KEMBALILAH... DENGAN QALBUN SALEEM

Bismillah wa Alhamdulillah~

Segala puji-pujian hanyalah layak bagi Allah, Tuhan Semesta alam, selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW serta ahli bait, para sahabat serta mereka yang meneruskan perjuangan menyampaikan Risalah Islam tanpa henti sehinggalah ke hari perhitungan kelak.. dan moga kita adalah di kalangan mereka. Amien ya Rabbal ‘alamin..

Wahai jiwa yang sejahtera

Kembalilah ke jalan sang Pencipta

Masuklah ke syurga-Nya

Dengan bahagia…

Dengan sejahtera..


Betapa pun seluruh kata-kata dirangkum untuk memuja dan memuji ALLAH

Pastilah tiada erti dibandingkan keagungan ALLAH yang sebenarnya

Betapa pun seluruh makhluk berhimpun, langit dan bumi

untuk memuja dan memuji ALLAH

Pastilah mungil dibanding kebesaran ALLAH yang sesungguhnya,

Puja puji memang hanya milik ALLAH

Tiada pernah ada setitis pun pujian yang datang kepada makhluk

kecuali titis itu adalah milik ALLAH

Tidak pernah terhembus pujian kepada seorang hamba

kecuali hembusan itu adalah pujian daripada ALLAH - [The Fikr]


seketika.. kita duduk bertafakur, sampai saatnya kita dipanggil pulang untuk menghadap Ilahi, maka apa yang wajib kita bawa dan apa yang wajib kita tinggalkan?

Sesungguhnya hidup manusia di alam dunia ini hanyalah untuk sementara sahaja. Apabila tiba waktunya, roh pun akan dijemput pulang kembali kepada Yang Maha Pencipta. Ketika itu, harta benda, kemewahan dunia, pangkat dan darjat, keturunan, rupa yang cantik rupawan, kemahsyuran dan sebagainya tidak berguna lagi melainkan mereka yang kembali kepada Allah swt dengan harta yang sejahtera; iman dan amal soleh.

Pada hari itu, akan nampaklah dengan senyata-nyatanya, hakikat kehidupan ini yang sebenarnya. Tertipulah mereka yang telah tertipu dengan kehidupan dunia yang busuk, senda gurau dan fana ini. Berjayalah mereka yang telah menyiapkan persiapan bertemu dengan Allah swt, mereka itulah mereka yang beriman dan melakukan amalan2 soleh. Mereka itulah yang sering kembali bertaubat kepada Allah swt saban waktu. Dan mereka itulah orang yang sering memerhatikan kecelaan diri sendiri dan mencari jalan untuk memperbaikinya.

Aduhai jiwa yang alpa, carilah taufik dan hidayah Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dan menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya... (An-Nur: 35). Dan di dalam kuasa-Nyalah kebaikan dan Dia Maha Berkuasa Atas Segala Sesuatu.

Dalam kitab-kitab tasawuf ada beberapa jenis pembahagian tingkat kemuliaan rohani. Tetapi secara mudah dapat dibahagikan kepada 3 peringkat:

1) Nafsu ammarah: iaitu satu tingkat rohani yang masih cenderung untuk mengikut panggilan hawa nafsu, masih goyah oleh godaan syaitan la’natullah. Inilah nafsu yang kebanyakannya dimiliki orang. Telah Allah memperingatkan manusia melalui kalam Agung-Nya, mafhumnya :

"Dan aku tidaklah membebaskan diriku dari kesalahan kerana sesungguhnya nafsu itu suka sekali menyuruh kepada keburukan, kecuali nafsu yang dirahmati Tuhanku." (Surah Yusuf : 53)

Nafsu ammarah ini adalah tingkat kerohanian yang paling rendah. Tetapi apabila ditarbiyahkan, ia akan meningkat ke darjat yang lebih tinggi iaitu; nafsu lawwamah.

2) Nafsu lawwamah: iaitu satu tingkat rohani yang sudah lebih tinggi kerana kebiasaan mengawasi diri, membetulkan kesalahan diri, meneliti diri dan memeriksa amal dengan cermat, serta selalu membuat timbal balik antara kesalahan dirinya dengan kemajuan amal solehnya. Dia akan merasa dukacita dan menyesali keburukannya dan berasa tenang apabila berbuat kebaikan. Dalam hubungan nafsu lawwamah ini, Allah SWT berfirman dalam Al-Qiyamah ayat 1-2. Mafhumnya ;

"Aku bersumpah dengan hari kiamat. Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang selalu menegur dirinya sendiri."

3) Nafsu muthmainnah: iaitu jiwa yang tenang tenteram dalam kebaikan. Apabila seseorang sudah demikian terlatih dalam tingkat kerohanian yang ke-2, suka menegur diri sendiri apabila terjebak dalam kemungkaran, akhirnya dapatlah dia mengekalkan dirinya, istiqamah dalam mengerjakan kebaikan dan selalu menjauhi keburukan kerana kewaspadaannya, maka boleh dikatakan dia telah mencapai tempat kerohanian yang luhur.


Dengan kemampuan memerangi hawa nafsu menyekat syahwat, mengatasi segala macam kekurangan dan kerendahan jiwa, maka dapatlah jiwa itu dihantarkan kepada kebenaran, kebaikan, keindahan dan kesempurnaan. Orang yang demikian itu telah mencapai tingkat kebijaksanaan dan memperolehi mutiara ketenangan jiwa. Orang itulah yang diundang dan dipersilakan Allah SWT untuk menikmati kebahagiaan hakiki dan abadi; sepertimana dalam firman-Nya, mafhum :

"Hai jiwa yang tenang tenteram (muthmainah)! kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai! Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku..." (Al-Fajr : 27-30)

Orang yang bijaksana adalah orang yang selalu meneliti dirinya, pada tingkat manakah dirinya. Oleh kerana dia merasakan kekurangannya, kerana dia masih ada dalam tingkat rohani yang rendah, maka dia berusaha menebus kealpaan diri dengan pembersihan rohani dan peningkatan amal soleh dan terus bertaqarrub kepada Allah swt.

Sementara itu, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam "Fatawa" menampilkan pembahagian 3 darjat bersandarkan firman Allah SWT dalam Al-Quran, mafhum ;

"...kemudian Kami wariskan kitab itu kepada mereka yang Kami pilih dari hamba-hamba Kami. Tetapi sebahagian dari mereka yang menganiaya dirinya dan sebahagian dari mereka cermat dan sebahagian dari mereka ke depan dalam kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang besar." (Al-Fathir: 32)


Ayat tersebut menggambarkan adanya 3 golongan atau darjat manusia, iaitu;

1) Zhalimun linafsih : golongan orang2 yang menganiaya diri sendiri, iaitu mereka yang derhaka kepada Allah swt dengan meninggalkan perintah dan mengerjakan pula apa yang dilarang-Nya. mereka itulah yang mencampakkan diri mereka sendiri ke lembah kebinasaan dengan melakukan dosa2 besar seperti minum arak, berzina dan sebagainya.

2) Muqtasid : golongan atau darjat manusia pertengahan yang cermat, yang melakukan kewajipan2 dan menjauhi larangan2 Allah SWT.

3) Saabiqul bil khairoh : golongan orang2 yang maju dalam kebaikan, tidak hanya menunaikan kewajipan2 melaikan juga mengerjakan segala yang sunat. Dan golongan inilah pada darjat yang paling tinggi.

Menurut Ibnu Taimiyah, baik golongan muqtasid mahupun golongan saabiqul bil khairat, sama2 berada pada darjat "waliullah - wali2 Allah" yang bagi mereka, menurut Al-Quran tidak akan cemas dan dukacita, iaitu mereka yang bertakwa kepada Allah seperti yang tercatat di dalam surah Yunus pada ayat 62-63. Jadi pengertian "wali2 Allah" di sini ialah mereka yang beriman dan bertakwa.

Akan tetapi, dibahagikan kepada 2 bahagian; yang umum dan muqtasid dan yang khusus ialah golongan2 orang yang selalu berlumba2 maju ke hadapan dalam kebajikan (fastabiqul khairoh). Mereka inilah yang berada dalam darjat yang paling tinggi misalnya para nabi dan siddiqin.


# “ya Ilahi.. kami hanyalah hamba yang dangkal, adakala khilaf dalam menafsir kebahagiaan, ada masa silap memilih jalan, ada waktunya kami alpa mengambil pengajaran. Kami ingin ya Allah.. selagi usia masih tersisa, untuk mengenali-Mu sedekat-dekatnya, untuk menggapai redha-Mu setinggi2nya, berikanlah kami ilham tentang kebahagiaan yang Engkau rahmati, tentang jalan yang terpuji, tentang pengajaran yang membuatkan kami insafi. Kami ingin terus… hampir kepada-Mu Tuhan, melalui dugaan yang Engkau kirim, dan kami mohon ya Rabb, jangan sesekali Engkau melupai kami ketika Engkau menguji kami…” amien~

Wallahu a'lam...




*Sumber : At-Taqarbu Ilallah (Taqarrub Mencari Redha Ilahi- Bagaimana mendekatkan diri kepada Allah), muallif : As-Sheikh Ahmad Ridha' Hasbullah.



Al-FaQirah ila Robbiha :

Waznah alhamraa’

10 Rabi’ul Awwal 1433H

02 Februari 2012

Istana BalQis

No comments: