AYUH SAMA-SAMA LAKUKAN PERUBAHAN!!!


Salam ‘alayk jamian.. salam satu Hijrah.. salam ukhuwah fillah, moga ukhuwah yang di ribat walau di alam maya sentiasa istimrar... liLLAHI Ta’ala..

Hamdulillah, segala puji hanya layak bagiNya, Khaliq kepada setiap yang hidup di bumi yang sementara, ya... dunia yang ibarat pentas lakonan buat kita semua, salam serta sholawat buat kekasih Ilahi, yang kita mengimani, dialah Pesuruh Allah, nabi Muhammad SAW, salam juga buat ahlil bait, para sahabat2 tercinta,juga buat mereka yang telah kembali ke RahmatULLAH..

Rindu nak menulis.. bukannya tidak pernah jenguk blog yang sudah ditinggalkan selama beberapa minggu, agaknyalah, bukan juga tidak ada idea yang ingin di kongsi bersama, keterbatasan masa... ya, banyak “assigtment” yang perlu di siapkan.. bukan hanya “assigtment” kelas, tapi juga “assigtment” saya dengan Allah SWT. Namun tidak mengapa, “kerja yang ada lebih banyak daripada masa yang kita miliki”...

Sedar tak sedar, rupanya sudah sehari lebih kita meninggalkan tahun 1430H.. kini, datang tetamu baru, tahun 1431H. ALHAMDULILLAH, masih bernyawa.. tanpa kita sedar, tahun demi tahun, hari demi hari.. berlalu begitu saja, meninggalkan kita. Sudah bersedia menerima kedatangan umur yang semakin meningkat? Saki baki masa yang ada untuk “top up” pahala pun sudah semakin sedikit. Rambut yang hitam sudah mulah berselang seli menjadi putih,apa yang terdetik di hati kecil saya sejak kebelakangan ini, umur semakin meningkat, sehari kita melangkah ke hadapan, semakin singkat masa yang kita punya untuk bertemu KEKASIH TERCINTA, ALLAH SWT.

Tidak sampai sebulan, kita akan memasuki tahun baru pula, 2010. Bagi individu yang menitik beratkan perancangan dan harapan untuk meneruskan perjalanan kehidupan semestinya akan menyediakan segala persiapan, baik dari segi fizikal dan mental, sudah pun di rencanakan, malah di catat untuk mendepani tahun berikutnya. Pendek kata, di sebut “azam” tahun barulah.
Azam tahun baru – nak seorang yang berguna, nak jadi anak soleh dan solehah, nak pergi masjid, solat jemaah setiap hari, nak menghadiri kuliah2 agama... nak itu dan ini.. dan sebagainya. Tidak salah untuk menyimpan azam sebegini.. huhu, rewind semula azam kita untuk tahun yang lepas, sudah terlaksana dan tercapaikah? Atau pun azam hanya tinggal azam, paling tidak pun, “ takpe, azam tu bawa ke hadapan”.. itu hak setiap individu, kita sendiri berhak untuk menggariskannya.

Azam yang disenaraikan adalah untuk dibawa sepanjang perjalanan 365 hari. Berjaya atau gagalkah sudah semestinya menjadi ukuran buat diri sendiri. Seperti satu fenomena, di seluruh dunia, pasti ada acara-acara akan berlangsung sempena menyambut kehadiran tahun baru. Pesta dan segala macam aktiviti yang selalunya berbentuk hiburan akan disogokkan kepada masyarakat, menandakan harapan yang besar, kegembiraan yang tiada tepian dan keterujaan yang pelbagai dalam menyambut tahun yang seterusnya.

…semacam terlupa sesuatu.. atau kita terlupa untuk membuat azam pada tahun Hijrah, kerana di dalam fikiran kita hanya ada Tahun Baru 2010 Masihi. Terlupa pula kita kepada Tahun Hijrah. Bahkan apabila ditanya kepada sesetengah anak muda yang gagah, Bilakah bermulanya tahun Hijrah ini, bila agaknya tarikh turunnya al-Quran? Hmm~ kena tunggu Ramadhan dulu, baru tahu jawapannya.… dan paling tidak pun, “ tak tahulah” tetapi biarlah kita sentiasa bersangka baik. Mungkin hanya segelintir kecil sahaja yang terpinggir…

sekiranya kita melihat suasana ketika menyambut tahun baru Masihi, mungkin tidak akan serupa seperti mana kita menyambut awal Muharram. Itulah dia tahun baru. Tahun baru yang penuh dengan sambutan yang gemilang dan pesta-pestaan yang kadang banyak memberi kesan yang kurang manis untuk di rasa, namun seperti sudah menjadi adat, ianya akan berlangsung juga saban tahun. Tahun baru, walaupun cuma langkauan satu hari dari 31 Disember 2009 kepada 1 Januari 2010, ia memberi kesan dan peristiwa yang besar.namun bagaimana sambutan kita dengan awal Muharam?

Awal Muharam, tahun baru dalam kalendar Islam. Hari ini, Jumaat bersamaan dengan 1 Muharam 1431 Hijrah. Apakah acara dan intipati awal Muharam sejak sebulan yang lalu yang berkumandang di telinga dan seluruh pancaindera kita? Apakah ‘situasi’ yang berlaku sejak sebulan yang lalu yang menunjukkan bulan Muharam akan menjelma? Industri yang manakah yang merasai betapa awal Muharam merupakan satu unsur yang boleh melariskan dan memberi manfaat kepada industri mereka?tiba saja awal Muharram, kita pun mulalah di hidangkan dengan lagu2 Hijrah, beberapa majlis ala sederhana di adakan dengan tujuan menyambut kehadiran bulan Muharram. Tidak kurang dengan beberapa perarakan, kemungkinanlah, kemudian pengumuman tokoh Ma’al Hijrah, yang mana saya yakin, segelintir umat Islam juga turut mengambil tahu tentangnya. Bagaikan ada dalam tiada, Muharram pergi meninggalkan kita tanpa apa2.

Kemungkinan ada di antara kita yang tidak sedar, atau pun tidak tahu, Hijrah itu adalah satu kalimah yang cukup sinonim dengan Iman dan Jihad, sepertimana Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah, bermula dari ayat 20-22, mafhumnya :;“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.”

Daripada ayat di atas menunjukkan bahawa Hijrah itu dilaksanakan atas dorongan Iman dan Jihad fi sabilillah. Jelas sahabat2ku, ketiga2nya menuntut pengorbanan daripada kita, tidak kisahlah dari segi harta, masa, dan tenaga serta jiwa. Tidak akan ada Hijrah tanpa sebuah pengorbanan, malah ianya bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi untuk mardhotillah, redha jua rahmat Allah SWT.

“ berhijrahlah menuju kejayaan”... “ bina dan bangunkanlah ekonomi umat Islam dengan semangat Hijrah” – mungkin sahabat2 juga pernah mendengar ungkapan tersebut.

Namun apalah ertinya kecemerlangan dalam semua bidang tersebut andainya ianya sedikit pun tidak disandarkan dengan Iman dan Islam, menjadikan kedua2nya ini sebagai satu dorongan, penentu, pemantau dan panduan dalam mencapainya. Sedarkah kita tanpa Iman dan Islam yang menjadi tonggak kepada niat dan jalannya, apakah bezanya dengan pencapaian yang diperolehi dengan individu, masyarakat, dan negara2 bukan Islam yang lain? Sepertimana yang kita sedia maklum, kekayaan, kemajuan dan kekuatan yang mereka perolehi adalah tanpa menjadikan ‘akidah, syariat dan akhlak sebagai landasan utamanya.

Sekiranya kita singkap kembali sirah seorang sahabat Rasulullah SAW, Suhaib ar-Rumi (RA), bertukar daripada kaya kepada miskin akibat berhijrah. Ibnu Hisyam meriwayatkan bahwa ketika Suhaib (RA) berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, “Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu.” Suhaib (RA) menjawab, “Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?”. Kafir Quraisy menyetujuinya. Bukanlah bermakna Hijrah itu boleh dikaitkan dengan perpindahan dari miskin kepada kaya semata-mata.

Suhaib (RA) menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui hal ini Rasulullah (SAW) berkata, “Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya.” Bukan beliau sahaja yang berbuat demikian tetapi itulah jua nasib yang menimpa hartawan-hartawan Islam seperti Abu Bakar Assiddiq, Uthman ibn Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain yang kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang apabila seluruh aset dan premis perniagaan mereka terpaksa ditinggalkan di Makkah apabila mereka berhijrah ke Madinah.

Beralih pula kepada kisah seorang lagi sahabat nabi SAW, Mus’ab Bin Umair RA - seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya. Lihatlah betapa ramainya orang-orang besar Quraisy yang memeluk Islam rela membuang status sosialnya apabila mereka rela makan minum, tidur baring dan hidup bersaudara dengan golongan bawahan yang dulunya adalah kaum pendatang dan hamba abdi. Dari sorotan kisah ini menunjukkan bahawa Hijrah itu tidak boleh dikaitkan dengan perjuangan meninggikan status sosial.

Hijrah yang kita faham adalah bererti perpindahan, namun perlu kita ketahui bahawa tidak semua perpindahan itu boleh disifatkan sebagai satu Hijrah. Hijrah yang sepatutnya kita fahami dengan maksud perpindahan adalah perubahan yang diniatkan kerana Iman dan Islam saja. Sepertimana yang diterangkan dalam hadis berikut:“Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :’ Hanya sanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanya sanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehnya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.”

AYUH MARILAH BERSAMA HIJRAH

Seperti yang kita ketahui, Maal Hijrah ertinya “bersama hijrah”, dan bersama Hijrah itu bukannya perlu bermusim dan terhad sifatnya. Sambutan ma’al Hijrah yang dilakukan saban tahun tidak akan memberi makna apa2 sekiranya ibrah dan hukmah disebalik Hijrah tersebut tidak terselah, ianya hanya terus menjadi ritual yang tidak akan membangunkan sedikit pun spiritual umat Islam, samalah juga keadaannya dengan sambutan Maulid Nabi, Nisfu Sya’ban, Nuzul Al-Quran. Lailatul Qodr dan lain2 lagi. Seharusnya kita fahami makna Hijrah yang sebenarnya iaitu mempelajari, memahami, menghayati, dan mengamalkan serta memperjuangkan Iman dan Islam berdasarkan apa yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Hijrah yang menjadi tuntutan secara berterusan ialah berpindah atau berubah daripada buruk (jahat) kepada yang baik. Dan ukuran baik atau buruk itu dibuat berdasarkan perspektif iman dan Islam. Bersama hijrah dalam erti kata yang lebih luas ialah sentiasa berubah kepada Islam dan iman yang lebih baik sama ada untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat mahupun negara kita.

Ma’al Hijrah yang kita fahami itu jugalah bermaksud perlu sentiasa melakukan perubahan ke arah memperkukuhkan Islam secara berterusan ( istiqomah ) dan menyeluruh. Lakukanlah Hijrah diri sahabat2, ubahlah diri kita ke arah yang lebih baik dan mantap dari sudut ‘akidah, syariat, dan akhlak, seterusnya Hijrah itu kita teruskan ke peringkat keluarga, organisasi dan masyarakat. Manakala hijrah negara pula merangkumi hijrah sistem ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain sistem kehidupan ialah sejauh mana semuanya mampu memperkukuhkan iman dan Islam kita untuk memberi keamanan dan kemakmuran kepada orang Islam dan bukan Islam persis yang dibuat oleh Rasulullah SAW di negara Islam Madinah dahulu.

Namun, untuk melakukan Hijrah secara menyeluruh itu peranan semua pihak amat2lah diperlukan. Harusnya kita mengenali watak dan peranan wira2 Hijrah yang mampu dan perlu kita contohi :

• Kesetiaan dan kemurahan hati Sayidina Abu Bakar (menyediakan keperluan logistik dan teman karib kepada Rasulullah SAW).

• Keberanian dan amanahnya Sayidina Ali (berselimut di tempat tidur Rasulullah SAW dan memulangkan kembali harta orang ;lain yang diamanahkan kepada Rasulullah SAW).

• Kecekapan Asma binti Abu Bakar (menyediakan makanan).

• Sifat murah hati Ummu Maabad (rela kambingnya diperah susu untuk memberi minum dalam perjalanan Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar).

• Kesal dan akurnya Suraqah (yang mulanya menentang tetapi akhirnya tunduk dan yakin kepada kemenangan Islam).


Ayuh sahabat2, muhasabah diri kita. Maka, dari Saidina Umar katanya.. “Hitunglah / Hisablah diri sebelum di hisab” jadikan tahun baru Hijrah ini… 1431H ini, tahun yang bakal merubah diri kita, menjadi individu, hamba Allah yang tidak baik kepada baik, dan baik kepada lebih baik.


Ayuh sahabat2, kita renungi bersama2 Hadith dari Rasulullah s.a.w.: Maksudnya:

“Dari Abu Bakrah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: “Sesungguhnya masa beredar, sama keadaannya ketika Allah Ta’ala menjadikan langit dan bumi. Iaitu setahun dua belas bulan. Empat di antaranya adalah bulan haram, di mana tiga di antaranya berturut-turut, iaitu: Dzul Qaidah, Dzul Hijah,dan Muharram. Sedangkan bulan Rajab, ialah bulan kaum Mudhar yang terletak antara dua bulan Jumadi dan Sya’ban. Kemudian beliau bertanya, “Sekarang bulan apa ini?” Jawab kami, “Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu.” Beliau terdiam, sehingga kami menyangka kalau-kalau beliau akan menamainya dengan nama yang lain. Lalu beliau bertanya pula, “Bukankah bulan ini bulan Dzul Hijjah?” Jawab kami, “Betul!” Tanya beliau pula, “Negeri apa ini?” Jawab kami, “Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu.” Beliau diam seketika, sehingga kami menyangka mungkin beliau akan memberinya nama dengan nama lain. Tanya beliau, “Bukankah negeri ini negeri (Haram”?” Jawab kami, “Betul!” Tanya beliau, “Hari apa ini?” Jawab kami, “Allah dan Rasul-Nya sajalah yang lebih tahu.” Beliau diam seketika, sehingga kami menyangka kalau-kalau beliau akan memberinya nama lain. Lalu beliau bertanya pula, “Bukankah hari ini hari Nahar?” Jawab kami, “Betul, ya Rasulullah!” Sabda beliau, “Sesungguhnya darahmu, harta mu, dan kehormatanmu adalah haram (dilindungi) atas kamu, seperti haramnya hari ini, di negeri ini dan di bulan ini. Dan kamu semua akan menemui Tuhan mu kelak, lalu Dia akan menanya segala perbuatanmu. Kerana itu janganlah kamu kafir sepeninggal ku nanti, di mana sebahagian kamu memotong leher yang lain. Perhatikan! Hendaklah yang hadir sekarang ini menyampaikan kepada yang tidak hadir. Mudah-mudahan orang yang disampaikan kepadanya amanatku ini lebih pandai mengamalkannya daripada yang mendengarkannya sendiri. Kemudian beliau bertanya, “Ketahuilah! Bukankan telah kusampaikan?”

Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1665.

rasanya masih ada waktu untuk saya mengucapkan selamat Menyambut Tahun 1431H.
faqirah liLLAH...
~ aku manusia biasa ~

7 comments:

nur_Qaseh said...

SALAM WBT.. AKHIRNYA KU KETEMU JUA BLOG ADIKKU INI. HEBATNYA. SATU PENGISIAN YANG BOLEH MEMBUKA MATA DAN HATI SEKIRANYA DI FAHAMI SEBAIKNYA. APA PUN, TERUSKAN USAHAMU ADIKKU, DOAKAN KAKAK AGAR JADI HAMBA YANG PUNYA TEMPAT DI SISI ALLAH. ( RAJIN2 CONTACT KAK - NANTI AJAR KAK BUAT BLOG YA )

ros_'aein said...

salam maal hijrah. apa khabar sahabatku? lama x jumpa bakal ustajah ni. ada blog pla ko ni.. dalam diam2. bila habis study? tQ atas pengisian ni.. aku suka. Hijrah itu pengorbanan, hijrah itu perjuangan. lakukan perubahan berlandaskan Iman dan Islam. hijrah itu menyedarkan kita tentang perjuangan Rasulullah SAW nak sebarkan dakwah islam... pa2 pn, gtau aku lau da balik nanti..

amriena said...

salam buat nur_Qaseh...

mf kak, byk keja yg perlu di selesaikan, insyaallah, punya masa, sy cntc kak nnti ya. punya kesempatan waktu jg, sy akan ajar kak bt blog. tq sudi ziarah..

amriena said...

salam bt ros_'aein...

insyaallah, 4 thn lg. bla blik? wallahu'alam. tq sudi ziarah aku walau di alam maya. rajin2 dtg blog aku k =)

Haulid Al-Hararr said...

Emm apa pendapat amriena tentang penghijrahan daripada bid'ah kepada sunnah? Adakah ianya wajar, ataupun perkara seperti ini tidak wajar dicetuskan kerana ianya mengganggu sensitiviti dan tidak mendatangkan faedah dalam pembangunan aqidah umat islam?

amriena said...

salam buat akhi haulid...

em, soalan tu cam subjektif sgt pla.. mgkn memerlukan pd penjelasan yg pnjg. bid'ah ni ada yang hasanah dan ada yg saiyi'ah.. bg ana wajar juga, lg2 'aqidah umat Islam dah semakin terpesong.. ada pro n kontranya.. ada maslahat dan mafsadatnya.. cuma kita jgn terlalu cepat menghukum.mgkn akhi haulid lebih 'arif dr ana.. hu~ insyaallah, nnti kita bncg bersama ya =)

Haulid Al-Hararr said...

Terkadang kita perlu memikirkan juga tentang sifat keterbukaan dalam berdakwah, bimbang andai terlampau banyak berbincang perihal khilaf dan furu' akan menyebabkan umat islam tidak mampu bersatu. Namun pengislahan perlu juga dilakukan dangan hikmah. Kalau ada masa harap amriena boleh kupaskan permasalahan ni..;)