TINTA RINDU BUAT RASULULLAH S.A.W.

Bismillahirrahmanirrahim…

Sollu ‘alan nabi… sollu ‘alan nabi…

… di kala Aminah melahirkan bayinya, dunia terang bermandikan cahaya, Cahaya yang amat diperlukan, Petunjuk jalan menuju kebahagiaan … ( syair al-Abbas bin Abdul Mutalib )

subhanAllah… Alhamdulillah.. Allahu Akbar…

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat yang paling besar nilaiannya, nikmat Iman dan Islam, juga nikmat-nikmat lain yang kita gunakan tanpa diminta bayaran melainkan mengikuti segala titah perintah-Nya, menjadi hamba sejati yang sebenarnya. Alangkah indahnya jika manusia itu melaksanakan segala perintah-Nya selama hidup tanpa adanya bangkangan, alhasil.. pasti berjaya di dunia, dan lebih-lebih lagi di akhirat sana!

firman Allah swt (mafhumnya) : “dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” [surah al-Anbiya’ : ayat 107 ]

Kelahirannya disambut dengan meriahnya, dirai seluruh makhluk di langit dan di bumi, menandakan permulaan rahmat Allah ke atas hamba-hambaNya dan seluruh makhluk alam semesta. Kesedihan dan kemurungan turut melanda seluruh alam saat kewafatannya.. sungguh, dia sentiasa dirindui.

… Rabi’ul Awwal menjelang lagi, terkenang pada Rasul pilihan, Nabi Muhammad pemimpin ummat, pembawa rahmat pembawa berkat.. Nabi al-Hadi Rasul al-Musthofa …

Dalam menyelusuri kedamaian bulan Rabi’ul Awwal, bulan yang sentiasa menjadi sebutan seluruh umat Islam, bulan di mana lahirnya seorang Pemimpin agung dunia, dan bulan di mana Dia yang selamanya di kasihi meninggalkan kita, ummatnya yang sentiasa di cintai. Sehingga kini, tiada siapa yang mampu menandingi keperibadiannya. Agungnya penciptaan-Mu ya Rabbul Jalil, Muhammad nama diberi. Hadirnya merubah dunia, dan memberikan cahaya ke seluruh alam, menjadi Qudwah Hasanah, kepada seluruh umat Islam, dahulu, kini… dan selamanya. Seruan dan ajarannya, serta sunnahnya, mampu meruntuhkan keegoan manusia yang awalnya membencinya, apatah lagi melembutkan jiwa umat yang sentiasa mengikuti dan bersamanya.

Mustahil bagi kita melupakan satu susuk yang sangat memikat hati, mana mungkin kita mampu mengenepikan peribadi yang boleh menyentuh jiwa. Malunya untuk mengatakan bahawa kita adalah salah seorang dari ummatnya kerana ketidaklayakan kita. Namun berbanggalah, kerana Allah memilih KITA menjadi salah seorang dari yang berpeluang untuk berada di bawah panji perjuangan Baginda SAW. Di mana kita boleh menemukan satu susuk peribadi yang berjaya mengimbangi kehidupannya dengan sempurna selain dari Nabi Muhammad SAW, munculkanlah sesiapa pun di atas muka bumi yang mampu menyaingi sistematik kehidupan Baginda SAW. Ternyata, baik dahulu, kini dan selamanya, tidak ada satu pun yang boleh menandinginya.

Siangnya menjadi kepala negara, pendakwah menyampaikan dan menyebarkan amanah Allah, ketua kepada keluarga, sahabat kepada sahabat, hakim kepada rakyat. kehebatannya dalam melakar strategi perang, mengetuai 27 peperangan, meluangkan masanya untuk para fakir dan miskin, sempat bergurau dengan anak-anak kecil serta cucunya, masih memberikan hak kepada perempuan-perempuan di sekelilingnya, malah mampu untuk bermesra bersama para sahabat. Tidak cukup dengan siang hari yang padat, tika malamnya, saat manusia lain sedang beristirehat, Baginda bangun berdiri berjam-jam lamanya untuk Qiyamullail hinggakan bengkak-bengkak kaki Baginda SAW.

Kerendahan hati seorang Kekasih Allah, pemurah, penyayang, lembut hatinya, tenang malah sentiasa menyenangkan. Bahkan tiada siapa yang boleh mengatasi sifat malunya, apatah lagi untuk menyaingi ketegasan prinsipnya, dan selamanya tiada yang mampu menewaskan kebergantungannya kepada Allah SWT. Kemuliaan akkhlaknya yang sentiasa memancarkan cahaya, hanya memalukan bagi sesiapa sahaja yang cuba menentangnya. Allah SWT menegaskan lagi di dalam firman-Nya, mafhum :

“dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia” [surah al-Qalam : ayat 4].

Bahkan Sayyadatina ‘Aisyah ketika ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, lalu di jawab : “bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran”.[Hadith Riwayat Abu Dawwud dan Muslim]

Sedarkah kita…??? Dia sentiasa merindui kita, ummatnya…

Walaupun belum bertemu empat mata… kitalah ikhwah yang senantiasa dirindui Baginda SAW…

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata : “sejahteralah ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman, sesungguhnya kami, insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat pun bertanya : “apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” lalu Baginda menjawab : “kamu semua adalah sahabat-sahabatku, sedangkan saudara-saudara kita adalah orang-orang mukmin yang belum muncul (mukmin di masa hadapan)” [Riwayat Muslim]

Baginda SAW juga pernah bersabda : “sungguh aku merindui ikhwahku”, lalu para sahabat bertanya : “siapakah ikhwahmu ya Rasulullah?”, jawab Baginda : “mereka yang tidak pernah melihatku, tetapi berpegang teguh pada ajaranku”. Rasulullah di saat nazaknya, bertanya kepada malaikat Jibril A.S. : “wahai Jibril, apakah yang telah Allah sediakan untuk ummatku?”, tidak Baginda bertanyakan apa yang Allah sediakan untuknya, apa balasan Allah untuk segala pengorbanannya, nikmat apakah yang akan dikecapinya di Syurga sana… tetapi di akhir hayatnya, Baginda bertanyakan keadaan kita, ummatnya.

Ayuh ikhwah akhawat.. buktikan kecintaan kita kepada dia… Muhammad ibn Abdullah

“sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” [surah al-Ahzaab : ayat 56]

Kita ma’ruf akan fadhilat berselawat ke atas Nabi SAW yang memberikan keuntungan kita di hari muka kelak, yang mana di saat kita di kumpulkan di padang Mahsyar kelak, segala harta mahupun mereka yang sentiasa berada di sisi kita tidak akan dapat membantu… di saat amalan di timbang al-Mizan, di sanalah kita membutuhkan syafa’at dari Rasulullah SAW kepada kita.

Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda : “barangsiapa berselawat sekali ke atasku, Allah berselawat sepuluh kali selawat ke atasnya dan di hapuskan darinya sepuluh kesalahan dan diangkat baginya sepuluh darjat” [hadith Riwayat Bukhari]

Namun… bagaimana mungkin kita akan mudah meraih syafa’at dari Baginda sekiranya kita tidak memperbanyakkan selawat ke atas Baginda tika hidup di pentas dunia yang fana ini..?? sejauh dan sedalam mana luluhnya hati kita saat kita menyebut namanya..?? sentiasa terpahat di hati kita atau tidak nama Kekasih Ilahi yang sentiasa cintakan kita…??? Ya Rasulullah… ya Habibi al-Musthofa…

Hayatilah kisah Baginda di hari-hari terakhir…

Masruq meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha:

Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.

Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah.

Anakanda itu menangis.

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya.

Fatimah ketawa.

Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya, “apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”

Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam!”

Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?”

Kata Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya!

“Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata: sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!

Aku menangis…

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku dengan berkata: apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!

Aku ketawa”

Sesungguhnya…

Fatimah radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam!

detiknya semakin hampir...

Dhuha itu tepu dengan kegelisahan.

Senyuman yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada Abu Bakr dan sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.

Badan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.

“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.

Aisyah radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya:

Aku melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani kematian Baginda.

Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!

Dan tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menyempurnakan pilihannya itu.

Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi!”

Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana.

Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un…

“ummati … ummati … ummati …” itulah kalimah yang terlafaz dari bibir Baginda saat-aat hendak berpisah dengan dunia yang fana. Sakitnya kematian itu ibarat ditusuk 3000 pedang, bahkan Rasulullah SAW sendiri menyatakannya kepada ‘Aisyah : “wahai ‘Aisyah, sesungguhnya sakaratul maut itu sangat menyakitkan”. UMMATI.. kitalah yang disebutkan ketika itu.

Rasulullah menghulurkan sepenuh cintanya bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Baginda SAW akan membawa bahagia hingga ke Syurga. Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta, melambai pergi ummah yang dirindui, pencinta yang agung telah lama pergi, tetapi cintanya tetap harum dan mekar hingga ke detik ini.


Ku cuba..senantiasa ku cuba mengikuti sunnahmu

Ku lakukan yang terbaik untuk kehidupanku

Seperti yang telah engkau ajarkan pada umatmu

Akan sentiasa ku berdoa agar dapatku mendekatimu

Di hari perhitungan kelak, aku melihat senyumanmu

Dan engkau juga melihat semula kepadaku…

wahai ikhwah akhawat sekelian.. tidak rindukah kita padanya…???



hamba yang sentiasa merindui maghfirah-Nya :

~ waznah_alhamraa' ~

12 rabi'ul Awwal 1432H, 15 Feb 2011

18:10 pm

Post a Comment