BAGAIMANA 'WAJAH' BAITUL MUSLIM KITA?

Bismillah.. dengan Nama Allah yang Maha Agung, tinta di mulakan…

Mohon kepada Empunya Hidayah, moga2 coretan di layar maya ini dipandu dengan hidayah dan taufiq dari Yang Maha Mengetahui, disertakan dengan maghfirah sekiranya di dalamnya terselit kesalahan yang tidak disedari hingga mengguriskan hati dan jiwa2 manusia yang sentiasa inginkan kepada kebaikan dan kebenaran..~

Mohon maaf juga, sekiranya “tajuk” yang saya berikan tidak sesuai dengan entri ini.. apa-apa pun, selamat membaca.. moga sama2 beroleh ibroh dan manfaat darinya.

Beberapa hari yang lalu, seorang sahabat bertanyakan kepada saya :

“agak2nya, timbul masalah tak bila kita kahwin dengan lelaki/perempuan yang tak sefikrah dengan kita?”.

Secara jujur, saya sendiri agak terkejut dengan persoalan tersebut, walaupun suatu ketika dulu, saya juga pernah persoalkan perkara yang sama.. “relevankah menikah dengan lelaki yang sama fikrah? Adakah benar orang-orang yang melaksanakan baitul muslim dengan cara sebegini (sesama ahli jemaah – brand yang sama) akhirnya betul-betul aktif dan hebat dalam perjuangan?”

“sefikrah bagaimana maksud kamu?”, saya jawab dengan persoalan kembali.

"maksud saya, yang tidak sehaluan dengan cara kita, ya lah, nanti tidak membantutkan pergerakan kitakah”

“tapi kita punya matlamat yang sama kan..?”, jawab saya tanpa memandang wajah dia, sahabat saya.


Perbualan tersebut – mengingatkan saya kepada perbualan dengan seorang sahabat saya yang lain :

“dia.. hendakkan isteri yang sefikrah dengannya, pendek kata, dia mahukan seorang isteri yang berlatarbelakangkan ‘ahli jemaah’..”

Ada rasa sebak dalam nada suaranya. Kecewa barangkali..

Aduhai muslimin.. apa maksud baitulmuslim menurutmu? Aduhai muslimat, hanya baitul muslim semata2kah yang yang menjadi cita2 mu, ataukah di dalam baitul muslim yang di bina itu, disertai dengan baitud da’wah?

* bagi menjawab persoalan sahabat yang bertanya, saya sertakan dengan artikel ini. Moga ianya membantu menjawab persoalan anda dan persoalan saya.. ^^,


DARI JENDELA BAITUL MUSLIM

Secara asasnya, artikel ini mahu ditulis sebagai menunaikan permintaan seorang pembaca, iaitu mengenai baitul muslim sesama para penghafaz Al-Quran. Bagaimana pun saya tidak akan menjawab secara direct kepada persoalan tersebut sahaja. Sebelum pergi lebih jauh, saya berfikir untuk menyentuh sedikit tentang latar belakang baitul muslim itu sendiri. Meskipun huraian ini nanti tidaklah terlalu akademik, namun saya berharap setidak-tidaknya pembaca mendapat gambaran tentang apakah itu baitul muslim yang sebenarnya.

Ramai orang menganggap baitul muslim itu soal mencari jodoh. Ada berpendapat, soal nikah kahwin. Tak kurang juga berpendapat, ia soal menentukan jodoh untuk sesama ahli jemaah Islam, ataupun sesama golongan huffaz ataupun sesama kumpulan tertentu.


* BASIC

Asasnya, setiap manusia yang hidup di atas muka bumi Allah ini ada tugas dan peranan masing-masing. Dua perkara pokok yang menjadi teras kepada kehidupan manusia ialah aspek ‘Ubudiyyah (perhambaan) dan Khilafah (pemerintahan). Sehingga para ulamak menyebut bahawa tidak lengkap hidup seorang manusia itu dengan hanya beribadah dan mengenepikan aspek pemerintahan, begitu juga tidak lengkap dengan hanya menumpukan pemerintahan tetapi melupakan ibadah.

Atas dasar ini, Fathi Yakan menulis sebuah buku penting yang berterusan dijadikan rujukan hari ini, iaitu maza ya’ni intimai lil Islam – apa ertinya aku menganut Islam. Fokus utama adalah menyedarkan kembali manusia bahawa hidup mereka di atas muka bumi ini bukan hanya untuk menunaikan kehendak perut dan hawa nafsu sahaja. Bukan juga untuk berasa selesa dengan status ‘Islam’ di atas kad pengenalan mereka. Tetapi supaya mereka sedar dan faham, bahawa mereka ada tanggungjawab penting, iaitu mengamalkan Islam yang syumul dan mengajak seluruh manusia ke arah Islam yang syumul.

Maka proses ini perlu kepada suatu input penting yang dinamakan sebagai Tarbiyyah.

Tarbiyyah ini ertinya mendidik. Apa yang nak dididik? Yang nak dididik adalah jiwa. Hati manusia. Didikan ini matlamatnya adalah bagi memastikan hati itu tunduk patuh kepada Allah dan memastikan hati itu bulat kepada Islam. Tarbiyyah ini penting untuk menundukkan nafsu dan memastikan seseorang manusia tidak tergelincir dari landasan sebenar menuju Allah.

Pokoknya adalah ; mengejar keredhaan Allah dengan apa yang Allah suruh dan menumpukan masa dan tenaga demi mencapai cita-cita Islam, antaranya melalui amar makruf dan nahi mungkar.


* MARHALAH BAIT MUSLIM

Bertitik tolak dari proses di atas, yang mana ianya hanya melibatkan proses tarbiyyah diri sendiri, kini ia naik satu anak tangga berupa cantuman antara dua individu yang mempunyai matlamat yang sama serta melaksanakan usaha yang sama. Kedua-dua individu yang mahu menyatukan hati mereka ini berdiri atas titik yang jelas, iaitu mahu meneruskan dakwah dan cita-cita Islam, mahu melahirkan zuriat yang soleh solehah serta memastikan gerak kerja Islam bertambah laju dan maju ke hadapan.

Perhatikan...

Proses baitul muslim itu langsung tidak kelihatan seperti sekadar menunaikan tuntutan fitrah. Ia juga langsung tidak nampak seperti sekadar mahu menyatukan dua insan yang bercinta, sekadar mahu mengelak dari maksiat dan sebagainya.

Ia punya matlamat yang lebih besar dan target yang lebih penting!

Rumahtangga yang dibina benar-benar berpaksikan keikhlasan masing-masing untuk meneruskan gerak kerja mereka sebelum berkahwin. Gerak kerja ini subjektif, tetapi matlamatnya sama, iaitu untuk mempromosikan Islam. Maka sudah tentu perkahwinan itu semakin menjadikan mereka kuat, aktif dan bersemangat demi cita-cita Islam. Bukannya semakin melemahkan atau menjauhkan mereka dari medan dakwah.


* KAHWIN SESAMA JEMAAH, SESAMA KUMPULAN, SESAMA HUFFAZ

Bertitik tolak dari matlamat di atas juga, lahir satu alternatif yang tidak kurang pentingnya terutama di kalangan jemaah Islam seluruh dunia, iaitu menjodohkan sesama ahli jemaah. Sekadar pengetahuan saya, usaha ini berlaku dalam banyak gerakan Islam namun tidaklah sampai tahap mewajibkan atau memaksa mereka menerima calon tertentu.

Usaha ini timbul demi memastikan ahli yang aktif dalam gerak kerja dakwah, akhirnya tidak menjadi lemah atau ghaib akibat bertemu jodoh dengan orang yang tidak mempunyai ideologi perjuangan. Ini kerap kali berlaku di kalangan muslimat. Akibatnya, ramai juga yang sewaktu di kampus begitu lantang dan begitu aktif dalam dakwah dan tarbiyah, akhirnya setelah berkahwin hidupnya hanya seperti orang biasa. Bahkan ada juga yang berubah ideologi, berubah cara berpakaian dan sebagainya.

Bagi mengelakkan keadaan ini dan bagi menyelamatkan aktvitis Islam khasnya muslimat yang berpotensi ini, maka mereka digalakkan untuk memilih suami yang menyokong mereka dan sudah tentu ia bertambah mudah jika suami itu mempunyai idelogi perjuangan yang sama dengan mereka. Begitu juga muslimin digalakkan untuk mengahwini ahli gerakan mereka sendiri, yang mana ia sangat penting bagi mengelakkan muslimat diambil oleh orang yang tidak menyokong mereka.

Apa yang mereka kejar adalah survival perjuangan mereka, bukan kepentingan individu. Namun kebiasaannya, proses ini menjadi sukar dek kerana tidak ramai muslimin yang sanggup mengahwini muslimat yang kurang cantik walaupun cerdik dan terdidik. Itu sekadar apa yang saya tahu.

Situasi berkahwin sesama huffaz juga tidak jauh beza. Berkahwin sesama huffaz adakala menjadi satu galakan kepada para huffaz. Tujuannya sama, iaitu bagi memastikan yang hafizah tidak lemah dalam perjuangannya kerana didokong oleh suaminya yang juga seorang hafiz.

Perlu diketahui, bahawa kehidupan seorang penghafaz Al-Quran dengan orang biasa sangat jauh berbeza. Paling ketara mengenai jadual harian. Para huffaz harus memperuntukkan masa yang cukup banyak dengan Al-Quran serta jadual i’adah mereka berbanding orang biasa yang membaca Al-Quran hanya sunat sahaja pada mereka. Lalu tanpa sokongan yang kuat, boleh jadi hafiz atau hafizah itu akan mundur, kurang motivasi, hilang semangat dan akhirnya hilang jatidiri sebagai seorang penghafaz Al-Quran.

Dan itulah yang sedang berlaku secara meluas dalam masyarakat hari ini. Sehingga sukar sekali dikenali siapa penghafaz Al-Quran dan siapa bukan, melainkan jika diakui sendiri oleh orang tersebut.


* RELEVANKAH?

Timbul persoalan. Sejauhmana relevan mencari jodoh sesama ahli jemaah, sesama kumpulan ataupun sesama golongan huffaz sahaja? Adakah benar, matlamat ataupun target yang diimpikan benar-benar tercapai selepas berkahwin? Adakah benar orang-orang yang melaksanakan baitul muslim dengan cara sebegini akhirnya betul-betul aktif dan hebat dalam perjuangan?

Jawabnya tidak.

Pertama, kita perlu faham bahawa perkahwinan itu suatu ujian, bukan semata-mata nikmat. Bahkan anak dan isteri itu dikatakan sebagai antara ujian besar kepada manusia. Bukan sedikit orang yang berkahwin sesama ahli jemaah, sama fikrah sama ideologi, sama-sama aktif dalam dakwah, tetapi setelah berkahwin senyap sunyi dari perjuangan. Bukan sedikit tetapi sangat ramai. Maka berkahwin sesama jemaah juga bukanlah tiket untuk menjamin istiqamah ataupun tidak seseorang itu dalam perjuangan.

Begitu juga kahwin sesama huffaz. Situasi yang sama juga berlaku. Bahkan ada juga hafiz atau hafizah yang berkahwin dengan orang biasa, tetapi penjagaan Al-Quran mereka bertambah baik dan cemerlang.

Namun begitu perlulah diingat dan difahami dengan baik. Bahawa apa yang ada pada manusia itu adalah usaha. Manusia disuruh berusaha dan mengambil asbab. Itu akidah kita. Sebagai contoh, dengan asbab makan nasi maka kita menjadi kenyang. Tetapi tiada siapa yang boleh menjamin kekenyangan itu melainkan Allah. Apa-apa hal, balik kepada Allah.

Sama juga, dengan asbab berkahwin sesama huffaz, maka kita harapkan Al-Quran kita terjaga, hafazan kita makin mantap dan perjuangan kita dalam bidang Al-Quran semakin hebat. Tetapi target tersebut tidak semestinya tercapai. Bahkan saya melihat, isu kahwin sesama jemaah, kahwin sesama huffaz atau kahwin sesama apa sahaja entiti yang lain, isunya bukanlah persamaan tersebut, tetapi isunya adalah sejauh mana kefahaman dan keyakinan seseorang itu dalam gerak kerja dakwah. Andainya ada kefahaman yang jitu, keyakinan yang padu, insyaAllah pernikahan berlainan entiti pun tidak akan menjejaskan.

Kerana itu, niat di awal perkahwinan ataupun sewaktu mahu membina baitul muslim itu perlu jelas dan terang. Biar kerana Allah, jangan kerana yang lain.


* APA BEZA NIKAH BAITUL MUSLIM DENGAN NIKAH YANG LAIN?

Ramai orang bernikah di sekeliling kita. Ada yang nikah kerana rupa, ada yang nikah kerana cinta, ada yang nikah kerana sudah dewasa dan ada yang nikah kerana agama. Ini bukanlah persoalan nikah itu sah ataupun tidak sah. Kalau cukup rukun nikahnya, maka sahlah nikah.

Tetapi yang membezakan antara kesemua itu adalah matlamat, tujuan dan target.

Baitul muslim mahukan :

· Pernikahan kita kerana Allah dan kerana perjuangan agamaNya. Ini yang membezakan baitul muslim dengan yang lain.

· Pencapaian kepada sakinah, mawaddah dan rahmah.

· Pernikahan ini dapat mencetus komitmen yang lebih tinggi kepada agama.

· Pernikahan ini dapat memastikan kelangsungan tarbiyah untuk suami dan isteri.

· Paling penting, daripada pernikahan ini lahirnya zuriat yang soleh dan solehah bagi meneruskan cita-cita perjuangan.

Nah. Sekarang sila fahami dengan baik, bahawa baitul muslim itu merupakan satu proses yang tidak sekadar suka-suka ataupun mahu bertemu jodoh semata-mata. Tetapi juga melibatkan soal pemilihan calon yang benar-benar ada komitmen yang tinggi pada agama serta mempunyai kesedaran terhadap cita-cita Islam.

Saya teringat kisah Zainab Al-Ghazali dalam bukunya ‘hari-hari dalam hidupku’, di mana beliau menulis bilamana dilamar oleh suaminya, dia meletakkan syarat bahawa perjuangannya tidak boleh dihalang dan perlu diberi tempat nombor satu. Syarat ini ditegaskan sebelum berkahwin dan setelah dipersetujui, barulah beliau sanggup menjadi isteri.


KESIMPULAN

Baitul muslim ini satu proses yang penting dalam Islam, iaitu memastikan rumahtangga yang terbina menjadi satu kilang pemprosesan yang merancakkan lagi semangat bekerja untuk Islam. Kita tidak mahu menjadi individu yang leka, di mana hidup kita hanyalah soal makan minum dan hanyalah perihal diri dan keluarga kita sahaja, tetapi kita mahu menjadi individu yang menyedari pentingnya pengamalan Islam dalam diri kita dan pentingnya praktikal Islam dalam masyarakat. Dari situ, kita mencari pula calon suami atau isteri yang juga mempunyai kesedaran yang sama ( ataupun boleh dibentuk kesedaran yang sama ) bagi memastikan perjuangan kita untuk Islam tidak terhenti semata-semata disebabkan perkahwinan.

Semoga perkongsian kecil ini menjadi panduan berguna untuk kita semua. Jika perlu, akan disambung lagi nanti.

Sumber : myilham.com


# hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah, jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam, sentiasa haus dengan ilmu, dahaga akan pahala, solatnya - maruah dirinya, tidak pernah takut untuk berkata benar, tidak pernah gentar untuk melawan nafsu, sentiasa bersama mereka yang berjuang di jalan Allah, menjaga tuturkatanya, tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya, tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya, sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang, hormat & berbakti kpd orang tua & keluarga, akan mendidik isteri & anak2 mendalami Islam, mengamalkan hidup penuh kesederhanaan kerna baginya dunia adalah rumah sementara menuju akhirat, bersedia untuk menjadi imam, hidup dibawah naungan Al-Quran & mencontohi sifat Rasulullah, boleh diajak berbincang & berbicara, sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah keatasnya, matanya kepenatan kerana penat membaca, suaranya lesu kerana penat men gaji & berzikir, tidurnya lena dengan cahaya keimanan, bangunnya subuh penuh kecergasan kerna sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan, sentiasa mengingati mati, baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat - buah kehidupan itu perlu dibaja & dijaga agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik, meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian. Itulah muslim yang saya cintai ; dia yang tidak terpesona dgn buaian dunia kerna dia mengimpikan syurga. Di situlah rumah idamannya & dia ingin membawa saya bersamanya. Ya Hafizhal Quran alKareem, inni ahibbak awi2~

Allahu’alam..

Sekian…



Al-FaQirah ila Robbiha :

Waznah alhamraa’

11 Rabi’ul Awwal 1433H

03 Februari 2012

Bumi Allah SWT…

Post a Comment