KIRANYA BUKAN MAHASISWA, SIAPA LAGI?

Bismillahirrahmanirrahim..

Hamdulillah, hari ini dan selamanya kita rafa’kan kesyukuran buat Yang Maha Esa, selawat serta salam buat pemegang obor Islam yang utama, pemimpin teragung bagi seluruh umat Islam, para ahli bait serta mujahideen dan mujahidah penerus risalah perjuangan Rasulullah saw... selama beberapa hari bercuti rentetan pena perlu menyelesaikan beberapa perkara yang masih terbengkalai, dalam masa yang sama pena perlu menyelesaikan satu misi memberi sumbangan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa di sebuah kampung – selama 4 hari 3 malam, bermula 8hb okt 2009 hingga 11hb okt 2009 ( tarikh berlangsungnya pengumuman pilihanraya umum di Bagan Pinang )

“ bagaikan tsunami melanda Bagan Pinang apabila calon Barisan Nasional menang besar menewaskan calon Pas – pilihanraya umum pada tarikh 11 oktober 2009 yang lalu ”

“ saya sudah di pilih, jadi tugas saya memastikan semua masalah dikemukakan dan dijanjikan dalam kempen lalu dapat diselesaikan dan ditunaikan – ucapan pemenang di dunia semata ketika di tanya oleh wartawan ”


( Sumber : berita harian metro, sila buka m/s 10 dan baca )

“ Kalau mahasiswa pun tidak peka , nak harapkan siapa lagi? ”

Sebagai seorang mahasiswa, mungkin sudah terbiasa mendengar perkataan ini, AUKU, Akta Univerisiti dan kolej universiti . ianya bukanlah satu musibah utama buat mahasiswa untuk terlibat atau bergiat aktif dalam bidang politik nasional. Bila mana kita menyebut politik ia ditafsirkan sebagai perjuangan nasional yang melibatkan kekuasaan yang dibawa oleh pendukungnya untuk kebaikan masyarakat . Mahasiswa harus membetulkan perspektif ‘berpolitik’ yang telah menjadi fitrah kehidupan masyarakat kita dimana perkataan politik akan membuahkan konotasi seperti kerajaan dan pembangkang yang berbau kepartian. Sebaiknya, mahasiswa seharusnya membawa bendera neutral ataupun non-partisan (tidak menyebelahi mana-mana pihak) yang diwarnai semangat keadilan sejagat.

Sedar ataupun tidak, bukankah kita juga rakyat Malaysia? Kita harus ingat bahawasanya mahasiswa juga sebahagian daripada warga negara tanah air ini yang didaulatkan dibawah undang-undang dan perlembagaan Malaysia. Sudah tentu hak untuk ‘berpolitik’ jelas menjadi hak milik semua warga negara Malaysia. Masalahnya disini ‘berpolitik’ yang bagaimana? sekiranya idealisme politik bersifat kepartian maka disinilah jerat AUKU akan mengena.

PEKA ITU SATU ASET

Sebagai golongan yang dilimpahi ilmu, infrastruktur dan tanggungjawab yang tidak seberat golongan dewasa yang sudah berkeluarga, mahasiswa seharusnya menjadi juru bicara ummah yang paling peka. Dalam keadaan masyarakat kita yang sedang menghadapi budaya ‘aku tidak pedulisma ’, kepekaan itu sendiri sudah menjadi salah satu aset terpenting buat mahasiswa. Slogan dan semangat yang membara tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ummah. Mahasiswa yang peka akan menjiwai penderitaan rakyat dan ini seharusnya menimbulkan tindak balas reaktif terhadap permasalahan yang ada dengan menjadi ejen-ejen perubahan buat masyarakat.

Tetapi dengan AUKU, apakah mahasiswa mempunyai kapasiti untuk melakukan semua itu? Sekiranya kita berfikir secara sempit sudah tentu kita hanya mendapat kekecewaan daripada semua ini. Disinilah mahasiswa akan diuji dari segi kebijaksanaan ‘berpolitik’. Perlunya mahasiswa turun kepada masyarakat dan menilai dengan kritis permasalahan yang ada. Dengan melakukan pemerhatian yang kritis, kita berupaya menjana pemahaman yang lebih komprehensif akan masalah sebenar yang masyarakat kita sedang alami. Yang akan menjadi fokus buat mahasiswa dalam ‘politik masyarakat’ seperti ini ialah masalah dan penyelesaian. Mahasiswa seharusnya menjadi penyelesai masalah dan ini tidak akan menjadi realiti jikalau mahasiswa mempuyai kepekaan yang rendah ataupun hanya mempunyai kepekaan yang sempit ke arah politik kepartian yang diselubungi sentimen dan slogan yang tidak substantif.

