OH ALLAH ... WALAU AKU MALU


Bismillah wa Alhamdulillah..

Kerana takutkan neraka, menyebabkan kita tidak malu meminta Syurga. Tapi mengapa masih tidak malu berbuat dosa

إِذاَ وَقَعَ مِنْكَ ذَنْبٌ فَلاَ يَكُنْ سَبَباً لِيَأْسِكَ مِنْ حُصُوْلِ اْلاِسْتِقاَمه مَعَ رَبِّكَ ، فَقَدُ يَكُوْنُ ذَلِكَ آخِرَ ذَنْبٍ قُدِّرَ عَلَيْكَ

Jika engkau terjatuh pada dosa, janganlah hal itu membuatmu berputus asa untuk terus istiqamah bersama Tuhanmu. Sebab, bisa jadi itulah dosa terakhir yang ditetapkan atasmu”  - [Ibnu Atha’illah : Kitab al-Hikam, Hikmah 18]

Mengenangkan dosa hari ini.. semalam.. dan hari-hari yang telah berlalu, di tambah tolakkan, alangkah banyaknya. Tetapi dengan dosa yang semakin menimbun, Allah ar-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang sudah banyak melakukan dosa. Bahkan, Allah yang bersifat ar-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui manusia lainnya.

Ya, harus di insafi. Manusia itu bukanlah Malaikat yang tidak pernah melakukan kesalahan melainkan sentiasa beribadah kepada Allah. Manusia itu juga bukan Nabi mahupun Rasul yang dipelihara (Ma’sum) dari melakukan segala dosa. Tanyalah kepada sahabat anda ; apakah ada manusia di atas muka bumi ini yang tidak melakukan dosa? Pasti jawapannya : “tidak ada yang terlepas darinya.. bagaimana tinggi sekalipun kedudukannya”


# Ibroh dari Kisah Nabi Adam A.S.

Sifat mulia yang boleh dipelajari dari sirah Nabi Adam A.S. ini ialah mengakui kesalahan dan sedia menerima implikasi dari kesalahan yang telah dilakukan. Perlu diingatkan, bahawa kesalahan yang terjadi adalah tidak disengajakan. Nabi Adam A.S. - manusia pertama yang bertaubat. Sebagai manusia (sebelum diangkat menjadi Nabi) yang telah melakukan dosa dengan memakan buah dari pohon yang dilarang Allah untuk mendekati (memakan) buahnya (al-Baqarah : 35). Namun, dengan segera Nabi Adam bertaubat dan Allah SWT pun menerima taubatnya.

Secara dasarnya, segala perbuatan yang dilakukan di dalam keadaan terlupa tidak dianggap sebagai dosa dan maksiat. Menurut Hamka di dalam Tafsir al-Azhar ; “Dia (Adam) lupa, dan Allah membuktikan tidak terdapat padanya kesengajaan bagi melanggar perintah. Dia jujur tetapi terbujuk, dia tertipu dan dirayu oleh mulut manis dan waswas yang dimasukkan iblis, musuhnya. Walaupun Allah peringatkannya mengenai bahaya iblis, sebagai seorang yang beriman, Nabi Adam terlalu jujur. Kejujurannya itu yang menyebabkan dia tertipu.”

Nabi Adam A.S. telah melakukan dosa, anak keturunannya pun juga akan mengikutinya. Rasulullah S.A.W. pernah bercerita tentang kisah Nabi Adam ;

فَجَحَدَ آدَمُ فَجَحَدَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَنَسِىَ آدَمُ فَنَسِيَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَخَطِئَ آدَمُ فَخَطِئَتْ ذُرِّيَّتُهُ

Adam telah melanggar larangan Allah, maka anak keturunannya pun juga akan melanggar larangan Allah. Adam telah lupa, maka anak keturunannya pun juga akan lupa. Adam telah berbuat dosa, maka anak keturunannya pun juga berbuat dosa” (HR. Tirmidzi, hasan shahih)

Bisikan syaitan senantiasa dihembus-hembuskan di telinga anak Adam. Jeratan syubhat dan rayuan syahwat senantiasa membayangi setiap langkah kehidupan manusia. Hingga tidak akan ada susuk manusia yang suci dari dosa dan kesalahan. Bahkan dosa sudah menjadi watak dan tabiat manusia.

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya kalian tidak pernah berbuat dosa, nescaya Allah akan mengganti kalian dengan mendatangkan suatu kaum yang kemudian kaum tersebut berbuat dosa, kemudian mereka meminta ampun kepada Allah, dan Allah akan mengampuni mereka” (HR. Muslim)

Tabiat manusia itu pasti tidak akan terlepas dari berbuat dosa. Bahkan, manusia itu.. jika tidak selalu di ingati, pasti akan lebih mendekat kepada dosa daripada istiqomah. Rasulullah bersabda,

كل بنى ءادم الخطاءين وخير الخطاءين التوبين

“Setiap anak Adam adalah bersalah dan sebaik-baiknya orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang mau bertaubat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Di dalam Riwayat yang lain, Rasulullah bersabda, mafhumnya : “Sesungguhnya apabila seorang mukmin melakukan dosa, maka akan terjadi bintik hitam didalam hatinya. Jika ia bertaubat dan melepaskan dosa tersebut serta beristighfar, maka hatinya akan dibersihkan. Namun, jika ia menambah dosanya, maka bintik hitam tersebutpun akan bertambah hingga menutupi hatinya” (H.R.Bukhari)

Tidak terbayangkan bagaimana keadaan bumi ini, seandainya Allah SWT membalas setiap dosa yang diperbuat oleh manusia saat ini dengan hukuman secara langsung dari-Nya. Sebagaimana Allah telah menenggelamkan kaumnya Nabi Nuh A.S. Demikian pula Allah telah kirimkan angin kepada kaum ‘Aad, begitu juga apabila Allah telah balikkan bumi ini dan Allah kirimkan bebatuan kepada kaum Nabi Luth A.S. Sungguh, betapa besar kasih sayang Allah Ta’ala kepada umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam.


# Ayuh! Muhasabahkan DOSA kita

Analoginya : seorang peniaga yang mahu mengira untung rugi syarikatnya. Seorang peniaga sangat digalakkan untuk menghitung jumlah kerugian yang dialami, kerana hanya dengan melihat semula kerugiannya, pasti akan hadir perasaan dalam dirinya untuk meningkatkan lagi perniagaannya pada masa akan datang. Malah segala kesalahan dalam teknik perniagaannya sebelum ini akan segera dibaiki dan dibetulkan supaya tidak berulang pada masa akan datang.

Dan apabila seorang peniaga yang hanya melihat keuntungannya sahaja, bimbang dia akan tenggelam dalam keadaan selesa dan lupa untuk meningkatkan perniagaannya. Begitu jugalah kita yang sedang berurus niaga dengan Allah. Pasti tidak akan terlepas dari situasi tersebut. Antara untung dan rugi. Pahala itulah keuntungan kita. Dosa pula kerugian kita. Bezanya Cuma, kerugian perniagaan syarikat hanya di dunia, tetapi kerugian berniaga dengan Allah, kesannya akan tampak di akhirat.

Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Dan kita sebagai manusia, perlu gali hikmah yang tersembunyi. Ada hikmahnya mengapa Allah mentakdirkan kita melakukan sesuatu kesalahan. Antara lain ialah Dia ingin menguji sejauh manakah teguhnya keimanan kita kepada sifat Kasih dan Sayang-Nya. Juga ditakdirkan-Nya kita melakukan kesalahan adalah untuk memberi keinsafan kepada diri kita akan betapa lemahnya kita untuk melakukan sesuatu kebaikan dan mengelakkan sesuatu kesalahan tanpa rahmat-Nya. Sebab itulah kita tidak perlu merasa angkuh apabila berjaya melaksanakan sesuatu kebaikan. Sebaliknya hendaklah sentiasa bersyukur kepada-Nya dan berdoa agar Dia sentiasa memberikan kekuatan kepada kita untuk terus berada dalam kebaikan dan jauh daripada sebarang perlakuan yang mungkar.


# Mahu berubah.. Biar kerana Allah.

Pasakkan dalam diri bahawa perubahan itu adalah kerana Allah dan semata-mata mahukan keredhaan-Nya. Sama sekali bukan kerana manusia atau material yang lain. Perbaiki dan perhalusi niat. Sekiranya kita berubah dengan niat yang tidak betul, maka tersangatlah mudah untuk Syaitan menghancurkan keazaman kita. Berubah kerana manusia, kerana merajuk, kerana kecil hati, kerana mahu perhatian dan pelbagai bentuk ‘kerana’ yang lain di mana kesemuanya tidak berpaksikan ‘kerana Allah’. Jika mahu berubah meninggalkan maksiat atau mahu berubah menjadi baik dengan niat kerana Allah, maka sekalipun didatangi dengan godaan yang kita tidak sangka, maka kita tetap akan bertahan dengan prinsip perubahan tersebut kerana niat asal kita adalah kerana Allah.

Berhati-hati kerana Syaitan tidak pernah rehat dalam merealisasikan misi dan visi mereka. Godaan Syaitan itu adakalanya tidak datang dalam bentuk yang kita duga. Kadang-kadang, perkara duniawi yang kita sangat mahukan sebelum berubah , itulah yang akan mendatangi kita dengan mudahnya selepas kita berubah. Ketika kita mengejar kenikmatan dunia, ia lari dengan begitu pantas meninggalkan kita. Namun ketika kita berpaling mahu mengejar akhirat, ketika itulah dunia itu pula berlari pantas mengejar kita.

“Apabila kamu berusaha untuk berubah ke arah kebaikan, Allah akan menguji kamu, untuk melihat sejauh mana kamu IKHLAS untuk berubah” Inilah konsep yang harus kita fahami jika kita benar-benar mahu berubah, agar nantinya kita tidak goyah dengan suntikan nikmat daripada Syaitan.

Firman Allah SWT, mafhumnya :

“..dan Syaitan menghiasi amal perbuatan mereka, lalu mereka terpesong dari jalan yang benar dalam keadaan mereka tidak diberi hidayah “


# Lihatlah Orang-orang Soleh Terdahulu

Sombongnya kita seandainya masih enggan bertaubat kepada Allah. Lihatlah kepada penghulu orang soleh ; Rasulullah S.A.W, manusia yang paling bertaqwa kepada Allah, manusia yang telah diampuni dosanya, baik yang telah lalu atau yang akan datang, manusia yang telah dijanjikan kepadanya Syurga dengan berbagai kenikmatannya. Namun bersama dengan itu, Baginda adalah manusia yang senantiasa memohon ampunan kepada-Nya.

وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Demi Allah, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari 70 kali” (HR. Bukhari dari Sahabat Abu Hurairah)

Siapa di antara kita yang tidak mengenali Saidina Abu Bakr As Shiddiq R.A.? Manusia terbaik setelah Rasulullah S.A.W.. Dengan segenap kebesaran yang di milikinya, beliau mengatakan kepada Rasulullah S.A.W. ; “Wahai Rasulullah, ajarkan kepada diriku sebuah doa,  yang doa tersebut akan aku baca dalam setiap solatku”, Rasulullah mengatakan, ”Katakanlah, Allahuma inni dzolamtu nafsi dzulman kabiran laa yaghfiru dzunuba illa anta, faghfirli maghfiratan min ‘indika, innaka anta alghafur ar rahim” (Ya Allah, sungguh aku telah mendzalimi diriku sendiri, dengan kedzaliman yang sangat besar, tidak ada yang boleh mengampuni diriku melainkan Engkau, maka ampunilah diriku dengan ampunan dari sisi-Mu, dan sayangilah diriku, sungguh Engkau adalah Dzat yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang) (HR. Bukhari-Muslim)

Hasan Al-Bashri rhm juga pernah berkata ; “Sungguh sifat seorang mukmin adalah mengumpulkan antara amalan baik (soleh) dan rasa takut (kepada Allah Ta’ala seandainya amalan tersebut tidak diterima), sedangkan sifat orang munafik adalah mengumpulkan antara amalah buruk (kemaksiatan) dan rasa aman (dari siksa dan ancaman Allah)”. (dikutip dari Tsamaratul Ilmi Al Amalu karya Syaikh Abdurrazzaq al-Badr)


# Kesempatan sentiasa  Ada.

Keampunan Allah sentiasa mendahului murka-Nya. Salah satu bukti kasih sayang Allah Ta’ala kepada hamba-Nya, Allah membuka pintu ampunan dan taubat bagi seluruh hamba-Nya, seperti mana yang termaktub dalam al-Furqan :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah, wahai para hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri-diri mereka sendiri, Janganlah kalian putus asa terhadap rahmat dari Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni seluruh dosa, sungguh Dialah Dzat Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (QS. Az Zumar : 53)

Allah SWT mengampuni setiap dosa seorang hamba, jika hamba tersebut bertaubat kepada Allah, dengan taubat yang hakiki. Bahkan, Allah Ta’ala mengampuni dosa yang paling besar sekalipun, yaitu dosa syirik, selama orang tersebut ikhlas bertaubat kepada Allah. Bukankah para Sahabat R.Anhum, dahulunya adalah orang-orang yang tenggelam dalam lumpur kemusyrikan, tenggelam dalam kubangan dosa dan kemaksiatan. Namun, dengan sebab taubat mereka, Allah SWT pun mengangkat kedudukan mereka.

Dicatatkan dalam sebuah hadith Qudsi, Allah berfirman, mafhumnya ; "Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu: Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah. Aku cintakan orang yang rendah hati/diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati. Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat.

Semakin bertumpuk dosa yang dilakukan, seiring dengan itu akan semakin gelap hati si manusia, hingga hatinya menjumpai kebinasaan. Inilah sebesar-besar kecelakaan dan musibah, wal‘iyadzubillah! Apabila hati sudah binasa, apa lagi yang bisa kita harapkan dari kehidupan ini? Sedangkan kehidupan yang hakiki tidak lain adalah kehidupan di sana nanti.  Nas’alullaha al ‘afiyah

Allah SWT berfirman ;

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Bersegeralah menuju ampunan dari Rabb kalian dan menuju Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang dipersiapkan bagi orang-orang yang beriman” (QS. Ali ‘Imran : 133).


# Allah walau aku malu..

Berteleku di malam hari, merasakan diri lebih terasa dekat dengan Ilahi. Allah.. terima kasih. Rasa lapang sekali. Tanpa kesibukan, kurang pergerakan. Melihatkan mereka yang lain juga kaku.. dalam dzikir dan fikir. Terdengar dengusan helaan nafas bersama rintihan esakan tangisan.. perlahan.. bersama-sama dengan alunan al-Quran ibarat melodi yang sangat mengasyikkan.

Sesah akal ku ya Rahman, palu akal ini ya Rahim, dengan belantan indzar dan tazkirah-Mu. Kembalikanlah biduk akal ku ke pelabuhan takdir-Mu. Hati dan jiwa sudah letih belayar tanpa arah yang nyata. Dalam sujud dan rukuk hamba penuh noda, aku hamparkan aib dan dosa. Tanpa aku mengadu, Engkau bahkan lebih Tahu. Hanya itu wadah untuk aku menyerah, kerna aku hanya ‘abdul Allah.. Dalam pasrah.. aku kalah!

Berbekalkan harapan, benteng terakhir hanya rasa tidak berputus asa. Dalam rasa malu, takut dan harap, aku gagahi dan beranikan diri untuk meminta. Dalam deraian tangisan dan rintihan, ku catatkan gugusan permintaan. Melalui puisi hati. pena menari mencari makna, kata-kata hanya berpandukan rasa.

Sekali lagi ya Rahman, ya Rahim.. walau malu, aku tetap meminta Syurga.

Teruskan langkah menuju pengampunan dan redha-Nya. Tinggalkan segala bisikan Syaitan yang sentiasa berusaha memalingkan hati, fikiran dan harapan untuk memburu kasih-sayang dan pengampunan-Nya. Percayalah kasih dan sayang Allah tidak akan pernah bernoktah sampai bila-bila. Tadahkan tangan di hadapan-Nya, mohonlah keampunan-Nya, pasti Dia tersenyum melihat kita yang sedang menagih simpati-Nya




_ semoga Syurga.. adalah sebaik-baik pengakhiran buat kita semua _






Al-FaQiroh Ila Robbiha :
~ waznah alHamraa’ ~
06 Rejab 1433H
27 Mei 2012 

No comments: