# PENGUMUMAN : SAYA SUDAH BERTUNANG.


“Akak…. Mesti ramai yang frust bila tahu akak dah tunang..” – kata seorang adik, memecahkan kesepian ketika kami sama-sama menunggu bas untuk balik ke kolej. Saya hanya senyum kelat. Diam.. malas mahu memanjangkan bicara. Cukuplah kata-kata “saya sudah menjadi tunangan orang” hanya di lingkungan bilik kuliah empat segi itu.

Saya refresh semula kejadian petang itu. Sewaktu mengikuti satu kuliah, pensyarah saya meminta tolong sesuatu dari saya, untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Tanpa membantah, saya menolong beliau untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Awalnya keadaan tenang, sampailah apabila pensyarah saya mengatakan sesuatu dihadapan kelas, di hadapan kawan-kawan yang lain.

“Jangan risau, saya cuma minta tolong dia siapkan tugasan ni. Saya tahu dia sudah bertunang. Saya harap tunang dia jangan marah ya..”

Allahumma… “Doktor..” – bentak saya, dalam hati. Diam..!

“Tunang kamu ada dalam kelas ni ke..?” – tanya Dr. kepada saya.

Saya diam.. tidak tahu, hendak kata apa.

Puluhan kawan yang berada di hadapan saya, ada yang senyum-senyum, ada yang saling membisik antara satu sama lain. Malas mahu melayan gurauan pensyarah tersebut, saya berusaha menyiapkan tugasan tersebut secepat mungkin dan kembali semula ke tempat duduk saya.

Hendak kata apa lagi, Cuma berharap, gurauan tersebut tidak menimbulkan fitnah kepada saya. “haruskah berterus-terang..?”

Sekali lagi… dalam perut bas, saya teringat, situasi di mana sahabat saya melamar seorang ikhwah, tanpa segan, ikhwah tersebut hanya berterus-terang : “maaf, saya sudah bertunang…”. Tapi dengan siapa?. Terkedu saya mendengar jawapan ikhwah tersebut : “dengan ……..”

Akhirnya, saya bertekad, saya juga mahu berterus-terang pada semua. Ya ! saya sudah bertunang. =)

________________________________________



Ya!! Saya mengaku, saya sudah bertunang :’)


Sejak bila ?

Rasanya… Tak perlu di ceritakan, sebab itu bukan perkara utama yang ingin di ketengahkan. Perasaan bercampur baur – Gembira, Sedih, Bimbang. Entah ! Susah untuk dikongsikan, apa lagi untuk dizahirkan. Sukar sekali.

Kenapa ?

Sebab saya belum pernah bertemu dengan tunang lagi. Ya, belum pernah. Walau mungkin, ada yang kata : “Waahh.. so sweet..”. Sebab itulah saya bimbang. Saya masih belum sedia untuk menemuinya. Bahkan saya malu nak bertemu dengannya. Malu pada diri – Ilmu & amalan yang masih belum mencukupi, tahap Iman & Taqwa juga tidak di ketahui. Bagaimana mungkin nak bertemu dengannya, sedangkan keadaan diri masih lagi begini. Allah … Malu …

Mahu hidup bahagia bersamanya ..

Ya, saya benar² mahu hidup bahagia setelah bernikah dengannya. Tapi sejauh mana persiapan saya ? saya bukan hanya mahu bahagia & gembira semasa hari pernikahan, tapi juga mahu berjaya & bahagia selepas daripada itu. Tetapi bagaimana persiapan saya ?? “Serius sikit, boleh tak? Kau tu dah bertunang !” saya tahu, jika tiada persiapan yang sebaiknya, saya pasti merana & derita. Saya tahu itu …

Tunangku amat mementingkan AGAMA ku ..

Semakin hari, semakin rasa bimbang bertambah. Tunang saya akan bertemu dengan saya bila² masa saja. Mahu berikan “surprise” katanya. Jika sewaktu bertemunya, saya masih dalam keadaan yang mampu membuatnya tersenyum, Alhamdulillah. Tapi jika sebaliknya? Sungguh, itulah yang paling saya takuti.

Setiap kali saya merinduinya, teringat akannya. Susah sekali untuk melupakannya. Semasa berjalan, belajar, makan, tidur, boleh katakan, setiap ketika saya memikirkannya. & saya sangat-sangat pasti, dia juga memikirkan perihal diri saya. Banyak juga yang di dengar cerita tentangnya melalui ustaz² & kawan² yang mengenalinya. Kadang² cerita itu membuatkan saya rasa bahagia, hingga terasa sentiasa merinduinya untuk bersama² bahagia selepas pernikahan kami.

Tapi ada juga saya mendengar cerita yang sebaliknya. Dia agak manja. Dia cepat merajuk, cepat terasa hati jika saya tidak mempedulikannya. Saya bimbang jika perkara itu berlaku. Lagi di bimbangkan, jika perkara itu berlarutan hingga kami dipertemukan. Pasti dia membenci saya ketika itu. Namun, saya telah berjanji kepada diri, saya tidak akan melupakan dia, tunangku..

Saya akan cuba membuat dia gembira apabila kami bertemu buat pertama kalinya nanti. Saya tidak mahu membuatnya berduka, bersedih.. Akan saya pastikan juga, selepas pernikahan kami itu nanti, Redha Allah yang akan menyelubungi, Kasih Allah yang akan menyelimuti, Cinta Allah yang akan memagari kehidupan kami selepas itu. Pasti, akan aku cuba wahai Tunang ku. Akan aku usahakan, wahai ‘kematian’ ku. :’)

___________________________________________________

Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alayhi wa Sallam pernah bersabda maksudnya : "Mati itu adalah sebaik-baik nasihat ". Maknanya mengingati mati itu mengingatkan kita tempat kembali kita iaitu menghadap Allah ‘Azza Wajalla, segala amal baik atau buruk akan dibawa bersama ke alam barzakh dan akan dihisab pula di akhirat nanti.

Syurga atau neraka menjadi tanda soal destinasi terakhir kita. Sudah pasti kematian yang menggerunkan itu dapat memotivasikan  diri kita dan menjadi nasihat kendiri supaya kita tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah. Manakala kubur itu pula merupakan tempat transit kita sementara dipindahkan ke Padang Mahsyar.

Ya, kelak kita kan memiliki kubur kita sendiri nanti sekiranya jasad kita tidak dibakar dan abunya dicampakkan dimerata-rata tempat. Persoalannya, bagaimana keadaan kubur kita itu nanti ? Taman syurga atau lubang neraka?

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiaAllahu ‘Anhu, bahawa beliau keluar bersama-sama Rasulullah Sollallahu ‘Alayhi wa Sallam mengiringi jenazah. Rasulullah bersabda sambil duduk menghadap ke arah sebuah kubur : “Tiap hari kubur ini menyeru dengan nyaringnya: Hai anak Adam lupakan engkau kepada aku. Tidakkah engkau ketahui bahawa aku ini tempat keseorangan, tempat kesunyian, tempat cacing dan tempat yang sempit kecuali yang Allah lapangkan baginya”. Kemudian baginda bersabda: “Kubur ini adalah salah satu taman dari taman-taman syurga atau (sebaliknya) salah satu lubang dari lubang-lubang neraka”. (Diriwayatkan oleh Tabrani).

Jom soal diri kita setiap hari. Mana satu agaknya keadaan kubur kita itu? Sudah pasti cita-cita setiap mukmin untuk mendapatkan kubur mereka sebagai salah satu taman syurga kelak. Beramallah, berusahalah, jauhkanlah segala dosa-dosa, dan berdoalah  penuh harap. Ingatlah selalu akan mati dan  fikirlah selalu akan status kubur kita kerana itu adalah sebaik-baik nasihat bagi kita yang bergelumang dengan dosa ini. 

# sentiasa sematkan dalam Hati : “Saya tiada jaminan, bahawa saya akan hidup pada minit seterusnya..” :’)

Wallahu’alam. Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita semua. Hidup dalam lindungan Rahmat kasih-SayangNya. Aamiin.





Al-FaQirah Ila Robbiha :
Waznah Alhamraa’
10 Safar 1434H
24 Disember 2012

No comments: