LEMBARAN BARU BUATMU MAHASISWA

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..

ALHAMDULILLAH.. masih di berikan peluang untuk kembali menulis sesuatu dalam blog amriena rasyada. Rasa bersalah menyelubungi diri apabila lebih hampir beberapa minggu kerja da’wah di alam maya ini di tinggalkan. Sudah hampir dua minggu aku kembali ke bumi tempat aku bertapak, kukuh berdiri, meneruskan perjuangan menuntut ‘ilmu duniawi jua ukhrawi untuk melayakkan lagi aku untuk menjadi seorang hamba yang bergelar da’ie, walau terkadang perasaan futur datang menjadi tetamu tanpa di undang.

Setelah cukup sudah tempoh untuk bercuti dari sesi kuliah, meninggalkan semester lepas yang cukup meletihkan ( bagi pandangan sebahagian mahasiswa ) dengan hidangan bermacam subjek yang cukup mengenyangkan minda dengan minggu ulangkaji yang sememangnya melelahkan, akhirnya, hamdulillah, masih di beri kesempatan oleh Allah Ta’ala untuk mahasiswa di APIUM ini berhimpun kembali.


Dalam semester yang baru, suasana yang baru, azam yang baru, jua matlamat yang baru. Pendek kata semuanya baru. Lega! Namun nafas lega yang dihela selama tempoh sebulan itu ternyata tidak panjang tempohnya. Tanggal pengumuman keputusan peperiksaan yang di nanti-nantikan oleh seluruh mahasiswa di sini benar-benar menyesakkan dada. Khususnya bagi mereka yang terasa begitu asyik berpencak di gelanggang peperiksaan. Rasa-rasanya jurus yang dipelajari selama masa pertapaan sudah begitu banyak. Ditambah lagi dengan sesi ulangkaji dan latih tubi yang berulang-ulang, masakan tewas akibat keputusan yang diterima tidak memuaskan hati.

apabila sahaja gred yang dinantikan dengan penuh debaran tiba di tangan, bagaimanakah agaknya reaksi kita ketika itu? Apakah kita mampu menerima segala ketentuan yang telah di tetapkan? Pastinya akan wujud emosi yang bercampur baur dan lebih menarik apabila perasaan ini diputuskan oleh paparan abjad, A, B, C, D, E atau F, yang kuasanya terlalu hebat hingga mampu untuk memandu tindakan pemiliknya. Ada yang memberi respon yang positif berlandaskan kebijaksanaan dalam mengawal emosi diri walaupun mungkin keputusan yang di terima tidak sama seperti apa yang di impikan, ada juga yang bertindak di luar kawalan. Pokoknya, nafsu yang tidak pernah kenal erti nakal pasti akan menguasai rasional pemikiran jika tiada pedoman yang mengawal sikap manusia.

Wahai hamba-hamba Allah yang bergelar MAHASISWA, penganut Islam yang taat, insyaallah. Begini seharusnya kita dalam menghadapi natijah yang dikirimkan oleh Allah Ta’ala untuk kita. Jangan pernah sekali-kali terbit di hati kecil kita ini untuk memungkiri ketetapan yang telahpun diutuskan oleh Tuhan sejak kita mula berada dalam kandungan bonda tercinta. Apa pun natijah peperiksaan yang kita terima, adab-adab dengan Allah Azzawajalla tetap perlu kita pelihara. Jangan terlalu ghairah menurutkan hawa nafsu hingga tertonjol akhlak mazmumah, apalagi sampai menderhakai Tuhan. Kejayaan yang dii’tiraf manusia tidak bermakna dijanjikan kemenangan di sisi Allah Ta’ala.

1. BERBAIK SANGKALAH DENGAN ALLAH TA’ALA

firman Allah Ta’ala dalam kitab suci ‘azim, mafhumnya : "Mereka berprasangka yang tidak benar terhadap Allah, seperti prasangka jahiliyah; mereka berkata: ‘Apakah ada bagi kita sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini.’ Katakanlah: ‘Sungguh, urusan itu seluruhnya di tangan Allah.” (Ayat 154, surah Ali Imran).

menurut ibnu Qayyim, ayat ini sebenarnya memberi maksud membahagikan prasangka buruk terhadap Allah Ta’ala kepada tiga kategori, meliputi; menafikan adanya hikmah dari Tuhan, menolak takdir-Nya dan mengingkari bahawa agama Islam bakal dimenangkan oleh Allah 'Azzawajalla. Sedarilah bahawa tindakan menolak qada’ dan qadar Tuhan menjadikan individu tersebut tidak ubah seperti kelompok kafir sebagaimana yang dikhabarkan di dalam Al-Qur’an. Malah, turut menjejaskan kekukuhan tiang iman lantaran keingkaran terhadap salah satu rukunnya!

Demi menyelamatkan diri dari perbuatan yang membahayakan iman ini, solusi yang terbaik yang perlu kita laksanakan demi menyelamatkan diri kita dari perbuatan yang membahayakan iman serta memberi kesan yang buruk ialah dengan berusaha sedaya mampu untuk mengenali Allah 'Azzawajalla dengan lebih terperinci lagi, berdasarkan asma’ dan sifat-Nya yang tiada tara kemuliaannya. Betapa nama-nama Allah Ta’ala yang suci telah menggambarkan sifat Allah ‘Azzawajalla sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Bukankah Tuhan telah menyediakan bermacam kurniaan untuk segenap makhluk ciptaan-Nya, lalu adakah semudah itu untuk kita mengingkari penghakiman Tuhan hanya kerana secebis markah peperiksaan? Inilah petanda kufur nikmat yang kian merajai diri.

Belajarlah.. dan teruslah belajar untuk menerima dan meredhai segala aturan yang telah di tetapkan Tuhan. Kita harus percaya bahawa setiap dugaan yang mendatang ialah ujian-ujian dari Tuhan dan pastinya di balik setiap ketetapan itu, Allah ‘Azzawajalla jauh lebih mengetahui akan baik dan buruknya. Beban cubaan yang menimpa ini juga tidak sekali-kali melampaui kemampuan individu yang diuji. Yakinlah bahawa menhnah dan tribulasi yang berjaya ditempuh akan meninggikan darjat keimanan para hamba yang senantiasa berhajatkan mardhatillah. Tiap-tiap tangis sedih kita bakal digantikan dengan riang tawa ahlul Jannah jika kita menjadikan sabar sebagai perisainya.

2. IBADAH SYUKUR DAN SUNAT-SUNAT YANG LAIN

Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam telah digambarkan sebagai hamba yang paling bersyukur, apabila Baginda bersolat sunat sehinggalah kedua tumitnya pecah. Lalu Baginda ditanya tentang amalannya yang sebegitu rupa, sedangkan dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang sentiasa diampunkan oleh Allah Ta’ala. Jawapan Baginda cukup mudah namun menggugah jiwa; “Tidakkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

jika kita melihat kepada sirah nabawiyyah, betapa Rasulullah Sollahu ‘alaihi wassalam menjaga ‘ibadah baginda walaupun baginya sudah pun terbina mahligai di Syurga, apatah lagi jiwa-jiwa yang masih belum diketahui nasibnya di akhirat kelak. Manifestasi syukur Baginda terlalu mengagumkan dan wajar diikuti oleh umatnya di setiap ketika, bukan hanya apabila suatu kesukaran datang merintangi. Seakan-akan telah wujud suatu persepsi tipikal bahawa amalan sunat hanya perlu digiatkan apabila musim peperiksaan makin hampir, buktinya musolla-musolla akan penuh dengan pengunjung yang tidak akan habis-habis sehingga terkadang perlu melakukan beberapa shif. Sujud syukur hanya akan dikerjakan hanya apabila gred yang diperolehi sejajar dengan apa yang dicita-citakan. Inilah anggapan yang tidak tepat dan perlu disingkir jauh-jauh.

Meningkatkan amal ibadah menjelang peperiksaan adalah sikap yang terpuji. Namun lebih terpuji jika rutin yang membuahkan pahala itu dilaksanakan secara berterusan biarpun selepas tamat peperiksaan. Malahan, hinggalah ke akhir hayat kita! Jadikanlah detik-detik getir peperiksaan yang mendekatkan kita dengan Tuhan sebagai satu permulaan untuk berbuat amal soleh, kemudian diiringi dengan iltizam untuk beristiqamah sehabis mungkin.walaupun keputusan yang kita terima itu memenuhi impian atau mungkin terdapat sedikit kurangnya, tetaplah terus mengerjakan sujud syukur. Juga puasa sunat yang berperanan untuk membersihkan kalbu. Tidak mendapat apa yang dicita-citakan bukanlah suatu alasan yang baik untuk meninggalkan amalan menyembah Allah ‘Azzawajalla. Jangan sekali-sekali bersifat sombong dan seolah-olah merasakan ada kondisi yang mesti dipatuhi sebelum ibadah ditunaikan. Apabila hajat yang dikejari dimakbulkan, barulah dahi mencecah sejadah. Jika tidak, jauh sekali!

3. JANGAN SALAHKAN PIHAK YANG LAIN

terkadang apabila menghadapi situasi seperti ini, keadaan berubah menjadi lebih kritikal sehinggakan pihak-pihak lain turut disalahkan sebagai punca kegagalan di dalam peperiksaan. Lazimnya yang terlebih dahulu ‘disabitkan’ kesalahannya ialah pensyarah. Tuduhan yang cukup popular ialah pensyarah yang begitu tegas ketika menanda kertas jawapan atau dalam erti kata lain, kedekut markah! Lalu timbullah dosa-dosa yang lain angkara kejahatan lidah seperti mengumpat, mencela atau memburuk-burukkan pendidik yang hakikatnya tidak bersalah!Adakalanya, kawan-kawan turut menjadi mangsa. Konon-kononnya, tidak mahu berkongsi soalan yang ‘bocor’ atau mungkin juga menolak untuk berkongsi ilmu di dalam subjek yang tertentu.

Sememangnya tindakan yang zalim apabila pihak yang tidak tahu menahu diheret ke dalam kancah masalah. Apatah lagi jika masalah itu terjadi akibat kelalaian diri sendiri. Adalah tindakan yang kurang bijak jika kita enggan mengaku kelemahan sendiri, lalu memindahkan beban kesalahan itu ke atas bahu orang lain. Malahan, tindakan itu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Semailah rasa keinginan untuk berdikari dan berhentilah dari menuding jari dalam hal-hal berkenaan tanggungjawab sendiri.

Dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11 ada menyatakan bahawa Allah Ta’ala tidak akan mengubah nasib suatu kaum, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Sentiasalah berusaha untuk memperbaiki prestasi diri sendiri. Jika kita ingin berjaya, maka cubalah untuk mendapatkannya! Pastikan setiap langkah kita ditemani tawakkal secara total terhadap Allah Ta’ala. Harus diingat, hanya Tuhan yang mampu untuk mengurniakan kesejahteraan di dalam kehidupan. Pintalah semahu-mahunya menerusi do’a dan zikrullah. Jika ada lain-lain pihak yang masih dirasakan bersalah di dalam suatu hal, biarkan saja mereka dihakimi oleh Allah 'Azzawajalla.

4. POSITIFLAH TERHADAP APA YANG BERLAKU

mendapat keputusan yang kurang memuaskan bukanlah suatu petanda bahawa hayat pengajian bakal terhenti di situ. Menangislah sepuas-puasnya setelah meneliti slip keputusan. Setelah puas teresak-esak, hentikan setakat di situ. Buang jauh-jauh perasaan sedih dan gantikannya dengan rasa kesal. Gantikan pula rasa kesal dengan keinginan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Hapuskan terus sebarang fikiran negatif yang bakal memakan diri sendiri. Sebaliknya, carilah sebanyak mungkin justifikasi positif demi membina diri. Lupakan apa yang telah berlaku kelmarin dan bukalah lembaran yang baru.

apabila kita meninggalkan peristiwa yang terdahulu bukanlah bermakna kita hendak melarikan diri dari hakikat kebenaran. Pada hakikatnya realiti lampau masih perlu ditelan, namun perlu dilihat dari persepsi yang ada manfaatnya. Dikhuatiri sekiranya kita terlalu mengenang kegagalan yang lepas, akan mematikan semangat kita dan melenyapkan harapan yang langsung tidak membawa diri ke daerah yang lebih bercahaya. Teruslah pandang ke hadapan kerana jalan di hadapan itu masih punya jalan yang luas terbentang. Esok dan lusa tetap setia menanti kehadiran jiwa-jiwa yang tidak tewas dengan kekalahan lalu. Inilah kekuatan seorang Muslim, tidak akan sekali-kali meratapi kekecewaan yang dialami. Lantaran keyakinan yang tinggi memuncak bahawa kita tidak pernah bersendirian sebab Allah ‘Azawajalla sentiasa ada di sisi kita! “innallaha ma’ana”

Allah Ta’ala mewahyukan di dalam ayat 155, surah Al-Baqarah bahawa cubaan dalam bermacam bentuk pasti akan ditimpakan kepada para mukmin, dan sampaikanlah berita gembira untuk orang-orang yang sabar. Sahutlah khabar yang mendamaikan kalbu ini dengan sepenuh hati, dan tetapkanlah diri dalam kesabaran. Jadikanlah kesilapan yang sudah sebagai pembangkit kekuatan untuk mengecapi kemenangan. Jangan sekali-kali berputus asa. Orang tua di kampung halaman akan terus menantikan kejayaan anak-anaknya yang ditatang dengan penuh kasih!

5. PUNYA ILTIZAM UNTUK BERUBAH

“Orang yang beriman tidak akan disengat dua kali di lubang yang sama.” (Hadith riwayat Muslim).

Benar, mukmin tidak sewajarnya melakukan kesilapan yang berulang lantaran gagal untuk mengutip iktibar. Ambillah pengajaran yang peristiwa lalu dan jadikan ia sebagai pelita untuk menerangi kegelapan di hari yang mendatang. Pancangkan tekad dan aturlah strategi secara sistematik demi meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Jadikan bumi ini sebagai ladang tani amal-amal kebaikan, lalu kemanisan hasil cambahannya bakal dinikmati menjelang akhir zaman kelak.

Bangkitlah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menjana perubahan yang positif di dalam diri. Besarkan jiwamu, dan janganlah menyerah kalah. Biarlah tersadung sekali mahupun berulang kali, namun jangan pernah untuk terus rebah. Tiada mengalah, berpantang undur. Pusatkan azam demi memartabatkan kedudukan agama di tahap yang tertinggi.

6. TERUS ISTIQOMAH DAN KONSISTEN

Belajar turut dikira sebagai suatu ibadah umum, asalkan mematuhi syarat-syarat yang digariskan. Menurut Yusuf Al-Qardhawi, syarat pengiktirafan suatu amalan harian agar dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan adalah seperti berikut; diakui dan bersesuaian dengan hukum-hakam syara’, dilaksanakan dengan niat yang suci, perbuatan tersebut dilaksanakan dengan seelok mungkin, perlakuan amalan tersebut tidak melampau batasan ajaran agama dan tidak sekali-kali mencuaikan ibadah khusus dalam melaksanakan ibadah-ibadah umum.

ini menunjukkan bahawa betapa Islam itu adalah satu rahmat, hinggakan rutin dalam kehidupan dikira sebagai yang boleh menghampirkan kita dengan Allah Ta’ala. Sematlah selalu di benak, bahawa belajar merupakan suatu ‘ibadah. Maka lakukanlah dengan sebaik mungkin, kerana pedomannya tersurat di dalam sebuah hadith; “Bahawa Allah suka apabila seorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” (Hadith riwayat Muslim). Allah Ta’ala juga mencintai amalan yang sedikit, namun dilakukan secara konsisten.

Maka, jika mahu tergolong di dalam kelompok yang disenangi Tuhan, buatlah suatu pekerjaan dengan baik, serta secara istiqamah. Jadilah seorang mahasiswa yang berusaha untuk cemerlang di dalam pelajarannya, namun tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jikalau dua nilai murni ini berjaya disebatikan di dalam diri, kejayaan hakiki pasti berada di dalam genggaman! Insyaallah..

sekian,
wallahu 'alam...

faqirah liLLAHi Ta'ala...

1 comment:

mr 'abid said...

salam.. em.. tertarik ngan artikel yg di post, kebetulan baru dpt result exam. tahniah bg yg berjaya, bg yg x berjaya, jgn futur. terus pndg ke hdpn, jgn toleh ke blkg lg. boleh jd apa yg ingin kita miliki x baik tuk kita, n boleh jd yg kita x ska tuk miliki adalah yg terbaik tuk kita..