IMBASAN BUAT ZAUJ

Bismillah~

Memetik Firman Allah sebagai pembuka bicara : "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang maaruf, mencegah yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana." (Al- Taubat : 71)


Menjadi perawan suci

Adalah cita-cita semua wanita

Menjadi isteri solehah

Adalah cita-cita wanita bahagia..


Mukaddimah…

Isteri memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah rumah tangga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Telah Allah jadikan makhluk di atas muka bumi ini berpasangan. Seperti jua lelaki, dikurniakan perempuan sebagai pasangan.

Tiada siapa yang menginginkan wanita yang buruk akhlaknya sebagai pendamping diri dalam melayarkan sebuah bahtera agung. Perempuan yang solehah adalah idaman setiap lelaki yang soleh. Allah SWT telah berfirman, mafhumnya : “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (Surah An-Nur'; 26)

Itulah janji Allah kepada kita, kaum hawa. Jadilah kita ini penyejuk kepada suami yang soleh, sayap kiri kepada sebuah rumah tangga yang bahagia disusuli dengan Iman dan Islam. Lelaki juga akan memilih wanita untuk dikahwininya juga atas dasar agamanya, imannya dan akhlaknya.

Sabda Rasulullah SAW mafhumnya : "Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara ini, kerana kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.. maka pilihlah kerana agamanya kerana akan beruntunglah kedua-dua tanganmu." (HR Bukhari dan Muslim)

Andai pemilihan atas dasar kekayaan, pasti suatu hari itu akan lenyap. Andai pada dasar kedudukan, pasti kedudukan itu akan jua digugurkan. Jika pada kecantikan, kecantikan itu jua akan hilang seiring dengan usia yang meningkat. Isteri bertanggungjawab menjaga kebajikan si suami dengan memberi kebahagiaan kepadanya. Tugas seorang isteri memang juga tidak dinafikan tersangatlah penting kerana isteri juga memikul tanggungjawab seorang ibu.

Dengan kehadiran cahaya mata kurniaan Allah, maka kedua-dua tanggungjawab isteri dan ibu telah digalas olehnya. Isteri adalah teman yang paling hampir dengan suami. Isteri yang solehah adalah penawar racun hati seorang suami. Isteri juga adalah tempat suami berkongsi masalah dan jua tempat berbincang. Patuhilah suami selagi tidak menyalahi syariat Islam. Carilah redha Allah itu dalam redha suami. Jadilah kita golongan hawa ini sebagai penenang buat adam yang halal bagi kita. Janji Allah itu pasti.

Sabda Rasulullah SAW mafhumnya : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintu mana yang dia suka (mengikut pilihannya)" (HR Ahmad.)

Memetik mutiara hikmah yang pernah ditulis oleh Almarhum Syeikh Mustafa Masyhur dalam bukunya Tariqud Da'wah dalam bab Tegakkanlah Rumah Tangga Muslim di mana beliau menyebut :

"Saudara muslim yang sejati, wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini. Menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah. Sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa, sentiasa memberi peransang dan tidak menghalanginya. Memelihara dirinya di waktu ketiadaan suaminya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut bentuk Islam yang sebenar-benarnya. Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam. Saudara muslim juga wajib membentuk rumah tangga muslim yang sejati yang menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap anggota dakwah keluarga yang aqil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik"



Isi utama : IMBASAN BUAT ZAUJ

* saya copy paste dari blog http://cintailahi.com .. moga bermanfaat untuk semua ..

Hari ini, saya hanya ditemani oleh anak-anak yang menjadi sebagai tali pengikat yang mengutuhkan lagi ikatan kasih-sayang antara kita. Mereka semakin hari semakin membesar. Terasa bahagia melihat mereka membesar didepan mata. Ketidakhadiranmu di sisi, sedikit sebanyak mengundang kesayuan kepada mujahid dan mujahidah kecil itu. Tidak mengapa, mereka masih kecil suamiku.. Masih belum mengerti.

Dan jauh juga disudut hatiku, aku juga merinduimu.

Mengimbas kembali zaman perkenalan tanpa bersua muka. Kamu memerhatikan diriku dari jauh dan dalam diam kamu mendekati keluargaku untuk berkenalan dan mengenal hati budi bakal isterimu. Masa itu, dengan kesibukan berdakwah, belajar dan belajar, aku tidak menghiraukan perkhabaran dari Ummi bahawasanya ada seorang lelaki yang merisik akan diriku.

“Kalau betul-betul nak jadi, tunggu Ana habis belajar dulu Ummi,” bicaraku pendek.

Tiada dalam sangkaanku kamu benar-benar menunggu selama 3 tahun lebih untukku menghabiskan pengajianku. Pelik! Itu yang berlegar dalam kepalaku. Sanggupnya kamu suamiku..

Selepas 7 bulan kutamatkan pengajianku, akhirnya rombongan bertandang ke rumah. MashaAllah. Bermula segalanya…

Pada tarikh sekian sekian.. Kita bersatu.

Setelah kita bersatu dan hubungan yang disandarkan pada keimanan menjadi halal pada hari pernikahan, terasa syukur tidak terlafaz dan kerdil di sisi Sang Kekasih nombor 1. Dan kasih-sayang antara kita semakin mekar apabila lahirnya mujahid dan mujahidah kecil pada pada hari yang sama dan beza jarak umur yang hanya 15 minit cuma.

Aku menyedari perubahanmu wahai suamiku..

Jika dulu kamu sangat istiqamah memberikan tarbiyah kepadaku, mengambil berat dan seorang yang sangat penyayang kepada isterimu, kini dirimu seakan-akan menjadi seseorang yang diperbaharui perasaan kasihnya. Tingkah laku, tanggungjawab serta perwatakanmu diperhalusi. Kamu membuatkan saya bahagia berada dalam keluarga sakinah. Kamu menjadi seorang yang begitu lebih lembut bicara dan pengasih sifatnya. Benarlah! Anak penyeri rumahtangga.

Tanggungjawabmu kepada Islam dan Ummah tidak pernah kamu abaikan. Ada waktunya kamu meninggalkan rumah berhari-hari untuk menyebarkan keindahan Islam, tidak pernah membuatmu lelah. Apabila berada di rumah, kamu menjadi seorang suami dan ayah yang sangat penyayang. Dan apabila tugas sebagai khalifah memanggilmu meninggalkan rumah untuk sebuah janji yang pasti, kamu sungguh tegas dengan amanah yang tergalas meskipun si mujahidah kecil itu seringkali menangis apabila tiba waktu keberangkatanmu.

Saya mencuri pandang pada wajahmu. Ada redup sayu dimatamu apabila menoleh si mujahid dan si mujahidah yang tertangis. Saya tahu dan faham. Jauh di sudut hatimu, kamu yakin dan percaya bahawa Allah akan menjaga sesuatu milik-Nya. Dan kamu juga tekad melangkah dengan meninggalkan kami dalam jagaan Allah.

Pergilah suamiku.. Pergilah berjuang! Jangan beratkan hatimu dengan kewujudan kami.

Saya tidak lupa dengan pesanmu wahai suamiku. Hidup di dunia untuk berjuang. Berjuang dan memperjuangkan. Sabar dalam perjuangan. Kerana di dalam sabar itu terdapat kebahagian. Dan saya pasti…

Pergilah wahai tentera Allah! Akanku melambai dari kejauhan..




# Jika dakwah menjadi keutamaan, maka kita akan mengerti bagaimana Allah membahagi-bahagikan cinta kita, hingga akhirnya kita akan setiasa segar dalam cinta-Nya.

# untuk kalian : bakal isteri & para isteri - “Jika kebahagiaan berada di dalam harta, maka engkau dapat mencegahnya dariku. Jika kebahagiaan berada dalam perhiasan, maka engkau dapat menahannya dari sampai kepadaku. Kebahagiaan itu bukan apa pun yang engkau miliki, atau dimiliki oleh manusia lainnya. Sesungguhnya aku menemukan kebahagiaanku dalam imanku yang ada di dalam hatiku, dan hatiku tidak dapat dikuasai oleh seorang pun melainkan oleh Tuhanku.”




Al-FaQirah ila Robbiha :

Waznah alhamraa’

09 Rabi’ul Awwal 1433H

01 februari 2012

Istana BalQis

No comments: