SAAT ALLAH "PINJAM"KAN UJIAN


Ku mulakan bicara dengan ta’awwuz dan basmalah, untaian tasbih memuji Pencipta yang Maha Esa..

Kalam-Nya di dalam al-Furqan :

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”

“Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Kadang-kadang muslim yang beriman kepada Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai nabi dan rasul-Nya, berhadapan dengan kelemahan sebagai seorang manusia biasa. Dia cenderung kepada hawanya, mengikut nafsu ammarah dan melayari bahtera kehidupan dengan melalui jalan kefasikan dan penyelewengan. Oleh itu adakah di sana penyelesaian positif yang boleh mengeluarkan pemuda tersebut daripada kelemahan kepada kekuatan, membebaskannya daripada tuntutan hawa nafsu, dorongan melakukan dosa dan kongkongan nafsu ammarah?

Islam telah menggariskan penyelesaian kepada setiap muslim yang ditimpa kelemahan, digoda oleh hawa nafsu atau dikuasai oleh syahwat. Apabila dia mengambil penyelesaian tersebut, dia akan menjadi seorang insan yang suci bersih, bertaqwa dan soleh. Apabila dia berjalan di khalayak ramai, dia akan manjadi contoh teladan yang baik dan menjadi perhatian mereka.

Dalam masa dua minggu meneruskan kembara menuntut ‘ilmu di tempat saya menuntut kini, hati meronta-ronta meminta untuk kembali ke bumi barakah, ad-Dunya, Mesr.. paling tidak pun, kembali ke tanah kelahiran, membawa hati yang sepi, semakin remuk dengan perbuatan manusia yang tidak waras, menurut saya. Astaghfirullahil’azim. Ya Ilahi.. umi.. abi.. ‘ammar… rungutan dan coletehan dari teman-teman membingitkan ruang alat pendengaran saya. Entah, di mana salah dan silapnya saya sendiri tidak ketahui.

Ya Allah.. apa benar aku yang bersalah..???


Ya Ilahi …

Sepertinya, kudrat ku ini sudah tidak mampu

Ketika dunia semakin menipu

Di iringi nafsu yang meruntun malu

Sehinggalah aku… terjerumus lesu …

Ya Allah …

Ku sedari hakikat.. bahawa aku akan lemah tanpa cinta-Mu

Ku sedari hakikat.. bahawa aku akan rebah tanpa ihsan-Mu

Dan aku juga sedar.. bahawa aku pasti kecundang tanpa kudrat-Mu

Ya Rabbi …

Teruskanlah izinkan aku untuk menyentuh kembali

Rasa cinta yang suatu ketika dulu pernah ku sulami

Membuahkan rasa yang sangat manis di hati

Biarpun rintangan mendatangi diri berkali-kali

Ya Ghaffar…

Sehingga kini aku terus berharap lagi

Ingin aku meneruskan sisa ini

Untuk kembali… dan terus kembali …

Demi meraih redha dan cinta-MU ya Ilahi

Walau dosa semakin melilit diri

Yang semakin hari semakin menghijab hati …

Allahu Rabbi …


Kuatlah duhai Hati … ayuh, ubatilah ia …

Buat kalian yang sentiasa rasa berdosa, yang sering berputus asa, yang sering merasa harapan hanya sia-sia, yang sering merasa kehidupan tiada bermakna, yang merasa diri tidak pernah sempurna, yang merasa tiada arah hidup didunia. Untuk SEKETIKA.. bukalah mata, terjunlah ke lubuk hatimu yang suci. pandanglah langit tegak tinggi tanpa tiang, lihatlah bumi jauh terhampar luas. Mengapa harus kecewa dan menanggung derita? merasa harus merasa gelisah dan susah? mengapa harus bersedih dan takut? Kita tetap ada Allah, Dia begitu hampir dengan kita. Lebih dekat dari urat leher sendiri. Tadahlah tangan, mohonlah dengan penuh kehinaan, tangisilah dengan penuh kehambaan. DIA TETAP SETIA DENGAN CINTA KEPADA HAMBANYA SELAGI KITA IKHLAS UNTUK KEMBALI KEPADANYA…

Ketika kita merasa dunia ini gelap gelita, ketika kita merasa resah gelisah didada, ketika kita merasa harapan hanya sia-sia, ketika kita merasa sangat-sangat berputus asa maka sedarilah ketika itu Allah sedang berbicara dengan kita, sedang memanggil kita, sedang menanti kita untuk kembali bertaubat kepadaNya. Masakan Allah Ya Rahim sanggup membiarkan hambaNya terkapai keseorangan. Sedangkan seorang ibu akan menegur anak-anak kecil ketika leka bermain diterik mentari kerana kasih terhadap anaknya. Inikan pula Allah Yang Maha Penyayang. Allah tidak pernah meninggalkan kita sekalipun kita sering meninggalkan Allah. Pernahkah kita merasa sesak nafas secara tiba-tiba kerana melakukan dosa??

Biarkanlah Cinta kita bertasbih dalam alunan sayu dzikrullah, mengingati dosa-dosa semalam yang tetap menjadi sejarah, tanpa sedar air mata mula tumpah, Mengingati peluang yang sentiasa Engkau curahkan…

Kita sering mengeluh kerana diuji oleh Allah swt. Sebenarnya kita terlupa ujian yang Allah berikan kerana Allah rindu untuk mendengar rintihan hambaNya dan apabila hambaNya bertaubat padaNya dengan ikhlas, Allah memaafkan hambaNya dan Allah bertambah sayang pada hambaNya. Baiknya Allah swt cuma kita tidak sedar…

Yakinlah… insyaAllah, ada penawarnya …

Setiap penyakit itu pasti ada penawarnya, kecuali bila ajal mula mendekati – tiada penawar lagi. Indahnya Islam kerana di sana letaknya tegahan tetapi adanya suruhan (bimbingan), adanya penyakit turut bersamanya penawar.

Kerna itu sahabat Baginda apabila merasa runsing dan bersedih hati, mereka secara langsung mendapatkan motivasi dari Rasulullah SAW agar pencerahan kembara Ilahi jelas tanpa was-was. Mereka segera kembali kepada jalan al-Quran dan Sunnah bukan mengikut telunjuk hati yang rawan ataupun syaitan yang sentiasa membisikkan kenistaan.

Ayuh! Usahlah terus bersedih, duhai hati.. bangkitlah.. jangan jadi orang ‘kalah’ lagi. Hamparkan sejadah, lalu bertawajuh dan menadahkan tangan memohon bantuan dari-Nya. Engkau tidak keseorangan.

Fahamilah maksud di sebalik takdir ujian Allah..

Mana mungkin kita mengelakkan diri daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah s.w.t.. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: "Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita."

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Pesan Ibn Atoillah, “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

“Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Kata Imam al-Ghazali pula : cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji

Janganlah bersedih wahai jiwa, sekiranya engkau beriman kepada Allah SWT, percaya kepada ketentuan qada’ dan qadarnya – pasti ada hikmah tersembunyi. Jangalah bersedih wahai jiwa yang tenang, kerana bersangatan sedih itu membuatkan dirimu dinodai Syaitan. Janganlah bersedih wahai jiwa yang lara, kerana bersama engkau ialah Tuhan Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya.

Ingatlah, Allah Yang Satu itulah yang mengobarkan kemenangan insan terdahulu, yang mengatur urusan manusia sebelum-sebelumnya. Malah ada urusan mereka lebih sulit dari kita. Selalulah bersyukur dan mengingati Allah SWT…

Tenanglah hati… Allahu Rabbi …




Waznah_alhamraa’

12:28 am

17 safar 1432H

21 Jan 2011

2 comments:

sahabat anda said...

pesanan Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, "sebaik-baik ibadah ialah sabar menunggu jalan keluar". Ini bermakna xda satu ujian pun yang akan kekal.

Allah akan pastikan stp kesedihan dan kegembiraan itu menemui penghujungnya. Ini ditegaskan lagi oleh Allah, "Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mnjdkn baginya jalan kemudahan dalam urusannya (Ath-Thalaq:4).

Ini janji Allah yang sangat pasti, maka bangunkan keyakinan dan panjatkan doa dan kesedihan kepada-Nya, pasti kita akan berasa bahawa kesedihan x brpnjgn krn Allah x membenarkan keadaan itu terjadi selagi kita hambanya tidak berputus asa dari rahmat Allah.

_ alhamraa'_ said...

to sahabat saya (^^,)

jazakallah/jazakillah khairan jaza'..

pd hakikatnya, sabar itu indah, sekiranya kita benar2 rasa berTuhan..

ujian... tanda Allah sayang pd hamba2-Nya.. sungguh, hnya DIA lah tempat mengadu segala kerinduan, kegembiraan mahupun kesakitan yg melandai diri sendiri..

bi maraatin ukhra', syukran atas komentarnya ya.. =)