MAAFKANLAH.. JIKA INGIN BAHAGIA


Bismillah

Air mata kadangkala mewakili bahasa
yang tidak mampu diterjemahkan mulut kita.
Terbitnya dari jiwa,
mengetuk minda,
pergi ke mulut tersekat di rengkong,
maka pada mata mengalirlah ia.
Jiwa sedang berduka.
Mulut tidak mampu bersuara.
Maka hujan turun di dalam jiwa,
Mewarnai suasana.

(Hilal Asyraf)

Pernah dengar tak kata-kata ni :

“Manusia akan lahir bersama tangisan, dicelah kehidupannya pun akan ada tangisan, dan sampai saatnya ketika dihantar ke pusaranya, juga di iringi dengan tangisan..”


Hidup di dunia.. umpama musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah.. seperti orang yang sedang menyeberangi jambatan. Tidak mahu berdiri lama di situ, cukup sementara. Langkahan kaki dipercepatkan, biar jiwanya selamat tiba di seberang.

Hidup di dunia ini.. biarlah sederhana. Kerna ianya sementara. Bukan pada wang dan harta, tapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu “happy”.. jangan juga terlalu sedih. Tidak ada kesenangan yang tidak disertai dengan kesukaran. Puas ketawa, airmata pula menyapa. Selepas berdukacita, kegembiraan pun menjelma.

Wahai hati..

Sedarilah, setiap gerak laku manusia itu adalah dengan idzin Yang Maha Kuasa jua. Sekiranya hadir dalam dirimu orang yang “menghadiahkan” air mata, syukurilah. Allah mengajarkan tentang erti sabar. Jangan dilihat kepada manusia yang menjadi ‘asbab’, lihatlah dengan mata hati, bahawa Allah juga menjadikan ‘musabbabil asbab’. Bila kau disakiti oleh dia, Allah mengajarkan engkau tentang erti REDHA!,

Ingatlah.. kita ini bukannya malaikat untuk terus pasrah tanpa terusik oleh calar dan cakar hamba bernama manusia. Ada saatnya, kita perlu bertahan. Boleh jadi manusia yang bermuka-muka akan terus dijulang sebagai ‘wira’. Manusia yang punya ‘hati emas’ pula akan terus dihenyak sebagai tawanan dalam penjara hiba dan cela.

Bahagialah.. sekiranya kau menginginkan dia bahagia. Terima hakikat, kita ini bukannya Tuhan yang berkuasa mencaturkan rezki dan nikmat untuk hamba2-Nya. Jadilah si musafir lara yang temannya mujahadah dan taubat. Berusahalah.. untuk jadi insan yang baik, walau masih digoda nafsu kejahatan dan dosa. Bila jatuh, bangkit kembali, jatuh.. bangun lagi.

Tempuhilah jalan mujahadah sekalipun langkah kian lemah. Jangan mengalah! Luruskanlah jalan menuju Allah dengan hati yang tulus sesam insan. Jauhi hasad, elakkan mengumpat. Kita di dunia tidak lama. Nun jauh di sana.. tempat kita merehatkan segala penat. Jangan bimbang bila rasa diri tidak dihargai, tapi.. bimbanglah bila suatu saat kita benar-benar sudah tidak berharga.. di hadapan Allah!

Musim-musim yang berlalu itu.. pasti akan lebih mendewasakan kita. Segala yang menyakitkan hati hanya bersifat sementara. Biarlah beban rasa itu dilepaskan. Jangan dibawa dalam musafir yang pendek. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh.. ibarat kita bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan.. sama seperti  kita memaafkan diri sendiri. Memaafkan itu pahala. Memaafkan itu menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum hadirnya ‘syurga’ yang baqa.

Oh Allah..
Sungguh, dunia ini tidak lama
Detik berlalu di putaran usia
Sering mengharap pada yang abadi
Berusaha lenyapkan segala ilusi
Bantulah aku wahai Ilahi..
Dalam memahami rahsia hati


* ketika diri sudah lelah untuk menangis.. lupakanlah. Buka lembaran kehidupan yang baru. Kadang2, lebih baik memilih untuk tidak mengenali.. daripada belajar untuk melupai, setelah berusaha untuk menyayangi. Tadahkan tangan pada Ilahi, moga DIA sentiasa pimpin hati. teruslah senyum.. ok..?  ^^,






Al-FaQiroh ila Robbiha :
~ waznah alhamraa’ ~
29 Jamadil Akhir 1433H
21 Mei 2012 

No comments: