kerna tarbiyyah, akan lahirnya insan yang bertaqwa


Pentarbiyahan mampu melahirkan insan yang bertaqwa dan beramal soleh. adapun ilmu hanya sekadar memberikan pengetahuan dan belum tentu dapat memberikan ketaqwaan dan kesolehan kepada seseorang atau memberikan kekuatan kepadanya dalam melawan musuh atau menghadapi hawa nafsunya.

Hal ini sudah jelas disebutkan di dalam Al-Qur'an sendiri apabila menyifatkan perbuatan para pendita dan alim agama Yahudi yang mengetahui isi kandungan kitab mereka tetapi menyalahinya kerana menurut hawa nafsu mereka.

Allah swt berfirman :

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ


"Wahai ahli Kitab, mengapa kamu mencampur adukkan antara yang haq dengan yang bathil, dan Menyembunyikan kebenaran, Padahal kamu mengetahuinya?" (Ali-Imran : 71)

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقاً مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَة


" Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al kitab (Taurat dan Injil) Mengenal Muhammad seperti mereka Mengenal anak-anaknya sendiri dan Sesungguhnya sebahagian diantara mereka Menyembunyikan kebenaran, Padahal mereka mengetahui. " (Al-Baqarah : 146)

Hal ini juga diriwayatkan telah disebut oleh baginda rasulullah salallahu'alaihiwasalam : "Sesungguhnya Bani Israel menulis sebuah kitab dan mengikutinya serta meninggalkan Taurat." (hadis riwayat Darimi dan Tabrani serta disahihkan oleh Albani)

Keilmuan semata-mata tidak langsung dapat menyelamatkan diri manusia daripada kemurkaan Allah swt sebaliknya dengan amal dan taqwa maka barulah dianggap seseorang muslim itu akan mencapai apa yang disebutkan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Inilah yang disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa baginda salallahu'alahiwasalam pernah bersabda :


من تعلم علما مما يبتغي به وجه الله عز وجل ,لا يتعلمه الا ليصيب به عرضا من الدنيا لم يجد عرف الجنة يوم القيامة


“ Siapa yang mempelajari ilmu selain mencari redha Allah, dan mempelajarinya bertujuan untuk habuan dan ganjaran dunia maka tidaklah dia dapat (diharamkan) mencium bau syurga di hari akhirat.” (Hadith Sahih, Riwayat Abu Daud no. 3179)

Sebaliknya marilah kita melihat pula hasil tarbiyah rasulullah salallahualaihiwasalam kepada para sahabat ra dengan tarbiyah imaniyah dan ‘aqidah yang masuk meresap ke dalam jiwa melalui proses yang memakan masa, harta dan jiwa raga apabila para sahabat terdidik mentaati perintah Allah swt sekalipun mereka berdepan dengan ujian yang mengancam jiwa dan nyawa serta segala kenikmatan duniawi yang berada di hadapan mata.

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ


"Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah mereka berkata "Kami mendengar, dan Kami patuh" dan mereka Itulah orang-orang yang berjaya." (An-Nur : 51)

Sebagaimana apa yang ditulis oleh Imam Ibn Qayyim Az-Jauziyah di dalam Kitabnya Zadul Ma'ad mengenai Peristiwa Perang Badar Al-Kubra apabila berita keluarnya rombongan Quraisy sampai kepada rasulullah maka baginda pun bermesyuarat bersama-sama sahabatnya maka golongan Muhajirin pun menyetujui hasrat baginda untuk memerangi mereka kemudian baginda berbincang lagi lalu dipersetujui lagi oleh Muhajirin dan seterusnya sehingga kali ketiga apabila golongan Ansor kemudian menyedari bahawa mereka yang menjadi sebab perbincangan itu maka bangunlah Saad Bin Ubadah ra lalu berkata :

" Apakah kami yang engkau kehendaki ya rasulullah ? Agaknya kamu takut golongan Ansor tidak melihat perlunya mereka membantu kamu kecuali hanya di dalam negerinya sahaja ? (disebabkan sewaktu berbai'ah janji setia dengan rasulullah kaum Ansor hanya berjanji akan membantu baginda daripada ancaman di dalam negeri) Maka aku berkata kepada kamu akan perihal Ansor dan menjawab bagi pihak mereka bahawa :

"Perintahkanlah kami musafir ke mana yang engkau suka,sambunglah pertalian kami dengan sesiapa yang engkau sukai, dan putuskanlah talian kami dengan siapa yang engkau suka, dan ambillah dari harta kami sebanyak mana yang engkau sukai dan berikan kepada kami apa yang engkau mahu memberi, tidaklah apa yang engkau ambil daripada kami lebih kami sukai (suka untuk kamu ambil) daripada apa yang engkau tinggalkan untuk kami." dan di dalam riwayat lain disebutkan "Sekiranya engkau mengarahkan kami untuk menyemberangi lautan nesaya akan kami menunggangnya."

(Dikeluarkan oleh Ibn Saad daripada Mursal Ikrimah dan asal kisah ini daripada sahih Muslim no. 1779 daripada hadis Anas bin Malik ra )

Demikianlah iman yang tinggi hasil tarbiyah dan didikan rasulullah salallahu'alaihiwasalam serta para naqib yang diutuskan oleh baginda dahulu kepada kaum Ansor ra bagi mengajarkan mereka akan perihal imaniyah dan aqidah. Tiada ragu-ragu dalam menyahut seruan baginda alaihisalam sekalipun apa yang diminta sebenarnya ialah bukan hanya harta tetapi perang yang meragut nyawa yang menjadi harta paling disayangi oleh setiap manusia yang mencintai dunia.

Itulah kesan tarbiyah yang tidak sama langsung dengan hanya ilmu yang diajarkan kepada manusia apabila ianya tidak masuk ke hati dan tidak mencairkan keegoaan, kepalsuan, keghairahan nafsu dan kegilaan syahwat yang berterusan meminta habuan dunia.

Lupakah kita kisah pengharaman Arak ? Masyarakat arab yang sebati hidup mereka dengan arak dan menjadi budaya seharian menghidangkan arak di dalam majlis dan jamuan kemudiannya apabila turun perintah Allah swt maka dengan segera bertaubat dan meninggalkan minuman arak kerana mencari redha Allah swt.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ


"Wahai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah Termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." (Al-Maidah : 90-91)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad ra daripada Anas bin Malik ra bahawa Abu Ubaidah bin Jarrah ra dan Ubay' bin Ka'ab dan Suhail serta sebahagian daripada sahabat rasulullah berada disisi Abi Talhah ra dan mereka hampir meminum arak sehingga datang orang memberitahu kepada mereka akan perintah keharaman arak lalu mereka menuangkan minuman arak yang berada di dalam bekas minuman mereka dan membakarnya.

(sila rujuk di dalam Tafsir Ibn Katsir pada ayat 90 -91 Surah Al-Maidah dan hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim serta lain-lain)

Bayangkan oleh kita sekiranya perintah yang sama ditujukan kepada kita pada zaman hari ini nescaya ramai yang akan memperbahaskan dahulu kewajaran perintah ini, mempertikaikan, mencadangkan supaya dikaji semula dan sebagainya, pelbagai lagi kedegilan dan engkar yang akan terpapar meng-gambarkan ilmu yang semakin tinggi dipelajari semakin membawa kita sombong dan angkuh serta menjauh daripada hidayah dan pertunjuk Allah swt.

Demikianlah kesimpulan daripada kisah-kisah dan riwayat yang dapat diambil pengajaran oleh mereka yang beriman mengenai kepentingan tarbiyah di dalam Islam yang diabaikan oleh para guru sunnah dan ahli agama Islam hari ini yang sibuk mengejar nama di dalam era dakwah dan media massa atau sibuk mahu menambahkan tulisan-tulisan mereka di dada akhbar atau di dalam senarai buku perpustakaan Islam tetapi melupakan tugasan Maha penting mendidik dan mentarbiyah umat dengan kefahaman yang sahih menurut salaf assoleh.

Semoga Allah swt merahmati usaha kita dan mengembalikan kita kepada jalan yang sahih serta diredhai-Nya dan memasukkan kita bersama hamba-hamba-Nya yang beriman ke dalam Syurga.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

segala kekurangan amat di kesali...

allahu wa rasulu 'alam.

No comments: