BERMUSAFIRLAH ...

Bismillahirrahmanirrahim…

Subhanallah... Alhamdulillah... AllahuAkbar...

Infiniti syukur dirafa’kan kepada Rabbul Jalil atas nikmat iman dan Islam sehingga memungkinkan kita untuk terus bernafas.. mendapat kasih sayang dan rahmat Allah SWT. Alhamdulillah, kita masih sempat bersua dengan tahun baru hijrah 1432H yang pastinya di sana kita telah menginterpretasikan makna sebenar hijrah ke dalam kehidupan seharian kita, insyaAllah.

Firman Allah SWT:

Bermaksud : “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhjirah kepada Allah dan Rasulnya, kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang dituju, maka telah tetap pahala di sisi Allah., dan adalah Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (an Nisa’:100)

Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar demi melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana makna hijrah itu sendiri ialah satu pengorbanan untuk membawa perubahan…

Hijrah menuntut ilmu

ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah.

Ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain.. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: “Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.

Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi.. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat., seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah di dalam al-Furqan, mafhum: “Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:“Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang syari’at, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi semata.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran, pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (Hadis riwayat Ibn ‘Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Awasi sifat MALAS mu…

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu, bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

NIAT itu PENTING!

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: “Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.”

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

BERMUSAFIRLAH…

Sesungguhnya bermusafir boleh dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa dengan banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatikan ketika berkunjung serta menziarahi sesuatu destinasi.

Firman Allah yang bermaksud:

“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)

Jelas sekali tujuan bermusafir yang dianjurkan Islam ialah digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda si musafir hendaklah dibuka dan berdoa supaya Allah memberi hidayah serta kebaikan daripada aktiviti permusafirannya itu.

Walaupun permusafiran hanya bersifat santai, tetapi tidaklah hingga kita lupa untuk berfikir kerana ketika merehatkan diri, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika bermusafir.

Sesiapa tidak dapat merasai sebarang minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya sudah mati dan minda menjadi tertutup.

Bermusafir bukan sekadar ingin berhibur. Sesiapa yang bermusafir hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan mendapat manfa’at di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti bermusafir sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

Harus di ingati, ketika bermusafir hendaklah menjaga nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti yang membabitkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.” (Surah Ali Imran, ayat 112)

Dalam permusafiran, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama daripada segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan dan kehidupan masyarakatnya.

Allah menyuruh supaya kita melihat setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat daripada sudut keimanan. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?” (Surah al-Mulk, ayat 3)

Si musafir seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan supaya dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan umatnya menimba sebanyak pengalaman untuk dimanfaatkan ke arah memperbaiki diri serta kehidupan.

Falsafah ini dapat difahami daripada maksud hadith Rasulullah SAW yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh sahabat mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain bagi mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ.

Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad SAW pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat. Apa dilakukan Rasulullah SAW membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan pasaran ke seluruh dunia.

Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab dalam perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh nusantara dan benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan.

Bermusafir juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat di tempat masih mundur. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri dan masalah jenayah berleluasa.

Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan berasa bersyukur dapat hidup di negara aman damai ini. Perkara ini dijelaskan Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” (Surah al-Anam, ayat 11)

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

“Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa.” (Surah an-Naml, ayat 69)

Kita perlu insaf mempelajari perkara baru sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan mengenai setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama. Dengan kata lain, bermusafir atau mengembara adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.


tika ini, aku mula belajar untuk memahami erti kehidupan...

.. Hidup ini menjanjikan seribu kemungkinan yang kita tidak mampu untuk mengetahui walaupun sesaat dari sekarang. Akan tetapi kita mampu merancang dan berusaha serta tawakal bagi mendapat yang terbaik ..



* untuk akhi.. jazakallah atas kata-kata dari akhi, insyaAllah, akan sentiasa terpahat di hati.. "bumi Allah ni luas, bila lagi mahu melihat khazanah dan kebesaranNya.. bermusafirlah ..."

* dalam masa beberapa jam lagi, akan berlepas ke ardul kinanah.. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, akhirnya umi dan abi izinkan juga musafir ke sana.. mohon do'a sahabat2 ya.. (^^,)




7 muharram 1432H
13 disember 2010
12:56 am


- alfaQirah ila Allah -
~ waznah alhamraa ~

Post a Comment