JAMBATAN 'ILMU

Adakah orang politik sahaja yang layak menjadi penyelesai masalah? Adakah kuasa politik menentukan segala-galanya dalam mengubah nasib masyarakat? Jawapannya sudah tentulah tidak. Sudah terlalu banyak janji manis yang ditaburkan yang mana janji hanya tinggal janji. Disinilah kelompangan terbesar yang wujud untuk ditutupi dan dipenuhi oleh aktvivis mahasiswa.

Ilmu yang bertebaran di menara gading seharusnya dibawa turun ke bawah untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Tidak kiralah mahasiswa tersebut menuntut dalam jurusan apa pun, yang penting dengan kepekaan yang tinggi, ilmu yang dituntut dan yang telah sedia ada haruslah dimanfaatkan. Perpustakaan, pensyarah, serta persatuan yang wujud di universiti boleh digunakan sebagai medium ataupun platform untuk menjana penyelesaian ummah.

Usaha untuk masyarakat am menikmati tempias dalam pembangaunan institusi keilmuan seperti universiti bukanlah satu perkara yang senang. Rata-ratanya hanyalah sekadar untuk menikmati tempias rezeki berbentuk material hasil pertambahan bilangan penduduk yang terdiri daripada mahasiswa yang mendiami kawasan tersebut. Sudah sampai masanya bagi mahasiswa untuk lebih bersifat agresif menjadi jambatan ilmu yang menyambungkan ilmu yang kompleks dari menara gading dan dibawa ke bawah sebagai ilmu praktikal yang boleh digunakan dalam hal seharian masyarakat.

Sebagai contoh sekiranya di Kuala Lumpur, masyarakat kita menghadapi tekanan jiwa yang tinggi dek kerana kepesatan pembangunan yang mengejar status dan harta benda. Ilmu psikologi, dan kesihatan yang terdapat di universiti selalunya bersifat saintifik lagi kompleks. Untuk menjadikan ilmu-ilmu tersebut sebagai manfaat kepada masyarakat, mahasiswa boleh mempermudahkan pemahaman dan dengan sedikit kreativiti diterjemahkan sebagai risalah, modul dan dijadikan kajian kes buat wakil rakyat di kawasan tersebut untuk diberi perhatian yang khusus dengan bantuan daripada golongan mahasiswa sendiri. Harus diingat disini bahawa penyelesaian masalah ini tidak perlu bersifat kepartian tetapi lebih kepada fokus utama kita iaitu penyelesaian masalah. Dengan ini, nilai sebuah pusat ilmu yang bernama universiti ini selayaknya dipandang tinggi kerana dengan adanya mahasiswa yang tidak kekok untuk menyembah realiti walaupun ilmu penuh didada.

KITA MASIH BERNYAWA

Satu ketika dahulu mahasiswa pernah menjadi ‘satria putih’ ( white knight ) kepada masyarakat. Sosok seperti beberapa orang aktivis politik dari segi idealisme dan kepekaan yang mengakar terus ke dalam masyarakat patut dicontohi. Mereka tidak sekadar pandai bercakap malah cukup pragmatik dalam memperjuangkan masalah masyarakat terutamanya terhadap golongan yang tertindas. Salah satu persoalan yang bakal menghentak kesedaran aktivisme kita pada hari ini ialah apakah sumbangan mahasiswa kepada masyarakat mutkahir ini?

Saham masa depan negara Malaysia pada hari ini sebenarnya terletak di atas pundak mahasiswa. Sama ada kelak mereka yang akan menjawat jawatan penting dalam negara hatta sekadar pekerja am sekalipun, kualiti aktivisme mahasiswa adalah penanda ukur kepada harapan masa depan bangsa, agama dan negara. Kita mungkin mampu melahirkan golongan professional yang diakui serata dunia tetapi andainya tuli deria pekanya terhadap masyarakat, sifat ini hanya sama seperti berpaling tadah kepada bangsa sendiri.

Jatuh bangun bersama masyarakat merupakan satu Kejayaan yang akan menghujani golongan bijak pandai yang bakal melunturkan peranan sebenar mereka yang lebih mulia ini. Tanpa kepekaan ataupun kerana sudah terbiasa dengan ‘politik kepartian’ yang sempit, mahasiswa yang semakin meningkat dewasa sebagai profesional ini hanya menjadi liabiliti kepada perjuangan ummah malah kadang kala menjadi batu penghalang kerana diracuni semangat materialisme dan ketaksuban yang hanya memecah belahkan umat.

So, sekali lagi pena meninggalkan persoalan, andainya bukan kita, andainya bukan mahasiswa siapa lagi?

Sekian..
allahu’alam

No comments: