HAKIKAT : ANTARA SUNNAH DAN SYAWAL

Bismillahirrahmanirrahim, segala Puja dan puji bagi Allah ta’ala. Selawat atas junjungan mulia Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sesungguhnya semulia-mulia kalam ialah kalam Allah Ta’ala, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sejelek-jelek perkara ialah yang diada-adakan dalam agama, dan semua perkara yang diadakan adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah sesat. Hamdulillah, masih di beri ruang untuk menulis dalam blog yang tidak seberapa ini.


Alhamdulillah juga, akhirnya selesai tugas mengemas pakaian untuk pulang ke bumi kelahiran hari ini. Hari ini? Ahh.. tarikh pada kalender di sebelah sudah melangkah ke tarikh 15hb september 2009. Dah masuk ramadhan yang ke-25. Syukur liLLAH Ta’ala. Doakan saya agar sampai ke destinasi dengan selamat ya...


Em.. sekitar tajuk , hakikat : antara sunnah dan syawal..


Pernah saya terfikir, apakah di negara kita kini.. Malaysia ya? Sudah menyubur dan berkembangnya sunnah? alhamdulillah, mungkin ramai di kalangan pendakwah masa kini yang kian bergerak dengan dakwah kepada masyarakat kepada sunnah Nabi S.A.W dalam urusan ibadah. Demikian juga dengan amalan sunnah yang selalu beriringan dengan perkembangan semasa ataupun sesuatu peristiwa. Satu usaha yang murni dalam mengamalkan sunnah baginda saw dalam kehidupan seharian. Bulan ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Kini, dalam media massa sendiri ( seperti internet, majalah, blog, tv dan sebagainya ) sudah banyak memaparkan mengenai sunnah-sunnah di dalam bulan ramadhan. Berakhirnya ramadhan, Syawal pula bakal menjelma. amalan sunnah terutamanya pada hari raya juga turut tidak ketinggalan memasuki pasaran media tersebut. Ini adalah satu perkembangan yang sihat dan bagi saya sendiri amat wajar agar ianya diteruskan supaya masyarakat sentiasa terdidik untuk mengikuti Rasulullah S.A.W. tapi alangkah baiknya jika sunnah Rasulullah dapat diikuti secara keseluruhan, bukan secara berjuzuk.


Adakah Hari raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan?. Mungkin juga, yang mana Hari kemenangan umat Islam mengharungi satu bulan dengan menahan diri daripada makan dan segala perkara-perkara yang buruk. Kemenangan ini adalah kepada mereka yang mengharungi ramadhan dengan kejayaan. Kemenangan itu bukanlah disambut dan dihayati dengan hiburan yang melampau. Sepatutnya 1 bulan ini dapat mendidik kita ataupun menjadi titik tolak untuk diri kita sendiri berubah dalam hal ketaqwaan. Malangnya, setelah berakhirnya ramadhan, solat subuh dan solat jemaah di masjid kian suram, kitab Al-Quran kian berhabuk , perkara maksiat ‘kembali kepada asal’, seolah-olah kita mengakui yang kita mengharungi ramadhan adalah sekadar memenuhi tuntutan, bukan untuk mendidik jiwa terhadap perjuangan dan keikhlasan.


kemungkinan masyarakat kita sudah sekian lama terdidik atau terikut-ikut dengan angin hari raya di negara ini. Lihat sajalah, televisyen terutamanya pasti akan menyiarkan Muzik dan filem yang pasti akan ada slot atau kisah yang memaparkan kesedihan. Sepatutnya hari raya adalah hari kegembiraan. Begitu juga dengan takbir raya. Alhamdulillah, kita dapati sudah ramai yang menyedari bahawa takbir raya di negara kita yang beralun-alun mengambarkan kesedihan dan bukan melambangkan kekuatan. Semoga perubahan untuk ni beransur-ansur digerakkan. ( saya teringat kata-kata seorang ustaz, di negara ‘arab mengalunkan takbir raya dengan nada kegembiraan untuk meraikan kemenangan mengekang hawa nafsu selama sebulan – allahu’alam ).


Sempena syawal ini, marilah kita sama-sama renungi atau muhasabah kembali akan kisah permulaan puasa kita. Bagaimana amalan dan ibadah kita pada permulaan bulan tersebut?. Sungguh, kita terasa kenikmatan yang sudah tidak dapat ditarik kembali dan akan menjumpainya di tahun berikutnya jika kita belum memejamkan mata selamanya. Tidakkah terasa betapa indahnya bila kita iftor ( berbuka puasa ) beramai-ramai, bersama keluarga tercinta, sahabat handai, berbuka puasa menurut sunnah, bersolat tarawih, membaca Al-Quran, bertahajud dan bermunajat. Mereka yang benar-benar ikhlas terhadap ibadat dan mengharungi perjuangan sebenar di bulan Ramadhan pastinya akan merasa hiba dengan berakhirnya bulan yang penuh berkat ini.


Mari kita sama-sama hayati dan tadabbur Firmah Allah S.W.T ini yang bermaksud : (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.(QS 2:185)



Sekian saja untuk entri kali ini. Otak seakan beku untuk berfikir.. maaf seandainya ada khilaf selama penulisan dalam blog ini, mungkin ada di kalangan pembaca yang terguris atau terasa hati, namun percayalah, untuk kebaikan kita bersama, agar kita terus untuk bermuhasabah... dan terus bermuhasabah.. selagi ianya belum berakhir, sambutlah salam ramadhan kareem dari saya, Allahu Akram, seterusnya salam syawal ‘eid fitri.


Wallahu’alam.

No comments: