAH YANG PALING LEMBUT DAN TIDAK AKAN TERSAINGI OLEH HATIM, BELIAU JUGA PEMBERANI TANPA TERSAINGI OLEH 'ANTARAH, BELIAU SEORANG ORATOR YANG TIDAK MUNGKIN TERTANDINGI OLEH QISS, (iaitu Qiss ibn Saadah, seorang orator jahiliyah yang sangat terkenal) ,TIADA TUHAN SELAIN ALLAH, ALANGKAH SEMPURNANYA BAGINDA RASUL.

Allah SWT berfirman, mafhumnya : “Dan engkau [Muhammad] sungguh memiliki akhlak yang agung”. [al-Qalam 68: 4]

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling-mu”. [Ali Imran 3: 159]

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorangRasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan [keimanan dan keselamatan] bagimu, amat belas kasih lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin”. (At-Taubah [9]: 128)

Baginda صلى الله عليه وسلم pada bulan ini mengkhususkan hari-harinya untuk membaca Al-Quran. Sebahagian ulama memahami tindakan Rasulullah صلى الله عليه وسلم ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan pengajian-pengajian di bulan Ramadhan serta menjauhkan dari orang ramai agar dapat mengkhusyu'kan diri dalam beribadah kepada Allah dengan memanfaatkan bulan yang penuh berkah ini.

Solat dilakukan di tengah-tengah manusia, begitu pula zakat dan haji. Tapi puasa? Engkau dapat saja makan dan minum di balik tembok agar terhindar dari pandangan manusia sehingga mereka mengira bahawa engkau masih berpuasa. Tapi, bagaimanakah dengan Allah? Dia Maha Tahu apa-apa yang engkau perbuat. Pada saat seseorang berpuasa, ia mengeluarkan bau mulut yang mungkin mengganggu manusia, tapi di sisi Allah SWT ia seperti aroma Misk.

“Setiap amalan baik seorang Muslim - kecuali puasa - akan di-balas dengan kebaikan yang setimpal, atau dengan sepuluh sampai 700 kali lipat, bahkan lebih. Adapun puasa, tiada yang mengetahui ganjarannya kecuali Allah SWT. Allah SWT juga menyiapkan pintu khusus bagi orang yang berpuasa untuk masuk syurga-Nya pada hari kiamat kelak, diucapkan kepada mereka itu; Masuklah dan makanlah, Wahai orang yang tidak makan (kerana berpuasa)..makanlah, Wahai orang yang tidak minum (kerana berpuasa)..minumlah, wahai orang-orang yang meninggalkan bersenang-senang dengan isterinya (ketika berpuasa), bersenang-senanglah”

Orang yang sedang berpuasa adalah kekasih Allah SWT. Abu Sa'id al-Khudri berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda, maksudnya : "Barangsiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, Allah akan jauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan."[Riwayat Bukhari (2840) dan Muslim (1153)].

Para ulama salaf memahami pengertian puasa di jalan Allah SWT di sini dengan berperang menghadapi musuh dan menyerahkan seluruh jiwa di jalan Allah SWT. Kerana itulah, 'Abdullah ibn Rawahah ra - sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Katsir, adz-Dzahabi dan ulama-ulama lainnya - ikut dalam perang mu'tah dalam keadaan berpuasa. la tetap gigih di medan perang walaupun sahabat-sahabat-nya telah tumbang (mati syahid) satu persatu, diantaranya Zaid ibn Haritsah dan Jaafar ath-Thayyar. Perut yang kosong dan kerongkong yang kering tidak menghalangi semangatnya untuk meneruskan peperangan. Akhirnya, ia syahid dalam keadaan masih berpuasa. Lihatlah jiwa ini yang bersegera menuju Allah, Tuhan yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri.

Sedangkan kita, apa yang telah kita sumbangkan untuk Islam? Tidak ada apa-apa, tidak solat malam, tidak berjihad, dan tidak juga membelanjakan harta di jalan-Nya. Sedangkan orang-orang terdahulu yang mengetahui bahawa puasa adalah sekolah ruhiyah dan kehidupan yang abadi di sisi Allah SWT, mereka meninggikan kalimat La ilaha illallah dengan pedang mereka.

Wahai kaum Muslim! Wahai orang-orang yang lahir dan dibesarkan di lingkungan kalimah La ilaha illa Allah! Ramadhan akan datang sebentar lagi. Kalau dahulu, Ramadhan itu seringkali berlalu begitu saja, sekarang gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya. Jadikanlah ia sebagai alat untuk membebaskan dirimu dari api neraka dengan cara bertaubat, minta ampun, memperbanyak zikir, tahlil (mengucapkan La ilaha illa Allah), tasbih, tahmid dan membaca Al-Quran. Hidupkanlah rumahmu dengan ayat-ayat Allah yang terang. Jauhkan nyanyian yang membinasakan dan melalaikan kamu dari mengingati Allah SWT.

Sekali lagi gunakanlah kesempatan mendapat pembebasan dari neraka pada bulan ini, serta kesempatan memutihkan wajah pada hari kiamat nanti saat perhitungan dengan Allah yang Maha Esa dan Perkasa. Beruntunglah perut-perut yang lapar dan tenggorok yang kering kerana Allah SWT, sehingga Allah SWT pun membanggakan kalian di hadapan para malaikat-Nya dari atas langit yang tujuh.

Jadikanlah Ramadhan sebagai sarana untuk menghapus dosa-dosamu pada bulan ini. Perbaharui taubatmu pada-Nya.



# Artikel asal oleh : Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qorni.


Salam Ramadhan Kareemul Mubarak 1433H

Wallahu’alam





Al-FaQiroh ila Robbiha :
Waznah Alhamraa’
20 Julai 2012
Ambang Ramadhan

DALAM KEBUN HATI MANUSIA ..


Bismillah .. wa Alhamdulillah..



“Di dalam Hati manusia ada kekusutan dan ianya tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah. Dalam Hati manusia juga adanya keganasan dan tidak akan hilang kecuali dengan berjinak-jinak kepada Allah. Dalam Hati manusia juga, ada penyesalan dan ianya takkan padam kecuali redha dengan suruhan dan larangan-Nya, sabar sehingga menemui-Nya. Dalam kebun Hati manusia itu ada hajat dan tidakkan terbendung kecuali Cinta kepada Pemilik Cinta” (Ibnu Qayyim)

Kehidupan ini sentiasa diuji, bukan untuk disakiti atau bukan untuk membanggakan diri. Keadaan hidup ini tidak semudah pengiraan akal kerana percaturan hidup kita berada dalam gengaman Tuhan. Inilah putaran perjuangan yang tidak pernah henti dan tetap akan ditempuhi oleh setiap insan. Hidup ini hanya sementara, segala yang di kecapi akan ditinggalkan. Pada usia yang semakin tersisa dan baki yang masih ada, jangan persia-siakan hidup kita.

     ***********************************************************************

Monolog sepi :

Saat tangis berjuta pilu, tersentak Hati menatap resah firman Tuhan ku :

“Wahai anak cucu Adam, kebaikan Aku selalu turn kepada mu, namun kejahatan mu selalu naik kepada Ku”

Astaghfirullah.. Malunya aku, oh Allah!

Refleksi jiwa merontakan Hati. menghina diri menuaikan sedih. Wahai Tuhan, nilailah aku dalam dho’ifku, ingin bersama Mu dalam kesendirian ku. Rindu dalam kesepian ku, antara mereka, Engkau menjadi pilihan.

Jiwa sangat terdera, Hati sangat tersiksa tika Kau mula mengabaikan. Tuhan, tetapkan hati ini, tuntunilah aku selalu, agar bisa aku sempurnakan Sembah ku..!

Alhubb Fillah [W.A.]





Al-FaQirah Ila Robbiha :
Waznah Alhamraa’
13 Sya’ban 1433H
03Julai 2012
Di Bumi Tuhan

HIDUP MESTI BERSAHABAT!


Bismillah

Memetik sabda Rasulallah SAW sebagai permulaan tinta :

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A., beliau berkata : Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya : “seseorang Mukmin itu berada di atas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka, salah seorang daripada kamu hendaklah memerhatikan dengan siapakah dia bersahabat” (HR. Al-Tirmidzi dan Abu Daud).

Setiap dari kita pasti memiliki ramai kawan yang menjadi peneman dalam kehidupannya. Kawan di sekolah, universiti, tempat kerja, taman perumahan, dan di semua tempat yang boleh dicari seorang insan yang bernama kawan. Tak kiralah, kawan, sahabat, teman, rakan dan kenalan = semuanya membawa maksud yang hampir sama.

Islam sangat menggalakkan umatnya supaya mengenali saudaranya yang lain demi membina persaudaraan yang kukuh dan didasarkan hanya kerana Allah S.W.T.. Dengan mengenepikan perbezaan pangkat dan keturunan, seorang Muslim itu hakikatnya bebas untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan ukhuwwah Islamiyyah yang dibina. Apa yang dicari tidak lain hanyalah ketakwaan kepada Allah semata-mata.


Etika Pergaulan melalui Sabda Rasulullah S.A.W.

Seseorang itu, pasti akan menangisi dirinya apabila dikhianati oleh seorang kawannya yang lain. seorang sahabat pasti akan kecewa apabila janji yang disepakati telah dikhianati.

Fitrah menunjukkan bahawa tiada manusia sanggup disakiti dan dikhianati dalam sesebuah perhubungan.  Setiap insan pasti mahu dihormati dan dilayani dengan harga diri seorang manusiawi. Rasulullah S.A.W. bahkan sangat cermat dan teliti dalam mengajarkan kepada umatnya etika dalam pergaulan, seperti yang terdapat dalam maksud hadith Baginda yang jelas, maksudnya :

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia menyayangi saudaranya seumpama dia mengasihi dirinya sendiri”

Indah bukan ajaran Islam. Menggalakkan umatnya supaya melayani sesiapa pun dengan lebih baik daripada melayani diri sendiri. Jika mahu diri dihormati, maka belajarlah untuk memuliakan orang lain. jika kita mahu disayangi, kita terlebih dahulu perlu belajar bersikap ihsan. Sekiranya kita ingin dihargai, seharusnya kita merasa  untuk ringan untuk pandai berterima kasih. Sekiranya kita menuntut untuk difahami, jangan sombong untuk memohon maaf. Kadang-kadang, kita bersikap sombong dan ego. Keras hati dan sukarnya mahu mengakui kesalahan sendiri. Akibatnya? kita menanggung kesilapan tersebut sendirian.


Kebersamaan dalam BerSahabat

Saudara SeIman ku

Ayuh bersama kita lewati lorong waktu, menyusuri jalan-jalan dunia yang penuh tipu daya, dengan kebersamaan. Bersama pertukaran pagi, siang, petang dan malam, yang penuh liku, dengan persahabatan dalam keimanan. Di dunia, kita harus saling berpegangan tangan. Tidak mungkin kita akan selamat mengharungi bahtera kehidupan yang sangat luas dengan ancaman badai fitnah akhir zaman ini seorang diri. Bahkan kita juga tidak dapat melepaskan diri dari ancaman fitnahnya dengan hanya mengandalkan kemampuan sendiri. Kerana, kita diciptakan sebagai makhluk yang penuh kelemahan dan mudah terpedaya.

“Dan diciptakan manusia itu dalam keadaan lemah.” (Qs. An Nisa:28)

Pertemuan di jalan Allah inilah yang akan membantu kita menyelesaikan hidup dengan kebaikan. Persaudaraan, kebersamaan dan persahabatan di jalan Allah ini jugalah akan mengiringi kita pada kebahagiaan di akhirat sana. Allah S.W.T memberitakan bahwa hanya persahabatan atas dasar Iman dan Takwalah yang abadi.

“Teman-teman akrab pada hari itu (hari kiamat) sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Qs. Az Zukhruf: 67).

“Seluruh pertemanan dan persahabatan yang tidak kerana Allah pada hari kiamat akan berubah menjadi permusuhan.” (Ibn Kathir). Rasulullah S.A.W. juga berpesan dalam sabdanya, yang menyebut bahwa kita akan dibangkitkan di hari kiamat bersama orang yang kita cintai.


Antara Pembawa minyak wangi dan Peniup Besi

“perumpamaan seorang sahabat yang baik dan buruk adalah seperti seperti seorang pembawa minyak wangi dan peniup besi. Pembawa minyak wangi, sama ada dia memberikan minyak wanginya kepada kamu atau kamu membelinya daripada dia atau kamu terkena bauan yang wangi daripadanya. Si peniup besi pula, sama ada dia menyebabkan pakaianmu terbakar atau kamu mendapat bauan yang busuk daripadanya”  (Maksud  Hadith, HR Al-Bukhari dan Muslim)

Pemerhatian terhadap pemilihan sahabat ini bukanlah bertujuan agar sahabat yang dicari itu perlu mempunyai satu pemikiran dan corak kehidupan yang sama dengannya. Sedangkan sifat seorang sahabat yang baik adalah membantu orang lain dalam setiap urusan agama dan kehidupan mereka. Inilah tradisi mulia yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai panduan kita, umatnya.

Carilah sahabat yang boleh dijadikan ubat. Itulah sahabat yang kenal “Akhirat” kerana kita akan turut sama terpikat. Terpikat bukan dengan maksiat, tetapi jatuh cinta berpandukan Syariat.

Carilah sahabat yang kuat berguru menuntut ilmu, dengan Syaitan pastikan berseteru.

Carilah sahabat yang sanggup bersusah lelah, berbakti dan beribadah kerana Allah.

Carilah sahabat yang sanggup menahan “bisa” demi kita, dan kita juga sanggup melakukan seperti apa yang dilakukannya.

Ibarat Abu Bakar al-Siddiq dan Nabi S.A.W. yang  bersahabat hanya kerana Ilahi, demi melestarikan manisnya sehingga ke alam Syurgawi.


Gambaran orang beriman yang bersahabat di Akhirat kelak

Dalam sebuah kisah, Saidina Ali bin Abi Thalib RA mengisahkan bagaimanakah gambaran orang beriman yang bersahabat di Akhirat kelak :  “Ada dua orang mukmin yang bersahabat dan berteman akrab. Salah seorang di antara keduanya meninggal lebih dahulu dan dia mendapat berita gembira dengan Syurga. Ketika itu dia mengingat teman akrabnya di dunia lalu berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya fulan adalah teman akrabku, dia yang menganjurkanku berlaku taat kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu. Dia yang mengajakku melakukan kebaikan dan mencegahku melakukan kemungkaran. Dia juga yang menyedarkanku akan pertemuan dengan-Mu. Ya Allah jangan Engkau sesatkan dia sepeninggalku sampai Engkau memperlihatkan kepada-nya kenikmatan yang Engkau berikan padaku dan sampai Engkau meridhainya sebagaimana Engkau redha kepadaku,” Maka Allah berkata kepadanya, “Pergilah, seandainya engkau tahu yang Aku berikan kepadanya pasti engkau akan banyak tertawa dan sedikit menangis. “

Kemudian teman akrabnya itu meninggal dan ruh mereka bertemu. Dikatakan pada mereka, “Saling memujilah kalian kepada sahabat kalian.” Maka masing-masing mereka mengatakan, “Dia adalah sebaik-baik teman, sebaik-baik saudara, sebaik-baik sahabat.”

Indahnya!. Pertemuan yang sangat mengesankan dan penuh kegembiraan.



Sahabat, Biarlah  Allah sebagai Pengikat Hati-Hati Kita!

Duhai Saudara ku..

Dalam setiap hubungan persahabatan, pasti ada kelemahan dan kejahatan. Sahabat kita punya kelemahan, kita juga punya kelemahan. Janganlah terlalu menginginkan kesempurnaan. Kita bukannya bersahabat dengan Malaikat, tetapi dengan Manusia yang punya banyak khilaf. Kadang kita berhadapan dengan rajuk, marah dan pelbagai lagi karenahnya. Kasih kepada sahabat tidak menjadikan kita “buta” dengan kelemahan tersebut tetapi menerimanya dengan sewajarnya. Kelemahan, kalaupun ianya tidak dapat diatasi tetapi boleh diterima dengan rela dan redha.

Bagaimana dengan kejahatan? Berhati-hati! terutama kepada mereka yang merancang menggunakan anda, melaga-lagakan, menyekat perhubungan anda dan melampaui batas dengan strategi “memijak” dan dalam masa yang sama “melonjakkan” dirinya sendiri. Berdoalah moga kita dijauhkan dari manusia sedemikian.

Jagalah Allah dalam melunasi perhubungan dengan selalu menjaga syariatnya dalam persahabatan. Dalam hubungan sesama makhluk, biarlah al-Khaliq menjadi pengikatnya. Iman mengikat Hati manusia umpama “simen” yang melekatkan batu-bata. Tanpa simen, pastilah batu-bata tersebut tidak dapat disusun dan di”satu”kan.

Jangan melupakan Allah dalam usaha memburu kasih sayang manusia kerana apabila Allah dilupakan, kita akan gagal dalam menikmati kasih sayang manusia. Lihatlah kebaikan sahabat mu dengan merasai hakikat kebaikan Allah S.W.T.. apabila ada kelemahan dan kejahatan dalam dirinya, anggap itu adalah salah satu cara dan jalan Allah menguji kita. Dengan mudah, kita hapuskan segala sengketa.


# Ya ar-Rahman, Ya ar-Rahim.. hiasilah hati-hati kami dengan keimanan dan perasaan saling menyayangi sesama umat Islam. Amien Ya Rabbal ‘Alamin..



:: Alhamdulillah - Allah "ikat" Hati kami, bermula dari Desa Tarbiyah ini ::



Al-FaQirah Ila Robbiha :
Waznah Alhamraa’
08 Sya’ban 1433H
28 Jun 2012
A.M.K.
Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri.