EPILOG : SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD


Bismillah wa Alhamdulillah…

Demi nyawaku yang berada di genggamanNya.. Moga Allah merahmati tiap detik nafas yang terhela.. Ya Allah..sudah suratan-Mu kami ditaklifkan.. bantulah kami agar terus thabat di atas jalanMu..

“Seorang Suami Bernama Muhammad S.A.W.”

Ini diantara tajuk yang menjadi pilihan dalam usaha menyiapkan “tesis” berkenaan kajian terhadap Sirah Nabawiyyah (subjek kuliah sem ni). Alhamdulillah.. keputusan akhirnya, penulisan “tesis” lebih memihak kepada tajuk lain. Syukur Lillah, setelah berusaha sehabis baik untuk menyiapkannya, “tesis” tersebut telah pun selamat untuk diperiksa oleh Tuan Pensyarah bagi subjek tersebut.  (Berdebar menanti keputusannya. Moga semuanya baik-baik sahaja  =)  )

Tidak mahu berceloteh panjang, saya kongsikan kepada teman-teman. Walau pun, ianya bukan hasil dari penulisan saya. Dari seorang ayahanda, kepada anakandanya yang di sayangi..

****************************************************************************************

:: Minta Izin Tuan ya.. (dapat dari Pakcik Google) ::  =)
Bismillah…

Anakku..

Sekiranya kita bertanya, siapakah orang yang paling baik? dengarlah jawapan daripada Rasulullah SAW ini : “orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku ialah orang yang paling baik antara kamu terhadap keluargaku”.

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah baitul muslim Baginda SAW. Kita saksikan bagaimana Insan Mulia ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimanakah sikap, pertuturan, dan diamnya Baginda sebagai seorang suami? Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayah dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Anakku..

Adakalanya Baginda pulang ke rumah lewat malam malah menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpin masyarakat acap kali menyebabkan Baginda berenggang dengan isterinya. Sejarah juga menceritakan bagaimana Rasulullah tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isterinya yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya saja kain rida’nya untuk dijadikan lapik bagi Baginda tidur di muka pintu.

Mulianya Rasulullah itu, apabila Baginda bertanyakan kepada isterinya adakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak atau pun tidak, ketika isterinya menjawab “tidak ada”, Rasulullah akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu Baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk di nikmati, Baginda sungguh bersyukur. Ketika tidak ada, Baginda hadapi penuh sabar. Syukur dan sabar… kekayaan hati yang hakiki.

Anakku…

Ingatkah lagi pada kisah betapa Rasulullah sangat mencintai ummatnya..? ya! Bayangkan Baginda yang sering menangis, bimbang, dan takut akan nasib umatnya di Akhirat kelak tetap mempunyai masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Romantiknya Baginda yang berlumba lari dengan isterinya, Aisyah Humaira’ hinggakan Aisyah berkata : “adakalanya Baginda menang, dan adakalanya aku menang”.

Betapa gentlemen dan romantiknya Baginda, bukan hanya pada Aisyah yang jelita, tetapi juga kepada Saudah. Seorang janda yang dinikahi oleh Baginda ketika telah berusia. Di riwayatkan Saudah sudah tua dan kurang berdaya ditambah dengan badannya yang besar, Baginda akan melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sekiranya pada hari ini, berapa ramai daripada para suami yang akan membukakan pintu kereta untuk isterinya?.

Betapa besarnya juga jiwa Rasulullah itu yang masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika banar, Baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Jika salah, Baginda tidak akan mengalah mahupun berundur walau pun selangkah. Di rumah pula, Rasulullah sentiasa tersenyum, ceria malah ringan tulang membantu kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema, Baginda akan berhenti dan serta-merta menuju ke masjid seolah-olah tidak mengenali isterinya lagi.  

Rasulullah sentiasa mengingatkan agar para suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan si isteri. Baginda bersabda, maksudnya : “bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu..”.

Anakku…

Tahu tak, betapa Rasulullah itu juga seorang suami yang sporting. Pernah suatu hari di hari raya, Saidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah, yang mana ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihatnya), maka Abu Bakar yang melihatnya lalu membentak kedua-dua wanita tersebut, lalu Rasulullah SAW menampakkan wajahnya, lalu berkata : “Hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah hari raya”.

Anakku..

Bagaimana Rasulullah pada bulan Ramadhan..? baginda pada bulan yang mulia itu sentiasa akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi cinta dan kasihnya pada si isteri, Baginda  akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu cinta Allah. Tidak di bangunkan si isteri dengan gerakan yang kasar atau pun suara yang tinggi, tetapi Cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.

Anakku..

Pesan ayah pada mereka yang akan menjadi suami pada suatu hari nanti.. contohilah seorang suami yang bergelar Rasul Allah SAW itu. Utusan Allah itu sudah membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan bukan hanya soal hidup bersama, tetapi “cinta bersama” untuk selama-lamanya.

“marriage is loving-together, not just living together”- Nabi Muhammad SAW telah pun membuktikan hakikat tersebut dalam kehidupan rumah tangganya lebih 1400 tahun yang lalu.

Anakku..

Akan tiba masanya..
Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Peda, harum, manis, dan pahit bergaul mesra
Dalam resipi warisan sejak dahulu kala
Begitulah kiasan cinta dalam rumahtangga
Cinta mempertemukan semua yang berbeza
Segala yang pahit mahupun yang manis
Suka dan juga duka
Akan menjalinkan kesatuan rasa
Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai itu bukan untuk dipertikaikan
Di alam perkahwinan kalian akan dipertemukan
Bagaikan ramuan dalam satu masakan.
Itulah menu hakiki
Itulah kasih sayang sejati
Perisa di hati suami dan isteri!

“ya Allah.. berikanlah cinta-Mu kepadaku, jadikanlah orang yang mencintai-Mu mencintaiku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu..” Amien…






Al-FaQiroh ila Robbiha :
~ waznah alhamraa’ ~
27 Jamadil Akhir 1433H
18 Mei 2012 

No comments: